Sunday, February 8, 2015

Pemilik Hati Abang Surau [bab 7]




7

K
EADAAN dalam perpustakaan agak lengang. Biasalah, pada awal-awal semester begini selalunya ramai yang masih dalam mood bersuka ria. Tapi tidak bagi Zafira. Dia dan Sofea masih tekun menghadap buku dan juga manual yang sempat difotostat daripada pensyarah. Namun, mereka lega. Sekurang-kurangnya kekurangan pelajar dalam perpustakaan mereka dapat memberikan lebih tumpuan.
      Sofea cuba membetulkan urat tengkuknya yang lenguh. Sudah berjam rasanya dia berada dalam keadaan menunduk. Laptop yang terpasang sedari tadi dimain. Earphone disumbatkan ke dalam lubang telinga. Dia cuba relakskan diri sementara menanti kelas seterusnya.   
      “Peah, aku nak pergi kaunter kejap. Nak pinjam buku.” Zafira bersuara.
      Angguk.
       “Okey.”
      Kerusi ditolak ke belakang dan tanpa sedar kerusinya berlaga dengan kerusi belakang. Kuat. Zafira tergamam. Dia bukanlah terkejut kerana kerusi tersebut berlaga tapi terkejut kerana muka pemilik kerusi yang dilanggarnya.
      Zafira telan air liurnya. Uhuk! Tersedak.
      Lelaki itu memandang tajam wajah Zafira. Zafira kecut perut. Entah bila masanya lelaki itu berada di belakangnya Zafira sendiri tak tahu.
      “Ma... maaf. Tak perasan.”  Lelaki itu menghela nafas kemudian angguk.
      “Hurmm!” balas lelaki itu malas melayan. Terburu-buru Zafira berlalu ke kaunter. Bimbang pula kalau lelaki itu berubah perasaan. Sofea hanya memandang tubuh Zafira berlalu. Dalam hati dia juga turut berasa takut.
      “Fuh! Gila punya Faheem. Terlanggar kerusi dia pun boleh jeling macam tu. Nasib baik mood dia tengah elok,” bisik Zafira sendiri sambil berlalu ke kaunter.
      Buku dihulurkan kepada pustakawan. Sambil menanti matanya meliar memandang sekeliling dan sekali lagi matanya tertangkap pada pandangan Faheem Hidayat. Gulp! Liurnya ditelan lagi. Perlahan-lahan dia melarikan anak matanya. Seram.
      Kakinya laju melangkah ke arah meja di mana Sofea berada.
      “Peah, jom kita pergi. Lagipun kelas dah nak mula.” Pantas saja tangan Zafira bermain dengan buku-bukunya yang bersepah. Sofea yang seolah-olah mengerti turut mengemas barang-barangnya.
      Faheem Hidayat senyum sinis.


“PEAH, kau tengok tak si Faheem tu tadi? Gila seram!”
      Sofea angguk laju. Dia memang tidak dapat menafikannya. “Betul-betul. Aku tadi kalau kau tak ajak keluar memang aku nak keluar. Habislah kita nanti Fira.”
      “Apa maksud kau dengan nanti?” soal Zafira bingung.
      “Eh, kau dah lupa ke yang dia tu pengerusi Kelab Rekreasi? Sudahlah Sabtu ni kita ada latihan kayak.” Terlopong Zafira mendengarnya. Hampir saja dia terlupa. Patutlah lelaki itu tidak berapi. Ah, pasti si Faheem sudah merencanakan sesuatu untuknya nanti.          
      Jantungnya berdebar. Lengan Sofea dipaut dan menuju ke surau. Kebetulan sudah menginjak waktu Zohor. Alang-alang mereka berdekatan situ lebih baik terus solat. Sofea menurut. Hampir saja terjatuh buku di tangannya. Dia faham perasaan Zafira tapi bukankah gadis itu berani? Wajah Zafira disebelah dipandang lantas bahunya dijongket. Mungkin dia tidak sepenuhnya memahami gadis sebelahnya itu.
      “Hoi!”
      “Mak!! Peah, kau tengok siapa yang tegur kita tu.”
      Matanya sudah ditutup dengan telapak tangan. Sebaik sahaja berpaling, Sofea terus senyum melebar. Lengan Zafira digoncang supaya turut berpaling. “Hesh, kau beritahulah dulu siapa?”
      Pijoe mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah bertanya, kenapa? Namun, Sofea hanya sengih.
      “Kau tengoklah yang pasti bukan Abang Faheem.”
      Perlahan-lahan Zafira berpaling dan ternyata dia lega. “Pijoe! Nasib baik kau yang tegur.”
      “Erk… kau orang ni kenapa sebenarnya ni?” tanya Pijoe.
      “Sebenarnya tadi kita orang ada masalah sikit dengan Abang Faheem. Ini kiranya kita orang lari daripada dialah. Takut punya pasal kita orang menginsaflah datang surau. Lagipun kebetulan dah masuk waktu,” terang Sofea. Zafira mencebik apabila mendengar Sofea menyebut Abang Faheem. Meluat.
      Mengekeh Pijoe ketawakan mereka. “Apalah, itu pun nak lari. Kau orang ingat Sabtu ni kau orang boleh lari lagi ke?”
      “Haa, itulah pasal. Aku duk fikir juga macam manalah nanti.” Bulu roma Zafira sudah meremang.
      “Haish, dahlah. Jom pergi surau. Nanti kan terlambat masuk kelas Sir Hamid.”


SAAT ingin mengikat tali kasutnya perutnya tiba-tiba meragam. Zafira menggosok lembut perutnya. Haish, masalah. Terlebih makan tak boleh, kalau tak makan lagilah tak boleh. Hatinya merungut. Tekaknya loya. Air liur ditelan bagi menghilangkan rasa tersebut. Apabila rasa loya sudah hilang perutnya pula memulas. Masalah, masalah.
      Berkerut kening Sofea memandang Zafira yang sudah menggosok-gosok perut.
      “Kau okey tak ni, Fira?”
      “Aku okey. Cuma… perut aku ni tak selesa,” adu Zafira.
      “Kenapa, masuk angin? Pergi kliniklah.”
      Tangan Zafira cuba ditarik tapi cepat-cepat dihalang. “Eh, tak apa. Aku cuma perlu masuk tandas. Peah, lebih baik kau dengan Pijoe pergi kelas sekarang. Nanti aku menyusul. Lagipun bukan masuk angin.”
      Sengih.
      “Hurm, betul ni? Kalau apa-apa hal nanti telefon aku ataupun Pijoe, ya?”
      Angguk. “Ya, aku sakit perut nak membuang aje. Kau pergi ajelah. Kalau lama sangat dalam tandas aku skip kelas kut.”
      “Yalah, aku pergi dulu.”
      Sebaik saja Sofea sudah hilang daripada pandangan Zafira terus ke tandas yang disediakan di dalam surau. Tiba-tiba dia teringat pada sesi orientasi dulu. Tak pasal-pasal fasi Alya dan Fiya ingin bawanya jumpa doktor. Dia ketawa kecil.


DAHINYA yang berpeluh dilap. Penat pula berhempas pulas dalam tandas tadi. Zafira memandang jam di tangannya dengan pandangan kosong. Dia tahu yang dia sudah terlambat empat puluh minit untuk ke kelas. Buat pertama kali dia terpaksa ponteng kelas.
      Zafira mengeluh. Telefon di dalam begnya digagau dan cuba memberitahu Sofea. Zafira yakin Sofea pasti sedang risaukannya. Usai saja menaip mesej, Zafira terus kembali ke rak kasut dan menyarungkan kasut ke kaki. Tali kasut diikat kemas. Semua orang tahu bahawa Zafira bukanlah jenis ayu dan sering berbaju kurung. Dia lebih selesa memakai seluar jean yang dipadankan dengan sneakers.
      Kakinya mula menapak keluar daripada surau. Namun, sebaik saja melalui laluan lelaki langkahnya terhenti. Sebuah buku milik lelaki berbaju sejuk coklat itu tercicir.
      “Err… awak!” panggil Zafira tapi hampa. Lelaki itu sudah pun berada jauh daripadanya. Zafira hanya mampu menggigit bibir. Hendak atau tidak Zafira mengambil buku nota yang berkulit ungu itu. Buku itu dibelek-belek. Nampak gaya seperti milik seorang senior.  Ada terselit plan untuk aktiviti Kelab Rekreasi. Hah, Kelab Rekreasi?
      ‘Mungkin abang ni salah seorang Ajk kelab ni,’ fikir Zafira.
      Akhirnya Zafira membawa kakinya kembali ke surau. Buku nota itu ditilik lagi. Dia cuba mencari nama empunya buku tapi tiada. Kepalanya digaru. Kemudian matanya tertangkap pada bakul yang disediakan di perkarangan surau. Bakul itu memang disediakan untuk mereka yang tertinggal barang di surau.
      Tubuh Zafira tiba-tiba menegak. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Zip begnya dibuka lantas dikeluarkan kertas kecil yang mempunyai corak abstrak di atasnya. Pen diambil. Zafira cuba meninggalkan pesan buat empunya buku.
     
      Buat Abang Surau, tadi saya terjumpa buku nota abang tercicir di depan surau. Saya jerit panggil abang tapi abang tak dengar. Jadi saya titipkan surat ni untuk Abang Surau. Kalau Abang Surau dah jumpa buku ni semestinya Abang Surau baca surat saya. Saya minta maaf sebab saya buka buku ni. Lagipun niat saya cuma nak cari tahu siapa pemilik buku. Salam maaf daripada, Sheera Cik Surau.

      Zafira senyum sendiri apabila membaca surat yang ditulis kepada Abang Surau. Tidak ramai yang memanggilnya Sheera jadi dia cuba menggunakan nama tu. Surat itu diselitkan ke dalam helaian buku.
      “Ceh, Cik Surau konon.” Ketawa kecil. Buku berkulit ungu itu diletak rapi dalam bakul surau. Dalam hati dia berharap sangat Abang Surau bakal temui bukunya.


TEPAT jam 8.30 pagi kelihatan ramai peserta yang telah berdaftar untuk Kelab Rekreasi mula berkumpul. Rata-rata daripadanya daripada pelajar Tahun 1. Masing-masing cuba menepati masa. Takut benar jika dimarahi oleh pengerusi kelab. Mereka semua kenal dengan sikap tegas yang sering ditonjolkan oleh Faheem Hidayat. Sejak sesi orientasi lagi mereka sering berjaga-jaga dari segi pertuturan dan perbuatan. Bimbang  jika ditegur oleh lelaki itu.
      Namun berbeza buat Zafira. Perasaan takut sudah dilempar jauh-jauh ke dalam tasik. Ingatannya terhadap kes di perpustakaan dibuat-buat lupa. Hari ini dia ingin enjoy. Lagipun, dia yakin Afiq Farhan akan sentiasa memihak padanya. Pandangan Faheem Hidayat dibalas dengan senyuman sinis.
      Faheem Hidayat berdehem. Gadis itu nampak begitu berani.
      “Semua dah ada?” tanya Faheem.
      “Dah!”
      Isyarat diberikan kepada Fiya untuk memulakan aktiviti. Fiya menurut. “Baiklah, sebelum tu kita buat regangan otot. Make sure kau orang bagi space sikit,” arah Fiya.
      Sambil mendepakan tangan, mata Zafira cuba mencari kelibat seseorang. Dahinya mula berkerut. Tangannya dipusing ke depan dan belakang mengikut gerak badannya hinggalah… pap! Tangannya tersekat pada sesuatu. Kayu?
      Zafira memandang sebelah. Gulp! Faheem Hidayat sudah berpeluk tubuh memandangnya. Dia berdiri tegak memandang mata Zafira. Zafira kaku. Lelaki itu nampak lain apabila mengenakan cermin mata hitam. Nampak lebih kacak. Giliran Faheem pula berkerut.
      ‘Apa masalah perempuan ni?’ Tangan digoyangkan di hadapan Zafira. Zafira tersentak apabila Faheem sudah senyum menyenget padanya.
      “Hensem sangat ke aku ni? Haish…” puji Faheem sambil berlalu pergi.
      Zafira mencebik. ‘Tak malu betul. Ada ke puji diri sendiri?’
      Sesi regangan tamat. Masing-masing tidak sabar untuk mencapai pendayung. Mata mereka sudah bersinar. Ada yang teruja kerana sudah lama tidak berkayak dan ada juga yang teruja kerana ingin belajar. Semuanya ada niat tersendiri. Namun Zafira masih lagi tidak senang. Orang yang dinanti-nanti tidak kelihatan. Habislah dia nanti. Kalau Afiq Farhan tak ada pasti dia sedap-sedap dibuli oleh Faheem. Kepalanya digeleng laju.
      “Weh, aku tak ada nampak pun Abang AF.” Teguran Pijoe membuat Zafira tersentak. Dadanya diurut.
      “Entahlah. Cuba kau tanya kak Fiya.”
      Pijoe menurut namun bukan ditanya pada Fiya tapi Faheem Hidayat! “Abang Faheem, Abang AF tak datang ke? Tak ada nampak pun batang hidung dia,” soal Pijoe selamba.
      Senyum Faheem semakin meleret. Wajah Zafira dipandang disebalik kaca mata hitam yang dipakainya.
      “Abang AF kita ada hal hari ni. Nampaknya tak ada tempatlah untuk seseorang tu nak bela diri.” Topi di kepala dibetulkan. Zafira mula gelisah. Sudah jelas kata-kata itu ditujukan kepadanya.
      “Huh? Oh, okey.” Pijoe kebingungan lantas menjongket bahu. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Faheem Hidayat. Zafira didekati. Wajahnya ditunduk sedikit bagi menyamai ketinggian Zafira.
      “Aku rasa, lebih baik kau tarik diri ajelah.”
      Merah padam muka Zafira. Kurang asam punya Faheem Hidayat! Dia tidak akan menyerah. Hendak saja dia hempuk lelaki itu dengan pendayung tapi, pendayung pun belum ambil lagi. Dia merengus.
      “Nampaknya semua dah tak sabar. Dayat! Aku mula dululah,” jerit Fauzan. Faheem menaikkan ibu jarinya ke atas. “Baiklah, sekarang ni kita akan bahagikan pasangan. Tidak boleh memilih!”
      Kedengaran semuanya mengeluh apabila Fauzan membacakan nama pasangan yang bakal dipasangkan. Kebanyakannya bakal berpasangan dengan senior. Senang untuk mereka belajar. “Pasangan terakhir… Dayat! Kau dengan Tengku Zafira.
      “What?!” Zafira dan Faheem saling berpandangan. Siapalah yang jahat sangat nak pasangkan mereka berdua. Fauzan sengih lantas menjongket bahu. Dia sendiri tidak tahu. Wajah Faheem tidak beriak. Rasanya dia tahu siapa yang sanggup perdajalkannya.
      “Afiq Farhan…” bisik Faheem.


“UHUK! Uhuk!” Air yang diteguknya tersekat di kerongkong. Afiq terus meletakkan cawannya di atas meja. Tekaknya perit.
      “Hish, kamu ni. Macam mana boleh tersedak.” Belakang anak terunanya diusap lembut.
      “Tak tahulah ma. Mungkin ada yang rindu kut.”
      Sengih.
      Tiba-tiba dia teringat bahawa hari ini ada latihan berkayak buat Kelab Rekreasi. Ahh, pasti Faheem sudah dapat menekanya. Afiq Farhan senyum sendiri.
      “Sekarang senyum-senyum pulak. Siapa yang rindu tu? Girlfriend ke?” usik Puan Anita.
      “Tak adalah mama. Sebenarnya hari ni ada latihan kelab. Tapi, Afiq tak ikut serta mungkin dia orang rindu Afiq lah tu.”
      Puan Anita ketawa. “Macam tu pula.”
      Suasana sunyi seketika. Masing-masing melayan perasaan. Afiq memandang Puan Anita. “Ma… kenapa mama tiba-tiba suruh Afiq balik hari ni?” Puan Anita diam kemudian senyum. Soalan Afiq masih belum berjawab.
      Afiq kemudian teringat sesuatu. “Oh, bukankah hari tu mama cakap ada hal nak bincang. Hal apa tu ma?”
      Puan Anita terdiam. Wajah anaknya ditatap lembut.
      “Hari tu, mama ada terserempak dengan nenda kamu.”
      “Nenda? Kat mana?”
      Nafas dihela. “Tesco. Mama jalan-jalan dekat Mak Inah kemudian nenda kamu tegur mama.”
      “Lepas tu, apa jadi? Nenda tengking mama ke?”
      Geleng.
      “Tak.”
      “Habis tu?”
      Bersusah payah Puan Anita ingin menyusun ayat. “Kamu ingat tak yang mama ni bermadu?”
      Perlahan-lahan Afiq Farhan mengangguk. “Kenapa dengan kes bermadu?”
      “Hari tu, nenda kamu cakap yang anak madu mama belajar satu kolej dengan kamu. Maksudnya, adik kandung kamu.”
      “Afiq.. tak fahamlah mama.”
      “Senang cerita, kamu masih ada adik beradik hasil perkahwinan kedua ayah kamu. Dan anaknya belajar dalam kolej yang sama dengan kamu.”
      “Lelaki ke perempuan?” soal Afiq Farhan teruja.
      “Perempuan. Nama apa ya, mama lupa. Nenda ada sebut hari tu. Ra.. entah, ada ra… lebih kurang macam tulah.”
      Afiq Farhan diam. Takkanlah…
      “Tengku Sheera Zafira?” teka Afiq.
      “Haa, nama itulah. Kamu kenal ke?”
      Senyum. “Nenda tahu tak nama penuh Afiq?”
      “Tak. Mama ingat nak beritahu tapi Mak Inah kamu ni bising-bising ajak bayar. Tak sempat mama nak berbual dengan nenda kamu tu,” rungut Puan Anita.

      Afiq Farhan menghela nafas lega. Kalau boleh dia tidak mahu Zafira mengetahuinya. Biarlah menjadi rahsia buat sementara waktu. Nendanya pun satu. Dari dulu tak pernah ingat nama penuhnya. Asyik Farhan saja yang disebut. 

2 comments: