Monday, May 28, 2018

Hikayat Cinta -3-


-3-

KALI ini Adura terpaksa tebalkan muka untuk pinjam kereta dengan Encik Johari. Selalu egonya saja yang tebal. Sebelum ini jika ada apa-apa pasti dia akan pinjam dengan Adrian. Tapi Adrian pula buat hal, katanya terpaksa ke Johor atas urusan kerja. Betul-betul di saat akhir.
Usai memarkirkan kereta di hadapan Kafe Arjuna, Adura duduk di meja yang menempatkan dua kerusi sahaja. Dia datang bukan untuk makan atau minum tetapi atas urusan perniagaan. Ini pertama kali dia berurusan secara terus. Debarnya lain macam. Selalunya pasti ada orang tengah untuk berurusan. Contohnya, Puan Sarah tolong catitkan pesanan dari kawan-kawannya dan tugas Adura sekadar menguli tepung. Senang. Walaupun tak selalu tetapi ada juga tempahan setiap bulan.
Adura tunduk bermain-main dengan telefon supaya tidak kelihatan janggal. Hari itu Dhira tak cerita habis tentang hal ini.
“Haish, jadi ke tidak ni? Atau aku saja yang ingat? Tak boleh jadi ni,” omel Adura sendirian.
Mata diliarkan ke segenap kafe. Pagi-pagi lagi sudah ramai pelanggan. Rata-rata pasti yang bekerja di bangunan tinggi berhampiran Kafe Arjuna. Adura mengangguk kecil. Mungkin.
“Awak ni, Cik Adura ke?” tegur satu suara dan Adura segera mendongak.
“Ya, saya. Encik ni…”
“Oh, saya RJ pemilik kafe ni. Jadi, inilah kawan Dhira ya?”
Adura mengangguk laju seraya tersenyum. Mujurlah dia masih ingat. Lelaki yang bernama RJ itu memaniskan wajah hingga menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Comel!
RJ berdeham mengembalikan Adura ke alam nyata.
“Erk, ya! Ya. Saya kawan Dhira. Maaf ganggu Encik Arjuna pagi-pagi macam ni.”
RJ menjungkit kening apabila Adura memanggilnya Arjuna. Ini mesti tersasul dengan nama kedai. Lantaklah.
“Tak mengapa. Jadi, boleh kita teruskan?” ajak RJ lalu menarik kerusi berhadapan dengan Adura.
Sure!”
Dalam masa sejam setengah mereka berbincang, baru RJ teringat untuk memesan minuman dengan pekerjanya. Apabila tekak mula kering, barulah ingat untuk minum.
“Maaflah Cik Adura, saya memang macam ini. Dah kering tekak baru ingat nak minum. Awak nak minum apa?” RJ jungkit kening.
“Eh, tak apa. Lagipun memang saya datang nak berbincang.” Adura menolak lembut pelawaan RJ. Bukan apa, dengan keadaan sekarang dia perlu berjimat. Sebolehnya modal nanti dia tidak mahu meminta dengan Encik Johari.
“Awak bukan pelanggan saya tapi client. Jadi, saya tetap kena hidangkan minuman. Kopi?”
Tergamam Adura. Lelaki itu seakan mampu membaca fikirannya ketika ini. Hish, nampak sangatkah muka terdesak aku ni? Fikir Adura.
Oh, pleasure.”


“TAK kelakarlah, Raf. Benda macam ni mana boleh bawa main. Ini tentang perasaan orang, tahu?”
Rafael memandang adiknya yang mencekakkan tangan ke pinggang. Namun dia tetap tenang. Di sebelahnya pula Intan yang sedia untuk membantu. Dia tahu, Faiq tidak pernah menolak cadangannya kerana lelaki itu sudah berjanji. Berjanji akan membahagiakan satu-satunya abang yang dia ada, selagi masih ada hayat.
Faiq garu kepala, serba-salah. Dia sanggup buat apa saja tetapi ini agak berat.
“Aku tahu kau boleh. Lagipun, kau dengan Ira dah putus kan?”
“Macam mana kau tahu?” Ternganga Faiq seketika dengan tekaan Rafael. Tepat.
Rafael ketawa kecil.
I’m your brother lah, Faiq. Kita berkawan sejak kecil dan aku dah masak dengan sikap kau. Sebelum kau berangkat pergi tunaikan umrah dengan umi dan walid dulu, kau dah putus kan?” teka Rafael dengan mata yang sengaja dikecilkan.
Teragak-agak untuk Faiq mengangguk. Rafael memang pandai membaca air mukanya. Pasti agak ketara.
Sementara Intan tersengih-sengih mendengar perbualan mereka berdua. Sejujurnya dia kasihan dengan Faiq tapi apakan daya, mereka perlu bantu Adura untuk melupakan Rafael. Mungkin inilah satu-satunya cara yang tinggal. Carikan pengganti Rafael untuk Adura.
“Kenapa kau tak kahwin je dengan dia, Raf?” usik Faiq. Sengaja melihat reaksi kakak iparnya. Tapi hampa. Intan sekadar senyum.
“Intan pun pernah suarakan hal itu, Faiq. Tapi abang you tak boleh terima dia.”
Rafael disebelah dipandang sekilas. Lelaki itu senyum saja lantas mengangguk.
“Raf nak Faiq buat apa? Jatuh cinta secara serius lepas tu tinggalkan dia?”
“Terpulang. Apa yang pasti jangan biarkan dia kecewa. Yang penting bagi dia jatuh suka dekat kau dan lupakan aku. Lama-lama bila kau rasa macam tak sesuai, buatlah sesuatu untuk dia bencikan kau,” pesan Rafael. Tenang.
Angguk.
“Kenapa bukan kau saja buat dia benci? Sama saja kan?” sinis Faiq.
“Kalau tak mampu tak apalah. Aku minta bantuan daripada orang lain. Sebolehnya aku tak nak paksa, yalah kau pun ada hak untuk memilih. Cuma… aku fikirkan hal kau.”
Jeda.
Perlahan-lahan Rafael bangkit dari sofa dan berura-ura mahu berlalu dari situ. Dalam hati dia tetap berharap agar Faiq dapat terima. Tiba-tiba kepalanya rasa berpusing. Rafael menekan kuat kepala yang sakit hingga keluar bunyi erangan.
Intan dan Faiq terperanjat lalu mendapatkan Rafael sebelum tubuh itu rebah ke lantai. Melihatkan keadaan Rafael yang lemah, Intan cepat-cepat mendapatkan kit yang menempatkan ubat-ubatan suaminya.
“Raf. Bangun, Raf. Intan… ubat Raf mana?? Raf, bangun!”
Tubuh Rafael digoncang beberapa kali. Namun, hampa. Rafael sudah tidak sedarkan diri.


BAGAIKAN kembar yang berkongsi tarikh lahir, Rafael dan Faiq memang tidak boleh berpisah. Walhal mereka cuma berkongsi tahun. Rafael lahir pada bulan Januari sementara Faiq bulan Disember. Seringkali mereka berdua dilabel sebagai kembar siam oleh walid dan uminya. Bergerak seiring bergandingan walaupun tidak seiras. Cuma rezeki mereka sahaja berbeza apabila masing-masing masuk ke dalam IPT yang berlainan. Minat juga berbeza. Jodoh Rafael pula agak awal namun tidaklah membataskan hubungan mereka.
Faiq memapah Rafael dari katil ke kerusi roda. Keadaan Rafael kini sangat membimbangkan. Pucat. Meskipun sudah dibenarkan keluar dari hospital, Rafael masih perlu hadir untuk menjalani rawatan kimoterapi. Intan cuba mengawal diri dari bersedih. Dia tahu, seteruk mana dia menangis sekalipun, belum tentu dapat sembuhkan penyakit suaminya. Apa yang penting sekarang hanya doa.
Topi sudu yang berada di atas katil dicapai lalu Faiq sarungkan pada Rafael. Sebaik sahaja mereka tiba di lobi hospital, ada seseorang datang mencuit.
“Rafael kan?”
Rafael tergamam. Dia kenal lelaki di depannya. Serba-salah Rafael untuk mengiakan soalan itu. Melihat seperti Rafael berjumpa dengan kenalannya, Faiq segera meminta diri seketika untuk ke tandas. Sejak tadi lagi dia menahan hajat.
“Tolong rahsiakan pertemuan ini daripada dia.”
“Siapa? Adura?”
Diam.
“Tapi kenapa?” Lelaki itu terus mengasak Rafael.
“Maaf ganggu. Tapi saya harap saudara jangan desak suami saya. Dia tak boleh tertekan.” Akhirnya Intan terpaksa juga mencelah. Kenapa ramai pula yang kenal Rafael saat-saat ini. Apa kaitan mereka dengan Adura? Intan berkerut.
Tiba-tiba ada satu insiden kecil di hadapan lobi hingga menggamit mereka untuk memandang.
“Adura?”
Cepat-cepat Rafael menarik topi ke bawah sementara Intan cuba mengalihkan wajah supaya tidak dapat dilihat.
Sorry! Saya tak sengaja.” Terbongkok-bongkok Adura menutur maaf dengan insan yang hampir dilanggarnya. Adura, jika tak kalut memang tidak sah. Ini semua gara-gara dia terlepas pandang amaran lantai licin ketika berlari-lari anak untuk mengejar pintu lif.
“Eh, tak apa. Cik okey, kan?”
Adura angguk. Usai memohon maaf lagi sekali dia terpandang wajah Adrian bersama seseorang yang berkerusi roda. Di sebelahnya pula berdiri seorang wanita. Siapa?
Apabila perasan dirinya diperhati, Adrian segera mendekati Adura. Mereka perlu pergi dari sini sebelum Adura ternampak Rafael. Betul juga apa pesanan Rafael tadi. Adura tidak boleh tahu tambahan pula lelaki itu sudahpun berkahwin. Maka bertambah-tambah kecewanya.
“Kenapa tadi tu?” soal Rafael sebaik sahaja Faiq menghampirinya.
“Oh, tadi perempuan tu berlari kat lantai basah. Mujur aku nampak dia nak jatuh tadi jadi sempatlah sambut. Nasib tak ada apa-apa.”
Kerusi roda ditolak hingga ke luar. Belum sempat Faiq ingin bergerak menuju ke kereta, Rafael segera memaut tangan adiknya. Faham akan keadaan itu Intan segera meminta kunci kereta.
“Kenapa kau biarkan Intan pergi ambil kereta?”
“Adura.”
“Hah? Mana??” Kalut Faiq mencari gerangan gadis yang bakal digoda nanti.
“Tadi.”
Faiq garu kepala tidak mengerti. “Kau maksudkan apa sebenarnya ni? Aku tak faham.”
“Orang yang kau selamatkan tadi ialah Adura.”
Jeda.
“Dia nampak baik. Aku tak sampai hati,” balas Faiq.
Rafael melepaskan lelah. Berat sekali. Sesekali dia terbatuk. “Aku tak minta kau permainkan dia. Tak salah rasanya kalau betul-betul jatuh cinta?”
Erk. Faiq terdiam.


“IBU! Ibu tak apa-apa ke? Macam mana boleh jatuh kat bilik air? Adik keluar hantar kuih sekejap je dah jadi macam ni.”
Muncung bibir Adura sambil menyentuh lembut kaki Puan Sarah yang berbalut. Tidak fasal-fasal terseliuh. Masing-masing menggeleng. Walhal sudah dimaklumkan dalam group Whatsapp tentang keadaan Puan Sarah, ini mesti kes tidak ada data internet.
“Tak ada apa-apalah. Ibu pening sikit itu yang terpijak sabun. Ayah kamulah ni lepas mandi tak bersihkan lantai,” tuduh Puan Sarah.
Adura membulatkan mata ke arah Encik Johari.
“Eh, kita pula. Dia yang pening.”
Masing-masing tidak mahu kalah dan akhirnya Adrian terpaksa menyampuk.
“Sudahlah tu adik. Tekanan darah ibu rendah sikit, itu yang pening. Lain kali duduk rumah tu jaga ibu dengan ayah. Jangan terperuk dalam bilik. Menggua. Lapar je baru keluar cari makan. Serupa makhluk dalam hutan!”
“Abang Ad! Dia yang tak ada kat rumah nak tuduh orang. Mana ada adik macam tu,” bela Adura tidak puas hati kerana kata-kata Adrian semuanya betul.
“Jangan nak bergaduhlah kamu adik-beradik. Peninglah ibu. Kamu berdua dah besar panjang pun nak bergaduh lagi?”
Geleng.
“Nak tengok ibu masuk hospital lama-lama ke?”
Geleng lagi.
“Jadi, tolong papah ibu. Ibu dah boleh keluar pun. Tunggu kamu berdua lama sangat. Nasib baik Amy tak datang. Lagi haru-biru hospital ni nanti.”
Masing-masing angguk dan diam. Perasaan mereka ketika ini ialah… ibunya sudah ambil alih sikap komander ayah mereka. Lagi seram!

Sunday, May 27, 2018

AWEK PSIKO: PART 5



Part 5 (Tuhan, selamatkan dia)

BERKERUT dahi Putra membaca pesanan yang dihantar oleh Qaira. Rasanya semalam mereka berdua bergaduh dan pagi tadi pun Qaira bergerak sendiri dengan skuter. Bila masa pula dia hendak jemput?
Putra simpan kembali telefon bimbit ke dalam poket. Tak sampai seminit, Putra ambil kembali. Pesanan daripada Rara.

Jom keluar lunch! Jumpa kat Kafe Purnama.

Bibirnya ditarik lebar. Cepat-cepat Putra melangkah ke pintu pejabat dan menuju ke Kafe Purnama bangunan bersebelahan pejabatnya. Dari jauh dia nampak Rara sedang melambai ke arahnya lalu membalas.
Kerusi ditarik.
“So, how was your first day?”
“Erm, a bit fun. Cuma ada seorang student tu buat hal. Tidur dalam kelas. Puas I dan student lain kejut tetap tak nak bangun. Bila cek nafas bernyawa lagi,” adu Rara.
Putra berdeham. Seorang saja dia kenal kalau tidur susah nak bangun. Belakang tengkuk digaru.
“Selama I mengajar tak ada pula yang terlelap. Mungkin you ni boring sangat kut,” seloroh Putra namun cebikan yang diterima.
“You ni kan! Seriuslah sikit.”
“Okey, sorry. Siapa student tu?” soal Putra dengan kening dijungkit sebelah.
“Erm… Qaira.”
Putra mengeluh.
“Setahu I dia…”
“Tak pernah tidur dalam kelas?” sela Rara, sinis.
Putra mengangguk.
“I nak minta maaf bagi pihak Qaira. Dia cuma tak suka I rapat dengan perempuan lain because I’m her only brother. You pun tahu, kan?”
Rara ketawa kecil.
“Jangan risaulah. Bila I dah masuk keluarga you nanti, I akan pastikan Qaira dapat terima hakikat bahawa abang dia takkan selamanya di sisi dia.”
Jeda. Putra hilang kata-kata. Fikirannya kini menerawang pada Qaira. Tiba-tiba dia teringat mesej yang diterimanya tadi. Dadanya mula berdebar tidak tentu arah.
Tangan dibawa ke bawah meja dan jarinya menekan papan kekunci telefon lalu hantar mesej kepada Qaira. Hatinya tak sedap.
“Sayang…”
Putra angkat muka dan memandang sekeliling, namun tiada siapa. Suara itu sepatutnya datang dari telefon Qaira tapi…muka Rara dipandang.
“Kenapa you pandang I macam tu?”

* * *

JIJA berulang-alik di depan bilik kecemasan. Ibu jari digigit dan air mata mengalir tanpa sedar. Dia mula rasa bersalah. Kusut. Mujurlah dia terdetik untuk menjenguk Qaira semula di dalam bilik tutorial. Kalau tahu begini dia tak akan berpakat dengan pensyarah mudanya yang ternyata lebih kejam berbanding Qaira.
Silap dia terlalu ikut kata-kata Rara kerana ingin balas dendam terhadap gadis itu. Dia cuma masukkan tiga biji saja ubat tidur dalam minuman Qaira tak sangka pula keadaan bertambah teruk. Rara beritahu tiga biji dos yang biasa. Dia manalah tahu hal ubat-ubatan.
Sebaik sahaja pintu terbuka, Jija segera mendapatkan lelaki berkot putih.
“Macam mana keadaan kawan saya, doktor?”
“Kawan awak dah stabil sekarang. Erm, boleh saya jumpa dengan ahli keluarga pesakit?”
Jija menggenggam jemari sebelum mengangguk. “Abang dia dalam perjalanan ke sini. Boleh saya masuk jumpa Qaira?”
Angguk. Sebenarnya dia belum beritahu Putra sebab risau kalau dia pula kena maki. Jija gigit bibir dan menjenguk keadaan Qaira yang terlantar lemah. Wajah polos Qaira itu ditatap dengan rasa bersalah.
Nombor telefon Putra ditekan dan menanti panggilan berjawab.
“He..helo. Encik Putra… Qaira. Dia…dia… tak sedarkan diri dalam kelas tadi. Qaira sekarang ada di hospital..”
Telefon dipandang lama. Jelas suara Putra yang kerisauan. Tiba-tiba bibir Jija menyinis.
“Kau memang akan selalu menang Qaira, don’t worry.”

* * *

HAMPIR terhenti jantungnya apabila menerima khabar daripada Jija tentang keadaan Qaira. Tergesa-gesa dia berpatah balik dari kolej dan memandu ke hospital. Tujuan dia ke kolej tadi ingin pastikan sendiri keadaan Qaira. Nalurinya memang tepat! Ada sesuatu yang tak kena dengan Qaira.
Pintu wad ditolak perlahan dan matanya tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring di atas katil.
Putra mendekat. Rambut Qaira diusap lembut.
“Hasil pemeriksaan, pesakit alami gastrik yang sangat teruk dan boleh saya tahu, Qaira ada masalah dengan keluarga ke?”
Putra berkerut. “Maksudnya?”
Doktor menghela nafas.
“Pesakit overdose ubat tidur.”
“Tak mungkin! Saya kenal adik saya dia tak akan buat benda macam ni.”
“Maaf encik. Saya cuma bertanya, mungkin juga dia salah ambil ubat,” pujuk doktor.
Bunyi pintu tertutup memeranjatkan Putra. Bayangan perbualannya dengan doktor tadi hilang seketika.
“Encik Putra, saya…”
“Awak tahu kan siapa yang buat Qaira macam ni?”
Jija akhirnya membuka mulut. Tidak semena-mena air matanya mengalir. Dia takut. Takut kalau-kalau Putra melenting dan marah. Memang bukan salah dia tapi Rara. Dia cuma ingin membalas apa yang Qaira lakukan pada wanita-wanita lain tapi tak sangka sampai macam ini. Dia betul-betul rasa bersalah.
Putra meraup wajahnya berkali-kali. Terkejut dengan cerita Jija.
“Saya tahu Qaira sengaja mencederakan diri dia tapi bukan untuk saja-saja. Ada yang semua orang tak tahu kenapa Qaira buat semua ni.”
Berkerut-kerut kening Jija cuba hadamkan maksud Putra.
“Maaf, saya tak faham.”

Thursday, May 24, 2018

Hikayat Cinta -2-

-2-

DENGAN berbaju tidur berlengan panjang, Adura turun sambil menggeliatkan tangan ke atas. Rambut lurusnya dibawa ke belakang. Jam sudah menunjukkan 9.05 pagi. Pasti Amyra sudah pergi kerja.
Kaki dibawa ke dapur dan mengintai Puan Sarah yang sedang menyiang ikan. Tanpa rasa bersalah Adura bersandar di tepi sinki sebelah ibunya.
“Ayah mana, bu?”
“Keluar basuh kereta. Ni kenapa tak mandi lagi? Saja nak bagi ayah membebel kan? Mujur ayah keluar.”
Adura sengih. Dia tidak takut pun dengan Encik Johari. Lelaki itu bebel saja kuat tapi sayangnya lebih. Pantang tengok anak-anak bersedih terus datang pujuk. Kalau pujukan tak menjadi dia akan cuba juga cara lain.
Meja makan dihampiri. Bau nasi lemak semerbak saja masuk dalam bilik tidurnya tadi. Dari mengantuk terus rasa lapar. Nasi lemak memang kegemaran Adura, hendak pula disertakan dengan ayam goreng berempah. Memang menambah-nambah makan.
“Ibu, Abang Ad ada cakap tak bila nak balik?” soal Adura sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan.
“Pagi tadi Abang Ad datang ambil kereta dia. Petang nanti dia balik kut bawa kembar tu sekali. Ibu dah pesan, entah ingat ke tidak. Sibuknya mengalahkan menteri.”
Usai membasuh ikan, Puan Sarah mengambil tempat di depan Adura. Anak bongsunya sudah besar. Adrian pula tahun ini sudah 29 tahun. Jika dikira-kira sudah 30 tahun dia mendirikan rumah tangga bersama Encik Johari dan dikurniakan tiga orang anak. Tiba-tiba dirinya berasa tua.
Terkekek-kekek Adura melihat Puan Sarah mengelamun. Entah mengapa rasa lucu. Ibunya jarang membebel tetapi bila mengelamun begitu pasti ada sesuatu yang hendak disuarakan.
“Ibu fikirkan apa?”
Puan Sarah senyum membuat Adura tidak keruan. Penuh makna senyuman itu. Kopi dituang ke dalam cawan lalu Adura teguk perlahan.
“Pasal adik.”
“Erk, kenapa pula? Adik ada buat salah apa-apa ke?”
Geleng.
“Erm, adik tak ada kawan lelaki ke?” Soalan cepumas dari Puan Sarah menyebabkan Adura tergamam. Sudah dapat agak soalan itu.
Nafas dihela sedalamnya sebelum dilepaskan. Adura membalas renungan Puan Sarah.
“Ibu tahu kan adik ni macam mana? Kejadian empat tahun lepas pun masih bermain-main kat mata adik. Kenapa tak ada orang nak paksa Kak Amy? Lagipun Kak Amy lagi tua dari adik and she deserves untuk kahwin dulu.”
“Haih, kamu ni. Ibu tanya kawan lelaki je tapi sampai bab kahwin dia masuk. Jangan risaulah ibu tak paksa cuma… ibu nak juga tengok ada orang yang boleh jagakan kamu nanti bila ibu dan ayah tak ada,” lirih suara Puan Sarah.
Adura genggam tangan. “Ibu… jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak? Tak sukalah macam ni.”
“Apa pula tak suka. Dah memang betul apa yang ibu kamu cakap. Kak Amy tu dah boleh berdikari jadi tak adalah ayah dan ibu risau. Kamu tu pula macam budak-budak. Penakut pula tu,” perli Encik Johari yang tiba-tiba muncul dari ruang tamu.
Adura buat muka. Ayahnya ada saja nak kenakan dia.
“Apa ayah ni! Perli orang pula. Mana ada takut, seram sikit je.”
“Haa, tengok anak bongsu awak ni Sarah. Beza apanya takut dengan seram. Oh ya, dah apply kerja?”
Puan Sarah menggeleng. Suaminya sudah mula membebel. Banyak betul air liur. Barangkali lepas gian tak dapat nak bebelkan anak buah tenteranya, anak sendiri pun jadilah.
Adura tunduk dan bibir dimuncungkan ke depan. Tak habis-habis soal kerja.
“Belumlah tu. Hmm… kenapa tak pertimbangkan saja pendapat ayah? Kalau setakat modal kecil-kecilan ayah boleh tolong.”
“Bukan macam tu. Adik takutlah nak buat business. Macam mana kalau tak laku? Aduh!” Lengan yang berbekas cubitan itu digosok. Laju saja Puan Sarah cubit.
“Belum apa-apa lagi dah fikir negatif. Tengoklah sekarang, kerja tak dapat-dapat lagi kan? Adik, sembilan dari sepuluh sumber rezeki datangnya dari perniagaan. Macam mana nak tahu laku ke tidak kalau tak mula sekarang? Lagipun mana ada orang baru buka business terus kaya-raya. Sekurang-kurangnya dapat balik modal. Sia-sia saja ambil program Pengurusan Perniagaan dekat universiti tapi tak nak terapkan. Ayah dah bersungguh-sungguh nak bagi modal kecil-kecilan untuk adik tetapi tetap nak tolak. Seronok ke bekerja bawah telunjuk orang?”
Giliran Puan Sarah pula membebel. Jarang sekali wanita itu untuk bercakap banyak. Terangguk-angguk Encik Johari dengar siap dengan senyum lagi. Kemenangan berpihak padanya. Adura mencemik.
“Haa! Buat muka lagi. Ayah bagi adik masa dua puluh empat jam untuk fikirkan usul ayah. Kalau tak ada apa-apa keputusan ayah kahwinkan kamu dengan anak Tuan Mansor,” ugut Encik Johari.
“Ayah! Tak baiklah buat anak sendiri macam ni. Ew… tak nak!”
Mengenangkan anak lelaki Tuan Mansor yang terlalu inginkan kesempurnaan itu saja buat tekak Adura mual. Rasa hendak muntahkan semua nasi lemak yang dimakannya tadi. Bukan saja dia, malah ibu dan ayahnya sendiri kurang berkenan cara anak Tuan Mansor. Kalau boleh nak duduk dalam rumah saja dan jangan ke mana-mana.
Encik Johari dan Puan Sarah cuba mengawal bibir dari ketawa. Geli hati melihat Adura yang kegelian apabila menyebut anak Tuan Mansor.


HAFIZ bersin beberapa kali. Hidungnya yang pada awal tidak gatal tiba-tiba saja menghasilkan bersin. Haish, ada orang mengumpatkah? Ini semua karut! Hafiz menggeleng lalu mengesat hidung dengan sapu tangan.
“Hafiz! Bila nak siap? Kita dah lambat nak masuk meeting. Client bukan calang-calang orang tahu tak?”
Terjerit-jerit Tuan Mansor yang tercegat menanti di hadapan pintu kereta. Anaknya dari kecil hingga besar tak pernah berubah. Mengalahkan perempuan. Antiseptik disapu sedikit pada tapak tangan. Setelah berpuas hati barulah Hafiz bergerak.
Sorry, dad! Habuk banyak, daddy kena hire pembantu lain rasanya. Tombol pintu itu dah berapa lama tak lap? Geli, Fiz.”
Tuan Mansor menggeleng. Inilah sikap anak lelakinya yang sukar diubah. Pintu kereta pun hendak orang lain yang bukakan. Begitu juga pintu kaca Head Quarter. Mengalahkan hero dalam drama Korea. Itu belum lagi ada yang tunduk sepanjang dia berjalan.


SUDAH hampir 24 jam dan Adura masih lagi dalam dilema. Kaki dibawa ke utara dan selatan bilik. Tidak tentu arah. Setuju atau tidak? Telefon yang berada dalam genggaman ditenung seketika. Nafas dihela seketika lalu menggigit bibir bawah. Berdebar.
“Apa nak jadi, jadi sajalah.” Adura nekad.
Langkah disusun keluar dari bilik dan menghampiri Encik Johari yang sedang berehat di luar rumah bersama Puan Sarah. Pinggan kuih di atas meja ditatap. Samosa? Eh, ini bukan masanya untuk makan Adura. Adura garu kepala.
“Adik dah fikir masak-masak tentang cadangan ayah semalam.”
Encik Johari jongket kening lalu menyuap samosa ke dalam mulut. Tertelan liur Adura tatkala terpandang.
“Samosa…”
Tersedak Encik Johari lantas memandang anak gadisnya. “Apa yang samosa?”
“Erk, bukan. Maksud adik, erm… adik setuju dengan cadangan ayah.”
Belum sempat Encik Johari bersuara, Adura segera menyambar beberapa biji samosa dan berlari dari situ. Berdentum bunyi pintu bilik ditutup.
Adura menghembus nafas lega. Harap-harap keputusannya tidak salah. Kebetulan petang semalam dia berbual dengan Dhira dan Dhira juga tahu masalahnya. Hendak tak hendak dia bercerita juga tentang cadangan Encik Johari. Walaupun kedengaran seperti membosankan Dhira tetap melayan.
Rupa-rupanya Allah bukakan peluang rezeki buat Adura untuk mencipta nama dalam industri pastri melalui Dhira. Kebetulan kedai abang sepupu Dhira sedang mencari seorang pembuat pastri untuk dihidangkan ke kedainya. Sebagai permulaan dia akan cuba hantar di kedai. Apabila penerimaan daripada pelanggan bagus barulah dia akan teruskan cadangan Encik Johari sepenuhnya.
Adura melangkah menghampiri meja kerja. Sebuah buku nota yang masih kosong dan bersih dikeluarkan dari laci. Dia cuba senaraikan menu yang bakal dijual nanti.
Pen diletakkan di hujung bibir. Masih berfikir. Tidak tahu hendak letak apa di kedai nanti. Selalunya segala pastri yang dibuat berdasarkan permintaan saja. Belum pernah lagi buat untuk dijual. Agak rumit. Berapa biji? Berapa jenis? Samosa yang sempat dirembat tadi dicapai.
Sedang elok menyuap samosa, Adura baru tersedar sesuatu. Dia tersilap kata dengan Encik Johari. Apa-apa pun nanti Adura perlu berterus-terang dengan Encik Johari tentang rancangannya sendiri. Ayahnya sendiri kata, segalanya bermula dari bawah.
“Teruskan usaha Adura!! Siapa lagi nak usaha kalau bukan diri sendiri? Keep fighting!”


DI satu sudut, seorang lelaki lewat 20-an sedang termenung ke arah deretan kereta di bawah garaj. Baru-baru ini terlalu banyak benda yang mengganggu fikirannya. Rafael mengeluh. Rumah ini sunyi saja semenjak walid dan umi berangkat menunaikan umrah bersama adiknya. Kebetulan Rafael baru balik dari sana dengan Intan dan masih lagi tidak sihat.
Intan menghampiri Rafael dengan gelengan. Sebagai sseorang isteri dia perlu ambil tahu masalah suaminya tetapi dia jarang hendak bersuara. Hanya tinggal Rafael untuk bercerita. Intan mengambil tempat di sebelah Rafael.
“Jauh termenung. Rindukan perempuan mana?”
Rafael ketawa kecil.
“Tiada perempuan lain untuk dirindukan selain you, isteri I dan umi. I sayangkan dua-dua.”
“Erm, macam mana dengan Adura?” Kedengaran seperti cemburu di situ.
Rafael menghela nafas dalam dan dipejamkan mata buat seketika. Sementara Intan gigit bibir. Terasa seperti salah bicara. Hendak tarik balik pun mana boleh.
“Erk, sorry.”
“Tak apa. I memang sedang fikirkan hal dia sekarang ni,” balas Rafael dan terus berubah air muka Intan. Meskipun dia tahu sejarah antara Rafael dan Adura namun tidak salah rasanya jika berasa terkesan apabila seorang suami memikirkan hal perempuan lain.
“Kenapa?”
Rafael senyum. Tangan Intan diraih. Walaupun belum sampai sebulan mereka berkahwin, dia tahu Intan terlalu mengambil berat akan dirinya. Cuma kadang-kadang Intan pasti cemburu dengan Adura.
“Jangan jealous. I cuma fikir… macam mana nak halang perasaan Adura dekat I? Maksud I, untuk buat dia move on.”
Giliran Intan pula ketawa. “Are you kidding me, husband? Bukan senang tahu nak buat orang move on.”
Why not? Belum cuba kita tak tahu.”
“Dengar sini, sayang. Berdasarkan cerita you dan pemerhatian I tentang Adura tempoh hari, I tak rasa senang untuk dia move on. Melalui pandangan matanya, hati dia terlalu sayangkan you. Bayangkan bertahun lamanya memendam perasaan takkanlah sesenang itu nak lupa. Mata dia… penuh dengan kesedihan,” jelas Intan, sayu.
Benar, dia cuba letakkan diri di tempat Adura. Memang bukan senang. Perkara ini dia pernah lalui hingga bertemu dengan Rafael dan ternyata hidupnya berubah serta-merta.
“Jadi, apa pandangan you?”
Intan menjongket bahu. “Mungkin dia perlu berkenalan dengan lelaki yang lebih baik dari you?”
“I akan cuba buat. Tapi… tengoklah macam mana. Lagipun, sejarah silam dia lagi sedih berbanding sekarang. Hanya I yang tahu.”
Tangan Intan diramas lembut. Intan angguk mengerti. Rahsia seseorang tidak semestinya kita ambil tahu walaupun dari seorang suami. Biarlah kekal rahsia buat sementara. Intan maniskan bibir.
“Siapa lelaki bertuah yang akan you kenenkan?”
“You kenal. Harap-haraplah dia terima.”
“Jangan cakap lelaki itu…”
Intan tekup mulut.
“Tak ada orang lain, memang dia pun,” sambung Rafael dengan ketawa kecil.
“Ah, you memang nakal!” Lengan Rafael ditampar lembut sebelum peluk. Tak menyesal dia mengenali Rafael. Padanlah kalau Adura tersangkut pada suaminya. Intan senyum. Tidak sabar rasanya menanti lelaki itu pulang ke Malaysia. Pasti terkejut sampai terduduk.

Saturday, May 19, 2018

Hikayat Cinta -1-

-1-

ADURA bersandar pada pintu kereta. Sudah banyak temu duga yang dia hadiri tapi tiada satu pun yang diterima. Kereta Myvi yang dia pakai sekarang pun belas ihsan Adrian. Kalau pandai naik motor sudah lama rasanya dia guna. Kasihan pula Adrian terpaksa guna motor untuk ulang-alik ke tempat kerja.
Telefon pintar dikeluarkan lalu mencari laman sosial. Pintu kereta dibuka lantas memboloskan diri ke dalam. Sudah menjadi kebiasaan menyemak aplikasi Whatsapps. Group Whatsapp keluarga dibuka lalu menaip sesuatu.

You : Gagal lagi.
Abang Ad : Duduk dapur sajalah.
You : Takkanlah selamanya adik nak hadap tepung!
Abang Ad : Bukan itu maksud aku.
Ibu : Ad nak suruh adik kahwin kan?
Abang Ad : Pandai ibu.
Kak Amy : HAHAHAHA

Adura telan liur. Ayat ibu membuat dia tercekik. Cepat-cepat dia tutup aplikasi tersebut dan membuka enjin. Patutlah panas semacam rupa-rupanya setelah masuk kereta terus buka telefon. Adura mengurut pelipis. Kalau dilayan Adrian nanti semakin melarat pula kes ini.
Adura menolak gear undur.
Entah apa ciri-ciri yang melayakkan dirinya untuk diterima pun dia tidak tahu. Syarikat inginkan pekerja yang berpengalaman sekurang-kurangnya dua tahun, memanglah tidak dapat jawapannya. Sudahlah pula, dipandang pula dari atas ke bawah serupa pesalah saja. Salahkah pergi temu duga pakai baju kurung? Dulu Adura pernah pakai kemeja dan seluar slack hitam dengan kot, itu juga kena perli. Katanya bukan budaya kita mengenakan pakaian sebegitu.
Adura merengus. Stereng dipulas ke kanan dan berhenti di hadapan Restoran Ayam Kampung. Tiba-tiba nafsu makannya membuak-buak naik. Merugikan masa sungguh. Kalau tahu dia tahu jadi begini lebih baik duduk di rumah dan siapkan tempahan kuih daripada kawan-kawan ibunya. Tapi, ianya hanyalah ‘kalau’. Bermain dengan perkataan ‘kalau’ serupa tidak terima boleh hakikat. Adura menggeleng kepala.
“Sabar Adura. Belum ada rezeki nak dapat kerja makan gaji.”
Sebaik sahaja menapak masuk ke dalam restoran, bahunya ditepuk lembut. Adura berpaling.
“Adura!”
“Dhira?”
Perempuan bernama Dhira itu mengangguk pantas. “Ya. Akulah, Dhira. Ya Allah lamanya tak jumpa kau. Sihat?”
Adura angguk dan senyum segaris. Tak menyangka akan berjumpa dengan rakan satu fakulti dengannya. Sudah hampir setengah tahun tak jumpa. Nak cakap gembira pun tidak sangat sebab dia takut. Takut dengan satu soalan yang bakal diajukan selain daripada kahwin.
“Kau kerja kat mana sekarang?”
Bingo! Adura garu kepala. “Erk, kau datang dengan siapa?”
“Seorang je. Jomlah lepak sekali aku pun baru sampai. Dari tadi aku ikut belakang kau. Ingatkan salah orang tadi.”
Hendak tak hendak saja Adura mengangguk. Dia tiada alasan lain. Lagipun dia memang datang sendiri dan tidak berteman.
“Yalah, boleh borak-borak kan?”
“Ha, pandai pun!”
Adura gigit bibir. Parah apabila terjumpa budak banyak cakap.


TERANGGUK-angguk Dhira mendengar cerita Adura. Jika diikutkan tidaklah parah sangat masalah Adura mungkin belum jadi rezeki gadis itu lagi.
“Patutlah kau diam je bila semua orang dalam group Whatsapp tu bercakap hal kerja. Selalunya kau mencelah juga.”
Adura tunduk sambil menguis sisa nasi dalam pinggan. Akhirnya dia terlepas juga satu cerita. Inilah parahnya bila kurang kawan. Hendak pendam pun satu hal. Rata-rata kawan dari universiti dah kerja. Kebanyakannya mendapat tawaran dari tempat mereka praktikal dulu. Untunglah majikan suka. Ditambah pula dengan ekonomi sekarang yang tidak menentu, nak gajikan pekerja pun sebolehnya hendak yang mahir saja. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, dari pelajar praktikal terus diserap jadi pekerja walaupun hanya kontrak.
“Entahlah Dhira. Zaman sekarang ini ramai yang ambil saudara sendiri bekerja. Buat temu duga pun sekadar syarat saja. Tidak ke menyusahkan orang? Kalau dah ada pilihan sendiri buat apa susah-susah buka peluang sampai tiga hari.”
“Serius? Mana kau tahu?” tanya Dhira lalu menyedut air kelapa yang berbaki.
“Staf dekat situ. Aku dengar mereka cakap sebenarnya dah ada calon pilihan pun. Adik pengurus di situ. Kalau kau yang terkena macam mana? Bengang tak?”
Dhira mengangguk laju tanda setuju. Dengar cerita saja boleh bengang apatah lagi kalau yang lalui. Dia sendiri dapat kerja disebabkan kakaknya sendiri. Rasa terkena dekat batang hidung. Mujur Adura tak tahu.
“Sabarlah Edy. Lagipun masih awal. Ada orang menganggur sampai bertahun. Lagipun kau bukan duduk rumah goyang kaki saja kan? Kau ada buat tempahan kuih. Kira okeylah tu,” pujuk Dhira.
“Sebenarnya aku tak adalah kisah sangat pasal ni,”
“Pula… habis tu? Bukan main emo bercerita.”
Tersengih-sengih Adura. Kepala yang tidak gatal digaru. “Ayah yang beria-ia suruh aku cari kerja. Pastikan dapat kerja sebelum konvo.”
“Serius ayah kau cakap macam tu?”
Adura angguk. Tergelak Dhira dengan cerita Adura. Sebelum konvo maknanya ada lagi masa selama dua bulan. Memang tidak lama lagi. Patutlah Adura tertekan saja.
Ketika Adura toleh ke kiri, matanya tiba-tiba bertembung dengan satu sosok yang amat dikenali. Tergamam seketika. Lelaki itu tidak bersendiri tapi dengan seorang wanita. Siapa dia? Mereka nampak mesra sangat. Wanita itu memeluk erat lengan si lelaki. Mata Adura mula berkaca.
“Rafael?”
“Rafael? Siapa?” Dhira menoleh ke arah yang sama lalu dikecilkan mata. Kurang jelas.
Adura bangkit dan cuba mengejar langkah Rafael. Terkocoh-kocoh Dhira bangun dan melunaskan bil. Mujurlah tidak ramai pelanggan, kuranglah sikit malu. Taubat tak akan singgah restoran ini lagi buat masa terdekat.


DADA Rafael berdegup kencang. Tangan diletakkan di dada seketika cuba tenangkan diri. Dahi berkerut seribu. Macam mana pula boleh bertembung dengan gadis itu? Rafael mengurut pelipis pula. Pening. Silapnya hari ini dia tidak berhati-hati. Tangan wanita yang setia di sisinya diraih untuk mencari kekuatan. Wanita itu membalas.
Are you okay, Raf?”
Rafael mengangguk.
You drive, boleh?”
“Boleh. You tenanglah dulu. Risau I tengok keadaan you macam ni. By the way, siapa perempuan yang kejar kita tadi tu?” tanya Intan dengan kerutan.
“Dia masih ada di situ?”
Melalui cermin pandang belakang masih lagi terlihat gadis itu seperti orang sasau mencari Rafael. Tiba-tiba ada seseorang menarik gadis itu, mungkin kawan dia. Fikir Intan.
“Erm, baru pergi. Kenapa? Siapa dia? You tak jawab lagi soalan I.”
“Adura.”
Intan termenung seketika cuba mencerna nama Adura. Macam kenal. Tiba-tiba bulat mata Intan memandang Rafael. “You means Nurul Adura your junior?”
“Ya. Dialah.”
“Kasihan dia. Kenapa you tak berdepan saja dengan dia?”
Rafael menggeleng. Sejujurnya dia belum kuat untuk berdepan dengan Adura. Lagipun gadis itu terlalu baik. Adura terlalu banyak kecewa berbanding bahagia. Rafael tidak mahu menambahkan lagi kekecewaan dalam diri Adura. Dia perlu berbuat sesuatu.
“Biarlah. Suatu hari nanti I akan bertentang mata dengan dia. Tapi sekarang ini, I nak balik rehat tapi… dengan my beloved wife.” Rafael mengenyit mata kepada Intan membuatkan wanita itu tersipu-sipu.
“Mana boleh!”
Why not? Intan kan jururawat peribadi abang.”
“Mengada.”
Tanpa berlengah Intan segera menarik gear D dan keluar dari parkir. Mujur juga mereka parkir agak jauh dari restoran tadi. Jadi, Adura tidak sempat mengejar mereka.


USAI meminta maaf dengan Dhira petang tadi, Adura segera pulang. Banyak pertemuan yang tidak dijangka. Paling memeranjatkan apabila bertemu mata dengan Rafael. Lelaki itu sedikit berubah dari segi penampilan namun dia tetap tidak dapat lupakan seraut wajah itu. Adura duduk di luar rumah sambil menghirup udara malam. Dingin. Tetapi jiwanya tidak mahu tenang hatta buat seketika.
Rafael, terlalu lama menghilang kini muncul kembali. Allah sudah perkenankan doanya untuk bertemu dengan Rafael cuma… siapa pula wanita yang memeluk mesra lengan Rafael? Kenapa Rafael perlu lari?
Bermacam-macam persoalan berlegar dalam benak. Ingatannya tidak boleh lekang dari terus berfikir tentang Rafael. Hanya Rafael yang tahu kisah silamnya. Adura gigit bibir. Matanya mula bergenang.
“Dia dah lupakan aku ke? Atau… dia tidak boleh terima masa silam aku?”
Toyota Vios milik Amyra masuk ke dalam perkarangan rumah dan lekas-lekas Adura mengesat air mata yang sudah menitis. Wajah cuba dihiaskan dengan reaksi biasa. Anak-anak Encik Johari kebanyakannya sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri melainkan Adura. Selalunya kaum ibu yang banyak membebel tetapi sebaliknya yang berlaku. Encik Johari yang jenis suka bercakap dan sindir anak-anak jika malas. Pantang sungguh! Mungkin terbiasa dengan sikap tenteranya.
“Kau buat apa kat luar ni, dik?”
“Tunggu Kak Amy la. Dah lewat macam ini baru nak balik. Dating ke?”
Amyra menjongket kening kanan. “Kau tak ada kerja ke selain nak perli aku?”
“Eleh, nak marahlah tu. Kak Amy tak boleh ke kalau tak jadi singa dalam sehari? Tak penat?”
“Kau ada masalah ke? Ayah bebel lagi?”
Geleng.
“Habis tu?”
“Adik jumpa Rafael.”
Berkerut-kerut dahi Amyra cuba mencerna makna ayat Adura. “Kau pergi jumpa dia?? Tahu pula dia ada dekat mana.”
“Bukan. Maksud adik tadi terjumpa dia dekat Restoran Ayam Kampung.”
Amyra mengambil tempat di sebelah Adura. Kunci kereta dan beg diletakkan di atas meja. Lelah dilepaskan dengan bersandar pada belakang kerusi.
“Sempat bercakap tak?”
Geleng.
“Dia nampak adik?”
Jeda seketika. Adura menjongket bahu. “Mungkin.”
“Mungkin?”
“Entahlah Kak Amy. Mungkin dia nampak adik sebab tadi dia terus larikan diri. Kat sebelah dia pula ada perempuan dan tiba-tiba peluk lengan dia.”
Terbatuk-batuk Amyra dengar cerita Adura. Tidak semena-mena tangannya mengaut kunci yang diletakkan di atas meja tadi dan bermain-main. Dia menunduk seketika.
Move on, dik.”
Adura menggeleng laju. “Bukan senang. Dua tahun adik tunggu dia. Tapi sekarang dia…” Air mata tidak dibendung lagi. Di bahu Amyra dia menghamburkan tangis.
Amyra mengusap lembut bahu Adura. Tipulah kalau dia tidak sedih. Memang senang menuturkan kata-kata positif tetapi itulah yang dia ingin Adura buat. Bergerak ke depan dan lupakan hal lama.
Disebalik langsir, ada dua pasang mata memerhati gelagat mereka berdua. Timbul satu rasa dalam diri masing-masing. Apa yang penting mereka berdua perlu lakukan sesuatu.