Friday, May 15, 2015

[cerpen] CINTA STUDIO


KAMERA yang sedari tadi dipegang akhirnya diletakkan di atas meja berhampiran belakang lampu. Mata dipejamkan seketika sebelum menghela nafas sedalam-dalamnya. Penat sungguh dengan perangai model baru. Kenapa lelaki itu terlalu sukar untuk memahami dan ikut setiap arahannya?
            “Semua nak ikut kepala otak dia! Apa dia fikir dia model, dia boleh buat dek dengan aku? Huh!” rungut Syafa sendiri. Botol air mineral dicapai lantas diteguk laju.
            Zaheem senyum senget tatkala terpandang wajah bengang Syafa sambil membiarkan saja mukanya diusik dengan berus-berus lembut. Rambutnya yang sedia terpacak pula diusik supaya tampak lebih kemas. Usai sahaja wajahnya dikerjakan oleh jurusolek, Zaheem mengangkat kaki menghampiri jurukameranya.
            “Puan Syafa, agak-agak bila nak habiskan sesi photo shoot ni? Saya dah penatlah.”
            Syafa menjeling lelaki itu sekilas. “As long as you give your cooperation, sir Zaheem! Encik ingat saya ni tak reti penat ke?”
            “Aik? Laa, you reti penat rupanya. Maaflah, ingatkan robot tadi. Yalah, daripada tadi tak henti-henti suruh I posing.”
            Kembang kempis hidung Syafa menahan amarah. Lelaki itu terlalu sinis dan melampau. Jika tidak mengenangkan lelaki itu anak saudara bosnya, pasti sudah lunyai lelaki itu dikerjakannya.
            “Encik, kalau dah namanya model buatlah cara model. Jangan nak lembik sangat bila orang suruh posing. I’m your photographer and you just a model. So please, respect me!!” ujar Syafa dalam nada yang tertahan.
            “Tapi you tu cuma…”            
            Belum sempat Zaheem menghabiskan ayatnya, Syafa terus lantang menyeru krewnya. “Guys… standby!” Pandangan sinis dilemparkan sekilas buat lelaki itu. “Oh ya, encik boleh ambil tempat sekarang. Lagi cepat kita siapkan lagi cepat kita balik. Okey?”
            Zaheem merengus.


SYAFA tersenyum manis saat menilik kembali gambar-gambar model yang kononnya kekwat dalam komputernya. Jarinya laju saja bermain dengan tetikus bagi menyiapkan suntingan gambar.
            Tangan diregangkan sedikit. Bahu yang terasa lenguh dipicit lembut. Lenguh kerana terpaksa menghadap komputer berjam lamanya. Ahli kumpulannya sudah lama pulang. Syafa bersandar lemah. Mata dipejamkan seketika. Suasana di studio sudah malap dan cuma diterangi cahaya lampu meja dan tangga.
            “Lambat lagi ke? Bila nak balik? You lupa ke yang esok I kena kerja?”
            Mata yang terpejam tadi terus terbuka. Wangian yang mula menusuk hidungnya membuatkan Syafa senyum segaris. Dia kenal lelaki itu. “Sorry, kalau lewat sangat awak baliklah dulu.”
            “Tak boleh sambung esok ke, hmm? Takkanlah I nak tinggalkan you sorang-sorang kat sini. I pun masih berprikemanusiaan lagi nak tinggalkan wife I kat sini. Bergelap pulak tu. Dah, jangan degil sangat! Tadi mungkin ya kalau you nak bagi arahan kat I, tapi sekarang you kena ikut I balik rumah. I penat dan I nak tidur!”
            Syafa terkedu seketika. ‘Wife? Sejak bila lelaki itu mula mengaku yang aku ni isteri dia?’
            “Syafa! Tidur ke berangan??”
            “Erk.. ahh ya! Jomlah balik.” Tergesa-gesa Syafa mengemas meja kerjanya lalu menyaingi langkah Zaheem. Sampai bila lelaki itu ingin melarikan diri daripadanya? Sejak awal perkahwinan, lelaki itu langsung dingin. Tidak ada langsungkah perasaan cinta buatnya? Syafa merintih sendiri dalam hatinya. Sudah hampir empat bulan. Ya! Empat bulan dia memendam perasaan cinta buat suaminya tanpa secebis balasan.
            Mungkin salahnya kerana dia melanggar adat orang melayu. Perempuan yang meminang si lelaki. Salahkah perbuatannya dulu? Sedangkan Siti Khadijah sendiri yang meminang Rasulullah SAW. Syafa beristighfar perlahan.
            Namun hatinya sering bertanya, kenapa lelaki itu menerima lamarannya dulu?


“ENCIK Zaheem okey tak ni?” tanya Syafa risau saat terpandang wajah pucat milik suaminya.
            Zaheem tidak mengangguk mahupun geleng. Kerusi di studio itu ditarik lantas terduduk lemah. Liurnya cuba ditelan tapi kelat. “I rasa macam nak pitam.”
            Pitam? Syafa meletakkan telapak tangan pada dahi suaminya bagi merasai suhu badan lelaki itu.
            “Abang demam ni… pergilah berehat kat sofa dulu. Photo shoot hari ni kita tangguh dulu. Okey?”
            Angguk. Syafa cuba memapah lelaki itu tapi tepisan yang diterima. “I boleh jalan sendiri.” Syafa terkedu tapi dia cuba berlagak biasa. Bibirnya senyum segaris. Hatinya cukup terkesan apabila pertolongan ditolak di hadapan krew yang lain.
            “Kalau macam tu awak rehatlah. Saya nak ke belakang kejap. Guys! Tolong kemaskan semua peralatan ni, hari ni kita tamat dekat sini sajalah. Saya dah tak boleh nak teruskan lagi dengan model yang lain. Bob, nanti tolong inform cik Bella yang hari ni tak perlu datang studio. Boleh?” arah Syafa dengan nada yang tertahan sambil berlalu pergi. Sedih apabila diperlakukan begitu.
            “Erk… ya puan.”
            Syafa menolak pintu tandas dengan kasar. Bila-bila masa saja air matanya bakal menitis. Nafas dihela sedalam-dalamnya. ‘Biasalah, dia tak sihat sebab tu dingin. Sabar Syafa,’ getus hatinya. Cuba berfikir dari segi positif. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum.

###

SEMANGKUK air dan sehelai tuala diletakkan berhampiran sofa dimana suaminya berbaring. Tubuh suaminya kaku saja. Syafa cuba memberanikan diri dengan menyentuh dahi lelaki itu. Allahu… panas! Kalut.
            “Abang,” lengan suaminya digoncang perlahan. Tiada respon.
            “Abang… bangunlah. Kita pergi klinik ya?” berkali-kali Syafa cuba mengejutkan Zaheem tapi tetap sama.
            “Abang… janganlah main-main. Bangunlah… bangun!”
            Suaranya sudah tersekat-sekat menahan sebak. Air matanya menitis tanpa sedar.
            Uhuk! Uhuk… Zaheem terbatuk kuat. Tangannya memegang dada. Sakit. Matanya masih terpejam rapat dan nafas mula turun naik dengan pantas. Bibirnya sudah kebiruan. Syafa terkedu. Tidak pernah sekali dia hadapi situasi sebegitu.
            “Ab…abang… Bob!!”

###

KAIN dilipat dan dimasukkan ke dalam beg pakaian. Hari ni Zaheem sudah boleh pulang ke rumah. Hampir seminggu suaminya terpaksa di rawat di hospital. Penyakit jantungnya semakin lama semakin teruk. Jika berpeluang, pemindahan organ bakal dilakukan. Tapi masih belum ada yang bersesuaian dan penderma.
            “Syaf… kenapa diam?”
            Syafa menggeleng kepala. “Saya tak tahu nak cakap apa.”
           “Syaf… saya minta maaf. Saya tak sepatutnya terima pinangan awak dulu. Kita tak sepatutnya berkahwin. Saya silap. Kalau saya tak ada nanti awak pasti sudah bergelar balu.”
            Perbuatan Syafa terhenti.
            “Jadi… inilah sebabnya kenapa abang berkelakuan dingin dengan Syaf selama ni?”
            Angguk.
            “Abang tahu tak sikap abang ni merugikan masa dan perasaan?”
            Angguk lagi.
          “Maafkan abang, Syaf. Abang tahu abang silap. Abang telah rugikan banyak masa yang ada selama ni.” Tangan Syafa diraih dan dikucup lembut. Perasaan egonya sudah ditenggalami dengan rasa bersalah yang menggunung.
            “Abang… kenapa abang terima pinangan Syaf dulu?”
          "Abang terima sebab abang memang cintakan Syaf. Tapi… sebulan sebelum majlis abang dapat tahu, penyakit abang sudah semakin teruk. Hendak batalkan abang berasa bersalah. sayang  gembira sangat waktu tu. Sayang tahu tak yang abang selalu perhatikan sayang dari jauh?”
            Wajah ditundukkan. Tidak sanggup rasanya memandang wajah yang amat dikasihi bersedih atas sikapnya yang terlalu bodoh. Tidak matang!
            “Kalau abang benar-benar sayangkan Syaf, abang janji abang takkan abaikan Syaf lagi. Boleh? Abang akan ikut segala nasihat doktor.”
            “Ya. Abang janji sayang. Abang janji… terima kasih sayang. Abang benar-benar menyesal sayang.”
            “Sudahlah… tak ada apa untuk dikesalkan lagi. Perkara lepas usah dikenang lagi. Andai kisah kita berakhir dengan penceraian, Syaf terima seadanya. Namun, seandainya antara kita sudah diambilNya. Syaf harap sangat kita sama-sama dapat menerima ketentuanNya. Syaf tahu, kita semua tak kuat tapi kita kena ingat, ujian yang diberiNya seiring dengan kemampuan diri untuk hadapi semua tu. Allah takkan uji hambaNya diluar kemampuan.” Tenang saja Syafa menyusun aksara bahasa.
            “Inshaa Allah, sayang. Tapi kalau abang pergi dulu…”
       “Jangan cakap macam tu. Selagi diberi peluang menghirup udara di dunia ni, kita perlu bersyukur. Beribadahlah padaNya.”
            Senyuman dilayangkan semanis mungkin buat suaminya. “Alhamdulillah. Abang bersyukur dapat isteri seperti sayang. Cuma abang… abang terlalu bodoh kerana abaikan sayang empat bulan. Empat bulan tu satu tempoh yang lama. Abang…”
            “Syaf tak kisah. Apa yang penting, abang sedar akan khilaf tu. Syaf sayang sangat kat abang. Abang tahu sesuatu tak?”
            “Tak…”
            “Syaf mula sukakan abang sejak abang masuk studio. Waktu tu abang ada urusan dengan bos. Syaf suka cara abang waktu tu. Mesra. Suka senyum. Tak poyo. Cuma baru-baru ni je tiba-tiba jadi model berlagak.” Laju saja Syafa melampiaskan rasanya dulu.
            “Amboi… Cakap abang berlagak ye?” Hidung Syafa dipicit lembut.
            “Hish… janganlah. Tak mancung dah hidung ni nanti.”
            Bibirnya sudah memuncung.
         “Sorry sayang. You know what? Abang pun punya rasa yang sama masa tu. Pertama kali terpandang jurukamera muslimah yang sangat aktif bermain dengan kamera di tangan. Abang terpegun kejap saat mata kita bertentang tika tu tapi abang cepat-cepat elak. Tak pasal-pasal kita berdua dah terjebak dengan zina mata. Apa-apa pun terima kasih sayang. I really love you, wife.”
            Tubuh Syafa diraih ke dalam pelukannya. Sayangnya makin menggebu. Mujurlah wad yang mereka huni tiada siapa. Sedari tadi lagi mereka berdrama di dalam wad.

###

KAMERA yang sentiasa menjadi penemannya suatu ketika dahulu diletakkan elok di atas rak. Rak dan almari kameranya dibersihkan sebaik mungkin. Kamera Polaroid berwarna merah bercorak abstrak hitam itu menjadi tarikan. Tinggal satu saja filem.
            “Bob! Sini kejap boleh?” panggil Syafa. Terkocoh-kocoh Bob berlari mendapatkan ketuanya.
            “Kenapa puan? Dah nak bersalin ke?”
            “Haha. Taklah. Boleh tolong ambilkan gambar saya tak?”
            “Oh. boleh… boleh…” Bob sudah tersengih malu. Segan pula dengan ketuanya.
            Syafa bersandar pada dinding sementara diapit oleh almari kaca di sebelah kiri manakala di sebelah kanannya koleksi gambar daripada kamera Polaroid yang memenuhi papan kenyataan. Perutnya yang sudah memboyot disentuh dengan perasaan kasih. Bibirnya terukir senyum.
            Klik!
            “Wahh… cantiklah puan!” puji Bob sebaik saja gambar mula menghiasi filem putih itu. Syafa tersenyum cuma.
            “Biasa-biasa ajelah. Thanks Bob!”
           Gambar sudah bertukar tangan. Syafa tersenyum hingga ke telinga tatkala menatap gambarnya sendiri. Pen dicapai dan dilakarkan aksara pada belakang gambar. Perutnya diusap lembut. “Baby…bila dah lihat dunia luar nanti, jangan lupa umi dan abi tau? Kalau umi tak ada, tolong jaga abi elok-elok tau?”
           Nafas dihela berat. Tiba-tiba sakit mula mencucuk bahagian perutnya. Dahinya sudah berkerut hebat. “Baby… jangan macam ni sayang.” Perutnya diusap lagi. Bibirnya tidak berhenti mengungkap kalimah Allah.
       “Arghh…” Syafa mengerang perlahan. Sakit sudah tidak mampu dibendung lagi. Air ketubannya masih belum pecah. Tapi sakit yang menyengat hanya Allah saja yang tahu.
    Deringan telefon menemani rasa sakit yang dialaminya. Perlahan-lahan Syafa bergerak mendapatkan telefon yang terbaring di atas meja.
          “Helo?”
           “Assalamualaikum, ini isteri encik Zaheem ke?”
        “Waalaikumussalam. Ya, saya isteri dia.Kenapa dengan suami saya?” Syafa mula cuak. Debaran tidak terhenti. Dia masih menantikan jawapan.
            “Suami puan…”
            Syafa menekup mulut. Perut yang sedari tadi mencucuk semakin terasa sakit. Air matanya menitis laju. “Abang…” Tubuhnya sudah terjelopok di atas lantas.
            “Puan Syafa!”

###

JIRUSAN air mawar membasahi kubur yang masih merah. Menggigil tangannya memegang jag air. Air mata yang berkolam sudah hampir melimpahi takungannya. Namun, jemari laju bertindak dan segera diseka.
            “Sayang… nanti abang datang lagi.”
          Tikar mengkuang digulung dan berlalu keluar dari tapak perkuburan Islam. Bob sudah menanti di dalam kereta. Bayi dalam pegangan itu sedikit sebanyak mengubati rindunya pada Syafa. Seorang isteri yang pernah diabaikan suatu ketika dahulu.
            “Sabarlah Zaheem. Aku tahu sukar untuk terima sebab bukan aku yang alaminya tapi…”
            “Tak apa Bob. Aku perlu terima kerana ini ketentuanNya. Aku perlu kuat.”
            Senyum.
            “Oh ya, ini aku ada ambil gambar di dekat studio. Aku pasti, arwah Puan Syafa pasti ingin gambar ni diberikan pada kau. Simpanlah.”
            Menggigil Zaheem mengambil gambar tersebut. Gambar terakhir Syafa. Air matanya menitis jua. Tidak sempat untuk diseka. Laju saja guguran air mata membasahi wajah lelaki itu. Tulisan yang terletak di belakang gambar itu menambahkan rasa sebak dan pilu hatinya.

                Allah tidak akan uji hambaNya diluar kemampuan.
                Terima kasih Allah kerana temukanku dengan suamiku kini.
                Apakah cinta kita cinta studio wahai En. Zaheem.
                Ku menyayangi, cintai dirimu kerana Allah SWT.
                12MAC2011_SyafaAqilah_Zaheem_Baby


KATIL ditolak laju memasuki ruang kecemasan. Dua katil saling bertembung. Syafa sedar dalam kepayahan. Mata cuba dibuka sedikit. Kelihatan wajah suaminya yang membiru. Buat kedua kalinya dia melihat keadaan suaminya yang agak tenat. Air matanya menitis. ‘Allahu… kau selamatkanlah suamiku.’
            “Doktor… saya… saya…” tersekat-sekat nafasnya ingin menyusun bicara kata.
            “Puan… bawak mengucap. Bertenang. Kami akan cuba selamatkan puan dan kandungan.”
            “Dok… selamatkan suami saya. Anak saya…” lemah sekali keadaannya ketika itu. Misi dan doktor mula kalut. Syafa sudah tidak sedarkan diri. Wajahnya pucat tidak berdarah. Tergesa-gesa staff di situ menyalurkan rawatan kecemasan dan masukkan bantuan hos pernafasan.
            Sementara di bilik kecemasan kalut dengan seorang pesakit lelaki yang sudah membiru pucat. Tiba-tiba datang seorang misi menerpa doktor yang bertugas.
            “Doktor, Alhamdulillah. Kita ada penderma buat pesakit ni.” Doktor tersebut menghela nafas lega tapi mendengar penderma tersebut tangannya mula kaku.
            “Tapi… pendermanya isteri dia sendiri doktor. Arwah disahkan meninggal dunia beberapa minit lalu namun anak dalam kandungannya berjaya diselamatkan.”
            “Innallilahiwainnailaihiraaji’un… bawa pesakit ke bilik pembedahan segera!”
               






Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 - 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:
1.      Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
 
2.      Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
 
3.      Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
 
4.      Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.


6 comments:

  1. Allahu... merembes air mata baca cerita ni..
    Besarnya pengorbanan seorang isteri buat suami yg amat dicintai...
    Hebat faa!
    tambahan fatwa tu,,, the best too!
    it's really a good sharing...
    lembut je baca gaya penceritaan fa.. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Ct...
      Lupa pulak nak letak reference kat situ.

      p/s:
      erk..lembut ke?*tutup mata ngn tangan*

      Delete
  2. Allahu ....bahagia sesebuah pasangan itu kerana-NYA...
    All the best ! Kipidap ! Dongibab!

    ReplyDelete
  3. Cayalah sis. Jalan cerita gempak aarrr. Tabik spring.

    ReplyDelete