Part 4 (Siapa lebih kejam?)
BERDENTUM bunyi pintu bilik ditutup. Qaira mengesat air mata yang sedari tadi ditahan. Apa-apa pun dia tidak akan pernah salahkan Putra atas apa yang berlaku. Ini semua salah teman wanita baru Putra, Rara!
Sudahlah kena paksa makan sambal belacan, kena fitnah menipu pula tu. Qaira bengang. Dia tidak boleh mengalah begitu saja. Rara perlu dikerjakan. Tapi bagaimana? Putra tak ada di kolej untuk mengadu domba. Geng Jija pula pasti seronok kenakan dia nanti.
Qaira ke hulur ke hilir dalam bilik cuba untuk menggali idea. Kejadian tadi masih hangat lagi di dalam ingatan.
“Kenapa tak makan?”
Qaira geleng. “Tak boleh makan.”
“Takut jerawatlah tu,” tuduh Rara seraya menyuap ke dalam mulut. Putra pula bangun jawab panggilan.
“Tak. Saya memang tak boleh!”
“Cubalah sikit…”
Kebetulan pula Putra sudah tiba. Nasi yang disuakan kepadanya itu Qaira pandang dengan sangsi.
“Kenapa?” soal Putra.
“Tak adalah, I saja nak manjakan adik you. Nak suap-suap sebab tengok dia tak makan pun.”
Tiba-tiba Putra ketawa kecil. “Sorry I lupa. Ira mana boleh makan sambal. Nanti tiga hari tiga malam terguling.”
Qaira menghela nafas lega. Terharu apabila Putra masih ingat kelemahannya.
“Apalah you ni. I cuma suapkan nasi dengan ayam. Ini ada sup sikit. Makanlah, Ira. Nah.”
Teragak-agak Qaira untuk membuka mulut. Lagipun dia tak boleh buat perangai depan Putra. Akhirnya Qaira terpaksa nganga dan terima suapan daripada Rara, itupun disebabkan Putra yang menggesa.
“Uhuk!”
“Kenapa ni?” Cepat-cepat Putra menghulur air kosong dan Qaira teguk laju.
“Pedas!”
“Hah?”
“Ira cakap pedas abang tak dengar ke? Awek abang letak sambal dalam nasi tadi!” tuduh Qaira.
Muka Putra merah. Qaira senyum suka dalam kepedasan. Sebentar lagi pasti Putra akan tinggalkan Rara.
“Abang tengok sendiri tadi Rara letak nasi dengan ayam. Sudahlah Ira, abang takkan percaya dengan taktik Ira kali ini. Cepat habiskan air lepas tu kita balik,” tegas Putra.
Qaira gigit bibir. Tidak puas hati melihat Rara yang sedaya upaya menyembunyikan senyum.
* * *
PAGI ini sudah tiga kali dia muntah. Semalam saja sudah dua kali. Ada juga dia mengadu dengan Putra katanya sakit perut sebab makan pedas tetapi dia yang terkena balik. Putra hanya menggeleng dan ketawa.
“Sudah-sudahlah tu buat cerita. Cepat pergi tidur, esok kelas pukul lapan kan?”
“Tapi Ira tak tipu! Si Rara girlfriend abang tu memang jahat. Talam dua muka! Dia sengaja nak bagi Ira sakit,” tuduh Qaira.
“Stop it, Ira! Ira jangan ingat abang tak tahu ke apa yang Ira dah buat dengan perempuan-perempuan sebelum ni? Bukan ke selama ni Ira yang berpura-pura?”
Qaira tercengang. “Macam mana abang…”
“Macam mana aku tahu tu tak penting. Tolong jangan masuk campur urusan aku lagi. Kau… buat hal kau dan aku hal aku.”
Jeda. Sekarang Putra sudah membahasakan diri aku-kau. Tiada lagi sikap manjakan diri dia. Qaira terkedu.
“Oh ya, tadi sakit perut kan? Aku tahu sangat itu semua helah kau. Sengaja makan pedas lepas tu nak tuduh Rara, kan? Aku dah masak dengan perangai kau cuma aku diamkan. Kalau boleh aku tak nak ungkit perkara macam ni tapi… tolong ingat balik siapa kau dalam rumah ni,” sambung Putra, sinis.
Qaira terduduk memegang perut. Mengenangkan pergaduhannya dengan Putra semalam membuatkan perutnya semakin sakit. Tertekan.
Sekejap lagi kelas tutor Rara. Rasa benci meluap dalam diri. Kalau ikutkan hati hendak saja dia ponteng tapi bimbang jika Rara laporkan pada Putra.
Apabila sudah mendapat tenaga, Qaira segera bangun dan bergerak ke blok sebelah. Seperti biasa, dia duduk bersebelahan tingkap. Anehnya hari ini, Jija mengambil tempat di depan. Qaira mengerut kening. Sesuatu yang sangat luar biasa.
‘Takkan dia dah tahu Rara tu awek Putra? Ceh, betul-betul stalker!’ fikir Qaira. Tangan ditongkatkan ke pipi yang membuncit dari hari ke hari.
Tengkuk digosok perlahan bagi menghilangkan rasa mual. Air isotonik diteguk bagi mengembalikan tenaga. Perut yang sakit cuba diabaikan sebolehnya. Dia tidak mahu kelihatan lemah di depan Rara dan Jija hingga kelas tamat.
“Miss tak rasa macam kejam sangat ke?” soal Jija dengan riak serba salah. Kali ini dia tidak mahu libatkan geng-geng yang lain. Biar hari ini dia sendiri yang membalas segala perbuatan Qaira sebelum ini.
“Cuba kamu fikir balik, siapa yang lebih kejam selama ini? Dia, kan?”
Jija angguk. Dia yakin sekarang Qaira pasti pelik dengannya yang tiba-tiba duduk di depan. Selama ini mana pernah! Takut kena soal.
Dalam bilik tutorial kini tinggal Jija, Qaira dan Rara. Qaira tertidur ketika kelas berjalan, apabila dikejut langsung tak sedar. Bertambah bengang Rara. Bukan main dulu Putra memuji gadis itu sentiasa cemerlang dan tak pernah tuang kelas mahupun tidur.
Jija berjalan menghampiri Qaira. Beg gadis itu diselongkar dan mengambil telefon bimbit lalu diserahkan kepada Rara.
“Good. Sekarang awak boleh balik.”
Hari ni tak payah ambil Ira. Ira ada discussion dengan kawan-kawan.
Send.