-3-
KALI ini Adura terpaksa tebalkan muka untuk pinjam kereta dengan Encik Johari. Selalu egonya saja yang tebal. Sebelum ini jika ada apa-apa pasti dia akan pinjam dengan Adrian. Tapi Adrian pula buat hal, katanya terpaksa ke Johor atas urusan kerja. Betul-betul di saat akhir.
Usai memarkirkan kereta di hadapan Kafe Arjuna, Adura duduk di meja yang menempatkan dua kerusi sahaja. Dia datang bukan untuk makan atau minum tetapi atas urusan perniagaan. Ini pertama kali dia berurusan secara terus. Debarnya lain macam. Selalunya pasti ada orang tengah untuk berurusan. Contohnya, Puan Sarah tolong catitkan pesanan dari kawan-kawannya dan tugas Adura sekadar menguli tepung. Senang. Walaupun tak selalu tetapi ada juga tempahan setiap bulan.
Adura tunduk bermain-main dengan telefon supaya tidak kelihatan janggal. Hari itu Dhira tak cerita habis tentang hal ini.
“Haish, jadi ke tidak ni? Atau aku saja yang ingat? Tak boleh jadi ni,” omel Adura sendirian.
Mata diliarkan ke segenap kafe. Pagi-pagi lagi sudah ramai pelanggan. Rata-rata pasti yang bekerja di bangunan tinggi berhampiran Kafe Arjuna. Adura mengangguk kecil. Mungkin.
“Awak ni, Cik Adura ke?” tegur satu suara dan Adura segera mendongak.
“Ya, saya. Encik ni…”
“Oh, saya RJ pemilik kafe ni. Jadi, inilah kawan Dhira ya?”
Adura mengangguk laju seraya tersenyum. Mujurlah dia masih ingat. Lelaki yang bernama RJ itu memaniskan wajah hingga menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Comel!
RJ berdeham mengembalikan Adura ke alam nyata.
“Erk, ya! Ya. Saya kawan Dhira. Maaf ganggu Encik Arjuna pagi-pagi macam ni.”
RJ menjungkit kening apabila Adura memanggilnya Arjuna. Ini mesti tersasul dengan nama kedai. Lantaklah.
“Tak mengapa. Jadi, boleh kita teruskan?” ajak RJ lalu menarik kerusi berhadapan dengan Adura.
“Sure!”
Dalam masa sejam setengah mereka berbincang, baru RJ teringat untuk memesan minuman dengan pekerjanya. Apabila tekak mula kering, barulah ingat untuk minum.
“Maaflah Cik Adura, saya memang macam ini. Dah kering tekak baru ingat nak minum. Awak nak minum apa?” RJ jungkit kening.
“Eh, tak apa. Lagipun memang saya datang nak berbincang.” Adura menolak lembut pelawaan RJ. Bukan apa, dengan keadaan sekarang dia perlu berjimat. Sebolehnya modal nanti dia tidak mahu meminta dengan Encik Johari.
“Awak bukan pelanggan saya tapi client. Jadi, saya tetap kena hidangkan minuman. Kopi?”
Tergamam Adura. Lelaki itu seakan mampu membaca fikirannya ketika ini. Hish, nampak sangatkah muka terdesak aku ni? Fikir Adura.
“Oh, pleasure.”
“TAK kelakarlah, Raf. Benda macam ni mana boleh bawa main. Ini tentang perasaan orang, tahu?”
Rafael memandang adiknya yang mencekakkan tangan ke pinggang. Namun dia tetap tenang. Di sebelahnya pula Intan yang sedia untuk membantu. Dia tahu, Faiq tidak pernah menolak cadangannya kerana lelaki itu sudah berjanji. Berjanji akan membahagiakan satu-satunya abang yang dia ada, selagi masih ada hayat.
Faiq garu kepala, serba-salah. Dia sanggup buat apa saja tetapi ini agak berat.
“Aku tahu kau boleh. Lagipun, kau dengan Ira dah putus kan?”
“Macam mana kau tahu?” Ternganga Faiq seketika dengan tekaan Rafael. Tepat.
Rafael ketawa kecil.
“I’m your brother lah, Faiq. Kita berkawan sejak kecil dan aku dah masak dengan sikap kau. Sebelum kau berangkat pergi tunaikan umrah dengan umi dan walid dulu, kau dah putus kan?” teka Rafael dengan mata yang sengaja dikecilkan.
Teragak-agak untuk Faiq mengangguk. Rafael memang pandai membaca air mukanya. Pasti agak ketara.
Sementara Intan tersengih-sengih mendengar perbualan mereka berdua. Sejujurnya dia kasihan dengan Faiq tapi apakan daya, mereka perlu bantu Adura untuk melupakan Rafael. Mungkin inilah satu-satunya cara yang tinggal. Carikan pengganti Rafael untuk Adura.
“Kenapa kau tak kahwin je dengan dia, Raf?” usik Faiq. Sengaja melihat reaksi kakak iparnya. Tapi hampa. Intan sekadar senyum.
“Intan pun pernah suarakan hal itu, Faiq. Tapi abang you tak boleh terima dia.”
Rafael disebelah dipandang sekilas. Lelaki itu senyum saja lantas mengangguk.
“Raf nak Faiq buat apa? Jatuh cinta secara serius lepas tu tinggalkan dia?”
“Terpulang. Apa yang pasti jangan biarkan dia kecewa. Yang penting bagi dia jatuh suka dekat kau dan lupakan aku. Lama-lama bila kau rasa macam tak sesuai, buatlah sesuatu untuk dia bencikan kau,” pesan Rafael. Tenang.
Angguk.
“Kenapa bukan kau saja buat dia benci? Sama saja kan?” sinis Faiq.
“Kalau tak mampu tak apalah. Aku minta bantuan daripada orang lain. Sebolehnya aku tak nak paksa, yalah kau pun ada hak untuk memilih. Cuma… aku fikirkan hal kau.”
Jeda.
Perlahan-lahan Rafael bangkit dari sofa dan berura-ura mahu berlalu dari situ. Dalam hati dia tetap berharap agar Faiq dapat terima. Tiba-tiba kepalanya rasa berpusing. Rafael menekan kuat kepala yang sakit hingga keluar bunyi erangan.
Intan dan Faiq terperanjat lalu mendapatkan Rafael sebelum tubuh itu rebah ke lantai. Melihatkan keadaan Rafael yang lemah, Intan cepat-cepat mendapatkan kit yang menempatkan ubat-ubatan suaminya.
“Raf. Bangun, Raf. Intan… ubat Raf mana?? Raf, bangun!”
Tubuh Rafael digoncang beberapa kali. Namun, hampa. Rafael sudah tidak sedarkan diri.
BAGAIKAN kembar yang berkongsi tarikh lahir, Rafael dan Faiq memang tidak boleh berpisah. Walhal mereka cuma berkongsi tahun. Rafael lahir pada bulan Januari sementara Faiq bulan Disember. Seringkali mereka berdua dilabel sebagai kembar siam oleh walid dan uminya. Bergerak seiring bergandingan walaupun tidak seiras. Cuma rezeki mereka sahaja berbeza apabila masing-masing masuk ke dalam IPT yang berlainan. Minat juga berbeza. Jodoh Rafael pula agak awal namun tidaklah membataskan hubungan mereka.
Faiq memapah Rafael dari katil ke kerusi roda. Keadaan Rafael kini sangat membimbangkan. Pucat. Meskipun sudah dibenarkan keluar dari hospital, Rafael masih perlu hadir untuk menjalani rawatan kimoterapi. Intan cuba mengawal diri dari bersedih. Dia tahu, seteruk mana dia menangis sekalipun, belum tentu dapat sembuhkan penyakit suaminya. Apa yang penting sekarang hanya doa.
Topi sudu yang berada di atas katil dicapai lalu Faiq sarungkan pada Rafael. Sebaik sahaja mereka tiba di lobi hospital, ada seseorang datang mencuit.
“Rafael kan?”
Rafael tergamam. Dia kenal lelaki di depannya. Serba-salah Rafael untuk mengiakan soalan itu. Melihat seperti Rafael berjumpa dengan kenalannya, Faiq segera meminta diri seketika untuk ke tandas. Sejak tadi lagi dia menahan hajat.
“Tolong rahsiakan pertemuan ini daripada dia.”
“Siapa? Adura?”
Diam.
“Tapi kenapa?” Lelaki itu terus mengasak Rafael.
“Maaf ganggu. Tapi saya harap saudara jangan desak suami saya. Dia tak boleh tertekan.” Akhirnya Intan terpaksa juga mencelah. Kenapa ramai pula yang kenal Rafael saat-saat ini. Apa kaitan mereka dengan Adura? Intan berkerut.
Tiba-tiba ada satu insiden kecil di hadapan lobi hingga menggamit mereka untuk memandang.
“Adura?”
Cepat-cepat Rafael menarik topi ke bawah sementara Intan cuba mengalihkan wajah supaya tidak dapat dilihat.
“Sorry! Saya tak sengaja.” Terbongkok-bongkok Adura menutur maaf dengan insan yang hampir dilanggarnya. Adura, jika tak kalut memang tidak sah. Ini semua gara-gara dia terlepas pandang amaran lantai licin ketika berlari-lari anak untuk mengejar pintu lif.
“Eh, tak apa. Cik okey, kan?”
Adura angguk. Usai memohon maaf lagi sekali dia terpandang wajah Adrian bersama seseorang yang berkerusi roda. Di sebelahnya pula berdiri seorang wanita. Siapa?
Apabila perasan dirinya diperhati, Adrian segera mendekati Adura. Mereka perlu pergi dari sini sebelum Adura ternampak Rafael. Betul juga apa pesanan Rafael tadi. Adura tidak boleh tahu tambahan pula lelaki itu sudahpun berkahwin. Maka bertambah-tambah kecewanya.
“Kenapa tadi tu?” soal Rafael sebaik sahaja Faiq menghampirinya.
“Oh, tadi perempuan tu berlari kat lantai basah. Mujur aku nampak dia nak jatuh tadi jadi sempatlah sambut. Nasib tak ada apa-apa.”
Kerusi roda ditolak hingga ke luar. Belum sempat Faiq ingin bergerak menuju ke kereta, Rafael segera memaut tangan adiknya. Faham akan keadaan itu Intan segera meminta kunci kereta.
“Kenapa kau biarkan Intan pergi ambil kereta?”
“Adura.”
“Hah? Mana??” Kalut Faiq mencari gerangan gadis yang bakal digoda nanti.
“Tadi.”
Faiq garu kepala tidak mengerti. “Kau maksudkan apa sebenarnya ni? Aku tak faham.”
“Orang yang kau selamatkan tadi ialah Adura.”
Jeda.
“Dia nampak baik. Aku tak sampai hati,” balas Faiq.
Rafael melepaskan lelah. Berat sekali. Sesekali dia terbatuk. “Aku tak minta kau permainkan dia. Tak salah rasanya kalau betul-betul jatuh cinta?”
Erk. Faiq terdiam.
“IBU! Ibu tak apa-apa ke? Macam mana boleh jatuh kat bilik air? Adik keluar hantar kuih sekejap je dah jadi macam ni.”
Muncung bibir Adura sambil menyentuh lembut kaki Puan Sarah yang berbalut. Tidak fasal-fasal terseliuh. Masing-masing menggeleng. Walhal sudah dimaklumkan dalam group Whatsapp tentang keadaan Puan Sarah, ini mesti kes tidak ada data internet.
“Tak ada apa-apalah. Ibu pening sikit itu yang terpijak sabun. Ayah kamulah ni lepas mandi tak bersihkan lantai,” tuduh Puan Sarah.
Adura membulatkan mata ke arah Encik Johari.
“Eh, kita pula. Dia yang pening.”
Masing-masing tidak mahu kalah dan akhirnya Adrian terpaksa menyampuk.
“Sudahlah tu adik. Tekanan darah ibu rendah sikit, itu yang pening. Lain kali duduk rumah tu jaga ibu dengan ayah. Jangan terperuk dalam bilik. Menggua. Lapar je baru keluar cari makan. Serupa makhluk dalam hutan!”
“Abang Ad! Dia yang tak ada kat rumah nak tuduh orang. Mana ada adik macam tu,” bela Adura tidak puas hati kerana kata-kata Adrian semuanya betul.
“Jangan nak bergaduhlah kamu adik-beradik. Peninglah ibu. Kamu berdua dah besar panjang pun nak bergaduh lagi?”
Geleng.
“Nak tengok ibu masuk hospital lama-lama ke?”
Geleng lagi.
“Jadi, tolong papah ibu. Ibu dah boleh keluar pun. Tunggu kamu berdua lama sangat. Nasib baik Amy tak datang. Lagi haru-biru hospital ni nanti.”
Masing-masing angguk dan diam. Perasaan mereka ketika ini ialah… ibunya sudah ambil alih sikap komander ayah mereka. Lagi seram!
No comments:
Post a Comment