JAM
tangan aku tilik. Dalam masa satu jam sahaja lagi akan ada kelas Prof Hamdan.
Hendak ke perpustakaan terasa jauh dengan bangunan kuliah apatah lagi jika mahu
balik ke kolej. Jawabnya memang aku terlelap dan lupa untuk hadir ke kelas.
Aku menurut hala tuju kaki asalkan tidak jauh dari
bangunan kuliah. Namun perut yang memulas membawa aku ke tandas berdekatan.
Tandas yang jarang orang masuk dan aku sendiri tak pasti kenapa. Kalau
mendengar khabar angin memang banyak spekulasi. Lantaklah yang penting
selesaikan dulu urusan penting ini.
Pam aku tarik dan menghela nafas lega. Boleh tahan
lama juga aku di dalam tandas. Belum sempat aku membuka kunci tandas terdengar
seperti suara-suara sedang berborak. Bukan sembang biasa tapi sepertinya ada
rencana. Aku sabar menanti dan mencuri dengar perbualan mereka.
“Kau rasa okey ke kita buat kerja ni dalam tandas?”
“Kau dah lupa ke Jiha? Tandas berhantu memang milik
kita hasil porak-peranda yang dilakukan oleh senior sebelum ini.”
Jeda.
Jiha? Aku dekatkan telinga pada pintu tandas. Mujur
juga pintu tandas ini tidak luas sangat bahagian bawah. Bolehlah sorokkan kaki.
“Apalah kau ni Jiha. Takut tak bertempat, okey
sekarang apa plan kita Rai?”
“Senior kita, Aqram dah ajak kita prank si
Farhan.”
“Farhan si introvert itu ke?” jerit Jiha. Aku sudah
kenal suara itu.
Kalau ada Jiha dan Rai seorang lagi pasti… Hana! Ya
Allah, tiga rabun serangkai berpakat nak kenakan Farhan? Seriuslah apa salah
Farhan dekat dia orang? Jika aku ada keberanian sudah lama aku keluar berdepan.
Masalahnya sekarang… aku penakut!
“Aqram suruh kita buat apa?”
Bunyi plastik menambahkan lagi perasaan ingin tahu.
Sesekali jam tangan aku tilik. Kurang setengah jam lagi kuliah nak mula. Mereka
tak reti keluar ke apa? Aku sudah gelisah di dalam tandas.
“Kau orang nampak telur ni? Seperti biasa, dua puluh
minit selepas mula kelas prof, si Farhan ini akan keluar ke tandas dan waktu
itu anak buah Aqram akan buat kerja seterusnya. Betul-betul depan pintu
bilik kuliah. Biar dia terduduk malu!”
What?
Aku gigit bibir. Apa yang aku perlu buat? Kenapa aku
perlu dengar semua perancangan ini? Ya Allah kasihannya Farhan. Salahkah lelaki
itu jadi seorang pendiam? Bukan mengganggu sesiapa pun atau mereka rasa
terganggu? Ingin rasa diganggu? Argh! Spekulasi memang tak akan habis.
“Jomlah. Prof Hamdan memang pantang orang masuk lambat
kelas dia. Penat aku nak dengar bebelan orang tua tu.”
Bunyi pintu utama tandas yang berdentum membuktikan
mereka sudahpun keluar. Perlahan-lahan aku menolak pintu dan menjenguk sedikit
keluar.
“Apa aku patut buat?”
* * *
TUDUNG bawal berwarna belacan aku betulkan saiz dan kedudukan. Aku tak
biasakan pin tudung pada kiri dan kanan bahu, terasa macam terlalu nak melawa.
Tapi kalau orang lain buat begitu nampak biasa saja bagi aku. Entahlah, mungkin
aku terlalu inginkan sesuatu yang biasa dan tidak bersungguh.
Bilik kuliah yang besar menyukarkan aku mengenalpasti
keberadaan Farhan. Dia sudah sampai atau belum? Selalunya Farhan datang lebih
awal daripada aku.
“Hello, miss. What are you looking for, huh? Class
will be start in seconds.”
Alamak!
“Erk, maaf prof.”
Cepat-cepat aku melangkah sambil mencari kedudukan
Farhan di bahagian belakang. Ya, itu dia! Terlalu jauh di belakang. Setahu aku,
Farhan memang selalu duduk depan.
Aku mengambil tempat di sebelah Farhan dan ternyata
lelaki itu terkejut dengan kehadiranku. Lekas-lekas dia menarik hud hingga
menutup hampir separuh wajahnya. Farhan sedikit menjauh dari aku. Aku garu
kepala. Bukanlah aku nak sangat duduk sebelah dia.
Sudah 15 minit berlalu dan aku tak dapat nak fokus
pada Prof Hamdan. Suaranya masuk ikut telinga kanan dan keluar melalui telinga
kiri. Tanpa berlengah aku terus keluarkan sehelai kertas kosong dan memotong
kecil.
Jangan keluar selagi belum habis kuliah. Aqram and the
gang tengah tunggu kau kat depan pintu! Tolong percayakan aku.
Kertas tadi aku tulis dan menolaknya kepada Farhan.
Sekali lagi lelaki itu terkejut dengan tindakan aku. Aku nampak Farhan membaca
amaran yang aku bagi. Tolonglah Farhan, dengar cakap aku!
Farhan mendengus. Kertas tadi dia gumpal dan baling ke
arah aku.
Alamak! Janganlah dia berdegil dengan aku.
“Farhan! Psst…”
Selang seminit Farhan menolak kertas pada aku.
Kau nak apa? Kenapa aku perlu percayakan kau? Apa yang
kau tahu tentang Aqram? Entah-entah kau lagi licik!
Ya Allah. Aku rasa mahu hantuk kepala dekat dinding
saja. Sungguh aku tak rasa aku perlu jawab semua soalan itu.
Suka hati kau!
Kertas tadi aku serahkan pada Farhan sebelum meminta
diri untuk keluar ke tandas. Rimas pula hendak percayakan orang seperti Farhan.
Kita nak selamatkan dia, tapi banyak tanya. Pintu keluar di bahagian kiri jadi
tujuan.
Sebaik saja aku membuka pintu utama bilik kuliah, satu
das balingan mengena tepat pada dahi aku.
“Aduh!”
Lendir yang mengalir mengena tudung aku sentuh. Telur?
Timing betul masa dia orang nak baling. Aku memandang tajam ke arah
mereka yang membaling. Pengecut! Mereka tutup muka. Tidak cukup satu, lima
sekaligus mereka baling hingga aku terduduk. Jeritan dari dalam bilik kuliah
membingitkan telinga. Bunyi ketawa dan bisikan mereka menambahkan lagi sakit
hati dan sedih. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh tiga rabun serangkai, malu
terduduk.
“Apa yang berlaku ni? Siapa punya kerja?” jerit Prof
Hamdan dan menjenguk ke luar bilik kuliah.
Ya Allah, aku malu. Aku tak sanggup nak angkat muka.
“Are you okay, miss?”
Aku tidak menjawab soalan Prof Hamdan. Air mata aku
tanpa segan mengalir dan cepat-cepat aku berlalu dari situ. Tandas tujuan aku.
Aku tak sanggup untuk melihat rakan-rakan sekuliah terutama sekali Farhan dan
geng tiga rabun serangkai. Aku pasti suara tiga serangkai yang ketawa kuat
tadi. Sangat yakin!
* * *
BUAT pertama kali selepas tiga bulan, aku update instagram. Dua biji
telur yang aku beli di kedai warden itu dimekapkan dengan cantik menggunakan
pen marker. Sebiji berwajah ceria, sebiji lagi berwajah muram. Bukan main lagi
aku cari posisi yang menarik untuk tangkap gambar telur tadi.
Hidup
ini terlalu singkat untuk bersedih. Percayalah, setiap perkara yang terjadi ada
hikmahnya. Bila orang buat kau… fight it back with love.
#cikmatabulat
Ramai saja yang tahu Instagram aku dan sengaja juga
aku masukkan entri sebegitu. Kadang-kadang kita tak mampu nak luahkan secara
lisan, namun biar tulisan dan gambar berbicara. Ada masanya juga kita tak perlu
bersungguh-sungguh membela diri.
Aku bersandar pada kepala katil, cuba mengenangkan apa
yang terjadi. Selama aku berada di kolej hinggalah masuk tahun senior, tak
pernah lagi orang kenakan aku. Itu, pertama kali dalam sejarah!
Waktu sekolah dulu pun mana ada pernah kena buli. Cuma
ada sekali je waktu sekolah rendah. Ah, malunya aku! Lepas insiden telur
semalam aku tunggu kelas Prof Hamdan kosong barulah masuk ambil barang-barang.
Tiba-tiba rasa menyesal pula tolong Farhan. Lelaki itu langsung tak ada
perasaan, lagi dituduh aku adalah.
Telefon aku bergetar tanda mesej masuk. Aku cek
bahagian notification dan ada
hantaran baru daripada Dzul Lembu. Aku tersenyum. Aku sendiri tak faham kenapa
aku pergi set ‘Turn on post notifications’ untuk instagram Dzul Lembu.
Mungkin kerana hantaran dia semua menarik! Kata-kata seiring dengan gambar
walaupun ada sedikit humor, aku suka.
Instagram Dzul dibuka dan ada sekeping gambar rumput
selepas hujan. Hujung sebelah kiri ada terselit ekor lembu yang ralit melibas.
Aku tertawa.
Bicara tentang hujan, akan hadirnya pelangi yang
indah. Namun bagi aku, kehijauan rumput serta wangiannya lebih aku hargai.
Begitu juga ujian yang kita hadapi. Rasailah ketenangan dengan jiwa yang penuh
kesabaran.
#fightitbackwithlove
Aku terpempan dengan tanda pagar pada kapsyen Dzul.
Dia tak ikut aku di instagram tapi tanda itu aku baru saja masukkan dalam
kapsyen tadi. Atau… dia yang stalk aku sekarang? Kening terjongket
bersama sengihan. Aku terus tekan butang suka dan komen.
Nice caption!
Selang seminit, dia membalas komen tadi.
My pleasure #fightitwithlove
Aku tak tahu macam mana hendak gambarkan perasaan
sekarang. Tiba-tiba rasa berbunga dan bertaman dalam hati. Adakah hantaran itu
untuk aku? Mungkin juga dia stalk aku cuma tak ikut saja. Boleh jadi,
kan?
Okey, kita stop. Perempuan memang mudah
perasan. Tapi aku masih tak dapat kendurkan lagi senyum yang bergayut di wajah.
Mujur juga rakan sebilik yang lain tak ada, kalau tidak jenuh aku dengan
usikan. Aku pantang kena usik, mulalah pipi merah macam orang lapar cendol.
Hmm, macam sedap pula cendol.
Kadang-kadang aku perlu turutkan selera supaya senang
nak buat kerja nanti. Lekas-lekas aku mesej Najwa minta dia belikan aku cendol
durian dekat pasar malam. Aku terlupa seketika tentang Dzul Lembu, apa yang
bermain dalam fikiran ialah cendol durian Pak Cik Samurai! Masya-Allah,
sedapnya.
No comments:
Post a Comment