Monday, May 25, 2015

Suamiku Bikin Dingin bukan Bikin Panas!! [cerpen]






Hari pertama perang dingin…    
T
ERGESA-gesa Fathia menyiapkan meja makan. Jam dinding dipandang sekilas. Ahh, sekali lagi dia lambat. Fareez sudah tercegat di ruang dapur. Pandangan tajam milik suaminya itu tidak dapat dibalas. Takut.
      Fareez menarik kerusi lantas dilabuhkan punggung. Pinggan yang sudah berisi bihun goreng ditarik dan disuap laju ke dalam mulut. Misi perang dingin masih lagi berlangsung antara Fathia dan Fareez. Fathia tidak pedulikan Fareez dan begitulah sebaliknya. Namun, Fathia sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Meskipun suaminya melancarkan perang tapi dia tetap menyediakan makan dan pakai Fareez.
      Berdentum bunyi pintu utama dibuka dan tutup. Fathia tersedar dari lamunan. Dia mencebik. Fareez langsung tidak memberinya kesempatan untuk mencium tangan lelaki itu.
      “Dia ingat aku tunggul ke? Langsung tak pedulikan bini dia kat sebelah. Eey…” Fathia merungut sendiri. Bihun yang digoreng itu dipandang kosong. Kenyang pula memikirkan suaminya itu.
      Meow... Meow
      Fathia tersentak. “I… itu kucing ke?” Gulp! Sesungguhnya dia benar-benar takut kucing. Teringat pula pada awal perkenalannya dengan Fareez. Semuanya gara-gara kucing. Fareez yang selamatkannya daripada gangguan kucing. Kedengaran seperti menjengkelkan tapi itulah kebenarannya.
      Kakinya menapak perlahan menghampiri belakang dapur. Namun, sempat lagi Fathia mencapai penyapu bagi menyenangkannya menghalau kucing. Dalam masa yang sama Fathia turut membawa ayam goreng bagi mengumpan kucing degil tersebut dan…
      Meow… Kucing sudah pun bermanja-manja di kaki. “Arghh!!” jerit Fathia. Lintang-pukang larian Fathia. Hampir semput dibuatnya.
      Dadanya dipegang. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Eh? Mana pergi kucing tadi? Hilang… Fathia ketawa kecil memandang bilik stornya yang sudah seperti tongkang pecah gara-gara marathon dengan si kucing.
      Pintu stor tersebut ditarik dan dikunci rapat.

Hari kedua perang dingin…
GEDEBAK gedebuk!
      Bunyi yang kuat datang daripada dapur itu mendebarkan Fathia yang asyik menonton Maharaja Lawak Mega. Jarinya digigit dan perlahan-lahan lutut dirapatkan ke dada. Telinganya cuba mengamati betul-betul bunyi tersebut. ‘Dah tak ada.’
      Buk! Bunyi itu datang lagi. Fathia sudah tidak tahan. Dia berlari memasuki bilik kerja Fareez. “Fareez!!”
      Fareez terkejut. Laptopnya segera ditutup. “Kau ni dah kenapa meluru masuk bilik aku, hah?” sergah Fareez.
      “Err… aaa.. ta.. tadi.”
      Fareez berkerut. “Sejak bila kau gagap?” Fathia menjeling. Perlahan-lahan nafasnya dihela. “Awak… saya rasa macam ada orang dekat dapur. Pergilah tengok,” pujuk Fathia lembut. Namun, sinis yang diterima daripada Fareez.
      “Takut? Heh! Pergilah tengok sendiri, aku ada banyak kerja nak buat ni. Dah pergi. Syuhh… Syuhh..!” Fathia mengetap bibir. Terasa ingin menangis apabila suami sendiri tidak pedulikannya.
      Melihatkan Fathia yang sudah mengangkat kaki berlalu keluar, Fareez mengeluh perlahan. Kasihan pula.
      Fathia mengesat matanya dengan hujung jari. Ada suami pun sibuk nak lancar misi perang dingin.
      Gedebuk! Kali ini bunyi itu semakin kuat. Fathia nekad. Dia menghampiri ruang dapur dengan penyapu di tangan. Mata di pejam rapat.
      “Buat apa?” terkejut dengan teguran tersebut Fathia terus terduduk sambil menghalakan penyapu ke depan.
      “Ahhh… jangan ganggu aku!! Jangan!”
      Fareez ketawa kecil. Isterinya memang penakut. Tangan Fathia yang menggigil memegang penyapu itu ditarik. Fathia tersentak. Matanya terbuka luas. Hampir saja dia menjerit kuat dengan tindakan Fareez.
      Senyum. Adakah Fareez sudah menarik balik istilah perang dingin?
      Bunyi yang kuat daripada bilik stor itu mengejutkan mereka berdua. Fareez memandang Fathia dengan pandangan pelik. Selain bunyi barang berlaga kedengaran satu bunyi lain.
      “Alamak!” bisik Fathia perlahan. Matanya dipalingkan ke belakang.
      Meow
      Fareez membuka laju pintu stor. Terbuntang matanya melihat Si Kucing sedang mengeow di dalam bilik stor. Pantas sekali Fareez menarik Si Kucing ke dalam pelukannya.
      “Macam mana Si Kucing ada dalam bilik ni?” tajam mata Fareez menikam mata Fathia.
      “Sebenarnya, pagi semalam… Thia… Thia…” tergagap-gagap Fathia ingin menjelaskannya.
      “What?! Sudah dua hari Si Kucing ada dalam bilik ni? Kau memang tak ada hati perut kan? Kalau tak suka kucing sekalipun jangan sesekali dera dia macam ni. Huh.. Kita sambung perang!”
      Fathia tercengang. Hanya disebabkan kucing dia sekali lagi ditinggalkan dalam lubuk peperangan yang dicipta oleh suaminya sendiri. Kaki dihentak kuat ke lantai. Fareez kejam! Dia rindukan Fareez yang dulu.

Hari ketiga perang dingin…
MOP ditangan dipegang kuat. Si Kucing sudah pun dikurung awal-awal lagi dalam sangkar. Sakit hatinya masih bersisa. Gara-gara terkurung Si Kucing dalam stor, Fareez tegar sekali memarahinya. Tiba-tiba dia cemburukan Si Kucing. Si Kucing sedang mengeow itu membuatkan hatinya kembali sakit. Fathia anggap Si Kucing sengaja ingin naikkan api kemarahannya.
      Tidak betah menghadap kucing kesayangan suaminya itu, Fathia beralih ke arah bilik kerja Fareez. Dia akui sudah lama tidak kemas bilik kerja suami kesayangan.  Almari kaca milik suaminya ditilik lantas bibirnya mengukir senyum.
      Fathia tahu, suaminya benar-benar sayangkan almari tu. Almari lama itu milik arwah neneknya. Ahh, sangat nostalgia.
      Eh? Kotoran yang melekat pada cermin almari itu membuatkan Fathia geram. Kain basah diambil lantas ditenyeh kuat. Namun, malang tidak berbau. Cermin almari kaca yang sudah sedia retak akhirnya berderai.
      Fathia terpempan.
      “Matilah aku… pasti Fareez marah lagi. Umi…” Fathia menggigit jari. Kakinya bergerak tanpa arah tuju. Kemudian, Fathia mencangkung di depan almari kaca sambil berfikir. Tanpa berlengah, Fathia segera keluar dan membawa masuk penyapu dan penyodok. Kaca yang berderai dikumpul dan dimasukkan ke dalam penyodok. Dalam hatinya Fathia sempat berdoa agar Fareez tidak perasan akan almari kacanya yang pecah.
      Dia tidak sanggup jika Fareez sekali lagi menyua hasrat untuk menyambung perang dingin dengannya.
      “Suami aku suka sangat bikin dingin diri sendiri.”
      Fathia geleng kepala.

“ASSALAMUALAIKUM sayang.” Fareez mendekati Fathia dengan senyuman di bibir. Di pejabat tadi dia sudah tidak keruan. Perasaan bersalah kerana melancarkan perang dingin dengan isterinya mencengkam diri. Dia bukannya tidak tahu bahawa Fathia sangat takutkan kucing.
      Lagipun, salah dia juga kerana tidak mengurung Si kucing sebelum berangkat ke pejabat. Fathia yang ralit menonton tv itu dipeluk erat. Fathia terkejut.
      ‘Suami aku dah nak berbaik ke? Yay!’ hati Fathia bersorak.
      “Eh? Bila masa abang balik? Thia tak perasan pun.”
      Pipi Fathia dicubit manja. “Sayang ni khusyuk sangat tengok tv sampaikan abang bagi salam pun tak perasan.”
      Senyum Fathia sudah ke telinga. Bahagianya. Fareez sudah duduk disebelah Fathia. Wajah isterinya dipandang.
      “Oh ya! Sayang dah kemaskan bilik kerja abang? Maaflah, abang tak sempat.”
      Alamak!
      Melihat suaminya yang sudah bergerak menghampiri bilik kerja, Fathia mula tidak keruan. Fareez menarik tangan Fathia agar mengikutinya ke bilik kerja. Tiba-tiba kaki Fareez kaku.
      “Err… kenapa bang?”
      “Kemas sangat! Abang suka. Thanks, sayang.”
      Fathia senyum simpul. Kepalanya ditunduk sambil menggoyang-goyang badan. Gedik pula Fathia jadinya. Asyik sangat melayan perasaan, Fathia tidak perasan Fareez sudah menghampiri almari kaca milik arwah nenek mereka.
      “Thia?”
      Terkejut dengan panggilan suaminya Fathia terus mengangkat kepala. Gulp! Fathia tidak sempat menghalang langkah suaminya.
      ‘Tenang Thia... tenang.’
      “Kenapa?” tanya Fathia berpura-pura tidak mengerti.
      “Macam mana almari ni boleh pecah? Thia yang buat ke?” tuduh Fareez sambil memandang Fathia yang semakin cuak.
      “Err.. hish! Mana ada Thia buat. Thia tak tahu pun almari ni dah pecah.”
      “Betul?”
      Eh? Kaca yang sebesar ibu jari yang berada di tepi Fareez itu Fathia tarik menggunakan kaki. Bimbang jika Fareez ketahui. ‘Buat masa ni kau duduk kat sini dulu, ya?’
      “Betullah! Entah-entah cermin tu memang dah tak ada. Abang aje yang tak perasan.” Fathia cuba beralasan.
      Namun, Fareez tetap tidak berpuas hati dengan jawapan isterinya. Seolah-olah ada yang tidak kena. Fathia seperti cuba sembunyikan sesuatu daripadanya. Komputer yang terletak di atas meja kerjanya itu dibuka. Fathia menggaru kepala. ‘Suami aku nak buat apa ya? Takkanlah nak siasat pakai CCTV…’
      Tiba-tiba Fathia terlopong. CCTV?! Dia terlupa bahawa bilik kerja suaminya dilengkapi dengan video litar tertutup.
      “Abang, Thia…”
      “Stop Thia!” Mata Fareez sudah merah menahan marah. Pandangannya tajam. Fathia sudah mula kecut. Kepala menunduk memandang ke bawah. Dia tahu dia bersalah. Tapi matanya sempat menangkap satu cecair pekat berwarna merah yang mengalir di celahan jejari kakinya. Keningnya hampir bertaut. Erk! Darah?
      “Kenapa Thia bohong, hah? Thia pun tahu kan yang almari ni arwah nenek yang bagi. Abang tak sangka Thia sanggup sorokkan perkara macam ni.” Fail di atas meja di tarik. Kemudian keluarlah lipas ‘superman’ kononnya. Apa lagi, Fareez latah dek kerana terkejut.
      “Opocot mak, lipas superman!” Fathia menggigit bibir. Suaminya langsung tak maco apabila melatah. “Ehem!” Fareez membetulkan suara. Dia duduk sambil membelakangkan Fathia. Malu pula denga Fathia.
      “Abang…”
      “Thia dengar sini baik-baik. Abang nak…”
      “Abang jangan!” larang Fathia. Dia tidak mahu bercerai. Dia sayangkan Fareez.  Matanya sudah berair. Hingus sudah hampir meleleh. Sedih.
      “Kamu ni sakan menangis ni kenapa? Abang tetap nak sambung perang dingin. Noktah!”
      Eh? Laa… Fathia jadi termalu sendiri. Kepalanya ditunduk lagi. Tapi, kenapa kepalanya pening sangat?
      “Abang…”
      “Aku dah beritahu kan yang kita dalam proses perang?”
      ‘Amboi… marah sangatlah tu sampai menggunakan aku bagai,’ rungut Fathia.
      “Thia nak tanya ni. Sejak bila pulak Thia mabuk darah ya?”
      Peningnya… Fathia yang tidak sempat berpaut pada hujung meja akhirnya rebah ke lantai.
      “Apa kena mengena mabuk darah dengan kes ni? Sudahlah Thia, keluarlah.” Sebaik saja Fareez berpaling, Fathia sudah tidak kelihatan. Eh? Cepatnya dia keluar. Fareez bangkit ingin mendekati pintu biliknya. Namun, belum sempat dia berbuat demikian mata  Fareez sudah terbuntang. Melihat Fathia yang sudah terbaring kaku di sisi meja menimbulkan rasa bersalah dalam dirinya.
      “Ya Allah, Thia!” Kaki Fathia yang tersalut cecair pekat berwarna merah yang hampir kering itu ditilik. Perasaan bersalah semakin membuak-buak. Patutlah Fathia persoalkan tentang darah tadi. Ya, dia akui Fathia tidak pernah mabuk darah.
      Tubuh isterinya yang terbaring itu dicempung. Dalam hati Fareez sempat berdoa agar isterinya baik-baik saja.

‘KENAPA lama sangat ni? Ya Allah…’ Fareez sudah tidak keruan di ruang menunggu.
      “Encik ni suami Puan Fathia ke?” tegur doktor yang baru saja keluar dari bilik rawatan. Fareez tersentak. Entah bila masa doktor itu keluar pun dia tidak perasan.
      “Ya, saya! Macam mana keadaan isteri saya, doktor?”
      “Isteri encik tak ada apa-apa. Sekarang saya tempatkan dia ke wad biasa. Lagipun, isteri encik masih belum sedar. Cuma…”
      “Cuma apa?” Fareez cuak. Kenapa dengan isteri aku?

WAJAH Fathia dipandang dengan perasaan bersalah. Isterinya langsung tidak mahu berbicara dengannya.
      “Sayang? Kenapa ni… marah abang ke?”
      Fathia menjeling. Suaminya buat-buat lupa atau apa agaknya? “Kan, abang sendiri cakap yang abang nak teruskan perang dingin abang dengan Thia?”
      Pap! Fareez menepuk dahinya sendiri. “Ya Allah. Thia, jangan ingat lagi perkara tu boleh tak? Abang minta maaf ya, sayang? Abang tahu abang salah. Okey, sekarang beritahu abang apa yang terbuku dalam hati sayang. Please, tell me my dear.”
      Nafas dihela panjang sebelum menjawab soalan Fareez.
      “Okey. Abang, kalau tak nak bagi Thia kerja hari tu boleh tak abang cakap elok-elok? Kenapa siap nak buat mogok dengan Thia. Haa, pasal Si Kucing tu. Bukan salah Thia pun. Abang tu yang tak kurung Si Kucing sebelum pergi kerja. Abang sendiri tahu kan yang isteri abang ni takut dengan binatang tu. One more, pasal almari tu. Yang abang melenting tak tentu fasal tu kenapa? Bukannya cermin tu tak boleh diganti. Lagipun dah lama Thia nak beritahu abang supaya tukar semua cermin almari tu. Kebanyakannya memang dah retak dan sekali lagi itu bukan salah Thia,” terang Fathia sebak. Sensitif pula.
      Fareez menggaru belakang kepalnya yang tidak gatal. “Err, maafkan abang. Insya Allah abang tak buat lagi perang dingin tu hinggalah…”
      “Hingga apa?”
      Tiba-tiba Fareez teringat akan perbualannya dengan doktor lelaki tadi.
      “Cuma apa?”
      “Cuma encik jangan bagi isteri encik tertekan. Lagipun, isteri encik sedang mengandung.”
      “Mengandung?”
      “Ya, almost four weeks.”
      Fareez senyum sendiri.
      “Abang! Termenung pulak. Hingga apa? Cubalah cakap sampai habis.”
      “Hinggalah anak kita lahir dan besar. Abang nak umum perang dingin dengan anak abang pula. Siaplah, kalau baby ni buat hal dengan isteri abang yang comel ni.” Fareez mengugut sambil menyentuh lembut perut Fathia.
      “Eey, tak senonohlah abang ni. Err, abang. Thia ada benda nak beritahu abang. Tapi, janji abang jangan marah.”
      “Iya, ada apa sayang?”
      “Sebenarnya… hari tu Thia ada gosok kemeja biru gelap yang abang baru beli tu. Dan…”
      “Dan…?”
      “Err… baju tu dah berlubang besar sampai boleh muat kepala abang.”
      “Hah?!” Fareez terkejut manakala Fathia sudah menikus.
      “Abang… abang dah janji tak nak marah,” rajuk Fathia.
      “Tak adalah, abang tak marah abang cuma nak ajak Thia perang dingin je.”
      “Apa ni abang! Abang cakap tak nak buat dah. Ingat… perut Thia ada baby ni.”
            Fareez ketawa kecil. “Comelnya dia mengugut abang. Abang nak ajak sayang pergi makan aiskrim. Aiskrim kan dingin? Hehe.”
            Fathia turut ketawa.

            “Eey, suami Thia ni suka sangat bikin dingin.” 

15 comments: