Saturday, May 19, 2018

Hikayat Cinta -1-

-1-

ADURA bersandar pada pintu kereta. Sudah banyak temu duga yang dia hadiri tapi tiada satu pun yang diterima. Kereta Myvi yang dia pakai sekarang pun belas ihsan Adrian. Kalau pandai naik motor sudah lama rasanya dia guna. Kasihan pula Adrian terpaksa guna motor untuk ulang-alik ke tempat kerja.
Telefon pintar dikeluarkan lalu mencari laman sosial. Pintu kereta dibuka lantas memboloskan diri ke dalam. Sudah menjadi kebiasaan menyemak aplikasi Whatsapps. Group Whatsapp keluarga dibuka lalu menaip sesuatu.

You : Gagal lagi.
Abang Ad : Duduk dapur sajalah.
You : Takkanlah selamanya adik nak hadap tepung!
Abang Ad : Bukan itu maksud aku.
Ibu : Ad nak suruh adik kahwin kan?
Abang Ad : Pandai ibu.
Kak Amy : HAHAHAHA

Adura telan liur. Ayat ibu membuat dia tercekik. Cepat-cepat dia tutup aplikasi tersebut dan membuka enjin. Patutlah panas semacam rupa-rupanya setelah masuk kereta terus buka telefon. Adura mengurut pelipis. Kalau dilayan Adrian nanti semakin melarat pula kes ini.
Adura menolak gear undur.
Entah apa ciri-ciri yang melayakkan dirinya untuk diterima pun dia tidak tahu. Syarikat inginkan pekerja yang berpengalaman sekurang-kurangnya dua tahun, memanglah tidak dapat jawapannya. Sudahlah pula, dipandang pula dari atas ke bawah serupa pesalah saja. Salahkah pergi temu duga pakai baju kurung? Dulu Adura pernah pakai kemeja dan seluar slack hitam dengan kot, itu juga kena perli. Katanya bukan budaya kita mengenakan pakaian sebegitu.
Adura merengus. Stereng dipulas ke kanan dan berhenti di hadapan Restoran Ayam Kampung. Tiba-tiba nafsu makannya membuak-buak naik. Merugikan masa sungguh. Kalau tahu dia tahu jadi begini lebih baik duduk di rumah dan siapkan tempahan kuih daripada kawan-kawan ibunya. Tapi, ianya hanyalah ‘kalau’. Bermain dengan perkataan ‘kalau’ serupa tidak terima boleh hakikat. Adura menggeleng kepala.
“Sabar Adura. Belum ada rezeki nak dapat kerja makan gaji.”
Sebaik sahaja menapak masuk ke dalam restoran, bahunya ditepuk lembut. Adura berpaling.
“Adura!”
“Dhira?”
Perempuan bernama Dhira itu mengangguk pantas. “Ya. Akulah, Dhira. Ya Allah lamanya tak jumpa kau. Sihat?”
Adura angguk dan senyum segaris. Tak menyangka akan berjumpa dengan rakan satu fakulti dengannya. Sudah hampir setengah tahun tak jumpa. Nak cakap gembira pun tidak sangat sebab dia takut. Takut dengan satu soalan yang bakal diajukan selain daripada kahwin.
“Kau kerja kat mana sekarang?”
Bingo! Adura garu kepala. “Erk, kau datang dengan siapa?”
“Seorang je. Jomlah lepak sekali aku pun baru sampai. Dari tadi aku ikut belakang kau. Ingatkan salah orang tadi.”
Hendak tak hendak saja Adura mengangguk. Dia tiada alasan lain. Lagipun dia memang datang sendiri dan tidak berteman.
“Yalah, boleh borak-borak kan?”
“Ha, pandai pun!”
Adura gigit bibir. Parah apabila terjumpa budak banyak cakap.


TERANGGUK-angguk Dhira mendengar cerita Adura. Jika diikutkan tidaklah parah sangat masalah Adura mungkin belum jadi rezeki gadis itu lagi.
“Patutlah kau diam je bila semua orang dalam group Whatsapp tu bercakap hal kerja. Selalunya kau mencelah juga.”
Adura tunduk sambil menguis sisa nasi dalam pinggan. Akhirnya dia terlepas juga satu cerita. Inilah parahnya bila kurang kawan. Hendak pendam pun satu hal. Rata-rata kawan dari universiti dah kerja. Kebanyakannya mendapat tawaran dari tempat mereka praktikal dulu. Untunglah majikan suka. Ditambah pula dengan ekonomi sekarang yang tidak menentu, nak gajikan pekerja pun sebolehnya hendak yang mahir saja. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, dari pelajar praktikal terus diserap jadi pekerja walaupun hanya kontrak.
“Entahlah Dhira. Zaman sekarang ini ramai yang ambil saudara sendiri bekerja. Buat temu duga pun sekadar syarat saja. Tidak ke menyusahkan orang? Kalau dah ada pilihan sendiri buat apa susah-susah buka peluang sampai tiga hari.”
“Serius? Mana kau tahu?” tanya Dhira lalu menyedut air kelapa yang berbaki.
“Staf dekat situ. Aku dengar mereka cakap sebenarnya dah ada calon pilihan pun. Adik pengurus di situ. Kalau kau yang terkena macam mana? Bengang tak?”
Dhira mengangguk laju tanda setuju. Dengar cerita saja boleh bengang apatah lagi kalau yang lalui. Dia sendiri dapat kerja disebabkan kakaknya sendiri. Rasa terkena dekat batang hidung. Mujur Adura tak tahu.
“Sabarlah Edy. Lagipun masih awal. Ada orang menganggur sampai bertahun. Lagipun kau bukan duduk rumah goyang kaki saja kan? Kau ada buat tempahan kuih. Kira okeylah tu,” pujuk Dhira.
“Sebenarnya aku tak adalah kisah sangat pasal ni,”
“Pula… habis tu? Bukan main emo bercerita.”
Tersengih-sengih Adura. Kepala yang tidak gatal digaru. “Ayah yang beria-ia suruh aku cari kerja. Pastikan dapat kerja sebelum konvo.”
“Serius ayah kau cakap macam tu?”
Adura angguk. Tergelak Dhira dengan cerita Adura. Sebelum konvo maknanya ada lagi masa selama dua bulan. Memang tidak lama lagi. Patutlah Adura tertekan saja.
Ketika Adura toleh ke kiri, matanya tiba-tiba bertembung dengan satu sosok yang amat dikenali. Tergamam seketika. Lelaki itu tidak bersendiri tapi dengan seorang wanita. Siapa dia? Mereka nampak mesra sangat. Wanita itu memeluk erat lengan si lelaki. Mata Adura mula berkaca.
“Rafael?”
“Rafael? Siapa?” Dhira menoleh ke arah yang sama lalu dikecilkan mata. Kurang jelas.
Adura bangkit dan cuba mengejar langkah Rafael. Terkocoh-kocoh Dhira bangun dan melunaskan bil. Mujurlah tidak ramai pelanggan, kuranglah sikit malu. Taubat tak akan singgah restoran ini lagi buat masa terdekat.


DADA Rafael berdegup kencang. Tangan diletakkan di dada seketika cuba tenangkan diri. Dahi berkerut seribu. Macam mana pula boleh bertembung dengan gadis itu? Rafael mengurut pelipis pula. Pening. Silapnya hari ini dia tidak berhati-hati. Tangan wanita yang setia di sisinya diraih untuk mencari kekuatan. Wanita itu membalas.
Are you okay, Raf?”
Rafael mengangguk.
You drive, boleh?”
“Boleh. You tenanglah dulu. Risau I tengok keadaan you macam ni. By the way, siapa perempuan yang kejar kita tadi tu?” tanya Intan dengan kerutan.
“Dia masih ada di situ?”
Melalui cermin pandang belakang masih lagi terlihat gadis itu seperti orang sasau mencari Rafael. Tiba-tiba ada seseorang menarik gadis itu, mungkin kawan dia. Fikir Intan.
“Erm, baru pergi. Kenapa? Siapa dia? You tak jawab lagi soalan I.”
“Adura.”
Intan termenung seketika cuba mencerna nama Adura. Macam kenal. Tiba-tiba bulat mata Intan memandang Rafael. “You means Nurul Adura your junior?”
“Ya. Dialah.”
“Kasihan dia. Kenapa you tak berdepan saja dengan dia?”
Rafael menggeleng. Sejujurnya dia belum kuat untuk berdepan dengan Adura. Lagipun gadis itu terlalu baik. Adura terlalu banyak kecewa berbanding bahagia. Rafael tidak mahu menambahkan lagi kekecewaan dalam diri Adura. Dia perlu berbuat sesuatu.
“Biarlah. Suatu hari nanti I akan bertentang mata dengan dia. Tapi sekarang ini, I nak balik rehat tapi… dengan my beloved wife.” Rafael mengenyit mata kepada Intan membuatkan wanita itu tersipu-sipu.
“Mana boleh!”
Why not? Intan kan jururawat peribadi abang.”
“Mengada.”
Tanpa berlengah Intan segera menarik gear D dan keluar dari parkir. Mujur juga mereka parkir agak jauh dari restoran tadi. Jadi, Adura tidak sempat mengejar mereka.


USAI meminta maaf dengan Dhira petang tadi, Adura segera pulang. Banyak pertemuan yang tidak dijangka. Paling memeranjatkan apabila bertemu mata dengan Rafael. Lelaki itu sedikit berubah dari segi penampilan namun dia tetap tidak dapat lupakan seraut wajah itu. Adura duduk di luar rumah sambil menghirup udara malam. Dingin. Tetapi jiwanya tidak mahu tenang hatta buat seketika.
Rafael, terlalu lama menghilang kini muncul kembali. Allah sudah perkenankan doanya untuk bertemu dengan Rafael cuma… siapa pula wanita yang memeluk mesra lengan Rafael? Kenapa Rafael perlu lari?
Bermacam-macam persoalan berlegar dalam benak. Ingatannya tidak boleh lekang dari terus berfikir tentang Rafael. Hanya Rafael yang tahu kisah silamnya. Adura gigit bibir. Matanya mula bergenang.
“Dia dah lupakan aku ke? Atau… dia tidak boleh terima masa silam aku?”
Toyota Vios milik Amyra masuk ke dalam perkarangan rumah dan lekas-lekas Adura mengesat air mata yang sudah menitis. Wajah cuba dihiaskan dengan reaksi biasa. Anak-anak Encik Johari kebanyakannya sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri melainkan Adura. Selalunya kaum ibu yang banyak membebel tetapi sebaliknya yang berlaku. Encik Johari yang jenis suka bercakap dan sindir anak-anak jika malas. Pantang sungguh! Mungkin terbiasa dengan sikap tenteranya.
“Kau buat apa kat luar ni, dik?”
“Tunggu Kak Amy la. Dah lewat macam ini baru nak balik. Dating ke?”
Amyra menjongket kening kanan. “Kau tak ada kerja ke selain nak perli aku?”
“Eleh, nak marahlah tu. Kak Amy tak boleh ke kalau tak jadi singa dalam sehari? Tak penat?”
“Kau ada masalah ke? Ayah bebel lagi?”
Geleng.
“Habis tu?”
“Adik jumpa Rafael.”
Berkerut-kerut dahi Amyra cuba mencerna makna ayat Adura. “Kau pergi jumpa dia?? Tahu pula dia ada dekat mana.”
“Bukan. Maksud adik tadi terjumpa dia dekat Restoran Ayam Kampung.”
Amyra mengambil tempat di sebelah Adura. Kunci kereta dan beg diletakkan di atas meja. Lelah dilepaskan dengan bersandar pada belakang kerusi.
“Sempat bercakap tak?”
Geleng.
“Dia nampak adik?”
Jeda seketika. Adura menjongket bahu. “Mungkin.”
“Mungkin?”
“Entahlah Kak Amy. Mungkin dia nampak adik sebab tadi dia terus larikan diri. Kat sebelah dia pula ada perempuan dan tiba-tiba peluk lengan dia.”
Terbatuk-batuk Amyra dengar cerita Adura. Tidak semena-mena tangannya mengaut kunci yang diletakkan di atas meja tadi dan bermain-main. Dia menunduk seketika.
Move on, dik.”
Adura menggeleng laju. “Bukan senang. Dua tahun adik tunggu dia. Tapi sekarang dia…” Air mata tidak dibendung lagi. Di bahu Amyra dia menghamburkan tangis.
Amyra mengusap lembut bahu Adura. Tipulah kalau dia tidak sedih. Memang senang menuturkan kata-kata positif tetapi itulah yang dia ingin Adura buat. Bergerak ke depan dan lupakan hal lama.
Disebalik langsir, ada dua pasang mata memerhati gelagat mereka berdua. Timbul satu rasa dalam diri masing-masing. Apa yang penting mereka berdua perlu lakukan sesuatu.

No comments:

Post a Comment