“CAHAYA CAZLIN!”
Cazlin mengangkat
kepala. “Ya, saya!”
Alat penimbang berat
badan dan pengukur ketinggian dihampiri. Kaki diletakkan di atas penimbang dan
badan ditegakkan.
“Berat, 34kg.
Ketinggian, 151cm. Out!” jerit jurulatih perempuan tersebut. Cazlin menggigit
bibir lantas menundukkan kepalanya. Sekali lagi dia diarahkan keluar. Sementelah
dia melintasi sekumpulan yang lain dia perasan akan pandangan yang dilontarkan
oleh ahli pasukannya. Semua memandang sinis terhadapnya. Ahh, kenapa kolej ini
terlalu mementingkan semua ni? Bukankah pendek juga boleh memasuki permainan
ni? Atau disebabkan dia kurus? Tidak. Masih ramai lagi yang kurus tapi boleh
sertai.
Kejam! Kerusi yang
disediakan di buat pemain simpanan menjadi tempat perlabuhan punggungnya.
Cazlin menongkat dagu. Kurus
sangatkah aku? Lengan yang dilindungi baju t-shirt berlengan panjang itu
ditilik. Hurmm… Cazlin melemparkan pandangan ke luar tingkap. Kelihatan sekumpulan
kelab hoki sedang melakukan aktiviti memanaskan badan di tepi padang. Budak lelaki
itu kecil saja tapi kenapa dia dapat bermain? Bermasalah betul kelab bola jaring
ni, rungut Cazlin.
Bunyi tepukan
mengejutkan Cazlin. Rupa-rupanya jurulatih mereka, Cik Maisa sudah memanggil.
“Berkumpul semua!”
Dengan langkah yang pantas mereka semua berkumpul. Hampir saja Cazlin
tersungkur dek kerana tolakan ahli pasukannya. Bibir mereka terukir satu
senyuman sinis. Cazlin menjeling tajam.
“Cazlin!! Kamu buat apa
lagi tu, cepat berkumpul.”
Tersentak. Kakinya menurut.
Kenapa hanya dia perlu dilayan sebegitu rupa?
“Baiklah. Buat masa ni
saya masih mengekalkan Azwa sebagai kapten bola jaring. Ada bantahan?”
“Tak ada, Cik Maisa! Kami
setuju sangat,” jerit salah seorang daripada si kaki kipas Maisa. Cazlin mengangkat
tangan.
“Boleh saya tahu kenapa
Cik Maisa pilih dia?” Berani sungguh Cazlin mempersoalkannya.
“Kenapa? Rasanya dia
lebih layak daripada kamu yang keding tu.” Sinis sekali jawapan yang diberikan.
Namun, Cazlin hanya mampu berdiam diri. Menanti keputusan pemilihan.
“Serve you right miss
KK!” bisik Azwa.
Senarai nama yang
terpilih untuk menyertai pertandingan persahabatan kali ini membuatkan Cazlin terduduk.
Kenapa dia langsung tidak diberi peluang? Meski hanya menyertai latihan. Berbaloikah
dia mengikuti segala aktiviti kelab dengan hanya menyumbangkan wang?
Cazlin berlari keluar
dari bilik kelab. Mereka memang melampau. Sepanjang dia sertai kelab bola
jaring, dia langsung tidak diberi peluang untuk membuat latihan hatta menyentuh
bola sekalipun.
Kakinya dibawa berlabuh
di bawah sepohon pokok yang rendang dahannya. Daun-daun yang kehijauan
keguguran menyembah bumi. Di situ Cazlin menghambur tangis semahu-mahunya. Sudah
lama dia bertahan dengan layanan mereka. Entah apa yang mereka tidak berpuas
hati Cazlin sendiri tidak faham.
“Kakak… Caz tak boleh
teruskan harapan kakak. Caz memang tak berguna. Mereka semua tak inginkan Caz. Perlukah
Caz teruskan lagi, akak?” adu Cazlin sendiri. Ingatannya mula beralih arah. Dia
teringat akan perbualannya dengan arwah Caroline.
Tangan yang halus dan
kecil milik Caroline diraih. Tubuh itu kelihatan lesu dan langsung tidak
bermaya.
“Kakak… Caz datang ni.”
Bunga matahari yang dibawa diletakkan di dalam pasu bersebelahan katil
Caroline.
Caroline membuka mata. Senyuman
manis dihadiahkan buat adik kesayangannya. “Awalnya Caz datang.”
“Caz ada latihan dengan
Weena kejap lagi. Nanti, Caz nak masuk kelab bola jaring sepertimana akak dulu.
Caz ingin menjadi pemain yang disegani macam akak.”
Senyum.
“Pasti boleh! Akak tahu,
adik akak ni boleh ikut jejak akak kan? Akak pernah tengok caz main dan akak
yakin Caz mampu pecahkan rekod akak.”
“Insha Allah. Doakan
kejayaan Caz ya?”
“Caz…”
“Ya, kak.”
“Nanti, Caz daftar dekat
kolej akak dulu ya?” tersekat-sekat Caroline ingin menutur. “Akak nak adik akak
dikenali di sana. Janji?”
Cazlin angguk. “Tapi,
akak tak pasti kalau-kalau akak sempat untuk melihat perlawanan kamu nanti. Akak
teringin sangat.”
“Syyhhh… akak jangan
cakap macam tu. Insha Allah akak akan sembuh dan dapat lihat perlawanan Caz
nanti.” Dahi Caroline dicium lama. Kasih dan sayang buat kakaknya terlalu kuat.
Buk! Lontaran bola
berwarna biru kuning itu mengena pada badannya.
Cazlin tersedar dari
lamunannya. Bola jaring berada dalam pegangannya. Dia tersenyum. Buat kali
pertama sejak menjejakkan kaki ke kelab bola jaring dia dapat menyentuh bola
tersebut. “Kakak…” bisik Cazlin.
“KK!”
Panggilan KK sudah menjadi kebiasaan bagi Cazlin. KK bukanlah
bermaksud Klinik Kesihatan mahupun Kota Kinabalu, tapi membawa maksud ‘kurus
keding’. Cazlin berpaling mencari
empunya suara.
“Azwa… kenapa?”
“Wey, KK. Kau pergi
mana, hah? Perlawanan dah nak mula kejap lagi. Cik Maisa dah membebel cari kau.”
Cazlin mengeluh.
“Aku pergi tandas kejap.
Lagipun, aku ada atau tak sama aje.” Ayat terakhir itu sengaja diperlahankan.
“Hah? Cakap kuat sikit
boleh tak?”
“Tak ada apa-apa. Jomlah.”
Azwa ditinggalkan
terpinga-pinga.
BUNYI wisel yang kuat
membuatkan masing-masing menjerit.
“Azwa!” Cazlin
mengangkat kepala. Kenapa dengan Azwa? Sedari tadi dia langsung tidak memerhati
perlawanan yang terhidang. Masih terasa dengan sikap ahli pasukan dan
jurulatihnya.
Azwa sudah mengerang
kesakitan sambil memegang kakinya.
“Cik Maisa, apa dah
jadi?”
“Awak tak tengok
perlawanan ke?!” marah Cik Maisa. Cazlin menelan liur. Tersalah soalan. Cik Maisa
terdiam seketika. Kalut mencari pengganti Azwa. Muka-muka pemain simpanan
dipandang satu persatu. Arghh! Semuanya kurang latihan.
Wajah Cazlin dipandang
lama. Entah mengapa Cik Maisa berasa ada sesuatu yang menarik dalam diri
Cazlin. Meski kurus keding… Cik Maisa tersentak saat terpandang anak mata
Cazlin yang persis seseorang. Takkanlah…
“Cazlin! You ganti Azwa,”
arah Cik Maisa.
“What?! Cik Maisa,
saya masih boleh teruskan lagi. Saya takkan biarkan si kurus ni ganti tempat
saya. Saya boleh…” Azwa yang ingin berdiri jatuh kembali di atas kerusi.
Cik Maisa senyum pada
Cazlin. “Cazlin, go!” Cazlin angguk. Jersi disarungkan ke badannya. Jangan
risau, aku akan buktikan pada semua yang aku boleh.
Masing-masing sudah
terkedu kecuali Cik Maisa. Entah mengapa hatinya berasa sesuatu.
Kelincahan tubuh kurus
milik Cazlin di gelanggang benar-benar menarik perhatian ahli pasukan. Saat bola
berada dalam tangan Cazlin, mereka mula mengeluh. Azwa memandang Cazlin dengan
pandangan yang tidak puas hati. Dia tidak percaya kalau Cazlin mampu
menjaringkan bola tersebut.
Azwa senyum sumbing.
Tiba-tiba bunyi sorakan
yang tidak putus-putus itu mengejutkannya. Tak mungkin! Takkan si kurus lagi
pendek mampu menjaringkannya. Takkanlah pihak lawan tidak dapat sekat. Seolah-olah
perkara itu mustahil bagi Azwa.
Sementara Cik Maisa
mengukir senyum penuh makna.
Setelah hampir lima
belas minit perlawanan, wisel yang kuat dibunyikan.
“Cayalah KK! Aku tak
sangka kau dapat lakukannya. Tahniah KK!” Cazlin sengih melebar.
“Terima kasih.” Cazlin buru-buru
berlalu ke belakang. Sebak. Kalau boleh dia tidak mahu ahli pasukannya melihat.
“Kakak… Caz berjaya kak.
Tapi, Caz terlambat. Caz lambat untuk buktikan kemampuan Caz untuk kakak.”
Cazlin mula tersendu di
belakang pokok. Sentuhan lembut pada bahu membuatkan Cazlin berpaling. “Cik
Maisa.”
“Maafkan saya Cazlin. Saya dah agak itu awak
dan ternyata saya benar. Awak adik Caroline. Arwah dulu pernah memberitahu
bahawa penggantinya bakal sertai kelab di kolej ni. Saya ingat arwah bergurau
tapi saya silap, arwah Caroline benar-benar meninggalkan penggantinya buat
kelab ni. Caroline… seorang lagenda kelab di kolej ni. Prestasinya yang
cemerlang membuatkan ramai yang cemburu, termasuk saya. Tapi, kenapa awak tak
beritahu saya pasal ni?”
Kepala ditunduk
memandang kasut. “Saya tidak mahu dikenali dengan kisah kakak. Saya ingin
dikenali atas prestasi saya sendiri. Saya harap Cik Maisa faham.”
Cik Maisa memaut bahu
Cazlin. Dia sebak. Menyesal akan perbuatannya dulu. Dia masih ingat,Caroline
juga turut menerima layanan yang sama seperti Cazlin. Dipinggirkan dek kerana
tubuh kurus dan ketinggian yang tidak seberapa. Tapi, itu hanya syarat bagi
kolejnya saja. Caroline sering memberontak hingga suatu hari jurulatih mereka
memasukkan Caroline dalam satu perlawanan persahabatan. Ternyata, usaha
Caroline membuahkan hasil hingga merangkul gelaran ahli legend.
“Saya faham. Jom kita
masuk. Azwa pun rasa bersalah dengan kamu. Saya tahu, Azwa pasti ingin meminta
maaf atas perbuatan dia.”
Cazlin menguntum senyum.
Jiwa Caroline seolah-olah ada bersamanya.
p/s : Biarkan aku mencuba. Semangat yang ada dalam diri ini jangan kau usik. Selagi aku mampu, aku tetap berusaha :)