Saturday, February 7, 2015

Pemilik Hati Abang Surau [bab 4]




4

W
AJAH comel milik Zafira dipandang lama. Gelagat gadis itu benar-benar mencuit hatinya. Tanpa sedar dia tersenyum sendiri. Benar-benar princess seperti yang dikatakan rakan-rakannya. Dia menunduk. Lelaki disebelahnya dipandang. Ternyata lelaki itu juga sepertinya. Matanya terpaku memandang orang yang sama. Sebaik saja Zafira memandangnya dia terus melemparkan senyum dan dia tidak menyangka bahawa Zafira membalas senyumnya. Manis. Lesung pipit milik gadis itu membuatkan hatinya terusik.


“FIRA! Tahniah sebab kau menang tadi. Memang muka kau dengan Abang AF tadi seiras sangat. Orang cakap kalau muka kita seiras maknanya ada jodoh,” terang Suhana bersungguh-sungguh membuahkan tawa daripada Zafira.
            Pap! Lengan Suhana yang sedikit berisi ditampar kuat membuatkan gadis itu mengaduh. “Sakit… kenapa tampar aku?”
            “Kau tu yang merapu meraban tak tentu pasal. Padahal kau nak suruh aku cakap yang kau dengan Faheem Hidayat tu serasi kan? Tak payah nak belit-belit buat cerita pasal aku dengan Abang AF lah. Otak kau tu memang senang dibaca.”
            Muka Suhana membahang. Malu. “Betulkah cara aku ni mudah nak baca? Dulu pun kawan aku cakap macam tu.”
            Zafira angguk.
            “Arghh… malu! Aku takut Faheem tu perasan aku suka kat dia. Apa aku nak buat ni, Fira?”
            “Buat bodoh.” Kali ini lengan Zafira pula ditampar.
            “Ouch!” Suhana di sebelah dikerling. “Seriuslah Fira. Aku tanya betul-betul ni.”
            “Aku seriuslah ni. Kau buat bodoh je nanti tak adalah nampak sangat kau suka dekat dia. Sekarang satu aje yang aku musykil.”
            “Apa dia?”
            “Jangan cakap sekarang ni kau housemate aku!”
            “Haha. Kau buat lawak ke Fira? Kau tengok barang aku penuh dalam rumah ni dan kau tak nak aku beritahu yang kita ni satu rumah? Okey, aku tak akan cakap,” ujar Suhana lalu tersengih.
            “Matilah aku…”
            “Hoi! Sampai hati kau,” kata Suhana dalam separa merajuk. “Alaa, aku gurau aje. Tapi selama orientasi kau tidur kat mana?” tanya Zafira sedikit pelik.
            “Oh, sebenarnya hari tu aku tumpang bilik kawan dekat bawah. Mujur dia orang tak buat pemeriksaan kalau tak nahas aku.”
            “Padanlah aku tak pernah nampak roommate aku. Ingatkan semua boikot tak nak sebilik dengan aku. Rupa-rupanya sebilik dengan budak ni.”
            “Hey! Apa yang kau maksudkan dengan budak?”
            “Wekk… kau budak!” usik Zafira.
            “Kaulah! Masa kau duduk dengan Abang AF jelas dan nyata kau budak-budak. Haha.”
            “Itu bukannya sebab aku yang budak tapi Abang AF tu yang terlebih tua, tahu tak?” balas Zafira tidak mahu kalah.
            “Tapi kami rasa dua-dua mcam budak kecil.” Suara yang tiba-tiba menyampuk perbualan antara mereka itu mengejutkan Zafira dan Suhana. Masing-masing menelan liur dan berpaling. Kelihatan dua orang gadis yang mungkin sebaya mereka berdua tegak berdiri di depan pintu rumah.
            Suhana mula mencapai lengan Zafira tapi Zafira menepisnya. Dia juga takut. Kewujudan dua orang itu memeranjatkannya. ‘Adakah mereka berdua manusia?’ fikir Zafira lantas membaca Ayatul Kursi. Tanpa mempedulikan goncangan di lengannya, Zafira meneruskan bacaan. Tidak lama kemudian kedengaran suara Suhana ketawa kecil.
            ‘Ya Allah, takkanlah selama ni aku bercakap dengan entiti.’ Menggigil-gigil badannya ketika itu. Seram sejuk.
            “Fira! Hey, bukalah mata tu. Apa yang ditakutkan sangat ni?”
            “Suha?”
            “Iya. Ini memang aku. Kau ni dah kenapa?”
            “Tadi… ada dua orang tegur. Lepas tu ak… aku dengar kau ketawa.” Suhana ketawa lagi. “Memang tak salah apa yang kau dengar. Kita orang ni manusia. Cuba tengok betul-betul. Nak sentuh pun boleh.”
            Perlahan-lahan Zafira mencubit kuat pipi Suhana hinggakan gadis itu mengaduh nyaring. “Kau memang Suha!” Ketawa Zafira mula kedengaran. Suhana mencebik.
            “Dia memang Suhana. Saya Syazwanie tapi boleh panggil Wanie dan yang sebelah ni nama dia Iqa. Oh, ya! Maaflah terperanjat kamu tadi. Sebenarnya kita semua ni satu rumah,” tersengih Wanie menerangkan keadaan. Teringat pula riak terkejut yang ditunjukkan Zafira sebentar tadi. Hendak ketawa tapi kadang-kadang berasa kasihan.
            “Dan kita orang tak sangka yang kami serumah dengan budak famous masa orientasi,” sambung Iqa selamba disambut dengan gelak tawa. Pertemuan rasmi antara mereka selepas minggu orientasi membuatkan masing-masing tidak berhenti berbual. Aktiviti ketika minggu orientasi menjadi bahan bualan. Sesungguhnya ramai yang tidak berpuas hati apabila jadual ketat yang disusun oleh pihak fasilitator hinggakan mereka tidak sempat untuk bersua kenal.
            Meja yang tersedia di ruang tamu menjadi tempat mereka melepak. Pelbagai soalan diajukan antara mereka. Kebiasaan bagi mereka yang pertama kali berjumpa pasti ada banyak perkara yang ingin diberitahu dan pesan. Bunyi deringan telefon yang sayup kedengaran sedikit mengganggu sesi perbualan mereka. Tanpa berlengah Zafira cepat-cepat berlalu daripada mereka semua. Skrin telefon bimbitnya dipandang seketika.
            Nenda?
            Tanpa berlengah Zafira terus menjawab, “helo nenda!”
            “Hmm… assalamualaikum cucu nenda,” perli Tengku Rahimah membuatkan Zafira tersengih-sengih meskipun nendanya tidak dapat melihatnya.
            “Waalaikumussalam nenda! Nenda dan adik-adik sihat?”
            “Alhamdulillah, nenda dan adik-adik kamu sihat. Kamu macam mana, minggu orientasi dah tamat kan?”
            Zafira menghenyakkan punggungnya di atas sofa berdekatan dengan tv. “Macam nilah nenda. Orientasi baru aje tamat tengah hari tadi. Penat! Fira tak sukakan orientasi,” adu Zafira membuatkan Tengku Rahimah ketawa kecil.
            “Bukankah kamu suka majlis yang ramai rakan sebaya macam tu. Eloklah, kena dengan kamu.”
            “Hish, nenda ni saja je kan? Fira sukakan majlis yang suka-suka bukannya paksa-paksa.”
            “Jadi macam mana?”
            “Macam mana, apa?” kedengaran keluhan Tengku Rahimah apabila Zafira kembali menyoal. “Maksud nenda, kamu dah jumpa dia?”
            Kepalanya dihempuk perlahan. Zafira menggigit jari. Sebenarnya dia terlupa tujuan asal dia mendaftar masuk ke kolej itu. “Err… belum nenda. Tak sempatlah, lagipun ramai sangat. Fira tak berapa pasti. Tapi nenda jangan risau sebab Fira akan cuba cari dia,” janji Fira. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Diakah?
            “Jangan lambat-lambat sebab nenda risau nanti kamu terlepas pula.”
            “Iya. Nanti Fira usahakan. Nenda usahlah risau sangat. Fira akan pastikan sampai masa nanti Fira sendiri heret dia jumpa dengan nenda. Haa…”
            Jawapan daripada Zafira membuatkan Tengku Rahimah ketawa. “Hesh, ada ke patut nak heret dia. Kuat sangat ke kamu tu? Buatnya badan dia sebesar adik kamu.”
            “Haha. Nenda ni… tak mungkinlah badan dia macam Boboi! Okeylah nenda, nanti malam kita berbual lagi ya? Sekarang ni Fira ada kerja sikit, nak kena kemas barang-barang yang tertangguh.” Zafira cuba menghentikan perbualan apabila terpandangkan Suhana yang terkial-kial dengan barang-barangnya. Sementara Wanie dan Iqa bersiap-siap dengan peralatan mengemas rumah. Biasalah rumah yang sudah berbulan tidak berpenghuni pasti debu sana sini melainkan bilik mereka.
            Maklumlah, bilik tempat mereka tidur dan menukar pakaian jadi wajarlah kalau dibersihkan bilik terlebih dahulu.
            “Hmm… jaga diri elok-elok. Tak perlulah telefon nenda malam ni. Nenda malas dah nak dengar rungutan kamu tu. Kalau ada perkembangan tu tak apalah jugak.”
            “Amboi… sampai hati nenda. Sob... sobs…”
            “Sudahlah, jangan nak berlakon lagi. Pergilah kemas rumah, rajinkan diri dan jangan malas-malas.”
            “Baiklah nendaku sayang! Assalamualaikum.” Sebaik saja mematikan talian Zafira terus menghampiri Suhana. Semenjak daripada tadi lagi gadis itu terbongkok-bongkok mengangkat barang-barangnya masuk ke dalam bilik. Kasihan pula Zafira melihatnya. Meskipun gadis itu jenis kelam-kabut tapi dia yakin bahawa Suhana mampu menjadi seorang rakan yang baik.
            Terkial-kial Suhana mengangkat kotak yang sederhana besar. “Mari aku tolong kau,” pinta Zafira. Suhana senyum kecil. Sesungguhnya dia sangat berbesar hati untuk menerima pertolongan.
            “Thanks Fira! Oh ya, siapa call tadi? Boyfriend eh? Lama betul bergayut,” usik Suhana.
            “Hesh, mana ada! Tadi tu nenda aku. Dia risaukan aku sebab tak call dia. Tapi yang aku dengar cuma leteran dia.”
            “Kau memang rapat dengan nenda kau, kan?”
            “Rapat sangat!” balas Zafira kemudian menyambung, “… semenjak bonda dan ayah aku meninggal. Aku dan adik-adik cuma ada nenda.”
            Suhana memandang Zafira dengan perasaan sayu. Mungkin dia tidak berasal daripada keluarga yang kaya seperti Zafira tapi dia masih lagi ada ibu dan ayah. “Sorry… aku tak tahu.”
            Geleng. Wajah Suhana yang jelas simpati dengannya membuatkan Zafira serba salah.
            “Tak ada apa-apalah. Lagipun mereka dah lama tak ada jadi aku dah mula biasakan diri. Weh, Suha!”
            “Hah, kenapa?” Muka Suhana yang terkejut menggelikan hati Zafira. “Tak ada apalah cuma aku tertanya, apa yang kau isi dalam kotak-kotak ni semua? Boleh tumbuh otot tahu tak?”
            “Err… maaflah. Sebenarnya dalam kotak ni ada buku-buku dan nota yang senior punya. Senior tu dah tahun akhir jadi aku pun mintalah. Aku ingat nak beli je daripada dia tapi last-last dia kasi terus dekat aku. Aku pun apa lagi, rezeki jangan ditolak.” Tersengih-sengih Suhana menerangkannya.
            Zafira ternganga. “Biar betul? Macam mana kau kenal senior tu? Hebatlah kau.”
            “Entah aku pun tak kenal kakak senior tu. Aku saja tegur-tegur tak sangka pula dia kenal aku gara-gara kes tidur dalam dewan hari tu. Gila betul. Tak pasal-pasal aku jadi terkenal. So, alang-alang dia dah kenal aku apa lagi, terus tanya dia pasal buku dan nota ni semua. Kau tahu tak…”
            Belum sempat Zafira ingin membuka mulut, Suhana kembali menyambung. “… aku rasa aku memang hebat! Tak sia-sia tidur dalam dewan hari tu.”
            “Perasan!”
            Ketawa mereka berdua memecahi ruang bilik.


KUNCI motorsikal dicapai. Perasaan bosan melanda dirinya. Selalunya senior tahun akhir sepertinya tidak digalakkan menetap di kolej tapi disebabkan dia mempunyai jawatan yang agak tinggi pihak kolej membenarkan Faheem Hidayat dan sekumpulannya menghuni kolej tersebut.
            Dia tahu mungkin tidak adil bagi orang lain tapi dia berasa malas untuk mencari rumah sewa. Rumit. Begitu juga ahli kelabnya. Sengaja ditubuhkan kelab yang menawarkan aktiviti-aktiviti lasak dan dia tidak menyangka penubuhan kelab itu sangat memberansangkan. Topi keledar yang berada di atas almari diambil.
            “Faheem! Kau nak ke mana?” tegur Afiq.
            Faheem menggaru-garu kepalanya. “Nak keluar dating,” jawab Faheem tanpa berfikir. Terbuntang biji mata Afiq. Faheem Hidayat keluar date? Satu perkara yang tidak pernah di dengar daripada Faheem Hidayat.
            “Kau biar betul. Date dengan siapa? Jangan cakap yang kau nak keluar dengan budak baru. Siapa nama… haa, Suhana!”
            “Gila!”
            “Hmm, kalau bukan Suhana pasti adik aku. Kau suka adik aku?”
            Wajah Afiq ditenung pelik. “Adik? Sejak bila kau ada adik kat sini?”
            “Err, maksud aku Tengku Zafira. Alaa… kiranya dia adik akulah masa penutup orientasi tu,” tersengih saja Afiq membuatkan Faheem senyum senget.
            “Tak malu mengaku adik. Sudahlah Abang AF, aku nak keluar.”
            “Haa, tengok! Kau panggil aku Abang AF kau memang ada hati nak pikat adik aku. Cepat habaq,” usik Afiq.
            “Sudahlah! Kau memang saja kan? Aku nak keluar, kau nak kirim apa-apa tak?”
            “Coolblog! Cappuccino juice plus black pearl.” Tercengang Faheem mendengar permintaan Afiq. Gelagat macam budak-budak. “Yalah, dah tak ada benda lain ke kau nak pesan? Asyik coolblog aje. Dah macam kanak-kanak ribena aku tengok,” rungut Faheem.
            “Haha. Aku memang budak! Oh ya, pisang goreng panas sekali. Beli banyak sikit sebab housemates kita ni kan pelahap. Kau faham-faham sajalah.”
            Angguk Faheem. Sudah bertahun mereka tinggal dalam satu rumah dan semuanya sudah masak dengan perangai masing-masing. Padanlah badan semuanya semakin berisi dan dia juga tidak terkecuali. Pengaruh makan yang dibawa mereka benar-benar mempengaruhi Faheem.


“MAK CIK, pisang goreng tiga ringgit. Ermm, cempedak pun tiga ringgit,” pesan Zafira sambil menyedut minuman di tangan. Tubuhnya digoyang ke kiri dan kanan. Mungkin tidak sabar untuk menelan makanan di depannya.
            Bunyi motorsikal yang berhenti berhampiran gerai itu langsung tidak mengganggu pemerhatiannya terhadap pisang goreng. ‘Pisang goreng, pisang goreng, pisang goreng yang panas,’ hati Zafira tersenyum sambil menyanyi lagu pisang goreng. Entah macam mana antonasinya Zafira sendiri pun tak tahu. Main buat saja lirik dan nada lagu pisang goreng.
            “Eh, Dayat! Lama Mak Ros tak nampak kamu. Sihat ke tak?”
            “Alhamdulillah, sihat. Mak Ros! Macam biasa ya?” pinta Faheem lalu mengukir senyum yang manis.
            ‘Dayat? Macam tak pernah dengar,’ terteleng kepala Zafira mendengar nama tersebut. Tanpa berlengah Zafira terus berpaling ke kirinya. ‘Oh my! Faheem Hidayat.’ Cepat-cepat Zafira menutup mulutnya yang sedari tadi terbuka. Terkejut barangkali.
            Tangan Mak Ros dilihat laju memasukkan pisang goreng yang banyak ke dalam plastik. Dahi Zafira mula berkerut. Rasanya dia cuma memesan tiga ringgit saja tapi dilihatnya Mak Ros letak banyak sangat hinggat Zafira sendiri tidak tahu kuantiti di dalamnya.
            “Mak Cik tadi…” baru saja Zafira ingin bertanya Mak Ros terus bersuara.
            “Nah. Macam biasa kan?” terlopong Zafira apabila melihat pisang goreng itu bertukar tangan dengan Faheem Hidayat. Hatinya mula bengang.
            “Terima kasih Mak Ros.”
            “Mak Cik!”
            “Ah, iya. Kamu nak apa?” Zafira mencebik. Tiba-tiba berasa pilu. “Tadi kan saya pesan dulu daripada dia tapi kenapa Mak Cik bagi dia dulu? Saya dah pesan pisang goreng tiga ringgit dan cempedak goreng tiga ringgit. Tapi sekarang cempedak dah habis sebab mak cik bagi dekat dia ni.”
            “Laa, itu aje ke? Mak Cik terlupa sebab dah lama tak jumpa Dayat, kan Dayat?” Angguk Faheem Hidayat sambil mengunyah pisang goreng. Wajah Zafira yang cemberut dipandang sekilas. “Itu pun nak mengamuk,” ujar Faheem perlahan.
            “Mengamuk? Mak Cik, mana ada saya mengamuk. Saya…”
            “Tak apalah Mak Ros, saya pergi dulu,” pinta Faheem Hidayat kemudian memecut laju motorsikalnya. Tidak sanggup rasanya berdepan dengan junior baru itu. Dia pernah lihat gadis itu tapi dia tidak pernah menyangka gadis itu pantang jika orang cuba cari pasal dengannya. Satu maklumat baru yang dia ketahui. Ah, dia pasti beritahu Afiq Farhan.

            ‘Fiq, adik kau mengamuk!’

No comments:

Post a Comment