3
R
|
IUH rendah keadaan di dalam dewan ketika itu. Para pelajar dan
fasilitator kelihatan sibuk dengan aktiviti masing-masing. Wajah antara mereka
ditilik kemudian ketawa memecahi kesunyian dewan. Ketika itu hubungan
fasilitator dan pelajar baru ibarat kawan rapat. Permainan kali ini benar-benar
mengujakan. Cuma seorang saja yang masih kekok untuk ketawa. Semua yang berada
di situ sudah sedia maklum akan ketegasan Faheem tapi mereka langsung tidak menyangka
bahawa ketua fasi itu kelihatan kurang berminat dengan aktiviti tersebut.
Mencari ‘adik-beradik’ yang
terpisah. Itulah permainan pada orientasi terakhir itu. Kedengaran seperti
pelik tapi ia amat mengujakan semua. Aktiviti pertama kali diadakan itu
kelihatan menarik minat semua. Mereka diminta untuk mencari siswa mahupun siswi
yang mempunyai rupa paras yang hampir sama dengan fasilitator yang bertugas.
Tidak kiralah siswa siswi dipadankan dengan fasi lelaki mahupun perempuan.
Sekumpulan pelajar dari fakulti
Perkembangan Awal Kanak-kanak itu terlalu gamat. Bersungguh-sungguh mereka
mencari dan menilik satu persatu muka dalam ahli kumpulan mereka. Pijoe yang
melantik dirinya sendiri sebagai ketua mula memainkan peranan. Dagunya diusap
seolah-olah sedang berfikir.
“Weh, kau orang rasa…”
“Ahhaa… rasa apa?”
Pijoe masih cuba berteka-teki.
Perlahan-lahan matanya melirik ke arah Zafira yang sedang menanti jawapan
daripadanya. Melihatkan Pijoe yang memandang ke arah Zafira, mereka semua
berpakat perhatikannya membuatkan Zafira tidak senang duduk. Mukanya berasa
panas. ‘Apahal semua ni? Gulp!’ Zafira menelan liur. Tiba-tiba berasa seram.
“Sekarang kau orang rasa tak apa
yang aku rasa?” Anggukan salah seorang daripada mereka mendebarkan Zafira.
“Aku dapat rasakan,” balas Sofea.
“Err.. hey! Apa maksud kau orang ni?
Kenapa tengok aku macam tu? Jangan cakap yang muka aku ni sama dengan mana-mana
fasi kat sini.”
Petikan jari Pijoe tepat di depannya
membuatkan Zafira terkejut. “Hah! Itulah yang aku nak beritahu tadi. Kau orang
perasan kan? Kan, kan, kan?”
“Sebijik! Kau dengan fasi tu memang
adik beradik ke?”
“Hah! Fasi mana pula ni? Kau orang
ni jangan nak bergurau boleh tak!” Bengang sungguh Zafira. Kalau boleh dia
ingin mengelak daripada bergandingan dengan mana-mana ifasi. Dia sudah bosan
meraih popularit. Semenjak di bangku sekolah rendah lagi dia telah digandingkan
dengan ketua pengawas. Bukan saja digandingkan malah digosipkan. Cikgu-cikgunya
dulu yang beria-ia mengusik. Walhal dia langsung tidak mengerti apa-apa. Dia
baru darjah empat ketika itu. Zafira mengeluh.
“Abang AF!” ujar mereka semua
serentak benar-benar mengundang kejutan daripada Zafira. “What?!”
Suara Zafira yang kuat lagi nyaring
menarik perhatian fasi Fiya. Fiya yang perasan akan diskusi kumpulan mereka
mula mendekat. Masing-masing menutup mulut dengan tangan.
“Habislah kau Fira…”
“Senyap Pijoe! Aku sumbat mulut kau
dengan stoking baru kau tahu. Eey…” Berdekah-dekah Pijoe mentertawakan Zafira yang
semakin gugup. Fiya sudah pun tegak berdiri bersebelahan Pijoe.
“Gembiranya semua. Bagaimana, dah
jumpa ke?” Masing-masing menaikkan ibu jari lantas menunjukkannya ke arah
Zafira. Pap! Zafira menepuk dahinya sendiri. Matanya dibulatkan. Ini semua kerja
Pijoe, jika tidak pasti semuanya tidak perasan akan persamaan antaranya dan
Abang AF.
“Siapa? Fira?” soal Fiya.
“Tepat sekali tekaan tuan hamba. Di
sini patik mempersembahkan Tengku Zafira iaitu adik beradik terpisah abang AF,”
jawab Pijoe bersungguh-sungguh.
“Bu.. bukan! Ini semua salah faham.
Mana ada sama, cuba tengok!”
Cubaan Zafira untuk membela diri
membuatkan Fiya ketawa kuat. “Afiq! Sini kejap,” panggil Fiya. Melihatkan Afiq
Farhan yang semakin mendekat menghadiahkan debaran dalam diri Zafira. Penumbuk
ditunjukkan kepada Pijoe yang tersengih-sengih.
“Kenapa?”
“Wei, Fiq! Aku dah jumpa adik kau.
Kenapa tak beritahu awal-awal yang kau ada ‘adik’ kat kolej ni?”
Berkerut dahi Afiq Farhan. Adik?
“Mana adik aku?”
“Ini dia, Tengku Zafira ataupun nama
glamournya Fira,” terang Fiya seraya ketawa kecil. Afiq tersenyum sambil
menunduk mencari wajah Zafira.
“Oh… okey, jom!”
“Hah? Jo.. jom ke mana?”
“Jom ke depanlah. Abang AF nak
perkenalkan adik abang dekat semua orang hari ni.” Ajakan daripada Afiq
benar-benar merisaukan Zafira. ‘Aku tak nak popular!’ jerit hatinya. Zafira
mengeraskan badannya. Tidak mahu berganjak daripada kerusinya. Fiya yang
mengerti akan pandangan Afiq Farhan it uterus menarik tangan Zafira.
Kerana terpaksa akhirnya Zafira akur.
Selama mana dia berkeras akhirnya dia kalah di tangan fasi Fiya yang agak kuat.
Fiya yang terkenal dengan dengan gelaran taiko itu ternyata kuat. Gelaran itu
pun di dengar daripada kawan-kawannya yang sudah membuat kaji selidik tentang
latar belakang fasi. Sebagai ahli taekwando, gelaran itu sudah menjadi kebiasan
buat Fiya. Tambahan lagi dia benar-benar menggemari gelaran taiko.
Sekurang-kurangnya dia dapat menggerunkan pelajar-pelajar di kolej.
“Kak Fiya…” rengek Zafira. Dia
betul-betul malu. Namun Fiya mengendahkan rengekan Zafira. Bukannya buat apa
sangat. Setakat tunjukkan muka sudah memadai. Lagi pula sekadar hiburan bagi
menutup sesi orientasi pada tahun ni.
“Alaa, Fira. Sportinglah
sikit. Tengok tu, abang AF dah tak sabar-sabar nak jumpa adik baru,” ujar Fiya
lalu ketawa kecil.
Zafira sengih. Kelihatan Afiq Farhan
sudah pun bersedia menantinya di hadapan sambil tersengih. Seperti pengantin
lelaki yang menanti kehadiran penganti perempuan saja lagaknya. Akhirnya, dia
sudah statik di sebelah Afiq Farhan. Tersipu-sipu Zafira dibuatnya apabila Afiq
menaikkan ibu jari tangannya tanda berpuas hati. Kalau bukan kerana dipaksa dia
sendiri akan pergi jika ianya Afiq Farhan.
Senyuman Afiq Farhan yang tidak pernah
lengkang itu mencuit hati Zafira. ‘Comel macam aku.’ Tanpa disedari Zafira
turut melontarkan senyuman yang sama manis seperti Afiq. Sorakan yang kuat
datang daripada fakultinya membuatkan Zafira senyum sinis. Tidak salah rasanya
kalau dia membuat perangai gila di sini. Dia tidak mahu menjadi hipokrit.
Perangai sebenarnya akan ditonjolkan sepanjang dia berada di kolej ini.
Zafira yakin sorakan kuat pasti
datangnya daripada Pijoe. Memang sah! Melihat Pijoe dan Paan yang galak
mengenakannya. ‘Kurang asam gelugor mamat dua ekor ni.’ Akhirnya Zafira ada
idea. Tangannya dilambai ke arah Pijoe dan Paan lantas menghadiahkan kenyitan
mata. Terdiam terus mereka berdua. Puas hati Zafira. Barangkali mereka terkejut
dengan perbuatan Zafira. Pijoe dilihat tersipu-sipu sambil menggaru kepala
manakala Paan berdehem.
“Wow! You are so daring,
Fira.” Teguran Afiq mengejutkan Zafira yang sedari tadi senyum meraih
kemenangannya. “Well… this is me!” Afiq Farhan angguk kepala dan senyum.
Tepukan yang kuat mengejutkan
Zafira. Semua ‘adik-beradik’ terpisah sudah pun berdiri di hadapan dan Zafira
tidak terkecuali. Kiri dan kanan dipandang. Kelihatan seorang fasilitator ada
lebih daripada seorang adik. ‘Ramainya adik.’ Bibirnya digigit bagi
menghilangkan perasaan lucu.
“Baiklah. Akhirnya semua
adik-beradik terpisah akhirnya kembali bertemu. Berikan tepuka buat mereka.
Haish, tinggal saya seorang je yang tak terjumpa. Mungkin sebab dekat rumah
sudah lima orang adik sedang menanti abang dia balik,” seloroh pembantu fasi
yang dikenali sebagai Amir. Gelak tawa memenuhi ruang dewan. Mungkin lucu
dengan gurauan fasi Amir. Tapi riak wajah Amir jelas nampak sedikit sayu.
“Okey, kita nak mulakan daripada
siapa ya?”
“Abang Faheem Hidayat! Mulakan
dengan abang Faheem!” jerit salah seorang daripada pelajar perempuan dari
fakulti perniagaan. Naik menyampah Zafira mendengarnya. Kedengaran sangat
gedik. “Nampaknya majoriti menyebelahi abang ketua kita ya? Hehe…opss! Abang
Faheem Hidayat, maafkan saya.” Amir terus membetulkan kesilapannya apabila
Faheem menjelingnya.
“Nampaknya abang Faheem sangat
serasi dengan pelajar kita kali ni. Siapa ingat lagi siswi yang dipaksa memohon
maaf di depan dewan? Angkat tangan!”
“Maaf… depan dewan? Takkanlah…”
bisik Zafira lalu mengintai hujung sebelah kanannya. Ternganga Zafira
dibuatnya. Kelihatan Suhana yang sudah tersipu sambil menutup mukanya.
“Suhana!”
“Kenapa Fira?” tegur Afiq.
“Err… tak ada apa-apa.”
Tersengih-sengih Zafira memandang
Suhana yang sudah ‘terikat’ di sebelah Faheem. Faheem yang kelihatan selamba
itu menjengkelkan Zafira. “Boleh perkenalkan diri?” soal Amir.
“Nama saya Suhana binti Zamri
daripada fakulti Pengurusan Perniagaan,” ujar Suhana dengan sedikit malu.
“Kamu tahu tak abang Faheem kamu
daripada fakulti mana?” tanya Amir lagi membuatkan Suhana menggeleng.
“Nampaknya Suhana dan abang Faheem
berjodohlah ya? Sebenarnya Faheem Hidayat merupakan senior Pengurusan
Perniagaan.”
Kemudian kedengaran sorakan yang
begitu kuat daripada fakulti mereka. Mungkin mereka berasa kemenangan berpihak
pada mereka apabila ketua fasi menjadi senior mereka. Situasi sekarang
benar-benar meluat apabila siswi kebanyakannya kegedikan bersorak sedangkan
Faheem cuma berlagak selamba. Mikrofon yang berada di tangan Amir dirampas.
“Amboi… siapa cakap kalau sama fakulti kita orang berjodoh, siapa cakap?” soal
Faheem seraya mengukir senyum yang membuatkan siswi sekali lagi terkena
histeria.
“Siapa ya yang cakap? Hurmm… eh,
akulah! Haha. Okey, sekarang kita beralih kepada fasi Fiya kita. Fasi yang
digelar taiko. Adik tak takut ke?”
Gelengan daripada ‘adik’ Fiya
membuatkan semuanya ‘booo’ ke arahnya. “Bagus. Kau tak rasa pelik ke kenapa dia
tak takut dengan kau?”
“Apa yang peliknya, ini maknanya dia
memang adik aku. Kan?”
“Betul! Okey, adik perkenalkan
diri.”
“Saya Nur Imanina binti Azman
daripada fakulti Pengurusan Perniagaan.” Sejurus saja Imanina perkenalkan diri,
sekali lagi terdengar sorakan yang meriah daripada fakulti tersebut. Muka Amir
jelas nampak terkejut yang dibuat-buat. Zafira ketawa kecil. Melampau betul
muka terkejutnya. Afiq disebelahnya turut berjangkit. “Ehem! Tapi senior kamu
daripada fakulti Perkembangan Awal Kanak-kanak. Tak padan dengan ganas tapi nak
jadi cikgu.”
“Amir! Kau…” Fiya sudah berang.
“Err… baiklah, baiklah. Kita lupakan
si taiko tu. Sekarang kita beralih ke arah abang Akademi Fantasia. Abang AF!”
“Abang AF?” beberapa siswa dan siswi
mula berbisik sesame mereka. “Pembetulan, nama abang AF kita ialah Afiq Farhan
tapi gelarannya AF. Kau okey tak AF?”
Afiq menjongket bahu lantas menghala
ibu jarinya ke arah Zafira tanda memberi kebenaran untuk Amir meneruskan
pertanyaan. “Iyalah. Sekarang kita bertanya pada adik manis kita ni. Sejak tadi
lagi tersenyum-senyum, ni mesti dah sangkut dengan abang AF kan?”
“Kalau senyum maksudnya kita dah
tersangkut ke?” soalan maut Zafira buat Amir menggamatkan suasana dalam dewan. “Padan
muka kau Amir,” bisik Afiq dalam senyum.
“Err, baiklah. Nampaknya suasana
semakin panas. Apa kata adik AF perkenalkan diri.”
“Terima kasih abang Amir yang
budiman. Saya Tengku Sheera Zafira binti
Tengku Zaimin daripada fakulti…” Zafira menghalakan mikrofon ke arah
fakultinya.
“Perkembangan Awal Kanak-kanak!!”
jerit mereka membuatkan Zafira senyum bangga. “Yes! I’m from that
faculty.”
“Wohoo… siapa sangka adik AF juga
bakal pendidik. Bagus, bagus. Buat pengetahuan semua abang AF kamu merupakan
senior bagi fakulti Seni Reka dan Seni Lukis.”
“Aku dah agak, tengok stail abang AF
pun aku dah tahu. Kusut-kusut macam tu. Spesis yang tak mandi,” bisik Pijoe
sambil mengusap dagunya. Sofea yang mendengarnya lantas menjegilkan mata.
Kepala Pijoe dihempuk dengan gulungan kertas. “Aduh! Kau kenapa Peah?”
“Siapa Peah? Sesedap mulut kau aje
cakap abang AF spesis yang tak mandi,” marah Sofea.
“Eh, betullah! Cuba kau tengok
baik-baik. Rambut kusut dilitupi dengan topi dan bercermin mata. Haa, memang
ada gaya artistik.”
Sebaik saja mendengar keterangan
Pijoe, Sofea terus menatap penampilan Afiq. Ada benarnya juga apa yang
dikatakan Pijoe. Penampilan Abang AF memang ada gaya. Tiba-tiba dia berasa
cemburu dengan Zafira yang dapat berganding dengan Abang AF.
“Sama cantik sama padan. Macam mana
kita nak undi ya?” suara Amir kembali bergema.
“Based on faculty!” jerit
salah seorang daripada mereka. Amir menghayunkan telunjuknya ke kiri dan ke
kanan. Jika mengundi mengikut fakulti pasti fakulti Perniagaan akan menang. Dagunya
diusap buat kesekian kali.
Wajah fasi yang bertanding ditilik
satu persatu. Kebanyakan yang bertandingan daripada fakulti Pengurusan
Perniagaan, Pendidikan dan Seni. Ting! Mentol dalam mindanya akhirnya menyala.
“Baiklah, saya dah berbincang dengan fasi yang tidak bertanding. Kami
bersepakat akan menerima undian daripada fakulti yang tidak bertanding.
Bagaimana?”
“Saya setuju sangat!” jerit Pijoe
yang berpuas hati.
“Nampaknya sudah ada yang bersetuju.
Sekarang kami akan edarkan kertas undi. Wakil bagi setiap fakulti nanti akan
kutip. Pastikan anda jujur, okey? Jika saya dapati ada salah seorang daripada
fakulti yang bertanding menipu, semua antara kamu bakal di denda. Ada faham
semua?” terang Amir tegas.
Proses mengundi benar-benar
mendebarkan ‘adik-beradik’ yang bertanding. Tambahan pula, aktiviti kali ini
pertama kali dianjurkan oleh pihak fasilitator. Kertas-kertas undi sudah mula
dikutip dan dikumpul. Di belakang dewan mereka mula mengira undi. Sambil
menanti keputusan undian, ada yang sukarela untuk membuat persembahan. Dalam
masa yang sama Zafira berasa gelisah.
Dia bukan gelisah kerana Pijoe yang
sukarela untuk membuat persembahan, tapi lirikan mata Pijoe yang nakal itu
membuatkan Zafira berdebar. Akhirnya…
“Di sini saya menjemput penyanyi
daripada fakulti kami iaitu Tengku Zafira. Yeahh! Berikan tepukan buat Fira.”
Penumbuk kecil ditunjukkan kepada Pijoe yang masih tersengih seperti kerang
busuk.
“Pergilah… abang nak dengar juga
suara merdu adik abang ni,” pinta Afiq yang sedikit berbisik mengejutkan
Zafira. Ibarat ada sesuatu merasuk dirinya, Zafira akur. Entah kenapa dia
berasa senang dengan Afiq.
Laju saja Zafira merampas mikrofon
yang berada di tangan Pijoe. “Alaa… abang pujuk baru nak nyanyi.” Perkataan
‘abang’ itu sengaja ditekankan oleh Pijoe sambil tersengih.
“Kau memang nak kena dengan aku
kan?”
“Tak nak! Aku nak main gitar ni,
cepatlah. Are you ready?” Zafira menghela nafas kemudian mengangguk.
Pilihan lagu sudah mereka bincang. Lagu nasyid yang pernah di dipopularkan oleh
kumpulan in-Team menjadi pilihan. Akrab persahabatan, lagu yang amat kena
dengan suasana sekarang.
Kepala Suhana turut bergerak ke kiri
dan ke kanan bagi mengikuti alunan dan rentak lagu. Faheem Hidayat yang berada
di sebelahnya langsung tidak dipedulikan. Dahulu memang ya, dia takut akan
ketua fasi itu. Tapi sekarang rasanya tiada sebab untuk dia takut. Faheem
dilihat ralit memandang Zafira sambil menghayati lagu. ‘Pandai juga rupanya
melayan lagu.’ Tergeleng kepala Suhana dengan sikap yang ditunjukkan Faheem
Hidayat.
DEBARAN mula kembali dalam diri mereka. Undian sudah dikira dan majoriti
benar-benar berpihak pada satu pihak.
“Juaranya adalah… Tengku Sheera
Zafira daripada fakulti Perkembangan Awal Kanak-kanak dan abangnya Tengku Afiq
Farhan. Wahh! Nampaknya mereka benar-benar adik-beradik. Tengok! Nama mereka
pun sama ada tengku dan ber…”
“Cayalah Fira!” jerit Pijoe dan
Paan. Tanpa segan silu Zafira melambai-lambai tangannya ibarat seorang puteri.
Sofea mencebik. Cemburu dengan kemenangan Zafira meskipun mereka dalam fakulti
yang sama. Namun, dengan kemenangan Zafira mereka berjaya meraih kupon yang
perlu dikumpul untuk membolehkan mereka menetap di rumah yang disediakan oleh
pihak kolej.
Jauh di satu sudut ada yang ralit
perhatikannya. Satu senyuman dihadiahkan pada gadis itu dan ternyata Zafira
membalasnya dengan manis hingga menampakkan lesung pipit yang terletak elok di
bawah bibir sebelah kanan.
Best sgt . ada sambungan tak ? kalau takda please buat sambungan . hehe
ReplyDelete