AKU duduk termenung di kaunter. Menjadi seorang barista di Horror Cafe bukannya boleh merayap ke dapur atau mana-mana macam kafe lain. Louis si Tauke Kejam, risau sangat kalau pelanggan datang tapi tiada orang di kaunter. Jika diikutkan dulu pekerja kafe di sini agak ramai dan riuh. Cuma lama-kelamaan ramai yang hilangkan diri gara-gara tidak tahan dengan sikap kedekut Louis.
Selepas beberapa hari tutup, dekorasi baru kafe sangat berbeza dengan sebelumnya. Tirai putih digantikan dengan warna hitam dan sedikit warna merah. Kertas dinding juga ditukar kepada corak batu-bata merah, menambahkan lagi suasana suram dan seram. Kalau dipaksa duduk sendiri dalam kafe pun aku tidak sanggup. Mataku tiba-tiba tertancap pada satu sudut di dalam kafe. Ada tiga patung bertambah di situ. Pontianak lelaki yang hensem! Aku sengih sendiri.
Bagaimana kalau aku bercinta dengan pontianak? Macam filem Twilight. Agak-agak logik ke tidak?
Sebut pasal bercinta, mindaku melayang pada kejadian semalam. Bengang pula rasanya. Elok-elok saja beromantika cinta dengan aku, alih-alih dingin seperti selalu. Luke ada masalah mental ke? Aku memandang Louis yang sedang menghadap buku kira-kira di meja tunggal tepi tingkap.
“Kenapa kau pandang aku? Nak minta advance lah tu.”
Eh, Louis ada mata seluruh kepalakah? Aku berdeham.
“Bukanlah. Masih boleh sara diri lagi buat masa sekarang. Nak tanya sikitlah.”
“Apa dia? Aku sibuk ni.”
Aku mencebik.
“Sibuk apanya, saya tengok bos senyum-senyum je hadap telefon.”
Louis mengangkat kepala dan merenung tajam ke arahku. Erk, terlepas kata.
“Maaflah bos. Saya nak tahulah, apa hubungan bos dengan Luke ya? Nampak kamceng saja macam bestfriend.”
“Kau bosan ke Melody? Mana nomik? Ada producer tanya masnukrip nomik terbaru kau. Katanya dah tiga bulan tak ada progress. Kau jangan cakap yang aku tak bagi kau peluang untuk menulis. Bila waktu tak ada orang sepatutnya kau sambung menulis. Kerah idea tu. Paksa dia keluar.”
Dia tukar topik! Aku tanya pasal Luke dia pergi risik nomik aku. Nomik, perkataan ringkas untuk novel komik.
“Bukan tak mahu tapi masalahnya writer’s block. Bos apa tahu? Bos bukan menulis pun. Benda macam ni bukannya boleh main paksa-paksa.”
“Haa, menjawab! Kau tahu apa kesan menjawab? Malam ni rasanya Fad tak bertugas, mungkin kau boleh…”
“Okay, stop it Louis. Melampaulah ugutan tu.”
Louis sengih sambil tangan laju menekan kalkulator. Barangkali malas melayan aku yang terlalu banyak alasan.
“Melody, sebenarnya tak ada istilah writer’s block pun untuk penulis. Kadang-kadang penulis tu sendiri yang halang otak dia dari bekerja. Ini semua gara-gara sindrom M iaitu malas. Malas nak keluarkan idea, selalu masalah penulis ni dia tersekat pada permulaan ayat je.”
Senangnya Louis berkata-kata. Tapi ada betulnya juga. Aku selalu susah nak memulakan ayat. Tapi bila dah mula, laju saja jari aku menaip. Siapa Louis ni? Tahu banyak benda pasal penulisan. Jangan-jangan…
“Bos pernah jadi editor ke sebelum ni?”
“Jangan nak pandai-pandai buat andaian. Buat kerja. Kunci kafe ada di tempat biasa. Hati-hati kerja malam ni. Kalau boleh tutup awal sikit, dalam pukul 10 macam tu dah boleh close.”
“Hah?? Bos tak adil!”
Aku lihat Fad yang sedang kutip cawan turut tergamam. Barangkali terkejut dengan perintah Louis. Selalunya jarang juga Horror Cafe beroperasi waktu malam. Kalau kena denda pun kena kemas atau bersihkan patung-patungnya hingga lewat malam. Kalaulah kamera litar tertutup itu rosak. Fad menepuk lembut bahuku.
“Hati-hati.”
“DATZZ, kau pun nak balik ke?” soalku lantas membuat muka comel. Berharap agar Datzz dapat temankan aku malam ini. Serius aku bukanlah berani mana, tapi kalau setakat menulis cerita seram boleh sangat.
Datzz ketawa. Lucu sangatkah?
“Aku kalau boleh nak temankan kau tahu tak? Risau kalau kejadian tempoh hari berlaku lagi.”
“Uish, kau jangan ungkit hal malam tu. Seram!”
“Haa, tahu pun. Malam ni aku ada kelas taekwondo. Tak pun, kau tunggu sampai kelas aku tamat kita balik sama-sama. Boleh?”
Aku mengangguk. Tidak bermaya rasanya kena kerja sendiri malam ini. Aku memandang langkah Datzz hingga hilang dari pandangan. Horror Cafe kini betul-betul sunyi. Jika ada seorang pelanggan pun aku dah bersyukur sangat. Sekurang-kurangnya boleh teman aku buat kerja.
Kain lap aku capai dan segera masuk ke ruang kaunter. Peralatan membuat kopi tadi aku bersihkan. Satu kerja yang bukan senang, patutlah Louis mengeluh apabila aku meminta pembantu yang lain. Katanya, menjadi barista ini tidak semua orang mampu belajar dan mahir. Paling tidak pun ambil masa sebulan untuk latihan. Makan masa dan wang. Contohnya, aku. Lambat betul nak mahirkan diri. Kadang-kadang itu masih terkial-kial walaupun sudah tiga bulan bekerja. Sekarang sudah bertahun aku di sini. Jadi, sudah cukup pantas dan agak merugikan kalau Louis nak buang aku.
Kata Louis lagi cukuplah sekadar aku dan Fad saja jadi barista di sini. Datzz pula lagi kasihan. Seorang diri di bahagian dapur. Tapi mujurlah tidak ramai yang memesan makanan berat.
Sedang elok aku membersih peralatan membuat kopi, ada suara menerjah sayup. Suara yang berbeza dengan sebelum ini.
“Melody…”
Aku mula meremang. Perasaan takut menerkam dada.
“Melody.”
Apa semua ini? Mata aku lilaukan ke sekeliling kedai. Mungkin mereka berpakat nak kenakan aku.
“Sudahlah tu berlakon. Aku dah tahu, kau orang semua nak kenakan aku, kan? Datzz, Louis, Fad… keluarlah!”
Sunyi. Aku rasa macam nak menangis saja. Jam baru menunjukkan 8.40 malam. Masih awal. Kereta pun masih lagi aktif di atas jalan tapi hati aku rasa tidak sedap. Menggigil-gigil aku meletakkan cawan kopi di tempat asal.
“Melody!”
“Arghhhh!!!”
Pang! Cawan yang aku pegang terlepas dan pecah. Cepat-cepat aku bersembunyi di bawah meja kaunter. Loceng di pintu kedai pula berbunyi tapi aku masih teragak-agak mahu melihat. Air mata sudah mula bergenang di tubir mata. Louis kejam! Kejam! Kejam! Esok juga aku akan berhenti kerja. Tiada lagi tangguh-tangguh, aku nekad.
Bunyi derapan kaki semakin mendekat, aku tunduk dan menyembam kepala pada lutut. Tolonglah pergi. Jangan ganggu aku. Tapi kata-kata itu cuma bermain dalam hati. Pipiku pula sudah basah dengan air mata.
“Melody,” seru satu suara dengan satu sentuhan hangat pada bahu. Aku mengangkat kepala dan dengan automatik bibir menguntum senyum.
“Luke!”
AKU perasan renungan Luke malam ini agak berbeza berbanding sebelumnya. Luke duduk di ruang tengah kafe. Matanya sentiasa memerhati gerak-geri aku sementara aku pura-pura tidak pedulikan lirikan matanya. Hakikatnya aku berasa kekok sangat. Kenapa dengan Luke? Katanya saja datang nak jumpa dengan aku. Macam tak percaya!
Usai menukar uniform, aku cepat-cepat menyilang beg dan mendapatkan kunci kafe. Aku berdeham perlahan memberi tanda kepada Luke yang sedari tadi duduk di situ tanpa berganjak.
“Melody, tunggu.”
“Luke nak apa sebenarnya ni?”
“Duduk dulu. Saya ada sesuatu nak beritahu.”
Aku menjongket kening dan merenung jam di tangan, masih awal. Kalau dia mencuri masa hingga lewat malam aku akan pastikan dia teman aku sampai rumah.
“Saya janji tak akan ambil masa yang lama. Awak takut kan?”
Cis! Aku pula menurut perintah. Luke mengukir senyum. Manis. Dada aku berdenyut pantas seolah-olah memberi amaran tentang kadar gula dalam senyuman Luke.
“Cepatlah.”
“Sorry.”
“Pardon?”
“Kejadian baru-baru ni. Pasal… date kita.”
Aku bersandar dan melarikan pandangan ke arah patung dalam kafe. Erk, seram. Kemudian aku alihkan ke arah jejari kontotku.
“Kenapa perlu main-mainkan perasaan saya? Kelmarin awak benci, semalam kata suka dan hari ni apa pula?”
“Hari ni saya pedulikan awak.”
Aku terdiam. Memang benar apa yang dia kata. Sejak tadi dia duduk di situ dan perhatikan aku. Seolah-olah sedang menemani aku. Sekejap Melody. Kau jangan mudah terpedaya boleh tak?
“Tapi, kenapa?”
Soalan aku tidak berjawab malah Luke berpaling ke arah pintu kedai. Aku turut melakukan perkara yang sama. Pokok diluar sudah bergoyang-goyang. Aku terus bangkit dan menghampiri tingkap, lalu tolak sedikit. Langit yang sedia gelap aku pandang. Suhu di luar sangat sejuk, cuaca mendung.
“Cuaca kat luar macam mana?”
“Mendung.”
Luke mendekati aku lantas menggosok lembut kepalaku. Perbuatan spontan Luke membuat aku berdebar. Kenapa Luke ni? Aku menggigit bibir.
“Jom, saya hantar awak balik sebelum hujan. Bila dah hujan nanti bahaya.”
Aku mencebik. “Apa yang bahayanya? Hujan air saja pun, bukannya batu.”
Dia senyum.
“Memanglah, tapi bila hujan mood saya jadi lain.”
“Hah?”
“Lebih baik cepat, nanti ada pula yang tak balik rumah malam ni.”
Aku menjeling sekilas. Sikap Luke tersangatlah aneh. Bercakap bukan main lemah lembut. Prihatin. Jika semalam kalau boleh mahu jadi keladi, miang! Aku membuntuti langkah panjang Luke. Tenang saja riak lelaki itu. Sesekali mata kami bertembung dan Luke melempar senyum.
“Luke… ingat tak waktu saya pengsan tempoh hari?” soalku membuka bicara ketika suasana sunyi.
“Pengsan?”
“Iya, masa hampir kena langgar.”
“Oh, itu…erk, kenapa?”
“Erm, tak ada apa. Lain kali sajalah. Bas dah sampai, saya balik dulu.”
Cepat-cepat aku meloloskan diri ke dalam bas dan serentak dengan itu hujan mula menyiram bumi. Aku lihat Luke layangkan satu ciuman lalu melambaikan tangan. Aneh. Macam mana kalau tadi bukan Luke tetapi hantu! Liur aku telan. Seram pun ada.
Entah kenapa saat ini aku mula rindukan Luke yang dulu? Luke yang selalu dingin.
No comments:
Post a Comment