Sunday, December 27, 2020

INNOCENT - bab 2

 

JAM tangan aku tilik. Dalam masa satu jam sahaja lagi akan ada kelas Prof Hamdan. Hendak ke perpustakaan terasa jauh dengan bangunan kuliah apatah lagi jika mahu balik ke kolej. Jawabnya memang aku terlelap dan lupa untuk hadir ke kelas.

Aku menurut hala tuju kaki asalkan tidak jauh dari bangunan kuliah. Namun perut yang memulas membawa aku ke tandas berdekatan. Tandas yang jarang orang masuk dan aku sendiri tak pasti kenapa. Kalau mendengar khabar angin memang banyak spekulasi. Lantaklah yang penting selesaikan dulu urusan penting ini.

Pam aku tarik dan menghela nafas lega. Boleh tahan lama juga aku di dalam tandas. Belum sempat aku membuka kunci tandas terdengar seperti suara-suara sedang berborak. Bukan sembang biasa tapi sepertinya ada rencana. Aku sabar menanti dan mencuri dengar perbualan mereka.

“Kau rasa okey ke kita buat kerja ni dalam tandas?”

“Kau dah lupa ke Jiha? Tandas berhantu memang milik kita hasil porak-peranda yang dilakukan oleh senior sebelum ini.”

Jeda.

Jiha? Aku dekatkan telinga pada pintu tandas. Mujur juga pintu tandas ini tidak luas sangat bahagian bawah. Bolehlah sorokkan kaki.

“Apalah kau ni Jiha. Takut tak bertempat, okey sekarang apa plan kita Rai?”

“Senior kita, Aqram dah ajak kita prank si Farhan.”

“Farhan si introvert itu ke?” jerit Jiha. Aku sudah kenal suara itu.

Kalau ada Jiha dan Rai seorang lagi pasti… Hana! Ya Allah, tiga rabun serangkai berpakat nak kenakan Farhan? Seriuslah apa salah Farhan dekat dia orang? Jika aku ada keberanian sudah lama aku keluar berdepan. Masalahnya sekarang… aku penakut!

“Aqram suruh kita buat apa?”

Bunyi plastik menambahkan lagi perasaan ingin tahu. Sesekali jam tangan aku tilik. Kurang setengah jam lagi kuliah nak mula. Mereka tak reti keluar ke apa? Aku sudah gelisah di dalam tandas.

“Kau orang nampak telur ni? Seperti biasa, dua puluh minit selepas mula kelas prof, si Farhan ini akan keluar ke tandas dan waktu itu anak buah Aqram akan buat kerja seterusnya. Betul-betul depan pintu bilik kuliah. Biar dia terduduk malu!”

What?

Aku gigit bibir. Apa yang aku perlu buat? Kenapa aku perlu dengar semua perancangan ini? Ya Allah kasihannya Farhan. Salahkah lelaki itu jadi seorang pendiam? Bukan mengganggu sesiapa pun atau mereka rasa terganggu? Ingin rasa diganggu? Argh! Spekulasi memang tak akan habis.

“Jomlah. Prof Hamdan memang pantang orang masuk lambat kelas dia. Penat aku nak dengar bebelan orang tua tu.”

Bunyi pintu utama tandas yang berdentum membuktikan mereka sudahpun keluar. Perlahan-lahan aku menolak pintu dan menjenguk sedikit keluar.

“Apa aku patut buat?”

 

* * *

 

TUDUNG bawal berwarna belacan aku betulkan saiz dan kedudukan. Aku tak biasakan pin tudung pada kiri dan kanan bahu, terasa macam terlalu nak melawa. Tapi kalau orang lain buat begitu nampak biasa saja bagi aku. Entahlah, mungkin aku terlalu inginkan sesuatu yang biasa dan tidak bersungguh.

Bilik kuliah yang besar menyukarkan aku mengenalpasti keberadaan Farhan. Dia sudah sampai atau belum? Selalunya Farhan datang lebih awal daripada aku.

Hello, miss. What are you looking for, huh? Class will be start in seconds.

Alamak!

“Erk, maaf prof.”

Cepat-cepat aku melangkah sambil mencari kedudukan Farhan di bahagian belakang. Ya, itu dia! Terlalu jauh di belakang. Setahu aku, Farhan memang selalu duduk depan.

Aku mengambil tempat di sebelah Farhan dan ternyata lelaki itu terkejut dengan kehadiranku. Lekas-lekas dia menarik hud hingga menutup hampir separuh wajahnya. Farhan sedikit menjauh dari aku. Aku garu kepala. Bukanlah aku nak sangat duduk sebelah dia.

Sudah 15 minit berlalu dan aku tak dapat nak fokus pada Prof Hamdan. Suaranya masuk ikut telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri. Tanpa berlengah aku terus keluarkan sehelai kertas kosong dan memotong kecil.

 

Jangan keluar selagi belum habis kuliah. Aqram and the gang tengah tunggu kau kat depan pintu! Tolong percayakan aku.

 

Kertas tadi aku tulis dan menolaknya kepada Farhan. Sekali lagi lelaki itu terkejut dengan tindakan aku. Aku nampak Farhan membaca amaran yang aku bagi. Tolonglah Farhan, dengar cakap aku!

Farhan mendengus. Kertas tadi dia gumpal dan baling ke arah aku.

Alamak! Janganlah dia berdegil dengan aku.

“Farhan! Psst…”

Selang seminit Farhan menolak kertas pada aku.

 

Kau nak apa? Kenapa aku perlu percayakan kau? Apa yang kau tahu tentang Aqram? Entah-entah kau lagi licik!

 

Ya Allah. Aku rasa mahu hantuk kepala dekat dinding saja. Sungguh aku tak rasa aku perlu jawab semua soalan itu.

 

Suka hati kau!

 

Kertas tadi aku serahkan pada Farhan sebelum meminta diri untuk keluar ke tandas. Rimas pula hendak percayakan orang seperti Farhan. Kita nak selamatkan dia, tapi banyak tanya. Pintu keluar di bahagian kiri jadi tujuan.

Sebaik saja aku membuka pintu utama bilik kuliah, satu das balingan mengena tepat pada dahi aku.

“Aduh!”

Lendir yang mengalir mengena tudung aku sentuh. Telur? Timing betul masa dia orang nak baling. Aku memandang tajam ke arah mereka yang membaling. Pengecut! Mereka tutup muka. Tidak cukup satu, lima sekaligus mereka baling hingga aku terduduk. Jeritan dari dalam bilik kuliah membingitkan telinga. Bunyi ketawa dan bisikan mereka menambahkan lagi sakit hati dan sedih. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh tiga rabun serangkai, malu terduduk.

“Apa yang berlaku ni? Siapa punya kerja?” jerit Prof Hamdan dan menjenguk ke luar bilik kuliah.

Ya Allah, aku malu. Aku tak sanggup nak angkat muka.

Are you okay, miss?”

Aku tidak menjawab soalan Prof Hamdan. Air mata aku tanpa segan mengalir dan cepat-cepat aku berlalu dari situ. Tandas tujuan aku. Aku tak sanggup untuk melihat rakan-rakan sekuliah terutama sekali Farhan dan geng tiga rabun serangkai. Aku pasti suara tiga serangkai yang ketawa kuat tadi. Sangat yakin!

 

* * *

 

BUAT pertama kali selepas tiga bulan, aku update instagram. Dua biji telur yang aku beli di kedai warden itu dimekapkan dengan cantik menggunakan pen marker. Sebiji berwajah ceria, sebiji lagi berwajah muram. Bukan main lagi aku cari posisi yang menarik untuk tangkap gambar telur tadi.

 

Hidup ini terlalu singkat untuk bersedih. Percayalah, setiap perkara yang terjadi ada hikmahnya. Bila orang buat kau… fight it back with love.

#cikmatabulat

 

Ramai saja yang tahu Instagram aku dan sengaja juga aku masukkan entri sebegitu. Kadang-kadang kita tak mampu nak luahkan secara lisan, namun biar tulisan dan gambar berbicara. Ada masanya juga kita tak perlu bersungguh-sungguh membela diri.

Aku bersandar pada kepala katil, cuba mengenangkan apa yang terjadi. Selama aku berada di kolej hinggalah masuk tahun senior, tak pernah lagi orang kenakan aku. Itu, pertama kali dalam sejarah!

Waktu sekolah dulu pun mana ada pernah kena buli. Cuma ada sekali je waktu sekolah rendah. Ah, malunya aku! Lepas insiden telur semalam aku tunggu kelas Prof Hamdan kosong barulah masuk ambil barang-barang. Tiba-tiba rasa menyesal pula tolong Farhan. Lelaki itu langsung tak ada perasaan, lagi dituduh aku adalah.

Telefon aku bergetar tanda mesej masuk. Aku cek bahagian notification dan ada hantaran baru daripada Dzul Lembu. Aku tersenyum. Aku sendiri tak faham kenapa aku pergi set ‘Turn on post notifications’ untuk instagram Dzul Lembu. Mungkin kerana hantaran dia semua menarik! Kata-kata seiring dengan gambar walaupun ada sedikit humor, aku suka.

Instagram Dzul dibuka dan ada sekeping gambar rumput selepas hujan. Hujung sebelah kiri ada terselit ekor lembu yang ralit melibas. Aku tertawa.

 

Bicara tentang hujan, akan hadirnya pelangi yang indah. Namun bagi aku, kehijauan rumput serta wangiannya lebih aku hargai. Begitu juga ujian yang kita hadapi. Rasailah ketenangan dengan jiwa yang penuh kesabaran.

#fightitbackwithlove

 

Aku terpempan dengan tanda pagar pada kapsyen Dzul. Dia tak ikut aku di instagram tapi tanda itu aku baru saja masukkan dalam kapsyen tadi. Atau… dia yang stalk aku sekarang? Kening terjongket bersama sengihan. Aku terus tekan butang suka dan komen.

 

Nice caption!

 

Selang seminit, dia membalas komen tadi.

 

My pleasure #fightitwithlove

 

Aku tak tahu macam mana hendak gambarkan perasaan sekarang. Tiba-tiba rasa berbunga dan bertaman dalam hati. Adakah hantaran itu untuk aku? Mungkin juga dia stalk aku cuma tak ikut saja. Boleh jadi, kan?

Okey, kita stop. Perempuan memang mudah perasan. Tapi aku masih tak dapat kendurkan lagi senyum yang bergayut di wajah. Mujur juga rakan sebilik yang lain tak ada, kalau tidak jenuh aku dengan usikan. Aku pantang kena usik, mulalah pipi merah macam orang lapar cendol. Hmm, macam sedap pula cendol.

Kadang-kadang aku perlu turutkan selera supaya senang nak buat kerja nanti. Lekas-lekas aku mesej Najwa minta dia belikan aku cendol durian dekat pasar malam. Aku terlupa seketika tentang Dzul Lembu, apa yang bermain dalam fikiran ialah cendol durian Pak Cik Samurai! Masya-Allah, sedapnya.

INNOCENT - bab 1

 

HUJUNG minggu bagi aku kadang-kadang membosankan dan adakalanya membahagiakan. Bosan apabila rakan sebilik ada dan bahagia jika dapat bersendiri. Bukan apa, aku kurang suka berborak dan kadang kala aku malas nak melayan. Bibir aku boleh dikatakan sentiasa berkunci. Pendiam? Boleh jadi juga. Tapi bila aku terjumpa satu topik menarik dan pasangan terbaik memang aku akan jadi bertih jagung tanpa sedar.

Entahlah, menurut kajian yang aku baca aku ini dalam kategori introvert. Orang sekeliling aku juga beritahukan hal yang sama. Kau orang tahu apa itu introvert?

Tapi ramai jugalah yang cakap, orang introvert ini selalunya suka terperap dalam bilik. Takut nak jumpa dengan orang dan tak ada kawan. Ini mungkin apa yang mereka selalu tengok dalam drama ataupun dalam bahan bacaan.

Helo? Buku fiksyen kadang-kadang kita kena tambah sesuatu yang melampau sedikit berbanding biasa supaya bahan bacaan itu ada warna. Tak adalah kita tersengguk baca seperti buku sejarah. Hiperbola itu penting. Andai aku pandai menulis rasanya lagi melampau hiperbola aku masukkan ke dalam novel.

Novel bergenre fantasi aku letakkan di tepi katil. Namun fon telinga masih lagi melekap. Pelik, kan? Membaca sambil mendengar, yang mana satu aku fokus? Itulah soalan yang sering aku terima daripada rakan sebilik. Namun senyum saja mampu kubalas.

“Ain, saya nak keluar. Awak ada nak kirim apa-apa tak?” tanya rakan sebilikku, Najwa. Orangnya berkulit gelap namun tetap cantik dan manis di mata. Siapa cakap orang berkulit tidak lawa? Dasar mentaliti rakyat kita sukakan yang putih-putih saja.

Najwa mencalit sedikit pewarna bibir, mungkin untuk menghilangkan kepucatan wajah.

“Belikan saya susu segar dengan Coco Crunch yang latest ya? Coco Crunch tu saya nak dua tau,” jawabku seraya mendapatkan beg duit dan menyerahkan not RM50 pada Najwa.

Najwa sekadar ketawa kecil dengan permintaan aku. “Lagi?”

Aku menggeleng. Belum sempat Najwa membuka pintu aku menghalang.

“Najwa.”

“Apa dia?”

“Jaga diri.”

“Baik.”

“Jangan balik lambat.”

Najwa menjungkit kening kiri.

“Lagi?”

Aku garu kepala.

“Erk, jangan lupa Coco Crunch saya.”

Sekali lagi aku membuat Najwa ketawa. Entah kenapa aku senang melihat ketawa itu.

Alright, bye!”

Sebelum Najwa menutup rapat pintu, sempat aku dengar suara disebalik. Barangkali rakan Najwa yang berjanji untuk keluar bersama.

Roommate psiko kau buat apa?”

“Kay! Dia bukan psikolah, berapa kali aku nak cakap? Sudahlah, jom.”

Psiko? Orang pendiam memang selalu dicop psiko ke? Aku terduduk lemah di tepi katil. Jika hendak fikirkan pandangan orang terhadap kita memang sampai ke sudah kita tak dapat nak puaskan mereka. Jadi diri sendiri pula kena tuduh macam-macam. Sudah cukup rasanya aku tidak mencari pasal dengan mereka. Tapi, itulah. Kita diam sekalipun mereka tetap ingin ambil tahu.

Oh, mungkin inilah perasaan ‘disayangi ramai’.

Tuala yang bersangkut di tepi katil aku capai dan berlalu ke bilik air. Cuaca sekarang yang panas memang aku akan kerap mandi tambahan pula perasaan sedang menggelegak. Tenang, Ain.

 

* * *

 

MI segera yang berendam selama tiga minit tadi aku buka penutupnya. Semerbak bau kari dalam bilik. Botol kicap dan sos cili yang beratur di atas para aku ambil dan tuang sedikit ke dalam mangkuk. Aku paling tak suka makan mi segera kosong dengan perencah semata-mata walaupun tidak dimasak atas dapur. Rasa dia kurang syok. Ada juga yang pandang pelik tapi buat apa nak kisah, selera masing-masing. Mereka makan donat cicah kuah maggi tak ada pula aku buat muka.

Plastik keropok segera aku buka dan masukkan ke dalam mangkuk mi tadi untuk dijadikan lauk. Biar dia serap kuah mi segera. Rutin hujung minggu, biasalah. Aku sayang duit nak keluar melepak lagipun, banyak betul kerja kursus yang perlu disiapkan. Kerja kursus tulisan tangan pula itu.

“Bismillah.”

Satu suapan masuk ke dalam mulut dan dikunyah dengan berhati-hati. Masya-Allah, sedap! Keropok yang belum direndam aku gigit. Bunyi kriuknya sangat menyelerakan. Kuah mi segera aku hirup dengan penuh nikmat. Sesungguhnya, mi segera memang makanan kegemaran aku.

Tersengih-sengih aku menikmati juadah tengah hari pada jam 3 petang. Telefon yang terbaring atas meja aku capai dan buka laman sosial Instagram lalu menuju ke bahagian explore.

Tajuk ‘Dahsyat Brader ni Buat Lembu Bersin’ menarik perhatian. Cepat-cepat aku buka.

Baru 15 saat video terpasang aku sudah tersedak. Memang kelakar habis! Ada ke patut lelaki dalam video tadi pergi korek hidung lembu. Terbersin lembu tu sekali dengan rumput keluar. Aku tak boleh kawal diri untuk gelak. Kasihan pun ada dekat lembu itu sudahlah dikoreknya hidung sampai terbersin, kena marah pula dengan tuan dia.

Ruangan komen aku buka dan baca satu-persatu. Ada yang terbahak dan tak kurang juga yang mengecam. Kononnya menganiayai binatang. Tapi menurut perhatian aku, lelaki ini cuba selamatkan lembu. Tapi entahlah, niat orang kita tak boleh nak teka.

Aku tergeleng bersama sengih. Profil Instagram lelaki tadi aku buka dan stalk satu persatu. Boleh tahan banyak juga hantaran yang kelakar. Melalui apa yang aku perhati, lelaki ini mungkin seorang yang penyayang. Hampir keseluruhan gambar yang dimuat naik ada unsur lembu. Selalunya orang letak gambar kucing.

Orang kata kalau nak pikat perempuan kenalah tunjukkan kecintaan terhadap kucing. Aku dengar saja dah rasa nak muntah. Siapalah yang suka-suka keluarkan fakta palsu.

Sedar tak sedar aku sudah pun tekan butang ‘follow’. Instagram yang menarik bagi aku. Setiap gambar yang ada di situ aku double click maka keluarlah simbol hati. Nampak macam miang! Tapi…mana gambar dia? Asyik nampak belakang badan saja. Kerempeng!

Like.

Like.

Like lagi, hinggalah…

Ting. Ting. Ting.

Sudah! Ada tiga notification masuk di dalam ruangan mesej Instagram. Aku telan liur. Sepanjang aku ada laman sosial ini tak pernah lagi orang mesej. Sebaik saja aku buka, nama Dzul Lembu keluar. Matilah aku! Dzul Lembu itu nama profil Instagram yang aku stalk tadi.

 

Hai!

Seronok nampak stalk saya.

Minat saya atau lembu?

 

Aduh! Malunya aku. Syok sangat pergi tekan butang suka. Sampai tak perasan hingga ke gambar 54 aku tekan. Aku pegang muka yang berbahang. Terasa keras pipi menahan senyum.

Eh, aku senyum? Buang tebiat!

Cepat-cepat aku cek Instagram sendiri, cuba cari kalau terlepas letak gambar selfie. Aku menarik nafas lega.

 

Yuhuu! Tengah cek profil sendiri ke?

 

Aik? Macam mana dia tahu? Ini semua mainan psikologi. Aku berdeham sebelum membalas mesej Dzul Lembu.

 

Hai. Maaflah sebab stalk Encik Dzul.

Saya suka tengok friendship Encik Dzul dengan lembu.

Orang putih cakap ada chemistry!

 

Dzul membalas dengan emoji ketawa. Aku senyum apabila melihat orang tertawa. Rasa bahagia walaupun sekadar emoji.

 

+ Macam mana awak tahu?

+Sedangkan itu semua gambar dan gambar boleh menipu.

 

- My inner feeling told that.

-Tapi kalau betul Encik Dzul menipu sekalipun itu urusan encik dengan tuhan.

 

+ Auch! Cik Mata Bulat ni student lagi ke?

 

Aku biarkan mesej Dzul tidak berjawab. Cik Mata Bulat, itu nama Instagram aku. Kalaulah dia rajin stalk, nama blog aku juga menggunakan nama yang sama. Tapi, siapalah aku orang mahu stalk. Setakat suka imbas luaran dan membuat kajian personaliti orang.

Telefon aku letak ke tepi. Bunyi mesej masuk aku abaikan dan meneruskan niat untuk siapkan assignment.

Monday, November 16, 2020

Kekasih Insomnia [cerpen]

KEKASIH INSOMNIA
Karya: Aeyfa Nasri




Dia yang selalu aku perhatikan dari jauh. Setiap hari dia akan berada di stesen komuter yang sama dengan aku. Aku menunduk tatkala dia menoleh. Wajahnya manis tersenyum ketika berbual-bual dengan rakan di sebelah. Aku tak kenal siapa rakannya, boleh jadi rakan sekerja.

Noah.

Nama dia Noah. Aku pernah terdengar rakannya memanggil dia dengan panggilan itu. Laju tangan aku melakar nama itu di dalam buku lakaran bersaiz A5. Sudah hampir enam bulan aku buat kerja gila dengan mengintai gelagat dia di stesen ini sehingga kami sama-sama menghilang ke dalam perut komuter.

Setelah berbulan-bulan aku menahan perasaan, hari ini aku beranikan diri. Aku mendekati Noah yang bersendiri berdiri di situ. Hari ini dia tidak berteman.

Dia nampak terkejut namun cepat-cepat mengukir senyum. Aku membalas.

"Awak selalu naik komuter ni kan?"

Dia... dia perasan?

Malu-malu aku mengangguk. Sempat aku curi tengok wajahnya yang tersenyum manis.

"Siapa nama? Kerja atau masih belajar?"

"Aisha. Nama saya Aisha. Baru je kerja, enam bulan."

"I see... Aisha, sudi tak awak jadi girlfriend saya?" kata Noah menyentakkan aku.

Girlfriend? Aku terkedip-kedip memandang Noah. Dia ketawa kecil.

"Saya selalu nampak awak di hujung sana tapi tak berani nak tegur. Berbulan juga saya perhati, wajah awak kemerah-merahan sebaik sahaja mata kita bertembung. Sejak hari tu saya biarkan saja awak pandang saya."

Aku jadi termalu sendiri. Rupa-rupanya perbuatan aku selama ini sudah tertangkap cuma baru terdedah.

"Saya...saya suka awak, Noah!" kataku.

Dia terdiam seketika sebelum ketawa.

"Saya pun sama, Aisha."


* * *


Hari ini, 'lipan bergerak' agak sunyi. Aku juga sudah lama tidak melihat si dia di sini. Aku ketawa sendiri. Dengan usia aku sekarang agak tidak sesuai untuk membuat perangai seperti stalker. Aku senyum dan bersandar pada kerusi. Sebuah novel negara seberang aku keluarkan dan menyambung bacaan yang tertangguh. Mungkin sedikit sebanyak hasil pengkarya ini menghasut kehidupan aku. Karya ini terlalu puitis dan romantis. Kadang-kala bisa membuatkan aku terbuai.

Buku yang aku baca mula basah. Gerimis halus menimpa tanpa sedar. Sudah! Cepat-cepat aku kesat air mata yang menitis. Aku tak dapat tumpukan perhatian aku pada bahan bacaan. Fikiran aku menerawang terhadap si dia. Kali terakhir kami berjumpa ketika dia mengajak aku jadi kekasih dia. Luahan itu kali pertama dan terakhir aku dengar. Belum sempat aku mendapatkan nombor telefonnya.

Dia..

Dia sudah berjanji mahu berjumpa lagi di sini. Tak sangka aku terlalu lurus sehingga mudah tertipu.

Mungkin tiba masanya aku lupakan dia. 

Ya, lupakan dia Aisha!

Keluar dari stesen, aku berjalan keluar menuju ke barisan kedai dan kedai menjadi tujuan aku. Aku sukakan sesuatu yang manis ketika pahit menghuni perasaan. Tambahan pula aku baru sahaja diberhentikan kerja, jadi tak ada sebab lagi untuk aku naik kenderaan awam itu untuk berulang-alik.

Aku mendongak cuba membaca papan nama kedai.


'Rossa The Baker'


Nama kedai yang cantik! Pasti pemiliknya juga cantik dan berseni. Aku semakin tidak sabar. Iklan kerja kosong sebagai pembantu kedai menambah minat aku.

"Linda, tolong stay sini sebelum balik. I ada benda nak bincang dengan you."

Aku menoleh ke arah wanita itu. Cantik! Gayanya ala-ala wanita Perancis. Sanggulan rambutnya bersama bentuk muka yang lembut. Aku terpukau seketika.

"Yes? How can I help you, miss?" tegur wanita ala Perancis itu.

Aku jadi termalu sendiri. Selalu saja kantoikan diri sendiri. Jari aku halakan pada pintu kedai.

"Err, my name is Aisha. Can I apply any job vacancy here?" soalku. Tiada niat nak cari kerja pun sebenarnya tapi kedai ini terlalu menarik seolah-olah memberi harapan baru untuk aku.

"Aisha?"

"Yes, Aisha. But I'm not too familiar here. This is my first time seeing this bakery and I... I think it's awesome!"

Mata wanita Perancis itu bercahaya. Kedua-dua tanganku digenggam kemas.

"Absolutely yes, Aisha. You're hired!"

"Cepatnya," gumamku.

"Nama you buat I tertarik. Jadi, bila you boleh mula bekerja?"

Sekali lagi aku tergamam. Ternyata wanita ini boleh berbahasa Malaysia.

"Saya sangka awak tak boleh berbahasa."

Wanita itu ketawa. Cantik dan elegan. Dalam masa yang sama wanita itu sangat comel.

"Boleh je. Dah lebih 13 tahun saya tinggal di Malaysia, melampaulah kalau tak pandai lagi." 

Aku angguk lalu koyak sengih.

"By the way, my name is Rossa and I owned this bakery. I extremely happy if you can start today! Can you?"

Jeda.

"Boleh. Lagipun saya memang tak ada buat apa-apa sekarang ini."

"Great! Let me show you this bakery. Saya pasti awak akan sangat sukakannya."

Aku angguk-angguk saja dari tadi. Memang sejak tadi aku teruja ingin tahu. Sekurang-kurangnya ini saja jalan untuk aku lupakan kisah cinta aku yang hadir sekadar sementara. Ini saja tempat yang aku tak perlu naiki atau lalui stesen itu lagi.

Tolong...

Tolong beri aku peluang untuk lupakan kisah sedih ini. Padamkan rasa ini dan janganlah hanyutkan aku dengan memori tentang dia.


* * *



Sedar tak sedar sudah dua minggu aku bekerja di sini. Aku sedar dengan kelayakan aku, bekerja di sini sudah cukup elok. Tambahan pula suasananya sangat tenteram. Rakan sekerja yang menceriakan begitu juga dengan Rossa. Wanita itu suka bercerita. Kadang-kadang hal air tumpah pun dia cerita. Aku pula mudah terhibur.

Namun, setiap kali ada masa terluang aku jadi teringatkan dia. 

Noah...

Kenapa aku rasakan akan ada harapan baru untuk aku dengan dia? Boleh jadi aku kena pergi stesen itu.

Aku termenung di bahagian kaunter. Mataku ralik perhatikan gelagat pelanggan tetapi minda jauh menerawang.

Kling! Kling!

Bunyi loceng kedai mematikan lamunanku dan segera aku toleh ke arah pelanggan yang baru masuk. Seorang lelaki mungkin dalam ketinggian 175cm. Rambutnya hitam dan sedikit keperangan itu nampak bersinar disimbah cahaya mentari petang. Susuk itu kembali mengingatkan aku pada dia.

Aku ketap bibir sebelum berlalu ke belakang. Mujurlah ada Rossa yang peramah sudi melayan.

"Helo, Noah! Apa mimpi you datang sini?"

Noah? 

Aku menggeleng. Mana mungkin itu Noah yang aku kenal.

"Sorry Rossa sebab dah lama tak datang. Lately I busy layan client Madam Lucy. Asyik tukar design saja."

Tapi suara itu...

"Haha, macamlah you tak kenal mama I. Everything must be perfect!"

"Like mother like daughter, huh?" balas lelaki itu.

"Hey, mengata I! By the way, Rossa's signature?" 

"Yes, please."

Tak tahan dengan suara itu aku segera menjenguk keluar. Segera aku tekup mulut dengan tangan. Wajah itu...

"Noah," kataku.

Dia memandang aku tanpa perasaan. Mata kami berpaut buat seketika. Anak matanya berwarna hazel. Sungguh aku rindu akan pandangan itu. Aku rindukan Noah.


* * *




"Rossa, you tak cakap pun ada ambil pekerja baru. Macam mana dia tahu nama I? You mengata I kat staf you ke?"

Pandangan Noah terhadap aku agak dingin.

Rossa nampak gelisah dengan soalan Noah. Tapi, betul ke dia Noah yang aku kenal? Tapi kenapa dia tak kenal aku? Nama aku...

"Erm, Noah. This is Aisha, my new worker. She's working here almost two weeks."

Lelaki itu nampak terkejut. Kenapa? Baru kenal siapa Aisha? Ingatan sudah pulih? Entah kenapa aku rasa seperti dipermainkan. Apa maksud luahan dalam train tempoh hari?

"Aisha..." sebutnya lalu tertawa kecil.

"I tak faham kenapa dia selalu gunakan nama I."

"Noah... kenapa cakap macam tu? Dia..."

"Aisha. Sebab nama dia Aisha, kan? That's why you ambil dia bekerja."

Aku tak faham apa yang berlaku sekarang ini. Kenapa Noah nampak begitu bencikan aku? Dia nampak dingin. Noah bangun mendekati aku. Pinggang aku dipaut merapatinya dan merampas telefon yang berada di tangan aku. Aku tak tahu Noah mendail nombor siapa sebelum mematikan panggilan.

"Be my girlfriend."

"Tak nak," balasku tanpa fikir kerana aku yakin benar itu bukan Noah yang aku jumpa dulu.

"Noah, stop it!" halang Rossa tetapi makin erat pula pautan pada pinggang aku.

Aku toleh ke sisi. Pasti merah muka aku sekarang ini. Siapa yang tak segan diperlakukan begitu. Mujurlah agak jauh dari pandangan pelanggan kedai. Noah dah melampau!

"I won't let you go until you say... yes."

Dia masih memaksa dan aku...

"Okay, yes! Let go off me."

Sempat lagi dia mencuit hidung aku sebelum melepaskan pautan.

"Good girl. Saya akan call malam ni dan pastikan angkat. If not... hmm, you better get ready."

Tanpa menunggu, aku terus larikan diri ke belakang. Noah yang ini jauh berbeza dengan Noah yang aku kenal. Wajah sama tapi sikap berbeza.


* * *



Telefon berdering berkali-kali ketika aku berada di dalam bilik air. Buru-buru aku menjawab panggilan dari nombor yang tak dikenali. Kalau dah banyak kali macam ni pasti penting! 

"Helo?"

"Kenapa lambat angkat call? Kau pergi mana?"

Aku jarakkan sedikit telefon dari telinga. Aku tarik muka. Mujur bukan video call. Kalau tak kantoilah aku.

"Mandi."

"Hmm, tak elok mandi lewat malam," balasnya lebih perlahan berbanding tadi.

"Kenapa call?"

"Saja. Mulai hari ini saya akan call setiap malam. Now, tell me about you."

Dah serupa kena interview pula. Aku hela nafas dan bersedia untuk berguling di atas katil. Walaupun aku rasakan Noah bukan lelaki di dalam train, apa salahnya kalau aku beri dia peluang kedua.

"So, you Aisha yang selalu curi-curi tengok aku dalam train? Menarik. Macam manalah aku boleh confess dekat kau dulu. Haish, macam tak ada taste je," gumamnya namun aku tetap boleh dengar.

Kalau depan mata aku dah tampar Noah. Mulut bisa!

"Sebab itu saya kata, awak bukan Noah. You're totally different with him."

"Lupakan dia yang dalam train. Kau anggap saja aku mengalami amnesia dan terlupa pasal kau. Lagipun dalam hidup aku banyak lagi perkara untuk aku ingat," balasnya mencucuk hati.

Aku ketap bibir. Sumpah! Aku geram betul dengan lelaki ini. Perbualan kami berlarutan sehingga ke pagi.


* * *


Aku tersentak dari tidur apabila dengar pintu yang berkatup kuat. Ribut. Cepat-cepat aku kunci pintu belakang kedai. Aku terlelap di tepi loker. Akhir-akhir aku tidak cukup. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku dating dengan Noah dalam telefon dan melarat hingga ke pagi. Bila aku malas, Noah akan tetap paksa aku bercerita walaupun cerita aku mengarut dia tetap setia mendengar. Kadang-kadang rungutan aku tentang pelanggan.

Tapi, selama aku bercinta dengannya dia sudah jarang datang ke Rossa The Bakery. Boleh dikatakan langsung tidak datang. Sudah enam bulan berlalu. Aku dan Noah masih juga sama.

Dunia seakan berpusing seketika. Cepat-cepat aku berpaut pada kerusi.

"Aisha, you okey?"

Aku mengangguk.

"Okey, cuma pening sikit. Tak cukup tidur kut."

Riak Rossa jelas menggambarkan dia risaukan aku. Alahai, comel pula bos Perancis aku ni.

"Kalau tak larat you pergi je berehat ya? Kerja-kerja lain I akan tolong cover untuk you."

Kling! Kling!

Laju aku menoleh tetapi hampa. Fikirku, pasti Noah.

Wajah Rossa ceria saja menyambut kehadiran pelanggan. Mungkin bukan pelanggan sebab Rossa membawa lelaki itu di ruangan agak tersembunyi dan selalunya untuk perbincangan.

"Aisha!" panggil Rossa.

Cepat-cepat aku dapatkan wanita itu.

"Ada apa Cik Rossa?"

"Ambilkan fail warna hijau atas meja dalam pejabat saya, boleh?"

AKu angguk dan segera berlalu. Sebaik sahaja aku masuk ke pejabat Rossa, kaki aku terus terpaku.

Ini...ini pejabat atau tempat pembuangan? Kertas yang bergelimpangan atas lantai aku kuis dengan hujung kasut dan cuba memijak lantai yang kosong. Mujurlah fail hijau yang dimaksudkan betul-betul atas meja.

Namun, ada yang lebih memeranjatkan aku.

Foto tiga orang di dalam satu bingkai gambar membuatkan lutut aku menggigil kuat. Aku mendekati gambar itu dan perhati lama.

Apa maksud semua ini? Siapa Noah? Kenapa ada dua orang berwajah serupa. Tak... tak mungkin.

"Aisha?"

Aku menoleh. Dia memandang gambar yang berada dalam tangan aku. Sungguh aku rasa sangat tertipu.

"Aku boleh explain. Mari kita duduk dan bincang."

Pantas aku geleng.

"Tak perlu. Saya dah faham sekarang kenapa. Tak sangka saya bodoh. Bodoh terlalu cepat terpedaya!"

"Aisha!"

Aku malas menoleh. Kenapa baru hari ini muncul depan aku dan cuba terangkan yang aku salah faham? Ini semua mengarut. Aku berlari ke arah pintu belakang.

Berkunci.

"Aisha, dengar dulu penjelasan kami. Kita duduk kat luar ya?" pujuk Noah.

Aku menggeleng. Kepala aku cukup pening sekarang ini. Jangan biarkan tubuh aku tewas di sini.

"Aisha? Kau okey tak ni?"

Itu kata-kata terakhir aku dengar sebelum terjelopok lemah tidak sedarkan.


* * *



"Macam mana, Noah? Getting better?"

Itu, suara Rossa.

"Yep! Tapi orang lain pula yang merana. I felt sorry for her."

"Terus-teranglah, Noah. I tahu you sukakan dia, kan? Kenapa perlu tipu perasaan sendiri? Jangan cakap disebabkan Luth you buat macam. He's gone, Noah."

Jeda. Derap kasut tumit tinggi perlahan-lahan menghilang menandakan Rossa sudah keluar. Mataku buka dan memandang Noah yang seakan terseksa. Kenapa dia perlu terseksa? Sepatutnya aku yang rasa seperti itu.

Terseksakah jiwa mempermainkan perasaan orang lain?

"Siapa awak Noah?" bicaraku.

"Aisha! Kau okey?"

Aku menghalang tangannya dari menyentuh wajah.

"I'm asking you."

Perbuatan Noah terhenti. Bibirnya menguntum senyum bersama pandangan yang redup. Pandangan ini... pandangan pertama kali aku mendengar nama Noah disebut di dalam komuter dulu.

"He's my twin, Luth. He used my name just to get close to you."

"Dalam train tu..."

"Luth. Aku cuma pernah sekali bertembung dengan kau dan tak sangka aku masih ingat muka ni. Muka kecil macam budak-budak. Ingatkan student rupa-rupanya dah layak jadi mak budak," kata Noah dalam masa yang sama sempat mengusik aku.

Aku tersipu. Geram bercampur malu.

"Jadi, first confession from... Luth?"

"Ya, dia yang luahkan dulu. Dia tahu, kau kenal Noah melalui lakaran kau pernah buat. Aku tak pernah tahu tentang itu. Dia...cuba jadi orang tengah antara aku dan kau. Yes, I admit that I love you at the first sight! It's sound silly but true. Macam mana eh nak cakap tapi aku rasa kalah sedangkan dia pun punya rasa yang sama dengan aku."

Wajah Noah kemerah-merahan. Sinaran matahari yang terpancar melalui tingkap membuatkan rambutnya bersinar hitam keperangan. Mata hazelnya malu-malu membalas renungan aku.

Aku tertawa kecil.

"Where is he?"

"Luth?"

"Ya, dia."

"Luth, meninggal kerana lemah jantung. Dia tahu dia tak mampu bertahan sebab itu... dia tolong aku."

Mata aku mula berkaca. Patutlah, berbulan aku tunggu dia tapi hampa. Sebab itu aku rasakan Rossa The Baker seakan-akan memberi peluang baru untuk aku dan ya! Peluang untuk bertemu dengan Noah yang sebenar.

"Saya tak tahu... Noah. Awak pun sakit ke?" tanyaku. Aku tak mahu kehilangan Noah. Cukuplah derita akan penantian tidak berbalas.

Anggukan Noah membuat aku terkedu.

"Aku, ada insomnia. Sukar tidur malam. Dah banyak cara aku buat hinggalah kau hadir. Tak ada niat pun nak kenakan kau tapi itu saja jalan terakhir aku tapi tak sangka pula bagi kesan pada kau. Kesian, Aisha. Tak cukup tidur gara-gara Noah."

"Maksud awak... perbualan kita setiap malam tu..."

"Sebab aku tak boleh lelap. Tapi anehnya, bila Noah dapat dengar suara Aisha penyakit perlahan-lahan pergi. Kelunakan suara Aisha, manja dia...buat Noah rasa terbuai."

"Patutlah tiba-tiba je senyap setiap kali on the phone malam-malam. Dia yang tidur dulu," gumamku tak puas hati.

Noah ketawa senang. Tapi, aku tetap terkilan dengan apa yang berlaku pada Luth. Dia tak sempat melihat ketawa kembarnya.

"Jadi, fahamlah kenapa Rossa laju je ambil Aisha bekerja dengan dia?"

Aku angguk.

"Hish, malu betul!"

Noah paut lembut dagu aku dan memaksa aku memandangnya.

"Boleh kita mulakan semula hubungan ni?"

Aku mengangguk laju dengan mata yang berkaca.

"Aisha sayangkan Noah."

"Noah pun sayang sangat dengan Aisha."





Terima kasih kerana sudi baca. Sudi-sudikanlah drop komen ya?

^^