Sunday, December 27, 2020

INNOCENT - bab 1

 

HUJUNG minggu bagi aku kadang-kadang membosankan dan adakalanya membahagiakan. Bosan apabila rakan sebilik ada dan bahagia jika dapat bersendiri. Bukan apa, aku kurang suka berborak dan kadang kala aku malas nak melayan. Bibir aku boleh dikatakan sentiasa berkunci. Pendiam? Boleh jadi juga. Tapi bila aku terjumpa satu topik menarik dan pasangan terbaik memang aku akan jadi bertih jagung tanpa sedar.

Entahlah, menurut kajian yang aku baca aku ini dalam kategori introvert. Orang sekeliling aku juga beritahukan hal yang sama. Kau orang tahu apa itu introvert?

Tapi ramai jugalah yang cakap, orang introvert ini selalunya suka terperap dalam bilik. Takut nak jumpa dengan orang dan tak ada kawan. Ini mungkin apa yang mereka selalu tengok dalam drama ataupun dalam bahan bacaan.

Helo? Buku fiksyen kadang-kadang kita kena tambah sesuatu yang melampau sedikit berbanding biasa supaya bahan bacaan itu ada warna. Tak adalah kita tersengguk baca seperti buku sejarah. Hiperbola itu penting. Andai aku pandai menulis rasanya lagi melampau hiperbola aku masukkan ke dalam novel.

Novel bergenre fantasi aku letakkan di tepi katil. Namun fon telinga masih lagi melekap. Pelik, kan? Membaca sambil mendengar, yang mana satu aku fokus? Itulah soalan yang sering aku terima daripada rakan sebilik. Namun senyum saja mampu kubalas.

“Ain, saya nak keluar. Awak ada nak kirim apa-apa tak?” tanya rakan sebilikku, Najwa. Orangnya berkulit gelap namun tetap cantik dan manis di mata. Siapa cakap orang berkulit tidak lawa? Dasar mentaliti rakyat kita sukakan yang putih-putih saja.

Najwa mencalit sedikit pewarna bibir, mungkin untuk menghilangkan kepucatan wajah.

“Belikan saya susu segar dengan Coco Crunch yang latest ya? Coco Crunch tu saya nak dua tau,” jawabku seraya mendapatkan beg duit dan menyerahkan not RM50 pada Najwa.

Najwa sekadar ketawa kecil dengan permintaan aku. “Lagi?”

Aku menggeleng. Belum sempat Najwa membuka pintu aku menghalang.

“Najwa.”

“Apa dia?”

“Jaga diri.”

“Baik.”

“Jangan balik lambat.”

Najwa menjungkit kening kiri.

“Lagi?”

Aku garu kepala.

“Erk, jangan lupa Coco Crunch saya.”

Sekali lagi aku membuat Najwa ketawa. Entah kenapa aku senang melihat ketawa itu.

Alright, bye!”

Sebelum Najwa menutup rapat pintu, sempat aku dengar suara disebalik. Barangkali rakan Najwa yang berjanji untuk keluar bersama.

Roommate psiko kau buat apa?”

“Kay! Dia bukan psikolah, berapa kali aku nak cakap? Sudahlah, jom.”

Psiko? Orang pendiam memang selalu dicop psiko ke? Aku terduduk lemah di tepi katil. Jika hendak fikirkan pandangan orang terhadap kita memang sampai ke sudah kita tak dapat nak puaskan mereka. Jadi diri sendiri pula kena tuduh macam-macam. Sudah cukup rasanya aku tidak mencari pasal dengan mereka. Tapi, itulah. Kita diam sekalipun mereka tetap ingin ambil tahu.

Oh, mungkin inilah perasaan ‘disayangi ramai’.

Tuala yang bersangkut di tepi katil aku capai dan berlalu ke bilik air. Cuaca sekarang yang panas memang aku akan kerap mandi tambahan pula perasaan sedang menggelegak. Tenang, Ain.

 

* * *

 

MI segera yang berendam selama tiga minit tadi aku buka penutupnya. Semerbak bau kari dalam bilik. Botol kicap dan sos cili yang beratur di atas para aku ambil dan tuang sedikit ke dalam mangkuk. Aku paling tak suka makan mi segera kosong dengan perencah semata-mata walaupun tidak dimasak atas dapur. Rasa dia kurang syok. Ada juga yang pandang pelik tapi buat apa nak kisah, selera masing-masing. Mereka makan donat cicah kuah maggi tak ada pula aku buat muka.

Plastik keropok segera aku buka dan masukkan ke dalam mangkuk mi tadi untuk dijadikan lauk. Biar dia serap kuah mi segera. Rutin hujung minggu, biasalah. Aku sayang duit nak keluar melepak lagipun, banyak betul kerja kursus yang perlu disiapkan. Kerja kursus tulisan tangan pula itu.

“Bismillah.”

Satu suapan masuk ke dalam mulut dan dikunyah dengan berhati-hati. Masya-Allah, sedap! Keropok yang belum direndam aku gigit. Bunyi kriuknya sangat menyelerakan. Kuah mi segera aku hirup dengan penuh nikmat. Sesungguhnya, mi segera memang makanan kegemaran aku.

Tersengih-sengih aku menikmati juadah tengah hari pada jam 3 petang. Telefon yang terbaring atas meja aku capai dan buka laman sosial Instagram lalu menuju ke bahagian explore.

Tajuk ‘Dahsyat Brader ni Buat Lembu Bersin’ menarik perhatian. Cepat-cepat aku buka.

Baru 15 saat video terpasang aku sudah tersedak. Memang kelakar habis! Ada ke patut lelaki dalam video tadi pergi korek hidung lembu. Terbersin lembu tu sekali dengan rumput keluar. Aku tak boleh kawal diri untuk gelak. Kasihan pun ada dekat lembu itu sudahlah dikoreknya hidung sampai terbersin, kena marah pula dengan tuan dia.

Ruangan komen aku buka dan baca satu-persatu. Ada yang terbahak dan tak kurang juga yang mengecam. Kononnya menganiayai binatang. Tapi menurut perhatian aku, lelaki ini cuba selamatkan lembu. Tapi entahlah, niat orang kita tak boleh nak teka.

Aku tergeleng bersama sengih. Profil Instagram lelaki tadi aku buka dan stalk satu persatu. Boleh tahan banyak juga hantaran yang kelakar. Melalui apa yang aku perhati, lelaki ini mungkin seorang yang penyayang. Hampir keseluruhan gambar yang dimuat naik ada unsur lembu. Selalunya orang letak gambar kucing.

Orang kata kalau nak pikat perempuan kenalah tunjukkan kecintaan terhadap kucing. Aku dengar saja dah rasa nak muntah. Siapalah yang suka-suka keluarkan fakta palsu.

Sedar tak sedar aku sudah pun tekan butang ‘follow’. Instagram yang menarik bagi aku. Setiap gambar yang ada di situ aku double click maka keluarlah simbol hati. Nampak macam miang! Tapi…mana gambar dia? Asyik nampak belakang badan saja. Kerempeng!

Like.

Like.

Like lagi, hinggalah…

Ting. Ting. Ting.

Sudah! Ada tiga notification masuk di dalam ruangan mesej Instagram. Aku telan liur. Sepanjang aku ada laman sosial ini tak pernah lagi orang mesej. Sebaik saja aku buka, nama Dzul Lembu keluar. Matilah aku! Dzul Lembu itu nama profil Instagram yang aku stalk tadi.

 

Hai!

Seronok nampak stalk saya.

Minat saya atau lembu?

 

Aduh! Malunya aku. Syok sangat pergi tekan butang suka. Sampai tak perasan hingga ke gambar 54 aku tekan. Aku pegang muka yang berbahang. Terasa keras pipi menahan senyum.

Eh, aku senyum? Buang tebiat!

Cepat-cepat aku cek Instagram sendiri, cuba cari kalau terlepas letak gambar selfie. Aku menarik nafas lega.

 

Yuhuu! Tengah cek profil sendiri ke?

 

Aik? Macam mana dia tahu? Ini semua mainan psikologi. Aku berdeham sebelum membalas mesej Dzul Lembu.

 

Hai. Maaflah sebab stalk Encik Dzul.

Saya suka tengok friendship Encik Dzul dengan lembu.

Orang putih cakap ada chemistry!

 

Dzul membalas dengan emoji ketawa. Aku senyum apabila melihat orang tertawa. Rasa bahagia walaupun sekadar emoji.

 

+ Macam mana awak tahu?

+Sedangkan itu semua gambar dan gambar boleh menipu.

 

- My inner feeling told that.

-Tapi kalau betul Encik Dzul menipu sekalipun itu urusan encik dengan tuhan.

 

+ Auch! Cik Mata Bulat ni student lagi ke?

 

Aku biarkan mesej Dzul tidak berjawab. Cik Mata Bulat, itu nama Instagram aku. Kalaulah dia rajin stalk, nama blog aku juga menggunakan nama yang sama. Tapi, siapalah aku orang mahu stalk. Setakat suka imbas luaran dan membuat kajian personaliti orang.

Telefon aku letak ke tepi. Bunyi mesej masuk aku abaikan dan meneruskan niat untuk siapkan assignment.

No comments:

Post a Comment