Hari ini Nura melangkah dengan penuh berdebar. Malam ini sepatutnya dia
buka kedai pukul 11.30 tapi sekarang sudah hampir jam 12. Kawasan kaki lima sekarang tersangat sepi, hanya
disinari cahaya lampu jalan. Kedai-kedai berdekatan juga sudah lama tutup. Di
sini, kedai kesemuanya tutup sebelum jam 11 malam. Namun berbeza dengan Nura,
kedai coklatnya dibuka pada waktu malam. Beginilah kehidupan Nura demi mencari
sesuap rezeki untuk diri sendiri di bandar.
Terbongkok-bongkok Nura membuka kunci
kedai dan dengan sekali tarik, pintu terbuka dengan ringan sekali. Nura
tersenyum. Rambut lurus yang jatuh di
depan, dia selit lembut pada celah telinga. Saat pintu ditolak, loceng berbunyi
nyaring bagaikan muzik terapi buat Nura.
“Terima kasih, Elle,” ujar Nura tanpa
berpaling. Lampu kedai dibuka satu persatu. Cahaya lampu oren yang suram itu
lebih digemari berbanding cahaya putih. Itu lebih menyakitkan matanya.
Nura meletakkan tas tangan di dalam
rak berdekatan kaunter.
“Nura…”
Malas hendak mengangkat muka, Nura
terus mengambil kalkulator.
“Nura… dia sudah tidak mahu melayan
aku. Takkanlah, kau juga tidak mahu melayan?”
Hampir terpelanting kalkulator dalam
tangan saat wajah Elle mendekat seperti mahu menelan. Sudahlah rambut panjang,
tak pandai selit ke belakang pula tu. Nura menjeling sekilas seraya menghela
nafas dalam.
“Kenapa? Kau gaduh dengan dia ke?”
Nura berlalu ke bahagian rak yang
menyimpan pelbagai jenis coklat. Dia mengira satu persatu stok yang tinggal.
Jika tidak cukup, esok dia perlu tambah. Dalam setahun ini, perniagaannya
semakin maju. Suka!
“Dia cemburu melihat aku keluar bersama
lelaki lain.”
Terbuntang mata Nura lalu memandang
ke arah Elle.
“Helo, cik adik! Kalau aku pun
cemburu kalau tengok pasangan keluar dengan orang lain. Jadi, kau nak suruh aku
buat apa?”
Elle tersengih-sengih sambil
mengekori langkah Nura.
“Kau rasa dia suka coklat dan bunga
tak?”
“Entah. Itu kekasih hati kau, bukannya
aku.”
Elle mencebik.
“Nanti, Ray datang sini tau. Boleh
tak kau bagi dekat dia bagi pihak aku? Cakaplah, aku minta maaf. Lelaki tu
bukan sesiapa pun.”
Nura menggeleng laju bersama jari
telunjuk yang digerakkan ke kiri dan kanan.
“Aku mahu kau serahkan sendiri dan
minta maaf. Ray akan datang sini dalam…”
Jam ditilik seketika sebelum
menyambung, “… lima belas minit sahaja lagi. Lagipun dia akan datang sini disebabkan
kamu.”
“Alaaa, benci!”
Elle terus keluar dari kedai dan
menghilang dalam kepekatan malam. Tergeleng Nura dengan sikap Elle. Dia yang
bersalah, orang lain kena hulur. Huh!
* * *
Nura menggubah coklat dan bunga dengan begitu teliti.
Bunga yang digunakan bukanlah bunga biasa-biasa. Bunga ini dipetik segar dari
taman belakang. Sejenis bunga yang jarang digunakan. Coklat pula bukanlah
berjenama mahal, kerana ia ditempah khas. Maka, harga tetap tinggi.
Loceng berbunyi menandakan kedai
dihadiri pelanggan. Nura tersengih lebar sambil meneruskan kerja. Tak perlu
melihat gerangan yang hadir. Dengan bau saja dia dapat menebak siapa dia.
“Ah, malang sungguh aku kali ini,”
rungut lelaki di depan Nura bersama topi keledar putih di tangan.
“Ray?”
Terperanjat Ray bersama muka yang
berdarah.
“Apa dah berlaku pada kamu?
Kemalangan? Cari Elle?”
Ray memandang sinis.
“Kau sudah tahu semuanya tapi kenapa
perlu bertanya lagi?”
“Sekadar kepastian. Silakan duduk
dulu, Ray.”
“Kau sindir aku?” balas Ray seraya
tunduk memandang kakinya. Nura ketawa berdekah-dekah lalu terdiam. Wajahnya
tegang sebelum berlalu ke bahagian belakang.
“Keluar. Ray sudah sampai.”
Malas hendak pedulikan mereka berdua,
Nura segera keluar dari kedai dan memilih untuk duduk di atas bangku di luar.
Bangku itu disediakan memang untuk situasi seperti ini. Dia malas untuk
mengganggu pasangan bermasalah.
Derapan yang mendekati membuatkan
Nura tersenyum nipis.
“Apa masalah di dalam kali ini?”
“Cemburu.”
“Oh. Kenapa dengan kaki dia?”
“Kemalangan. Kaki digilis lori, belum
tahu tentang status diri.”
“Jadi macam mana?”
Nura menjongket bahu.
“Elle akan berterus-terang. Lagipun,
Elle sendiri meninggal pada waktu yang sama. Sakit kronik. Lelaki yang dia
jumpa itu cuma doktor yang merawat. Silap dia tidak berterus-terang, namun
tetap ajal mereka. Tak boleh berbuat apa-apa.”
Terangguk-angguk lelaki di sebelah
Nura.
“Bila?”
“Sebentar tadi. Tak tengok berita?”
Cepat-cepat lelaki itu membuka
telefon pintar dan membuka bahagian berita. Terlopong lelaki itu dengan berita
yang dibaca.
“Macam mana awak… eh?”
Lelaki itu menggeleng apabila Nura
sudah tiada di sebelah. Menghilang ke dalam kedai. Lambat-lambat dia bangkit
dan berlalu ke arah motor yang diparkir tidak jauh dari kedai. Sekarang sudah hampir
jam tiga pagi. Lagipun, esok dia perlu bekerja.
‘Jumpa lagi, Nura.’
No comments:
Post a Comment