Friday, October 16, 2020

Kuntum Kasturi - Bahagian 1

 


SEKEPING poster seorang artis lelaki dilekatkan pada dinding bilik berhampiran dengan meja belajar. Kuntum tersenyum puas. Siku diletakkan di atas meja lalu menongkat pipi sambil memandang poster yang ditampal. Senyumnya semakin melebar hingga hampir tertutup mata yang sedia sepet. Lesung pipit sebelah kanan dan kiri menambahkan lagi kecomelan Kuntum.

"I love you, Carl. Bilalah aku dapat jumpa kau. Nama je satu kolej tapi tak pernah bersemuka. Sibuk sangatkah dia? Hmm…"

Sebuah buku lukisan bersaiz A5 dikeluarkan dari laci meja dan mula membuka halaman kosong. Jika hendak dikira, sudah hampir empat buah buku lukisannya berganti sepanjang dia berada di kolej. Bukan untuk tujuan kerja tetapi melunaskan hobi.

Berbeza pula dengan Kasturi, gadis itu agak kasar perwatakannya dan lebih suka mendaki bukit sebagai hobi. 

Kuntum memulakan lakaran. Bahagian rambut dilakar dengan penuh seni. Tangannya bergerak pantas dalam kelembutan. Bibirnya terukir manis bersama lenturan jemari namun pergerakan Kuntum terhenti pada bentuk wajah. Berkerut-kerut dahi Kuntum cuba membayangkan wajah Carl. Sesekali wajah Carl yang berada dalam poster dipandang tapi tetap juga tidak mampu menghasilkan lukisan itu dengan sempurna.

Kepalanya berasa berdenyut. Hobinya kadang-kadang boleh membuatkan dia tertekan. Kuntum membiarkan lukisan itu tanpa menyempurnakannya. Sekali lagi dia gagal melukis bentuk wajah Carl. Boleh dikatakan setiap kali dia cuba melakar wajah Carl, lukisan itu akan berhenti sekerat jalan. 

Muk yang disusun atas para diambil dan dilap sedikit sebelum menuang kopi dan gula ke dalamnya. Air panas yang dimasak sebelum melekatkan poster tadi dituang ke dalam muk. Stres perlu diubati dengan kopi. Itulah, Kuntum. Kopi dan Kuntum berpisah tiada. 

"Melukis?"

Suara yang menyapa di belakang membuka mata Kuntum sedari tadi terpejam dek aroma kopi yang memukau. Muk diletakkan di atas meja dengan berhati-hati. Kuntum menoleh ke belakang sementara lengan direhatkan pada belakang kerusi.

"Tak jadi."

"Kenapa? Ini mesti kau dah tak suka dia kan?" sinis gadis itu.

"Kau diamlah Kasturi! Aku tak fahamlah kenapa kita perlu disatukan dalam satu bilik yang sama. Tak cukup jumpa kau kat rumah, kat sini pun nak kena hadap lagi."

Kasturi yang baru selesai mandi mencampakkan tuala basah ke arah Kuntum. Terjerit kecil Kuntum, terkejut dengan balingan tadi. Mata sepet dijegil ke arah Kasturi yang sudah tersengih sinis.

"Kau ingat aku nak sangat sebilik dengan kau? Poster sana sini sudah serupa apa. Entah apa yang kau syok sangat dengan mamat jambu ni. Acah-acah Korea. Gelilah!"

Kuntum menolak kerusi dan berdepan dengan Kasturi. Turun naik dadanya menahan marah.

"Kau boleh kutuk aku tapi jangan nak kutuk Carl! Kasturi, kita datang sini dah berjanji dengan ayah dan ibu tau? Aku tak nak bergaduh tapi kau tak habis-habis nak mengapikan aku. Kalau kau tak suka, diam. Aku pun tak mengatalah hobi kau yang suka panjat bukit dan membazir masa itu.”

"Dasar Ketum yang tak cukup zat! Siapa yang nak bergaduh dengan kau? Kau tahu tak sekarang ini kau sedang mengutuk hobi aku? Aku doakan kau hilang minat dekat Carl. Tenang hidup aku. Tak payah hadap poster mamat jambu air. Yek!"

Maka bermulalah episod perang mulut edisi entah ke berapa. Sementara di Kampung Che Mek Molek, Megat Adam dan Citanarisa terus gusar. Gelisah jika tidak dapat melihat kembar mereka di depan mata. Masih bergaduh lagikah mereka? Jika ini persoalannya, maka benarlah telahan mereka berdua bahawa si kembar masih meneruskan edisi perang.

Patutkah mereka menghantar ibu saudara si kembar merangkap adik Megat Adam untuk menjadi pemerhati sepenuh masa? Di rumah, pastinya Megat Adam sedang mengusap dagu memikirkan cara untuk satukan jiwa dua beradik yang tidak serupa adik-beradik. 

 

* * *

 

 "CARL! Ahhhhhh! I love you, Carl!" 

Begitulah hiruk-pikuk suasana di hadapan Dewan Suara Cinta di kolej. Masing-masing terjerit memanggil artis kesayangan mereka. Waktu beginilah mereka ingin melihat wajah penyanyi itu. Lelaki yang susah dijumpai di kawasan kolej mereka, jika terserempak sekalipun mereka tidak dibenarkan terlalu jakun dan memekak sesuka hati. Sungguhpun begitu, mereka masih boleh melihat ketampanan Carl dan sikap profesional lekaki itu dalam bilik kuliah mahupun kelas tutorial. 

Carl, merupakan seorang penyanyi lelaki kegemaran Kuntum. Sememangnya dia tidak akan lepaskan peluang ini untuk menonton persembahan Carl secara langsung di pentas anjurna pihak kolej. Khabarnya, bayaran Carl tidak terlalu mahal memandangkan ini merupakan kolej di mana dia belajar. Terliuk-lentok tubuh Kuntum dan para penonton mendengar kemerduan suara Carl. Lembut dan lunak. 

Mahasiswa yang menjaga bahagian pengurusan dan bilik audio hanya mampu menggeleng melihat sebilangan mahasiswi yang meminati Carl. Gadis mana yang mampu menolak ketampanan dan kelembutan Carl dalam berbahasa? Boleh dikatakan hampir kesemua mahasiswi kolej berada di dalam dewan ini.

Lagu Cinta Monyet dan Kancil kini hangat berputaran di radio-radio tempatan. Nama Carl juga semakin meningkat dan sering menjadi sebutan meskipun tidak mampu berlawan dengan artis BBNU (budak-budak baru nak up) yang lain.

Bagi orang yang meminati Carl, lagu ini sangat menarik namun tidak bagi mereka seperti Kasturi. Kisah Kasturi kita cerita sekejap lagi, sekarang ini cereka Kuntum Haneesa. Gadis lemah-lembut yang juga diminati oleh ramai mahasiswa.

Kuntum yang berada di barisan paling depan sudah cair dengan senyuman Carl. Sesekali lelaki itu memandang dan mengenyitkan mata ke arahnya. Hampir saja Kuntum terkulai ke bawah kerusi namun sempat dia berpaut pada besi pemegang. Fuh!

Tepukan gemuruh dihadiahi penonton sebaik sahaja Carl menghabiskan lagu keduanya. 

"Wow! You nampak terlalu meminati Carl. Kamu berdua ada apa-apa hubungan ke?" tegur seorang lelaki yang baru duduk di sebelah Kuntum. 

Kuntum pandang sekilas lalu mengangguk dan menggeleng. Lelaki itu tampak terkejut.

"Jadi betullah, kamu berdua ada hubungan?"

"Mana ada!"

"Habis tu, yang awak angguk tadi tu apa?"

"Ya, saya sangat minati Carl dalam masa yang sama kami tak ada hubungan pun. Saya pun Carl tak kenal. Apatah lagi nak ada hubungan. Mengarut!" balas Kuntum lantas tertawa kecil.

"Oh, begitu. Nak berkenalan dengan dia tak?"

Serta-merta mata Kuntum membulat dan bercahaya.

"Boleh?"



**karya ini adalah hak cipta terpelihara. Anda dilarang menyalin balik dan mencetak untuk kepentingan diri tanpa kebenaran penulis.


No comments:

Post a Comment