Monday, February 9, 2015

Pemilik Hati Abang Surau [bab 8]




8


BAJU keselamatan berwarna oren dicapai. Mulutnya terkumat-kamit merungut. Tak ada hati pula ingin meneruskan aktiviti berkayak. Zafira menjeling tajam pada Faheem Hidayat. Lelaki itu nampak begitu selamba.
      Stor di mana menempatkan pendayung diserbu.
      “Pastikan saiz pendayung tu sekurang-kurangnya mengikut ketinggian sendiri. Ini mengelakkan daripada tangan kamu tu lenguh nak mendayung sebab pendayung terlalu panjang. Tapi, kalau nak yang panjang pun tak kisah. Diri sendiri yang tanggung,” terang Faheem Hidayat sambil memandang sinis pada pasangannya.
      Msaing-masing sudah terlopong lalu mengangguk. Maka berlakulah perebutan antara mereka. Fauzan menggaru kepala melihat junior mereka. Bahu Faheem Hidayat dicuit. Faheem keluh.
      Melihatkan Zafira yang terkial-kial itu, Faheem Hidayat segera mendekat. Tanpa memandang, pendayung yang berada dalam tangannya diserahkan pada gadis itu. Zafira senyum simpul.
      “Terima kasih!” Faheem memekakkan telinga.
      ‘Ceh, nak tolong orang pun ego. Dasar mamat cempedak!’
      Sinis.
      “Cepat berkumpul! Kalau lambat-lambat nanti panas. Kamu semua nak berjemur ke?” Tersentak dengan suara Faheem itu, semua buru-buru mencapai kayak dan perlahan-lahan meletakkannya ke dalam tasik.
      “Okey, seeloknya perempuan berada di depan sebab tenaga orang yang mendayung bahagian belakang perlu kuat. Tambah-tambah lagi jika hendak buta u-turn. Pendayung belakang perlu menahan arus air.”
      Jurulatih di situ sudah memberi taklimat. Cara untuk membelok ke kiri dan ke kanan diajar. Semua diam kemudian angguk. Jurulatih yang dikenal sebagai Abang Mat tepuk tangan. “Baik! Kamu semua dah sedia?”
      “Dah, tuan!” seloroh satu suara. Abang Mat sengih.
      “Oh ya, jangan terkejut kalau ada satu pasangan nanti bakal ditolak jatuh ke dalam tasik. Kenapa? Kita akan belajar satu teknik rescue,” terang Abang Mat. Semua pakat terlopong. Berdebar-debar. Mereka tidak mahu menjadi pasangan terpilih.
      Faheem Hidayat senyum memandang Zafira. Zafira sudah tidak tentu arah. Pandangan lelaki itu sangat sukar difahami. ‘Sudah…’ Dia redha saja.


GELAS yang dipegang tiba-tiba terlucut. Berderai bunyi kaca menyentuh lantai. Tengku Rahimah mengurut dada perlahan. Jantungnya berdebar. Kepalanya digeleng perlahan.
      Senyum kelat.
      ‘Tak ada apa-apa kut. Aku yang penat sangat.” Tengku Rahimah cuba menyedapkan hatinya. Namun, hatinya tetap bimbang. Apakah sesuatu terjadi? Zafira…


FAHEEM Hidayat merengus kuat. Hatinya geram apabila terpaksa berpasangan dengan gadis itu. Ternyata Zafira langsung tidak mendengar apa yang diajar oleh Abang Mat. Pendayung Zafira sengaja dilanggar menggunakan pendayungnya.
      Pak! Zafira terkejut.
      “Kau ni betul-betul nak masuk kelab ni ke tidak?” tanya Faheem tidak berpuas hati.
      “Naklah!”
      Faheem menghela nafas. “Okey, now tell me. Kau nak pergi mana ni?” Zafira menghalakan telunjukkan ke kanan. “So,kita kena kayuh belah mana?”
      Kepala digaru. Lupa. Semasa Abang Mat memberi taklimat dia ralit memandang Faheem. “Ka.. kanan?” jawab Zafira sedikit gagap.
      Zafira terjerit kecil apabila percikan air yang dilakukan Faheem memercik kuat pada mukanya.
      ‘Salah ke?’
      “Memang salah!”
      ‘Eh? Dia boleh faham ke apa yang aku cakap?’ Terkedu.
      “Tak payah nak bermonolog sangat. Kau tidur kea pa semasa Abang Mat bagi taklimat tadi, hah?”
      Geleng.
      Penat sungguh Faheem ingin melayan kerenah Zafira. “Dear, berkayak ni bukanlah susah sangat. Kalau kita nak ke kanan, kayuh benda alah ni ke kiri. Kalau nak ke kiri, kayuh belah kanan. Senang cerita, kayuh bahagian yang berlawanan. Faham?” Lembut saja penerangan Faheem.
      Zafira angguk dengan senyuman dibibir. Jarang sekali Faheem Hidayat bertutur lembut. “Okey, sekarang kayuh ke depan. Aku kat belakang kena follow pergerakan orang depan.”
      “Baik.” Kali ni, Zafira mengayuh menghampiri Abang Mat dan Sofea. Teringat pula Zafira mimik muka Sofea apabila terpaksa berganding dengan Abang Mat. Jelas dan nyata Sofea tidak sukakannya. Yalah, Abang Mat tidak hensem seperti ahli Kelab Rekreasi.
      Mata Fahem bertembung dengan Abang Mat. Senyuman dilontarkan pada Abang Mat. Abang Mat seolah-olah mengerti lantas didekati pasangan Zafira dan Faheem. Dia membisikkan sesuatu pada Sofea. Kemudian, Sofea turut melemparkan senyuman penuh makna.
      Zafira pelik.
      ‘Sejak bila Abang Mat dan Sofea berbaik?’
      Tiba-tiba Zafira berasakan kayaknya bergoyang. Dia berpaling. Dilihat Faheem sengaja menggoyangkan kayak. “Janganlah goyang! Nanti jatuh,” marah Zafira. Namun, kayak itu semakin kuat bergoyang. Dengan pertolongan Abang Mat dan Sofea, akhirnya kayak mereka jatuh.
      Gedebush!
      “Yes!” sorak Sofea. Zafira meraup wajahnya berkali-kali. “Peah, kau…” Tanpa sedar tangannya sudah bergayut pada lengan  Faheem Hidayat. Mengekeh Sofea ketawa.
      Cermin mata hitam dan topi Faheem serahkan pada Sofea. Tersengih-sengih gadis itu menyambut.
      “Guys! Rescue!!” jerit Fauzan yang tidak jauh daripada mereka. Mendengar jeritan Fauzan, sekumpulan ahli bergerak menghampiri tempat kejadian.
      Faheem senyum sinis. Tangan Zafira yang bergayut cuba dileraikan. Zafira menggeleng-geleng kepala. “Jangan lep..” belum sempat Zafira menghabiskan ayatnya, Faheem sudah melepaskan pegangan Zafira.
      “Fauzan! Cepat, kumpulkan semua!” jerit Faheem.
      “Fira!” suara cemas Sofea mengejutkan Faheem. Kelihatan Zafira sudah terkapai-kapai dengan kepala separuh kelihatan melalui baju keselamatan. Faheem cemas. Tubuh Zafira dicapai. Sekali lagi Zafira bergayut tapi kali ini tangannya melingkar pada leher Faheem. Tergesa-gesa Zafira menghela nafas apabila Faheem bertindak menyelam masuk ke dalam tasik.
      Faheem mencapai tali yang sepatutnya diklip pada jaket keselamatan Zafira. Lelaki itu berkerut. ‘Putus?’ Dia timbul ke permukaan. Lengan Zafira ditarik menghampiri kayak Sofea.
      “Tolong pegang kawan kau kejap,” arah Faheem.
      Percikan air mengejutkan Faheem. Rupa-rupanya Fauzan sudah mendekatinya. “Apahal?” bisik Fauzan.
      “Nantilah.”
      Apabila semua sudah berkumpul, Abang Mat membuka mulut. “Teknik yang kita akan buat ialah H Rescue. Kenapa? Sebab formasi kita guna ni sama dengan bentuk H,” terang Abang Mat.
      Angguk. Cara menyelamat ditunjukkan oleh senior kelab. Menggigil-gigil Zafira sambil menanti mereka membuang air di dalam kayak. Penyelamat memegang setiap hujung kayaknya yang terbalik. Kayaknya dijongkang-jongket bagi mengeluarkan air.
      Lengan Zafira ditarik perlahan apabila kayak mereka diterbalikkan semula ke kedudukan asalnya. Bagi membantu keseimbangan bagi mereka berdua untuk menaiki kayaknya semula, kedua-dua kayak Abang Mat dan Fauzan menghimpit kayak mangsa di tengah-tengah.
      Usai sahaja Faheem berjaya naik ke dalam kayak, tangannya dihulurkan bagi membantu Zafira. Teragak-agak Zafira untuk menyambutnya. Walhal, ada caranya sendiri untuk masuk kembali ke dalam kayak. Kayak sebelah membantu dengan menghulurkan pendayung pada Faheem untuk berpegang. Ini bagi mengimbangkan kayak mereka.


FAHEEM hanya memandang belakang Zafira. Gadis itu langsung tidak mendayung. Dia mengeluh. Jelas kelihatan badan Zafira menggigil kuat. Tiba-tiba dia teringat tentang jaket keselamatan yang dipakai Zafira.
      “Kenapa tak pakai jaket tu betul-betul?” tanya Faheem dengan nada yang tinggi.
      “Hesh, dah pakai betul-betullah. Orang ikut apa yang Abang Mat cakap. Orang tak tidur pun!”
      Diam. Faheem mengerutkan dahi.
      “Kalau dah pakai betul-betul kenapa…”
      “Tak tahu!” balas Zafira tanpa sempat Faheem menghabiskan ayat. Faheem menggeleng kepala. Kayaknya dikayuh laju. Namun, dalam masa yang sama dia teringat tali itu seolah-olah sengaja diputuskan. Seperti menggunakan gunting.
      Tiba-tiba kayuhannya menjadi sedikit pantas. Faheem memandang ke depan lantas senyum. Gadis itu sudah mula menggerakkan kayak mereka. Mungkin sudah berjaya menenangkan diri.


BADANNYA ditegakkan kemudian menggeliat. Jarang sekali dia mengulang kaji dalam surau. Zafira senyum sendiri apabila mengingatkan perpustakaan yang penuh. Cepat-cepat dia berlalu ke surau. Waktu sebegini tidak ada orang sangat. Kalau ada sekalipun pasti mereka yang ingin menunaikan solat sunat.
      Tiba-tiba Zafira teringat akan buku nota berwarna ungu. Bukunya dikemaskan dan diletakkan ke tepi. Apabila tiada sesiapa berdekatan bakul suaru itu, Zafira terus mendekat. Bibirnya mengukir senyum. Buku itu sudah diambil. Kemudian matanya terpaku pada satu sampul berwarna biru gelap.
      “Kepada Cik Sheera Surau. Eh! Aku ke?” Zafira menghalakan telunjuk pada diri sendiri.
      Kepalanya digerakkan ke kiri dan kanan. Matanya mencari-cari kalau ada kelibat sesiapa yang meletakkan surat tersebut. Namun hampa. Surat tersebut dibawa masuk ke dalam surau bahagian perempuan. Zafira bersila di atas karpet. Sampul itu dikoyak lembut bagi mengelakkan sebarang bunyi dilakukan. Tiba-tiba anak kunci yang disangkut keychain berhuruf S jatuh atas ribanya.
      Zafira mengerutkan keningnya. Perlahan-lahan surat itu dibuka.
     
      Buat Adik Surau, terima kasih sebab sudi ambil dan simpankan buku ni. Eh, tak apa ke kalau Abang Surau panggil adik ni Adik Surau? Kalau tak boleh abang nak panggil juga. By the way, Abang Surau tak kisah pun Adik Surau buka buku tu. Lagipun, itu bukannya diari hati Abang Surau. Tapi, kalau Adik Surau tak kisah. Abang Surau ingin mengenal Adik Surau lebih lagi. Jadi, abang letakkan satu buku berkunci di dalam bakul tu.
      Abang Surau ada letakkan juga anak kunci dalam sampul Adik Surau. Andai kata Adik Surau tidak sudi. Tinggalkan anak kunci ini di dalam sampul surat yang berbeza. Sekali lagi, terima kasih! Ikhlas daripada Abang Surau.

      Tangan ditekupkan ke mulut. Tidak tahu bagaimana untuk melontarkan reaksi. Matanya berair teruja. Bibirnya mula menguntum senyum. Anak kunci dipandang. Setelah memastikan tiada orang di luar, Zafira terus menarik kakinya menghampiri bakul surau. Buku yang diberitahu Abang Surau benar-benar elok terletak di situ.
      Tanpa berlengah Zafira terus membawa masuk buku diari itu kembali ke dalam surau. Zafira cuba membuka kunci buku tersebut dan,
      Klik! Berjaya.
      Sebaik saja membuka helaian pertama, senyum Zafira melebar. Satu lukisan animasi kononnya Abang Surau sedang memberi salam.
      Kotak pensel dibuka lantas dicapai satu pen berdakwat. Buku comel jadi tulisan pun kena comel. Tulisan ‘Waalaikumussalam’ ditulis bersebelahan lukisan animasi.
      Helaian seterusnya dibelek. Pen dimainkan di ruang tersebut.
     
      Buat Abang Surau. Saya tak kisah pun kalau Abang Surau nak panggil Adik Surau sekalipun. Tak apa. Tak salah. Tak sangka pula Abang Surau nak berkenalan dengan Adik Surau. Lagipun, Adik Surau suka kita berhubung melalui buku ni. Kalau surat nanti senang orang nak buka kan? Insya Allah. Kita bertemu lagi dalam halaman seterusnya.

      Buku diari yang berwarna merah hati ditutup rapat dan dikunci. Buku itu dikembalikan ke dalam bakul di ruangan luar surau.
      Cepat-cepat Zafira mengemas barang-barangnya dan berlalu keluar. Tanpa sedar bibirnya menguntum senyum di sepanjang jalan.


BILIK kuliah yang bising itu membuatkan fikiran Faheem semakin bercelaru. Dia masih lagi terfikirkan kes tempoh hari.
      ‘Macam mana tali jaket tu boleh putus?’ Lengan ditongkatkan di atas pemegang kerusi dan jarinya dibawa ke bibir. Matanya tajam memandang ke depan. Dia berada dalam dunianya sendiri.
      Dia tidak salahkan Zafira sepenuhnya kerana dia sendiri nampak gadis itu memakai jaket mengikut arahan Abang Mat. Talinya elok saja. Tidak ada yang putus atau ada bekas tanda-tanda tali rosak.
      Pelipisnya diurut.
      “Hai, sayang!” Lengan Faheem dipaut mesra. Faheem terkejut. Dia menepis pautan Dayana.
      “Hesh, kau ni kenapa?”
      Faheem menepuk lengannya seolah-olah membuang habuk. Dayana mencebik.
      “Sayang ni kenapa? Tak sihat eh?”
      Tidak berjawab.
      “Attention, attention! Hari ni Puan Jue tak ada. Kelas ditangguhkan,” jerit rakan sekelasnya. Faheem senyum. Mujurlah. Dia memang tiada hati untuk meneruskan kelas hari tu.
      Beg sandangnya diambil kemudian berlalu keluar daripada bilik kuliah.

      Dayana bengang. “Sayang! Eey, Faheem!”

No comments:

Post a Comment