Wednesday, December 25, 2019

Gadis Penggubah Coklat , Siri: My Little Gina [Cerpen]




Sudah tiga hari Nura memerhati lelaki tua berbangsa Cina berkeliaran di luar kedai. tepat jam 12, perginya pula sebelum subuh. Kali ini Nura tidak mengenali empunya susuk itu. Hendak menegur bimbang juga lelaki itu terperanjat. Wajah tua itu kelihatan keruh dan tidak bermaya. Melihatkan pakaian yang dipakai seperti orang-orang kaya. Hendak meminta derma? Jauh sekali jika meminta di sini. Malam-malam pula. Di sini memang sudah sedia maklum tak akan ada seorang pun berjalan-jalan di kaki lima. Cuma ada kereta sahaja lalu-lalang itupun tidak kerap. Sekadar untuk kecemasan.
Keadaan kedai hari ini agak berserabut. Semalam dia didatangi oleh pelanggan yang tidak siuman. Memberontak saja kerjanya. Itu tidak kena, buat ini salah. Sudahnya, habis dirosakkan bunga segar yang baru dipetik. Mujur saja bunga itu ditanam di belakang kedai. Boleh dipetik bila-bila masa sahaja. Cuma agak remeh.
 Pintu kedai berbunyi dan Nura segera berpaling. Berkerut-kerut dahinya melihat gerangan yang hadir.
“Apek nak apa datang sini? Sini bukan tempat kamu.”
Wajah apek tadi  murung saja seperti ingin suarakan sesuatu.
“Dia ada datang sini ke?”
“Siapa?”
“Dialah!”
Nura merengus. Penyapu dicampak ke atas lantai lalu mencerlung ke arah apek tadi. Air mata lelaki tua tadi menitis satu persatu sebelum berlalu keluar. Apek duduk di atas bangku di luar kedai bersama keluhan. Sesekali dia mengitari kawasan itu mencari ‘dia’ yang dinanti. Sudah hampir seminggu dia merindui wajah itu. Ada sesuatu yang ingin diberikan.
“Pak cik, kenapa sedih saja ni?”
Air mata lelaki tua itu semakin lebat. Tangan ditekup ke muka dan cuba untuk bertenang.
“Nama pak cik, Tan Chee Yoon. Boleh panggil pak cik, Pak Yoon. Sudah lama pak cik tunggu cucu pak cik, tapi tak datang-datang.”
Lelaki yang menegur Pak Yoon tadi mengambil langkah untuk diam. Belakang Pak Yoon digosok lembut cuba untuk tenangkan dia.
“Pak cik yakin dia akan datang ke sini, ada sesuatu yang nak diberikan pada dia.”
“Apa dia?”
Pak Yoon menyerahkan satu patung bersaiz besar lengannya kepada lelaki itu. Lelaki itu menyambut dengan senang hati. Patung bayi bermata bulat, sebelah mata bagaikan dikorek hingga meninggalkan lubang yang agak besar. Lelaki itu tertelan liur.
“Pak cik kena pergi. Sudah lama pak cik di sini. Sudah tiba masanya. Tadi pak cik cuba minta tolong tapi perempuan dalam kedai tadi terlalu menakutkan. Dia marah-marah.”
Lelaki di sebelah Pak Yoon senyum. Tangannya yang bersarung dengan sarung tangan itu memegang kemas patung bayi.
“Siapa nama cucu pak cik?”
“Gina.”

* * *

Bingit! Nura menekup kemas telinganya dan mencerlung ke arah pintu kedai. Si tua sudah tiada sekarang berganti pula dengan budak kecil yang menangis tiada henti. Tiga jam kanak-kanak tadi menangis tanpa henti. Kedainya juga tiada pelanggan buat beberapa hari. Selalunya dia tidak menang tangan. Gara-gara tangisan tanpa henti ini, kedainya langsung tiada yang sudi singgah.
Nura merengus. Nafas dihela berkali-kali dan cuba untuk bertenang. Mata dipejam bersama bibir terukir senyum. Dia sudah berjaya bertenang. Lama-kelamaan tangisan itu bagaikan muzik yang membelai halwa telinga. Ia bagaikan muzik latar yang membantu Nura mengenalpasti situasi yang berlaku.
Mata Nura terbeliak lalu menolak pintu kedai. Kanak-kanak perempuan berbaju putih susu terus diam dari tangisnya, berwajah pucat seperti dalam kesejukan. Di kiri dan kanannya diapit lelaki juga wanita, barangkali ibu bapa kanak-kanak tadi. Kesemua mereka dalam keadaan basah. Tidak perlu lagi meneka, Nura sudah tahu status mereka.
“Silakan masuk.”
Mereka bertiga masuk dan pintu terus terkatup menghasilkan bunyi loceng yang begitu nyaring. Kanak-kanak tadi kembali meraung membuatkan Nura tersenyum. Ibu dan bapa kanak-kanak tadi hanya berlagak pegun tanpa bicara.
Nura mengambil sesuatu di bahagian kaunter.
“Gina?”
Kanak-kanak tadi terdiam. Anak patung dengan mata berlubang sebelah digubah cantik bersama sejambak coklat dan bunga. Terkoyak bibirnya menyengih dapat sesuatu yang dia inginkan.
“Datuk awak, Tan Sri Tan Chee Yoon serahkan ini.”
“Datuk mana?”
Nura senyum.
“Dia sudah pergi jauh dari Malaysia. Cuba untuk teruskan hidup tanpa cucu kesayangan.”
Gina menunduk tersedu lalu ditarik rapat gubahan tadi ke dada lalu dipeluk kemas.
“Gina bakal merindui datuk.”
Pintu belakang dibuka luas menyebabkan angin malam berlumba-lumba masuk. Kesejukan tidak terasa malah menyamankan.
“Selamat tinggal.”
Lelaki yang berada di luar kedai hanya mampu terdiam. Dia baru sahaja tiba dan situasi yang dilihat sangat merunsingkan. Sampai bila harus begini? Dia menyeluk tangan ke dalam saku seluar sebelum mengatur langkah berlalu dari situ. Tapi dia bersyukur, sekurang-kurangnya tiada lagi bunyi tangisan yang menakutkan orang-orang di sini. Ini bermakna, Nura sudah berjaya menemui Gina dan menyerahkan hak yang sepatutnya.



No comments:

Post a Comment