Part 3 (Bagaikan satu kehilangan)
BRUUUU…
Qaira pejam mata. Air yang menyimbah tadi benar-benar sejuk. Entah apa lagi yang mereka semua tidak puas hati. Barangkali tak cukup kena gantung kolej. Geng Jija memang melampau.
Pintu tandas ditolak kasar. Jija dan lain-lain berdiri di tepi sinki sambil memeluk tubuh.
“Kenapa? Nak marah?” Kolar baju kemeja Qaira diragut kemas hingga gadis itu terdorong ke depan. Namun Qaira tetap bersahaja. Mata dijulingkan ke kiri lalu menolak tubuh Jija.
“Kali ini kau balas dendam untuk siapa?” soal Qaira turut berpeluk tubuh. Bibir dimuncungkan ke atas dan meniup rambut depan.
“Syida!”
Qaira bawa jari ke bibir sementara mata dibawa ke atas. “Syida… siapa tu?”
“Jangan nak berpuralah perempuan gila. Apa masalah kau sebenarnya sampai semua orang yang nak dekat dengan Encik Putra kau nak sailang?? Sekarang dia ada dalam tahanan sebab memiliki dadah. Ini mesti kerja kau kan? Dengki!”
Tiba-tiba ketawa Qaira bergema. “Padanlah dengan muka dia siapa suruh menggatal. Memang patut pun dia kena tangkap.”
Belum sempat geng Jija menyerang Qaira segera tunduk masuk ke bawah sinki dan mengutip serpihan cermin yang pecah. Lantas diacu laju ke arah mereka. Geng Jija cepat-cepat berundur.
“Kau… kau nak buat apa ni gila?”
Qaira sengih. Perlahan-lahan serpihan itu ditekankan ke atas lengannya sendiri dan ditarik sepanjang dua inci. Masing-masing ternganga. Jija cuba menghalang tetapi gagal malah ditolak hingga tersungkur.
Dahi sengaja dikerutkan dan memberi reaksi seolah-olah dalam kesakitan. Qaira kemudian membuka pintu utama tandas yang sedari tadi berkunci lalu berpura-pura jatuh.
Kebetulan pula ketika itu Putra sedang berjalan menghampiri ke bilik tutorial. Terperanjat lelaki itu tatkala terpandang tubuh Qaira yang basah dan lengan berdarah. Keadaan Qaira nampak sangat teruk!
“Tolong… tolong Ira.”
“Ya Allah! Macam mana boleh jadi?” soal Putra sambil membantu Qaira bangun.
Tanpa mendengar jawapan daripada Qaira, Putra segera melontar pandangan ke dalam tandas perempuan.
“Korang berempat memang tak pernah serik kan? Apa yang Qaira dah buat sampai korang perlakukan dia macam ni, hah?!”
“Erk, kami… kami… tak buat apa-apa pun,” nafi Jija.
Putra merengus kasar. Tanpa membazirkan liur dia segera panggil pelajar berdekatan untuk memapah Qaira ke bilik kesihatan.
“Kamu berempat ikut saya!”
* * *
“AWEK baru???” jerit Qaira, terkejut. Fikirnya Putra ajak lepak dekat taman semata-mata untuk luangkan masa bersama tetapi hampa. Lelaki itu perkenalkan seseorang sebagai teman wanita. Nampak lebih matang berbanding dengan sebelumnya.
Qaira senyum.
“Siapa?”
“Hai, Ira. Saya Rara tutor baru dekat kolej kamu yang bakal gantikan Putra,” balas wanita itu.
Qaira tercengang lalu mencari mata Putra untuk kepastian. Sementara Putra garu belakang kepala sambil mengangguk.
“Kenapa abang tak cakap dengan Ira? Mama dah tahu ke? Habis tu abang kerja apa sekarang? Kat mana?” soal Qaira bertalu-talu bagaikan peluru. Tangan Putra digoncang berkali-kali. Jelas terpamer riak bimbang di wajahnya.
Wanita bersebelahan Putra tidak diendahkan langsung. Jika Putra tak kerja lagi sebagai tutor di kolejnya, dia ibarat hilang kekuatan. Macam mana kalau dia terus dibuli? Pada siapa lagi dia hendak mengadu. Hanya pada Putra dia dapat luahkan dengan tayangkan bukti.
Qaira geleng. Fikirkan hal itu dia jadi takut.
Perasan akan perubahan Qaira, Putra segera mendapatkan tangan gadis itu. “Ira, hey! Pandang abang. Kenapa takut sangat ni? Abang tak pergi mana-mana ada je dekat sini. Jangan risau, abang kerja dengan mama.”
“Ehem!”
Masing-masing berpaling memandang Rara. Hampir saja mereka terlupa akan kehadiran Rara.
“Sorry sayang. I sedang pujuk adik manja ni. If you don’t mind…”
“It’s okay. Lagipun I boleh kenal-kenal dengan adik you. Dengarnya dia sangat popular dekat kolej, betul ke?” provok Rara dengan memandang ke arah Qaira yang sudah cemberut.
“Dengar daripada siapa?”
Rara jongket bahu. “Jija.”
“Oh.”
Belum sempat Qaira memaut lengan Putra, Rara terlebih dahulu bertindak. Lengan Putra dipaut erat seakan tidak mahu lepas, anehnya Putra tenang saja tidak seperti dengan gadis-gadis sebelum ini. Ini tak boleh jadi! Qaira menggigit bibir.
Rara tidak sama dengan perempuan yang Putra pernah jumpa. Dia seakan ada sesuatu yang mampu menghalang Qaira dari menghasut Putra. Qaira hentak kaki. Bengang!
“Hurm, nak makan apa ya?” soal Putra tiba-tiba.
“Nasi ayam!”
“Nasi Ayam Penyek Pak Jeff, nak?” sela Rara dengan wajah yang dimaniskan.
Putra angguk. “Okey juga tu. Dah lama tak makan nasi ayam penyek Pak Jeff. Sambal belacan dia memang super best!”
Qaira tercengang.
“Tapi abang, Ira tak boleh makan…” Belum sempat Qaira bersuara, Putra terus melangkah beriringan dengan Rara.
Nasi ayam penyek? Sambal belacan?? Sumpah rasa hendak pengsan sekarang juga.
No comments:
Post a Comment