-2-
DENGAN berbaju tidur berlengan panjang, Adura turun sambil menggeliatkan tangan ke atas. Rambut lurusnya dibawa ke belakang. Jam sudah menunjukkan 9.05 pagi. Pasti Amyra sudah pergi kerja.
Kaki dibawa ke dapur dan mengintai Puan Sarah yang sedang menyiang ikan. Tanpa rasa bersalah Adura bersandar di tepi sinki sebelah ibunya.
“Ayah mana, bu?”
“Keluar basuh kereta. Ni kenapa tak mandi lagi? Saja nak bagi ayah membebel kan? Mujur ayah keluar.”
Adura sengih. Dia tidak takut pun dengan Encik Johari. Lelaki itu bebel saja kuat tapi sayangnya lebih. Pantang tengok anak-anak bersedih terus datang pujuk. Kalau pujukan tak menjadi dia akan cuba juga cara lain.
Meja makan dihampiri. Bau nasi lemak semerbak saja masuk dalam bilik tidurnya tadi. Dari mengantuk terus rasa lapar. Nasi lemak memang kegemaran Adura, hendak pula disertakan dengan ayam goreng berempah. Memang menambah-nambah makan.
“Ibu, Abang Ad ada cakap tak bila nak balik?” soal Adura sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan.
“Pagi tadi Abang Ad datang ambil kereta dia. Petang nanti dia balik kut bawa kembar tu sekali. Ibu dah pesan, entah ingat ke tidak. Sibuknya mengalahkan menteri.”
Usai membasuh ikan, Puan Sarah mengambil tempat di depan Adura. Anak bongsunya sudah besar. Adrian pula tahun ini sudah 29 tahun. Jika dikira-kira sudah 30 tahun dia mendirikan rumah tangga bersama Encik Johari dan dikurniakan tiga orang anak. Tiba-tiba dirinya berasa tua.
Terkekek-kekek Adura melihat Puan Sarah mengelamun. Entah mengapa rasa lucu. Ibunya jarang membebel tetapi bila mengelamun begitu pasti ada sesuatu yang hendak disuarakan.
“Ibu fikirkan apa?”
Puan Sarah senyum membuat Adura tidak keruan. Penuh makna senyuman itu. Kopi dituang ke dalam cawan lalu Adura teguk perlahan.
“Pasal adik.”
“Erk, kenapa pula? Adik ada buat salah apa-apa ke?”
Geleng.
“Erm, adik tak ada kawan lelaki ke?” Soalan cepumas dari Puan Sarah menyebabkan Adura tergamam. Sudah dapat agak soalan itu.
Nafas dihela sedalamnya sebelum dilepaskan. Adura membalas renungan Puan Sarah.
“Ibu tahu kan adik ni macam mana? Kejadian empat tahun lepas pun masih bermain-main kat mata adik. Kenapa tak ada orang nak paksa Kak Amy? Lagipun Kak Amy lagi tua dari adik and she deserves untuk kahwin dulu.”
“Haih, kamu ni. Ibu tanya kawan lelaki je tapi sampai bab kahwin dia masuk. Jangan risaulah ibu tak paksa cuma… ibu nak juga tengok ada orang yang boleh jagakan kamu nanti bila ibu dan ayah tak ada,” lirih suara Puan Sarah.
Adura genggam tangan. “Ibu… jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak? Tak sukalah macam ni.”
“Apa pula tak suka. Dah memang betul apa yang ibu kamu cakap. Kak Amy tu dah boleh berdikari jadi tak adalah ayah dan ibu risau. Kamu tu pula macam budak-budak. Penakut pula tu,” perli Encik Johari yang tiba-tiba muncul dari ruang tamu.
Adura buat muka. Ayahnya ada saja nak kenakan dia.
“Apa ayah ni! Perli orang pula. Mana ada takut, seram sikit je.”
“Haa, tengok anak bongsu awak ni Sarah. Beza apanya takut dengan seram. Oh ya, dah apply kerja?”
Puan Sarah menggeleng. Suaminya sudah mula membebel. Banyak betul air liur. Barangkali lepas gian tak dapat nak bebelkan anak buah tenteranya, anak sendiri pun jadilah.
Adura tunduk dan bibir dimuncungkan ke depan. Tak habis-habis soal kerja.
“Belumlah tu. Hmm… kenapa tak pertimbangkan saja pendapat ayah? Kalau setakat modal kecil-kecilan ayah boleh tolong.”
“Bukan macam tu. Adik takutlah nak buat business. Macam mana kalau tak laku? Aduh!” Lengan yang berbekas cubitan itu digosok. Laju saja Puan Sarah cubit.
“Belum apa-apa lagi dah fikir negatif. Tengoklah sekarang, kerja tak dapat-dapat lagi kan? Adik, sembilan dari sepuluh sumber rezeki datangnya dari perniagaan. Macam mana nak tahu laku ke tidak kalau tak mula sekarang? Lagipun mana ada orang baru buka business terus kaya-raya. Sekurang-kurangnya dapat balik modal. Sia-sia saja ambil program Pengurusan Perniagaan dekat universiti tapi tak nak terapkan. Ayah dah bersungguh-sungguh nak bagi modal kecil-kecilan untuk adik tetapi tetap nak tolak. Seronok ke bekerja bawah telunjuk orang?”
Giliran Puan Sarah pula membebel. Jarang sekali wanita itu untuk bercakap banyak. Terangguk-angguk Encik Johari dengar siap dengan senyum lagi. Kemenangan berpihak padanya. Adura mencemik.
“Haa! Buat muka lagi. Ayah bagi adik masa dua puluh empat jam untuk fikirkan usul ayah. Kalau tak ada apa-apa keputusan ayah kahwinkan kamu dengan anak Tuan Mansor,” ugut Encik Johari.
“Ayah! Tak baiklah buat anak sendiri macam ni. Ew… tak nak!”
Mengenangkan anak lelaki Tuan Mansor yang terlalu inginkan kesempurnaan itu saja buat tekak Adura mual. Rasa hendak muntahkan semua nasi lemak yang dimakannya tadi. Bukan saja dia, malah ibu dan ayahnya sendiri kurang berkenan cara anak Tuan Mansor. Kalau boleh nak duduk dalam rumah saja dan jangan ke mana-mana.
Encik Johari dan Puan Sarah cuba mengawal bibir dari ketawa. Geli hati melihat Adura yang kegelian apabila menyebut anak Tuan Mansor.
HAFIZ bersin beberapa kali. Hidungnya yang pada awal tidak gatal tiba-tiba saja menghasilkan bersin. Haish, ada orang mengumpatkah? Ini semua karut! Hafiz menggeleng lalu mengesat hidung dengan sapu tangan.
“Hafiz! Bila nak siap? Kita dah lambat nak masuk meeting. Client bukan calang-calang orang tahu tak?”
Terjerit-jerit Tuan Mansor yang tercegat menanti di hadapan pintu kereta. Anaknya dari kecil hingga besar tak pernah berubah. Mengalahkan perempuan. Antiseptik disapu sedikit pada tapak tangan. Setelah berpuas hati barulah Hafiz bergerak.
“Sorry, dad! Habuk banyak, daddy kena hire pembantu lain rasanya. Tombol pintu itu dah berapa lama tak lap? Geli, Fiz.”
Tuan Mansor menggeleng. Inilah sikap anak lelakinya yang sukar diubah. Pintu kereta pun hendak orang lain yang bukakan. Begitu juga pintu kaca Head Quarter. Mengalahkan hero dalam drama Korea. Itu belum lagi ada yang tunduk sepanjang dia berjalan.
SUDAH hampir 24 jam dan Adura masih lagi dalam dilema. Kaki dibawa ke utara dan selatan bilik. Tidak tentu arah. Setuju atau tidak? Telefon yang berada dalam genggaman ditenung seketika. Nafas dihela seketika lalu menggigit bibir bawah. Berdebar.
“Apa nak jadi, jadi sajalah.” Adura nekad.
Langkah disusun keluar dari bilik dan menghampiri Encik Johari yang sedang berehat di luar rumah bersama Puan Sarah. Pinggan kuih di atas meja ditatap. Samosa? Eh, ini bukan masanya untuk makan Adura. Adura garu kepala.
“Adik dah fikir masak-masak tentang cadangan ayah semalam.”
Encik Johari jongket kening lalu menyuap samosa ke dalam mulut. Tertelan liur Adura tatkala terpandang.
“Samosa…”
Tersedak Encik Johari lantas memandang anak gadisnya. “Apa yang samosa?”
“Erk, bukan. Maksud adik, erm… adik setuju dengan cadangan ayah.”
Belum sempat Encik Johari bersuara, Adura segera menyambar beberapa biji samosa dan berlari dari situ. Berdentum bunyi pintu bilik ditutup.
Adura menghembus nafas lega. Harap-harap keputusannya tidak salah. Kebetulan petang semalam dia berbual dengan Dhira dan Dhira juga tahu masalahnya. Hendak tak hendak dia bercerita juga tentang cadangan Encik Johari. Walaupun kedengaran seperti membosankan Dhira tetap melayan.
Rupa-rupanya Allah bukakan peluang rezeki buat Adura untuk mencipta nama dalam industri pastri melalui Dhira. Kebetulan kedai abang sepupu Dhira sedang mencari seorang pembuat pastri untuk dihidangkan ke kedainya. Sebagai permulaan dia akan cuba hantar di kedai. Apabila penerimaan daripada pelanggan bagus barulah dia akan teruskan cadangan Encik Johari sepenuhnya.
Adura melangkah menghampiri meja kerja. Sebuah buku nota yang masih kosong dan bersih dikeluarkan dari laci. Dia cuba senaraikan menu yang bakal dijual nanti.
Pen diletakkan di hujung bibir. Masih berfikir. Tidak tahu hendak letak apa di kedai nanti. Selalunya segala pastri yang dibuat berdasarkan permintaan saja. Belum pernah lagi buat untuk dijual. Agak rumit. Berapa biji? Berapa jenis? Samosa yang sempat dirembat tadi dicapai.
Sedang elok menyuap samosa, Adura baru tersedar sesuatu. Dia tersilap kata dengan Encik Johari. Apa-apa pun nanti Adura perlu berterus-terang dengan Encik Johari tentang rancangannya sendiri. Ayahnya sendiri kata, segalanya bermula dari bawah.
“Teruskan usaha Adura!! Siapa lagi nak usaha kalau bukan diri sendiri? Keep fighting!”
DI satu sudut, seorang lelaki lewat 20-an sedang termenung ke arah deretan kereta di bawah garaj. Baru-baru ini terlalu banyak benda yang mengganggu fikirannya. Rafael mengeluh. Rumah ini sunyi saja semenjak walid dan umi berangkat menunaikan umrah bersama adiknya. Kebetulan Rafael baru balik dari sana dengan Intan dan masih lagi tidak sihat.
Intan menghampiri Rafael dengan gelengan. Sebagai sseorang isteri dia perlu ambil tahu masalah suaminya tetapi dia jarang hendak bersuara. Hanya tinggal Rafael untuk bercerita. Intan mengambil tempat di sebelah Rafael.
“Jauh termenung. Rindukan perempuan mana?”
Rafael ketawa kecil.
“Tiada perempuan lain untuk dirindukan selain you, isteri I dan umi. I sayangkan dua-dua.”
“Erm, macam mana dengan Adura?” Kedengaran seperti cemburu di situ.
Rafael menghela nafas dalam dan dipejamkan mata buat seketika. Sementara Intan gigit bibir. Terasa seperti salah bicara. Hendak tarik balik pun mana boleh.
“Erk, sorry.”
“Tak apa. I memang sedang fikirkan hal dia sekarang ni,” balas Rafael dan terus berubah air muka Intan. Meskipun dia tahu sejarah antara Rafael dan Adura namun tidak salah rasanya jika berasa terkesan apabila seorang suami memikirkan hal perempuan lain.
“Kenapa?”
Rafael senyum. Tangan Intan diraih. Walaupun belum sampai sebulan mereka berkahwin, dia tahu Intan terlalu mengambil berat akan dirinya. Cuma kadang-kadang Intan pasti cemburu dengan Adura.
“Jangan jealous. I cuma fikir… macam mana nak halang perasaan Adura dekat I? Maksud I, untuk buat dia move on.”
Giliran Intan pula ketawa. “Are you kidding me, husband? Bukan senang tahu nak buat orang move on.”
“Why not? Belum cuba kita tak tahu.”
“Dengar sini, sayang. Berdasarkan cerita you dan pemerhatian I tentang Adura tempoh hari, I tak rasa senang untuk dia move on. Melalui pandangan matanya, hati dia terlalu sayangkan you. Bayangkan bertahun lamanya memendam perasaan takkanlah sesenang itu nak lupa. Mata dia… penuh dengan kesedihan,” jelas Intan, sayu.
Benar, dia cuba letakkan diri di tempat Adura. Memang bukan senang. Perkara ini dia pernah lalui hingga bertemu dengan Rafael dan ternyata hidupnya berubah serta-merta.
“Jadi, apa pandangan you?”
Intan menjongket bahu. “Mungkin dia perlu berkenalan dengan lelaki yang lebih baik dari you?”
“I akan cuba buat. Tapi… tengoklah macam mana. Lagipun, sejarah silam dia lagi sedih berbanding sekarang. Hanya I yang tahu.”
Tangan Intan diramas lembut. Intan angguk mengerti. Rahsia seseorang tidak semestinya kita ambil tahu walaupun dari seorang suami. Biarlah kekal rahsia buat sementara. Intan maniskan bibir.
“Siapa lelaki bertuah yang akan you kenenkan?”
“You kenal. Harap-haraplah dia terima.”
“Jangan cakap lelaki itu…”
Intan tekup mulut.
“Tak ada orang lain, memang dia pun,” sambung Rafael dengan ketawa kecil.
“Ah, you memang nakal!” Lengan Rafael ditampar lembut sebelum peluk. Tak menyesal dia mengenali Rafael. Padanlah kalau Adura tersangkut pada suaminya. Intan senyum. Tidak sabar rasanya menanti lelaki itu pulang ke Malaysia. Pasti terkejut sampai terduduk.
No comments:
Post a Comment