2
P
|
INGGAN nasi dihulurkan kepada fasi yang merangkap sebagai ahli
jawatankuasa bahagian makanan. Mereka ditugaskan untuk mencedokkan makanan
kepada peserta-peserta orientasi. Tujuan mereka mencedok makanan bagi
mengelakkan pelajar-pelajar baru terlebih ambil lauk ataupun langsung tidak
mengambil makanan. Tambah-tambah kalau hidangan sayur-sayuran. Pasti ramai yang
menolaknya. Fasi-fasi yang bertugas sendiri sudah tidak tahu bagaimana lagi
cara untuk mengajar junior mereka untuk makan sayuran.
Sebiji pisang diletakkan di atas
pinggan nasi. Zafira terkejut. Selama beberapa hari ni dia sengaja tidak
mengambil hidangan buah-buahan. Bukan tidak suka tapi tidak sesuai dengan
keadaannya sekarang. Wajah fasi didepannya dipandang dengan penuh simpati namun
fasi perempuan itu tidak mempedulikannya.
“Makan sajalah. Akak tahu kamu dah
lama tak buang air besar.”
Alasan yang dilontarkan oleh fasi
itu mengejutkan Zafira. ‘Err, macam mana akak ni boleh tahu? Nujum betul.’
Akhirnya Zafira mengukir senyum hambar. Gelas air disambar laju.
Susuk tubuh milik Suhana dicari.
Kelihatan Suhana ralit berbual dengan beberapa orang yang berada di mejanya.
Zafira senyum nipis. Buat beberapa hari ni dia cuma sempat berkenalan dengan
Suhana seorang saja. Rakan sebiliknya juga belum sempat bertegur sapa gara-gara
jadual orientasi yang agak ketat. Tiba saja waktu malam, masing-masing sudah
penat dan akhirnya mereka sama-sama terlelap tanpa berteguran. Sementara pada
waktu pagi masing-masing ingin cepat tiba ke tempat berkumpul. Namun Zafira
yakin pasti penghuni bilik lain juga turut begitu. Zafira mengambil tempat di
sebelah Suhana. Gadis itu sedang rancak berbual hinggakan Zafira berasa malas
hendak menegur. Dia cuma mampu melemparkan senyuman buat kawan-kawan Suhana
yang berada semeja dengannya. Malas rasanya hendak mengganggu Suhana yang
dianggap terlalu ramah. Dulu dia menyangka Suhana pendiam, alih-alih dia
sendiri dah jadi pendiam. Zafira mengeluh dalam diam.
Fikirannya tiba-tiba menjengah terhadap
peristiwa tempoh hari sewaktu Suhana didenda. Mata Faheem yang tajam menikam
itu tidak dapat dia lupakan. Sesungguhnya jantung itu seolah-olah berhenti
berdegup. Mungkin begitulah perasaan Suhana ketika itu. Sudahlah terpaksa
berdiri di depan dewan malah dijerkah lagi.
Makanan dihadapannya itu disuap
laju. Bimbang jika terlewat. Masa rehat yang diberikan cuma setengah jam.
Mungkin bagi orang lain masa tersebut lama tapi tidak bagi Zafira. Dia bukanlah
jenis yang makan laju kecuali terpaksa. Kemudian kebiasaannya dia pasti membuat
‘temu janji’ dengan Encik Tandas.
Malas ingin berfikir banyak Zafira
meneruskan kunyahan. Berkerut dahinya apabila mengunyah nasi yang agak keras.
Saat Zafira mengangkat kepala matanya pula bertembung dengan salah seorang fasi
lelaki yang sedari tadi tersenyum padanya. Apa kes abang ni? Zafira menjeling
kemudian menyuap lagi nasi ke dalam mulut. Saat dia ingin menelan Zafira
melihat fasi lelaki itu sedang menirunya menyuap nasi. Zafira tersedak. Dadanya
ditepuk kuat.
“Uhuk! Uhuk!”
Suhana yang terkejut dengan situasi
Zafira lantas menghulurkan segelas air suam. Belum sempat huluran Suhana tiba,
Zafira merampasnya dan meneguk laju.
“Kau ni kenapa tiba-tiba tersedak?”
soal Suhana sambil menggosok belakang Zafira.
Zafira geleng.
“Tak ada apa-apa. Aku telan laju
sangat sebab nak kejar masa.” Mendengarkan alasan Zafira, Suhana terus menyelak
lengan bajunya bagi melihat jam di tangan. Mulutnya kemudian mengukir bentuk O.
“Ha’ah lah. Tinggal sepuluh minit saja lagi. Weh, cepat makan!”
Terpinga-pinga Zafira melihat gadis
itu yang kelam kabut. Mungkin ini adalah sikap dia. Zafira berfikir lagi.
Pisang yang masih setia di dalam pinggan akhirnya diambil. Tanpa mempedulikan
keadaan sekeliling dia terus menyuap pisang ke dalam mulutnya.
‘Nak sangat aku makan. Okey, aku
makan!’
SESI pada waktu itu adalah penyusunan mengikut fakulti. Terkebil-kebil
Zafira dan Suhana melihat semuanya sudah bangun dan mengikut fakulti
masing-masing. Keras suara milik fasilitator yang mengarahkan mereka bergerak
membingitkan telinga.
“Fira! Aku dah jumpa, aku gerak dulu
eh? Jumpa nanti.”
“Suha! Hish, dia dah jumpa geng tapi
aku tak jumpa lagi.” Zafira kegelisahan. Tiba-tiba ada suara dibelakang
mengejutkannya.
“Fakulti mana?”
“Err… perkembangan awal kanak-kanak.”
“It suit you better. Rakan-rakan
fakulti awak ada dekat sana. Di sini semuanya daripada business study,”
ujar fasi lelaki itu sambil menghalakan telunjuk ke arah tepi dewan. Zafira
menghela nafas lega. “Terima kasih abang…”
“Afiq. Nama saya Afiq.”
“Terima kasih abang Afiq!”
Zafira berlari-lari anak sambil
mendekati sekumpulan pelajar yang sedang sibuk mengatur kerusi. Senyuman yang
manis dilemparkan kepada mereka.
“Hai!” tegur Zafira apabila melihat
kesemuanya yang tidak kekok apabila berkumpul.
“Hi too!” balas salah seorang
daripada mereka. “Wah! Pertama kali kita berkumpul sama-sama. Aku asyik tunggu
bilalah dia orang nak kumpulkan kita ikut fakulti,” rungut seorang pelajar
lelaki tersebut.
“Sengallah kau Pijoe. Sekarang dah
berkumpul kan? Haa, kau tataplah muka kita orang sepuasnya.”
Lelaki yang digelar Pijoe itu
mencebik. “Kau memang dengkikan aku kan, Peah?”
“Peah? Nama aku Sofea, okey? Kau
jangan nak kelirukan dia orang semua. Padahal kau yang dengki dengan aku.”
“Hish, sudahlah! Nanti tak
pasal-pasal ketua fasi tu tarik kau orang berdua.” Lelaki yang bersebelahan
Pijoe cuba meleraikan keadaan. Zafira hanya memandang sambil memuncung sedikit
bibirnya. Kepalanya diangguk perlahan. ‘Nampaknya dia orang dah kenal. Aku
seorang je yang masih ditakuk lama. Oh…’
PELUH yang mula terbit di dahi diseka perlahan. Zafira menggenggam
tangannya kemas. Dia tidak sanggup lagi menahan kesakitan. Perutnya terlalu sakit.
Matanya cuba memandang ke kiri dan kanan. Semuanya khusyuk memandang dan
mendengar ceramah daripada timbalan rektor. Zafira cuma bertenang. Tubuhnya
disandarkan ke kerusi.
‘Sabar Fira. Sabar. Tuan dah nak
sebut wassalam. Sabarlah duhai perut yang meragam.’
Akhirnya Zafira terlelap. Dia cuma tersedar
apabila mendengar tepukan yang kuat daripada seisi dewan. Zafira menghela nafas
lega. Sekarang dia cuma perlu tunggu yang berhormat berlalu ke bilik mesyuarat.
Sebaik saja yang berhormat berlalu, Zafira terus mengangkat punggungnya dan
berlalu ke pintu belakang dewan. Afiq yang bertugas di bahagian belakang
terkejut dengan kehadiran Zafira. Wajah pucat milik gadis itu menggusarkannya.
“Kenapa ni dik, tak sihat ke?” tegur
Afiq.
Melihat Zafira yang kejap-kejap
angguk kemudian menggeleng membuatkan Afiq bingung. “Sa.. saya nak pergi tandas
kejap boleh tak?” pinta Zafira.
“Ah… iya. Silakan.”
Pintu dewan utama itu ditolak dengan
rakus dan pantas berlalu ke tandas yang disediakan bersebelahan dewan.
Terkebil-kebil Afiq memandang Zafira yang sudah hilang dari pandangannya.
Bibirnya kemudian perlahan-lahan mengukir satu senyuman. Budak perempuan itu
ada saja hal. Afiq menggeleng kepala.
PAM tandas ditarik kasar. Kepala paip di sinki dipulas dan dibiarkan
air mengalir sepi. Air mata yang bertakung dikesa dengan hujung lengan baju
kurungnya. Dia bukan menangis kerana sedih tapi air mata yang keluar disebabkan
terlalu lama menahan ‘hajat’. Zafira merengus.
“Haish, penat betul. Ini semua kakak
fasi tu punya kerja. Kalau dia tidak memaksa aku makan pisang tadi tak adalah
sampai perut aku ni sakit. Bukan sekali aku masuk keluar tandas, tapi
berkali-kali. Ahh, menyesal rasanya,” rungut Zafira dengan separuh berbisik.
Bimbang juga kalau ada telinga yang mencuri dengar rungutannya. Tiba-tiba
perutnya memulas lagi.
“Oh no! Takkanlah terlebih
lawas pula.”
Cepat-cepat Zafira menolak pintu
tandas. ‘Agaknya apalah yang berlaku dalam dewan, mesti fasi yang bernama Afiq
tu sedang cari aku. Iyalah sejak tadi masuk tandas tak keluar-keluar.’ Belum
habis dia berfikir tiba-tiba bunyi ketukan yang agak kuat diluar pintu tandas.
“Haish, baru saja fikir dah ada yang
ketuk,” bisik Zafira sendiri sambil menggigit jari. Sesi orientasi kolej ini
dirasakan terlalu melampau. Hingga ke tandas mereka mencari. Dia bukannya budak
sekolah untuk diperlakukan sebegitu.
Tuk! Tuk!
“Adik ada kat dalam tak?”
Dengan malas Zafira menjawab, “Ada…”
“Okey tak ni? Nak jumpa doktor tak?”
‘Doktor? Buang tebiat ke kakak
senior ni?’ Usai menarik pam tandas Zafira terburu-buru keluar menghadap dua
orang seniornya. Seorang senior Fiya dan seorang lagi ajk cedok makanan. Sebaik
saja mengenal pasti wajah fasinya Zafira terus membuat muka.
“Hish, kes saya ni tak perlu dibawa
jumpa doktor. Ini semua akak yang cedok makanan kat saya.”
Terkejut fasi tersebut. “Kenapa?”
Zafira tersengih. Ternyata fasi itu kelihatan takut.
“Tak ada apalah. Akak paksa saya
makan pisang tu kenapa? Tak pasal-pasal saya berulang-alik masuk tandas. Penat
tahu tak.”
Dua orang fasi itu ketawa. Barangkali
lucu dengan alasan yang diberikan Zafira. Manakala Zafira hanya terkebil-kebil.
Pelik dengan perangai fasinya yang asyik ketawa.
“Kamu tahu tak, kami bukannya
sengaja nak cari kamu dekat sini. Kenal tak abang AF?”
“Abang AF?”
Geleng.
“Alaa, ada seorang fasi yang jaga
pintu belakang dewan tadi.”
“Oh, abang Afiq?”
“Haa, nama dia sebenarnya Afiq
Farhan tapi students kat sini dah terbiasa panggil abang AF. Kalau adik
nak tahu dialah yang suruh kita orang cari adik. Dia risau sangat sebab dia
cakap adik keluar tak masuk-masuk. Manalah tahu kalau adik pengsan dalam tandas.
Kasihan pula akak tengok si AF tu.”
Kali ini giliran Zafira pula yang
ketawa. Tidak menyangka bahawa abang AF begitu risaukannya. Tiba-tiba ketawa
Zafira mati. “Err, akak fasi yang comel sekalian. Boleh tak jangan beritahu
abang AF yang Fira ulang alik buang air, eh? Hehe… malulah,” pinta Zafira.
“Oh, kalau yang itu tak ada apalah.
Nama adik apa tadi? Fira?”
Zafira mengangguk. “Takkanlah kami
nak beritahu sampai detail macam
tu. Kalau akak pun malu campur segan. Tambah-tambah si AF tu kaki buli. Kamu
tak kenal lagi dia.” Ramah saja fasi Fiya berbicara.
“Sudahlah, kamu dah okey ke?” soal fasi
Alya. Zafira terpinga-pinga. Eh? Perutnya disentuh. “Nampaknya dah okey.”
“Baguslah. Jom kita keluar, banyak
benda kita nak buat hari ni sebab mulai hari ni kamu kena berada dalam kumpulan
fakulti sendiri hingga penghujung orientasi ni.”
“Hah?!”
“Tak ada hah, hah sangat. jom
keluar,” ujar fasi Alya sedikit tegas. Zafira hanya mampu menurut.
“Baik…”
JAM yang setia di tangan kirinya dikerling. Sudah lima belas minit dia
menanti namun tidak nampak langsung bayang Zafira. Wajah pucat Zafira menerjah
memori. Tidak mungkin gadis itu pengsan dalam tandas. Tapi… berkemungkinan
juga.
Afiq berjalan mendekati Fiya dan
Alya yang sedang memeluk tubuh di sebelah kiri dewan. Garang sekali air muka
mereka berdua. Kadang Afiq sendiri seram apatah lagi pelajar-pelajar yang
baharu mendaftar.
“Err… Peah, Lia. Aku nak minta
tolong sikit ni?”
Terbuntang mata Fiya apabila digelar
begitu. “Apa kau panggil tadi?”
“Eh silap! Fiya. Alaa, jangan macam
tu. aku nak minta tolong kau orang berdua ni.”
“Hmm… minta tolong apa?”
“Sebenarnya tadi ada seorang budak
perempuan ni keluar, katanya nak ke tandas. Tapi sekarang dah hampir setengah
jam tak muncul-muncul. Cuba kamu pergi tengok. Manalah tahu kalau dia pengsan
ke apa dalam tu. Lagipun tadi muka dia pucat. Mungkin sakit sangat kut.”
Fiya berpandangan dengan Alya.
Masing menjongket bahu. “Iyalah. Kita orang pergi tengok. Melampaulah kau ni,
kenapa tak pergi tengok sendiri?”
“Takkanlah aku nak terjah tandas
perempuan. Agak-agaklah wei.” Dua fasi tersebut tersengih. Baru tersedar yang
mereka tersilap bicara.
Heroin berulang ke tandas? Pehhh...menusuk kalbu waakakakaĆ aa...
ReplyDeleteMenusuk kalbu???muahaha...
DeleteThanks sbb sudi baca ;)