Sunday, December 27, 2020

INNOCENT - bab 2

 

JAM tangan aku tilik. Dalam masa satu jam sahaja lagi akan ada kelas Prof Hamdan. Hendak ke perpustakaan terasa jauh dengan bangunan kuliah apatah lagi jika mahu balik ke kolej. Jawabnya memang aku terlelap dan lupa untuk hadir ke kelas.

Aku menurut hala tuju kaki asalkan tidak jauh dari bangunan kuliah. Namun perut yang memulas membawa aku ke tandas berdekatan. Tandas yang jarang orang masuk dan aku sendiri tak pasti kenapa. Kalau mendengar khabar angin memang banyak spekulasi. Lantaklah yang penting selesaikan dulu urusan penting ini.

Pam aku tarik dan menghela nafas lega. Boleh tahan lama juga aku di dalam tandas. Belum sempat aku membuka kunci tandas terdengar seperti suara-suara sedang berborak. Bukan sembang biasa tapi sepertinya ada rencana. Aku sabar menanti dan mencuri dengar perbualan mereka.

“Kau rasa okey ke kita buat kerja ni dalam tandas?”

“Kau dah lupa ke Jiha? Tandas berhantu memang milik kita hasil porak-peranda yang dilakukan oleh senior sebelum ini.”

Jeda.

Jiha? Aku dekatkan telinga pada pintu tandas. Mujur juga pintu tandas ini tidak luas sangat bahagian bawah. Bolehlah sorokkan kaki.

“Apalah kau ni Jiha. Takut tak bertempat, okey sekarang apa plan kita Rai?”

“Senior kita, Aqram dah ajak kita prank si Farhan.”

“Farhan si introvert itu ke?” jerit Jiha. Aku sudah kenal suara itu.

Kalau ada Jiha dan Rai seorang lagi pasti… Hana! Ya Allah, tiga rabun serangkai berpakat nak kenakan Farhan? Seriuslah apa salah Farhan dekat dia orang? Jika aku ada keberanian sudah lama aku keluar berdepan. Masalahnya sekarang… aku penakut!

“Aqram suruh kita buat apa?”

Bunyi plastik menambahkan lagi perasaan ingin tahu. Sesekali jam tangan aku tilik. Kurang setengah jam lagi kuliah nak mula. Mereka tak reti keluar ke apa? Aku sudah gelisah di dalam tandas.

“Kau orang nampak telur ni? Seperti biasa, dua puluh minit selepas mula kelas prof, si Farhan ini akan keluar ke tandas dan waktu itu anak buah Aqram akan buat kerja seterusnya. Betul-betul depan pintu bilik kuliah. Biar dia terduduk malu!”

What?

Aku gigit bibir. Apa yang aku perlu buat? Kenapa aku perlu dengar semua perancangan ini? Ya Allah kasihannya Farhan. Salahkah lelaki itu jadi seorang pendiam? Bukan mengganggu sesiapa pun atau mereka rasa terganggu? Ingin rasa diganggu? Argh! Spekulasi memang tak akan habis.

“Jomlah. Prof Hamdan memang pantang orang masuk lambat kelas dia. Penat aku nak dengar bebelan orang tua tu.”

Bunyi pintu utama tandas yang berdentum membuktikan mereka sudahpun keluar. Perlahan-lahan aku menolak pintu dan menjenguk sedikit keluar.

“Apa aku patut buat?”

 

* * *

 

TUDUNG bawal berwarna belacan aku betulkan saiz dan kedudukan. Aku tak biasakan pin tudung pada kiri dan kanan bahu, terasa macam terlalu nak melawa. Tapi kalau orang lain buat begitu nampak biasa saja bagi aku. Entahlah, mungkin aku terlalu inginkan sesuatu yang biasa dan tidak bersungguh.

Bilik kuliah yang besar menyukarkan aku mengenalpasti keberadaan Farhan. Dia sudah sampai atau belum? Selalunya Farhan datang lebih awal daripada aku.

Hello, miss. What are you looking for, huh? Class will be start in seconds.

Alamak!

“Erk, maaf prof.”

Cepat-cepat aku melangkah sambil mencari kedudukan Farhan di bahagian belakang. Ya, itu dia! Terlalu jauh di belakang. Setahu aku, Farhan memang selalu duduk depan.

Aku mengambil tempat di sebelah Farhan dan ternyata lelaki itu terkejut dengan kehadiranku. Lekas-lekas dia menarik hud hingga menutup hampir separuh wajahnya. Farhan sedikit menjauh dari aku. Aku garu kepala. Bukanlah aku nak sangat duduk sebelah dia.

Sudah 15 minit berlalu dan aku tak dapat nak fokus pada Prof Hamdan. Suaranya masuk ikut telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri. Tanpa berlengah aku terus keluarkan sehelai kertas kosong dan memotong kecil.

 

Jangan keluar selagi belum habis kuliah. Aqram and the gang tengah tunggu kau kat depan pintu! Tolong percayakan aku.

 

Kertas tadi aku tulis dan menolaknya kepada Farhan. Sekali lagi lelaki itu terkejut dengan tindakan aku. Aku nampak Farhan membaca amaran yang aku bagi. Tolonglah Farhan, dengar cakap aku!

Farhan mendengus. Kertas tadi dia gumpal dan baling ke arah aku.

Alamak! Janganlah dia berdegil dengan aku.

“Farhan! Psst…”

Selang seminit Farhan menolak kertas pada aku.

 

Kau nak apa? Kenapa aku perlu percayakan kau? Apa yang kau tahu tentang Aqram? Entah-entah kau lagi licik!

 

Ya Allah. Aku rasa mahu hantuk kepala dekat dinding saja. Sungguh aku tak rasa aku perlu jawab semua soalan itu.

 

Suka hati kau!

 

Kertas tadi aku serahkan pada Farhan sebelum meminta diri untuk keluar ke tandas. Rimas pula hendak percayakan orang seperti Farhan. Kita nak selamatkan dia, tapi banyak tanya. Pintu keluar di bahagian kiri jadi tujuan.

Sebaik saja aku membuka pintu utama bilik kuliah, satu das balingan mengena tepat pada dahi aku.

“Aduh!”

Lendir yang mengalir mengena tudung aku sentuh. Telur? Timing betul masa dia orang nak baling. Aku memandang tajam ke arah mereka yang membaling. Pengecut! Mereka tutup muka. Tidak cukup satu, lima sekaligus mereka baling hingga aku terduduk. Jeritan dari dalam bilik kuliah membingitkan telinga. Bunyi ketawa dan bisikan mereka menambahkan lagi sakit hati dan sedih. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh tiga rabun serangkai, malu terduduk.

“Apa yang berlaku ni? Siapa punya kerja?” jerit Prof Hamdan dan menjenguk ke luar bilik kuliah.

Ya Allah, aku malu. Aku tak sanggup nak angkat muka.

Are you okay, miss?”

Aku tidak menjawab soalan Prof Hamdan. Air mata aku tanpa segan mengalir dan cepat-cepat aku berlalu dari situ. Tandas tujuan aku. Aku tak sanggup untuk melihat rakan-rakan sekuliah terutama sekali Farhan dan geng tiga rabun serangkai. Aku pasti suara tiga serangkai yang ketawa kuat tadi. Sangat yakin!

 

* * *

 

BUAT pertama kali selepas tiga bulan, aku update instagram. Dua biji telur yang aku beli di kedai warden itu dimekapkan dengan cantik menggunakan pen marker. Sebiji berwajah ceria, sebiji lagi berwajah muram. Bukan main lagi aku cari posisi yang menarik untuk tangkap gambar telur tadi.

 

Hidup ini terlalu singkat untuk bersedih. Percayalah, setiap perkara yang terjadi ada hikmahnya. Bila orang buat kau… fight it back with love.

#cikmatabulat

 

Ramai saja yang tahu Instagram aku dan sengaja juga aku masukkan entri sebegitu. Kadang-kadang kita tak mampu nak luahkan secara lisan, namun biar tulisan dan gambar berbicara. Ada masanya juga kita tak perlu bersungguh-sungguh membela diri.

Aku bersandar pada kepala katil, cuba mengenangkan apa yang terjadi. Selama aku berada di kolej hinggalah masuk tahun senior, tak pernah lagi orang kenakan aku. Itu, pertama kali dalam sejarah!

Waktu sekolah dulu pun mana ada pernah kena buli. Cuma ada sekali je waktu sekolah rendah. Ah, malunya aku! Lepas insiden telur semalam aku tunggu kelas Prof Hamdan kosong barulah masuk ambil barang-barang. Tiba-tiba rasa menyesal pula tolong Farhan. Lelaki itu langsung tak ada perasaan, lagi dituduh aku adalah.

Telefon aku bergetar tanda mesej masuk. Aku cek bahagian notification dan ada hantaran baru daripada Dzul Lembu. Aku tersenyum. Aku sendiri tak faham kenapa aku pergi set ‘Turn on post notifications’ untuk instagram Dzul Lembu. Mungkin kerana hantaran dia semua menarik! Kata-kata seiring dengan gambar walaupun ada sedikit humor, aku suka.

Instagram Dzul dibuka dan ada sekeping gambar rumput selepas hujan. Hujung sebelah kiri ada terselit ekor lembu yang ralit melibas. Aku tertawa.

 

Bicara tentang hujan, akan hadirnya pelangi yang indah. Namun bagi aku, kehijauan rumput serta wangiannya lebih aku hargai. Begitu juga ujian yang kita hadapi. Rasailah ketenangan dengan jiwa yang penuh kesabaran.

#fightitbackwithlove

 

Aku terpempan dengan tanda pagar pada kapsyen Dzul. Dia tak ikut aku di instagram tapi tanda itu aku baru saja masukkan dalam kapsyen tadi. Atau… dia yang stalk aku sekarang? Kening terjongket bersama sengihan. Aku terus tekan butang suka dan komen.

 

Nice caption!

 

Selang seminit, dia membalas komen tadi.

 

My pleasure #fightitwithlove

 

Aku tak tahu macam mana hendak gambarkan perasaan sekarang. Tiba-tiba rasa berbunga dan bertaman dalam hati. Adakah hantaran itu untuk aku? Mungkin juga dia stalk aku cuma tak ikut saja. Boleh jadi, kan?

Okey, kita stop. Perempuan memang mudah perasan. Tapi aku masih tak dapat kendurkan lagi senyum yang bergayut di wajah. Mujur juga rakan sebilik yang lain tak ada, kalau tidak jenuh aku dengan usikan. Aku pantang kena usik, mulalah pipi merah macam orang lapar cendol. Hmm, macam sedap pula cendol.

Kadang-kadang aku perlu turutkan selera supaya senang nak buat kerja nanti. Lekas-lekas aku mesej Najwa minta dia belikan aku cendol durian dekat pasar malam. Aku terlupa seketika tentang Dzul Lembu, apa yang bermain dalam fikiran ialah cendol durian Pak Cik Samurai! Masya-Allah, sedapnya.