DENGAN penuh debaran, Kuntum duduk menanti di
belakang dewan. Di belakang ada beberapa bilik khas untuk tetamu jemputan dan
para staf terlibat yang semestinya dari Kelab Kebudayaan. Mereka sahaja yang
diberi keistimewaan lebih dalam menganjurkan sesuatu program. Setiap semester
boleh dikatakan lebih 10 program mereka buat dan selalu menerima anugerah kelab
paling menyerlah.
Ahli-ahli dari kelab lain pernah
menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap pengurusan kolej namun hampa. Tidak
dilayan sama sekali. Akhirnya mereka memilih untuk membuat program yang tidak
melibatkan dewan gemilang ini.
Kuntum menunduk memandang telefon
pintar. Kamera pandang depan dibuka dan membetulkan tudung juga mengoles
sedikit gincu pada bibir yang mula pucat. Kuntum tidak suka bibir yang merah
menyala atau terlalu pinkish! Bagi
Kuntum cukuplah bersederhana dalam berhias asalkan kemas dan tidak terlihat
pucat.
Seorang lelaki sedang terkocoh-kocoh
menghampiri Kuntum dan cepat-cepat Kuntum menyimpan kembali telefonnya.
“Jom, ikut saya.”
“Erk, kejap. Ikut pergi mana?” soal
Kuntum sedikit sangsi. Kata mahu bawa dia berjumpa dengan Carl di sini tapi
kenapa perlu sampai kena ikut lagi?
Lelaki tadi senyum dan ketawa kecil.
“Jumpa dengan Carl. Dia ajak awak masuk
ke dalam bilik rehatnya, mari! Lagipun Carl ada undangan lain lagi selepas ini.”
Terangguk-angguk Kuntum cuba menyaingi
langkah lelaki itu.
Pintu ditolak dari luar oleh lelaki itu
dan mempelawa Kuntum masuk bersama senyuman. Beberapa orang mahasiswi yang
berada di dalam bilik itu juga diarahkan keluar dan meninggalkan mereka
bertiga.
“Carl, aku dah jumpa peminat setia
kau.”
Berdebar-debar Kuntum menanti Carl
menoleh ke arahnya. Carl, artis lelaki yang tidak pernah mewarnakan rambut.
Rambut hitam pekat yang asli milik Carl buat lutut Kuntum semakin lemah dan
bergoyang.
“Awak okey?” tegur lelaki di sebelahnya
dengan nada berbisik.
Tidak mengendahkan teguran itu, Kuntum
seraya menghampiri Carl dan tersengih suka. Pipi dicubit kuat.
“Auch!”
Tergelak Carl dan lelaki sebelahnya
dengan perbuatan Kuntum.
“Awak tak bermimpi. Look, I’m Carl. BBNU singer.”
“Ya Allah, saya macam tak percaya
tengok artis kesukaan depan mata! I
really love you, Carl! Ops…”
Tertahan-tahan Kuntum menutur. Tangan
digenggam kemas supaya tidak melampaui batas pergaulan.
“Ya, kami tahu tu dan disebabkan itu
awak dipanggil masuk ke sini untuk berjumpa dari mata ke mata dengan Carl. Awak
sangat bertuah.”
Kuntum berkerut dahi. Bertuah? Memang
bertuah tapi dia masih tak faham kenapa hanya dia. Lelaki itu pun dia tak kenal
siapa dan sekadar bertegur sapa di luar tadi lantas dibawa berjumpa dengan
Carl. Kuntum berundur setapak. Tiba-tiba seram menyerang rasa.
Perasan akan perubahan rentak dan riak
Kuntum, Carl mula gelabah dan mencuit rakannya.
“Weh, kau tak beritahu apa-apa ke
sebelum bawa dia masuk ke sini?”
Lelaki tadi bagaikan tersentak lalu
menepuk dahi.
“Okey, beginilah cik…”
“Haneesa!”
“Okey Cik Haneesa, awak telah terpilih
sebagai peminat pilihan pada malam ini. Untuk acara penutup malam ini, Carl
sendiri akan umumkan awak sebagai pemenang. Berdasarkan pemerhatian kami, Cik
Haneesa paling layak untuk menerimanya melainkan Cik Haneesa tak baca maklumat
dalam tiket,” jelas lelaki yang sentiasa di samping Carl.
Kuntum Haneesa tersengih lebar.
“Mestilah saya baca! Terima kasih awak
pilih saya!”
* * *
PAGI masih gelap dan Kuntum
tersengih-sengih sendiri. Masih terbayang-bayang lagi kenangan semalam. Hari
bertuah buat Kuntum Haneesa. Siapa sangka dia terpilih sebagai peminat pilihan
semalam. Dia dapat lihat ramai yang kecewa dan tak kurang juga yang bersorak
gembira. Apa yang pasti, sorakan itu diterima oleh sekumpulan peminat susah
mati Carl dan Kuntum antara ahlinya.
Kuntum masih berguling di atas katil dan
ketawa halus. Terasa seperti orang sedang angau. Boleh dikatakan semalam dia
tidak dapat tidur langsung. Mujurlah hari ini cuti jadi bolehlah dia berehat
lama sikit memandangkan kerja pun tak banyak. Kuntum berkalih ke kiri dan
melihat katil sebelahnya sudah kosong. Serta-merta Kuntum duduk menegak.
Mana pergi kembarnya, Kasturi? Jam pada
dinding baru pukul lima pagi. Baru saja hendak bangun, terdengar bunyi air
dalam tandas. Kuntum menghela nafas lega. Fikir Kuntum, Kasturi tidak pulang
semalam. Yalah, semalam waktu dia balik ke bilik Kasturi tiada di katil. Bila
ditanya, sepatah pun tidak berjawab. Kadang-kadang Kuntum terfikir, kenapalah
hubungan mereka berdua tidak serupa dengan kembar yang lain? Asyik tahu
bertekak saja. Berbaik pun jarang-jarang. Pendapat jarang sama.
“Ketum, kau dapat jumpa si Carl tak
semalam?” tegur Kasturi sebaik sahaja keluar dari bilik air. Rambutnya yang
basah dikeringkan dengan tuala.
“Kau mandi? Nak keluar hiking ke?” Soalan berbalas soalan.
Soalan Kuntum dibalas dengan jungkitan
kedua-dua kening. Kuntum bangun dan menarik kerusi belajarnya.
“Okey, semalam aku jumpa Carl! For the first time in forever aku jumpa
dia depan-depan. Kau tahu tak?”
“Tahu apa?”
“Dia sangat, sangat, sangat kacak bila
depan mata! Aku macam tak percaya bila terpilih sebagai peminat pilihan
semalam.”
Terherot-herot bibir Kasturi tersenyum.
“Macam mana tak terpilih, tengoklah
sikap kau. Terlalu fanatik! Aku pula yang muak kena hadap muka dia hari-hari.”
“Apa maksud kau hadap hari-hari?” tanya
Kuntum dengan nada cemburu.
“Kau tengoklah sendiri bilik ni. Penuh
dengan rupa si jambu ni. Kau tak terfikir ke Ketum? Hari-hari dia pandang kita
dalam bilik ni, berkemban, baju tak cukup kain dan kadang-kadang dengar kau
melalak nyanyi lagu dia. Kau tak rasa seperti diperhatikan ke? Orang lain
mungkin nampaklah kau ni lemah lembut orangnya tapi dengan aku, kau ni gila.
Gila bayang. Eee, seram!” Sejurus melemparkan kata, Kasturi terus menghamburkan
ketawa. Suaranya yang serak-serak lunak kedengaran merdu.
Kuntum yang sedari tadi mendengar
luahan Kasturi segera menegak. Liur ditelan sebelum mengitari sekeliling meja
dan katilnya. Ada betulnya juga kata-kata Kasturi. Macam mana kalau gambar ini
hidup? Kuntum mula membayangkan pandangan Carl yang redup itu. Aduhai, malulah
dia dengan Carl!
“Argh! Kau ni kan, Kasturi, suka buat
aku terbayang pelik-pelik. Ini gambar je, dan gambar tak hidup. Padahal kau nak
hasut aku buang barang-barang dia, kan? Jangan harap. Wek!”
Muncung mulut Kasturi apabila
hasutannya tidak menjadi tapi kadang-kadang dia ada terfikir juga benda itu.
Sejak gambar Carl memenuhi ruang bilik dia menjadi segan. Nak buka tudung pun sampai
dia berfikir banyak kali. Kalau di kampung pula, dia jarang masuk bilik Kuntum
tapi masih boleh dimaafkan memandangkan mereka di bawah pemantauan ibu dan
ayah.
Azan subuh mula berkumandang dan
cepat-cepat Kasturi menyarung telekung sementara Kuntum sudah bersiap-siap
dengan bakul mandinya. Sebaik sahaja azan habis dia terus ke tandas. Bukan
mandi tapi sekadar bersugi dan cuci muka sebelum berwudhu. Hujung minggu begini
tidak lalu dia menjamah air sejuk. Mahu dia menggigil nanti.
No comments:
Post a Comment