SUDAH hampir seminggu kejadian memalukan itu tapi sampai ke hari ini aku tak berani memandang muka Luke secara terus. Selepas lima hari aku terlantar demam baru semalam aku masuk kerja. Kenapalah kerap pula Luke datang kedai? Bukan saja kerap, lama pula tu. Aku seakan cacing kepanasan. Serba-serbi tidak kena. Jika dulu aku mahu Luke lama-lama di situ tapi sekarang kalau boleh aku tidak mahu Luke tunjuk muka tidak bersalah dia tu.
Bagi mengelak daripada bertembung dengan Luke, aku cuba ringankan tulang di dapur. Pinggan, cawan, gelas dan lain-lain aku sental dan menolak pekerja lain untuk ambil tugas aku. Kebetulan pula Louis tiada hari ini. Datzz yang sudah sedia maklum dengan keadaan aku hanya diam saja.
Rasanya sudah hampir dua jam aku duduk di dapur. Mungkin saja Luke dah balik. Lagipun malu masih menyerbu segenap muka. Macam manalah aku boleh pengsan dalam pelukan Luke? Sudahlah pengsan, boleh pula demam sampai lima hari. Orang lain pun terkejut juga tapi tak adalah sampai jadi macam aku.
Terjengket-jengket aku keluar dan memandang kerusi Luke yang sudah kosong.
“Yes!”
“Kenapa?”
Suara itu. Alahai… dia dengar ke? Belum sempat aku larikan diri, lenganku dipaut seseorang. Aku terperanjat. Tiba-tiba lelaki itu melekapkan tangan ke dahiku. Waktu itu, aku berasa masa seolah-olah berhenti dan seakan berada dalam dunia sendiri.
“Macam mana boleh jatuh sakit?” soalnya.
Aku? Masih lagi tidak percaya dengan apa yang berlaku. Jika selalunya dia sangat susah melontar suara, kini Luke berjaya mencipta sebaris ayat tanya untuk aku.
“Aduh, sakit!”
Aku menyentuh dahi yang dijentik. Meski tidak kuat tapi jelas rasa sakitnya. Aku menjeling ke arah Luke. Masih lagi dengan riak serius dia. Tapi tak apa. Semakin lama aku semakin jatuh suka dengan Luke. Aku mengoyak sengih untuk Luke yang masih setia menanti jawapan dariku.
“Okey,” ujar Luke sepatah seraya berlalu. Beg sandang yang ditinggalkan di kerusi diambil.
“Apa maksud awak dengan okey? Tadi awak tanya saya macam mana boleh jatuh sakit. Tak nak tahu kenapa ke?”
“Sebab awak dah sihat.”
“Macam mana awak tahu? Ah… rasa mahu pengsan lagilah.” Sebaik saja aku sebut pengsan, Luke cepat-cepat berpaling dan memandang ke arahku. Langkahnya semakin mendekat. Glup! Apa ni Melody, tadi kau beria sangat pancing Luke. Sekarang takut pula.
“Awak akan pengsan bila saya peluk saja. Jadi, jangan nak pengsan lagi. Take care.”
Luke menepuk kepalaku dengan lembut. Ah, kenapa dengan dia tu? Aku menjenguk keluar tingkap. Langit gelap dan cuaca mendung. Bibirku tidak semena-mena menguntum senyum.
Datzz, aku dah jatuh cinta!
HARI ini merupakan hari cuti. Kafe pun sudah tutup tiga hari. Kata Louis ada sedikit kerja ubah suai, mungkin ingin menyusun atur kembali kedudukan patung dalam kedai. Lantaklah, yang penting cuti. Sudah lama rasanya tidak bertapa di perpustakaan awam kolej negeri. Sejak bekerja sepenuh masa di Horror Cafe, aku lupakan terus niat untuk sambung belajar. Waktu kerja pun kadang-kadang tidak menentu, cuti pun kadang-kadang tak ada. Louis punya mata pula ada di mana-mana saja. Nak ponteng sekali pun susah.
Sejujurnya hidup aku penuh dengan misteri. Aku tak pasti sama ada diri sendiri mahupun orang sekeliling yang misteri. Cuma apa yang pasti, itu tugas aku untuk selesaikan semuanya.
Beberapa novel nipis tentang penyiasatan aku rembat dari atas rak. Bukan tidak mahu baca buku tebal, tapi aku malas. Lama sangat hendak habiskan buku-buku tebal. Nomik seram misteri aku sendiri pun ngam-ngam saja tebalnya.
Berdentum guruh di langit memeranjatkan aku. Lampu dalam perpustakaan tiba-tiba mati sendiri. Bergelap kami buat seketika. Ada yang menjerit nyaring pasti kerana terperanjat. Aku mengurut dada. Tidak lama kemudian, suasana kembali terang.
“Melody.”
Badanku menegak. Suara itu datang lagi. Perlahan-lahan aku menutup buku dan badan sudahpun meremang. Tak sedap hati. Belakang tengkuk aku urut lembut bagi menghilangkan rasa penat menunduk.
Aku kemudian memusingkan badan dan satu adegan yang tidak enak berlaku di depan mata. Hampir terbuntang mataku melihat pasangan tersebut. Bukan kerana drama tapi orang itu.
“Tiada bunga yang dapat tandingi kecantikan you. Tiada lesung yang bisa menggantikan lesung pipit. Burung pipit pun boleh tergamam bila melihat. You are so… comel!”
Oh, no!
Aku mengurut dada. Tiba-tiba tekak berasa mual. Betulkah apa yang aku dengar tadi? Bukan main ayat manis yang ditabur untuk perempuan sebelah dia. Si perempuan pula sudah tersipu-sipu sambil menggetel hujung rambut. Aku perhati saja pemakaian perempuan tersebut. Atas kuning, bawah pula merah jambu terang dan dipadankan dengan kasut hitam. Ditambah pula dengan cekak rambut berwarna merah bersama cermin mata besar yang bulat. Pengsan!
Cantik lagi aku. Rambut depan yang pendek aku sisir menggunakan jari supaya lebih kemas.
Tiba-tiba matanya bertembung denganku. Aku mula gugup. Debaran dalam dada semakin meningkat. Gugup punya pasal, aku menjeling sekilas. Saat dia semakin hampir ke mari, aku terus pura-pura membuka buku.
“Hi, love. Seorang saja ke?” tanya Luke dengan wajah menggoda. Jaraknya dengan aku agak dekat hingga nafasnya terasa mengena pada lengan.
“Erk… Luke buat apa kat sini? Dengan siapa?”
“I miss you darling. Jom keluar date.”
Aku tercengang. Sudahlah soalan aku tidak berjawab, boleh pula dia ajak aku keluar.
“Hah? Nonsense.”
Luke ketawa kecil. Rambut yang aku ikat macam ekor kuda dia usik sementara matanya tajam memandang tepat pada mataku dengan senyuman bergayut di bibir.
“Jomlah. Luke rindu sangat dengan Melody ni. Lagipun kafe tutup, Luke nak curi-curi tengok pun tak boleh. ”
Aku menjeling tajam ke arah Luke sambil cuba sembunyikan senyum. Sikapnya lain benar dengan sebelumnya. Tapi… tadi Luke cakap curi pandang. Betulkah? Rasa berbunga pula.
“Boleh.”
“Yes! Memandangkan ini date pertama kita, jom pergi tengok wayang.” Luke menarik lenganku supaya mengikut rentaknya namun aku berkeras.
“Love, kenapa?”
“Siapa perempuan pelangi ni? Kenapa dia nak ikut sama?”
Perempuan pelangi itu menjegil ke arahku. Tidak puas hatilah tu.
“Ops, Ruby. I minta maaf ya, sekarang ni I ada date dengan my love. See you.”
Belum sempat perempuan pelangi itu membalas, Luke pantas menarik aku keluar. Sempat lagi aku hadiahkan senyuman kemenangan. Padan muka si pelangi. Luke suka akulah! Ingin saja aku jerit.
HUJAN yang turun lebat tanpa henti itu dipandang sepi. Aku mahupun Luke hanya tegak berdiri di hadapan bangunan. Masing-masing hilang kata. Luke sudah garu kepala.
Aku? Rasa mahu menangis. Macam mana nak keluar kalau hujan? Sudahlah itu masing-masing tiada kenderaan. Datang sini pun naik bas dan berjalan kaki. Aku menghentak-hentakkan kaki.
“Love… Luke minta maaf.”
“Tak apalah Luke, nak buat macam mana… arghh!” Belum sempat aku menghabiskan ayat, Luke sudah menarik tanganku meredah hujan. Mujurlah hujan lebat tadi sudah bertukar renyai.
Persis filem hindustan, aku dan Luke berlari-lari anak menuju ke perhentian bas berteduhkan jaketnya. Perubahan sikap Luke benar-benar menimbulkan persoalan tapi aku suka. Kalau boleh aku mahukan Luke yang kini berbanding dulu. Tanya sepatah, maka sepatah juga yang dibalas. Apabila fikirkan Luke yang dulu, tidak semena-mena bibirku tercebik.
Sebaik saja kami tiba di situ, bas mula sampai. Cepat-cepat kami naik. Mujurlah tidak ramai, cuma ada dua tiga orang sahaja. Aku dan Luke mengambil tempat di bahagian belakang. Kami ketawa kecil. Lelah masih lagi terasa.
Luke menggosok lembut rambut depanku yang basah sementara tanganku mengusik rambutnya. Aku sengih sendiri.
“Melody nampak comel.”
Aku tersipu dengan pujian Luke. Terabai sudah segala taburan ayat manis Luke pada si pelangi tadi. Pandangan aku larikan ke luar tingkap bas. Langit menunjukkan tanda-tanda akan berhenti menangis. Cahaya juga mula terbias di sebalik awan tebal.
“Nasib baik hujan dah nak reda kan, Luke? Kalau tak mesti lecun habis pakaian kita sebelum sampai mall.”
Luke diam. Apabila aku memandang dia terus menguntum senyum tapi kelihatan sedikit janggal.
“Tapi Luke lagi suka kalau hujan. Bagi Luke, hujan merupakan saat yang sesuai untuk bercinta. Rasa romantik sangat. Contohnya sekarang, Luke rasa nak bercinta saja dengan Melody. Kalau panas, Luke rasa macam terbakar dan berasap.” Selamba saja Luke menuturkannya.
Sementara muka aku sudah terasa bahang. Malu.
“Dah macam pontianak.”
“Kalau saya pontianak awak nak ke keluar date?”
Tidak sempat aku mencerna permintaan Luke, bas sudah masuk ke selekoh kecil untuk menurunkan kami. Luke segera menarik tangan aku turun. Seperti yang aku mahu, cuaca kembali panas. Mood gedik aku sudah sampai! Aku memandang Luke. Tegang saja wajahnya.
“Luke?”
Aku meraih tangannya namun ditepis laju.
“Huh. Kita buat apa di ni?”
“Tadi kan Luke ajak keluar date. Tapi kenapa Luke macam tak suka saja sekarang ni?” soalku agak perlahan. Sejujurnya lebih kepada seram.
“Mengarut. Saya nak balik.”
“Tapi, Luke…”
“Date sendiri,” balas Luke sebelum berlalu menentang arus. Aku terpinga-pinga dengan situasi sebentar tadi. Kenapa cepat sangat Luke berubah?
No comments:
Post a Comment