Friday, October 16, 2020

Kuntum Kasturi - Bahagian 3


 

KASTURI tiba di Bukit Broga dalam keadaan pagi yang masih gelap. Sejak akhir-akhir ini waktu subuh awal dan dapatlah dia mendaki sebelum matahari menyapa kulit. Dia tidak suka memanjat bukit pada waktu yang terlalu terang. Biarlah ketika dia tiba di atas, matahari baru terbit. Sebab itulah dia jarang mengajak orang lain bersama. Kasturi lebih rela bawa motorsikal sendiri ke Broga. Apa yang penting, dia sudah khabarkan kepada Megat Adam tentang aktivitinya. Kasturi merupakan anak gadis yang lasak dan keras kepala, sebab itulah Megat Adam izinkan saja minat anaknya itu. Bimbang jika tidak diizinkan, benda lain pula yang jadi kalau Kasturi bertegas mahu pergi.

Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi dan matahari bakal menunjukkan diri pada bila-bila masa sahaja. Kasturi tidak mahu membuang masa dan segera panjangkan langkah mencari tapak berpijak dengan berhati-hati. Pada jam begini sahaja sudah ramai orang memanjat bukit dan tak kurang juga mereka yang mula turun dari puncak. Kalau dekat dengan kolej pasti pukul enam lagi dia sudah memanjat.

Kasturi mengawal pernafasan dengan baik supaya tidak cepat semput. Jika membawa pasangan, Kasturi juga mengelak daripada berbual kerana boleh memenatkan. Dalam separuh perjalanan, Kasturi berhenti seketika dan menghirup udara segar. Cuba menghilangkan lelah seketika.

Tangan yang dicekakkan ke pinggang dijatuhkan ke sisi sebelum berpaling dan merempuh seseorang yang sedang melintasinya.

“Aaaaa!”

Cepat-cepat lengan Kasturi disambar sebelum gadis itu tersungkur mencium tanah.

Sorry-sorry!”

Kasturi menggeleng. Bukan salah orang itu tapi dia yang berpaling sesuka hati.

“Maaf juga,” balas Kasturi sebelum berlalu dan meneruskan aktivitinya tanpa menoleh.

Jika diingatkan balik, Kasturi jadi termalu sendiri. Sudahlah dia yang merempuh orang tadi, alih-alih dia juga yang hampir tersungkur. Betullah kata ibu, badan keding macam Kuntum dan Kasturi ini, kena jentik sikit terus melayang.

Keadaan tanah agak lembap memandang semalam hujan lebat. Patutlah tidak ramai yang datang hari ini walaupun hujung minggu. Kasturi ketap bibir. Kalau diikutkan, dia pun tak akan panjat bukit selepas hujan. Risau tanah yang licin dan lembap itu membuatkan dia tergelincir dari atas. Membayangkan itu saja boleh buat Kasturi berdebar.

Dalam langkahan yang mendebarkan, Kasturi berjaya juga tiba di atas puncak. Nyaman saja helaan udara yang dihirup. Kasturi melabuhkan punggung di atas batu sebaik sahaja pendaki yang lain bangun dari rehatnya. Al-Quran digital dalam telefonnya dibuka dan terus ke bahagian surah Al-Waqiah. Surah yang menerangkan tentang hari kiamat.

“Alhamdulillah.”

Terkejut dengan suara itu, Kasturi segera berpaling. Lelaki tadi…

Tidak semena-mena bibir Kasturi kekejangan mahu mengoyak senyum. Mujurlah dia sudah habis membaca kalau tidak, memang dia akan berhenti baca dan lari. Kasturi tunduk memandang kasut sebelum melarikan pandangan pada alam.

“Yusuf, siapa tu? Kawan ke?” tegur seseorang di belakang lelaki yang bernama Yusuf.

Yusuf sengih hingga memperlihatkan lesung pipit dalam di sebelah kiri. Kacak! Kasturi terpaku seketika.

“Tak adalah, aku saja tegur sebab nampak dia mengaji tadi,” bisik Yusuf membuatkan lelaki sebelahnya terkesima.

Belum pernah lagi dia jumpa orang yang mengaji atas puncak Broga. Kalau ada sekalipun, pasti tak pernah bertembung dengannya. Kaca mata gelap diturunkan sedikit untuk melihat Kasturi dengan lebih jelas.

Kurang selesa dengan lelaki sebelah Yusuf, Kasturi segera bangun dan menghela udara segar buat seketika.

“Err, saya nak turun dah.”

“Okey, jom kita turun sama-sama!”

Yusuf sudah tergeleng dengan saudaranya. Atas bukit pun berani buat perangai buaya tapi dia belum pernah lagi lihat saudaranya berani begini di tempat awam. Boleh jadi kerana dia tutup muka pakai kain penutup. Maka tidak terasa terlalu diperhatikan.

Kasturi pandang Yusuf dan Yusuf mengangguk kecil sebelum melemparkan senyum. Cair dengan senyuman itu, Kasturi hanya mampu mengangguk. Buat pertama kali dalam hidup dia ditegur lelaki dan diajak menuruni bukit bersama-sama. Macam tak percaya!

 

* * *

 

SEBAIK sahaja tiba di bawah, masing-masing terus menghela nafas lega. Sepanjang perjalanan turun, tiada seorang pun bersuara. Jika ada sekalipun sekadar tegur atas keprihatinan.

“Awak okey? Hati-hati, tanah licin.”

Bila teringat balik Kasturi terasa mahu sengih. Sedaya upaya dia ketap bibir untuk mengawal diri. Mana tidaknya, Yusuf dari awal berjaya buat dia mencair.

“Haish, dah lama kita membisu. Awak bertudung hitam ni, siapa nama?”

Kasturi menjeling. Dia tidak suka lelaki itu yang bertanya, kalau Yusuf laju juga dia mahu menjawab.

“Ha’ahlah. Nama siapa ya?”

“Erm panggil saja Hani.”

Mereka berdua terangguk-angguk. Serba-salah pula Kasturi mahu bertanyakan nama mereka.

“Oh ya, saya Yusuf dan ini adik saya, Adam!”

Adam memaut bahu Yusuf dengan kemas sambil mengangguk.

“Kami berdua kembar tak seiras tapi…ramai yang tak tahu.”

 “Kenapa? Awak berdua selalu bergaduh ke?” soal Kasturi bersama kerutan.

Tapi tak pelik kalau mereka selalu bergaduh. Sedangkan dia dan Kuntum pun jarang sependapat. Ada saja yang hendak dipertekak. Sungguhpun begitu, mereka sangat ambil berat antara satu sama lain.

Tersedak Adam ketawakan soalan Kasturi. Kasturi pandang dengan perasaan menyampah. Tanya pun kelakar ke? Menjengkelkan!

“Kami nampak macam selalu bergaduh ke?”

Malas hendak melayan dua ketul lelaki yang baru dikenalinya itu, Kasturi segera panjangkan langkah. Telan liur pun ada bila tengok gerai kecil yang menjual air kelapa namun dia abaikan saja. Macam manalah dia boleh terjebak dengan dua beradik kembar Yusuf dan Adam. Urgh, mengarut!

“Adam, kau ni tak boleh buat perangai macam biasa ke? Tak risau expose?” tegur Yusuf dengan nada berbisik tetapi keras.

What? Aku bukan artis Korea. Tak ada orang yang nak fanatik dengan aku pun. Chill…”

Bahu Yusuf ditepuk sebelum berlari-lari anak mengejar langkah Kasturi, cuba untuk bersaing. Yusuf tergeleng lantas ketawa kecil.

Kasturi ketap bibir. Geram pula bila diingatkan Adam yang berjalan di sebelah. Kalau Yusuf dia boleh terima lagi. Yusuf seorang yang lemah-lembut dan tidak nakal seperti Adam.

“Hani, tunggulah!”

“Awak nak apa?” tanya Kasturi lalu menekan brek kaki pada tanah.

Adam yang menyaingi langkah Kasturi turut tergesa-gesa berhenti. Tangan dicekakkan ke pinggang lalu memandang terus ke mata Kasturi. Kasturi buat muka bosan.

“Awak tak kenal siapa saya ke?”

Kerutan Kasturi menjawab persoalan Adam. Adam menarik sedikit kain yang menutup sebahagian mukanya dan juga cermin mata gelap. Siapa? Tapi macam pernah nampak. Lambat-lambat Kasturi menggeleng. Apa yang pasti dia nampak lesung pipit Adam di sebelah kanan ketika senyum tadi. Memang sah Yusuf dan Adam kembar. Yusuf pun ada lesung pipit di pipi kiri.

“Eh, sudahlah! Saya tak kenallah awak. Saya nak balik, bye!”

Tanpa menanti lagi, Kasturi cepat-cepat keluarkan kunci motorsikalnya sambil berjalan. Dalam hati dia berharap agar Yusuf dan Adam berhenti mengejarnya. Saat ini otaknya mula berjalan, macam mana kalau mereka berdua itu merupakan penjenayah? Berpeluh Kasturi membayangkan keberanian dia melayan kerenah mereka berdua tadi. Kasturi telan liur lalu keluar dari situ. Dia perlu segera pulang berehat, petang nanti ada latihan taekwondo pula dengan mak ciknya.

Kuntum Kasturi - Bahagian 2

 

DENGAN penuh debaran, Kuntum duduk menanti di belakang dewan. Di belakang ada beberapa bilik khas untuk tetamu jemputan dan para staf terlibat yang semestinya dari Kelab Kebudayaan. Mereka sahaja yang diberi keistimewaan lebih dalam menganjurkan sesuatu program. Setiap semester boleh dikatakan lebih 10 program mereka buat dan selalu menerima anugerah kelab paling menyerlah.

Ahli-ahli dari kelab lain pernah menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap pengurusan kolej namun hampa. Tidak dilayan sama sekali. Akhirnya mereka memilih untuk membuat program yang tidak melibatkan dewan gemilang ini.

Kuntum menunduk memandang telefon pintar. Kamera pandang depan dibuka dan membetulkan tudung juga mengoles sedikit gincu pada bibir yang mula pucat. Kuntum tidak suka bibir yang merah menyala atau terlalu pinkish! Bagi Kuntum cukuplah bersederhana dalam berhias asalkan kemas dan tidak terlihat pucat.

Seorang lelaki sedang terkocoh-kocoh menghampiri Kuntum dan cepat-cepat Kuntum menyimpan kembali telefonnya.

“Jom, ikut saya.”

“Erk, kejap. Ikut pergi mana?” soal Kuntum sedikit sangsi. Kata mahu bawa dia berjumpa dengan Carl di sini tapi kenapa perlu sampai kena ikut lagi?

Lelaki tadi senyum dan ketawa kecil.

“Jumpa dengan Carl. Dia ajak awak masuk ke dalam bilik rehatnya, mari! Lagipun Carl ada undangan lain lagi selepas ini.”

Terangguk-angguk Kuntum cuba menyaingi langkah lelaki itu.

Pintu ditolak dari luar oleh lelaki itu dan mempelawa Kuntum masuk bersama senyuman. Beberapa orang mahasiswi yang berada di dalam bilik itu juga diarahkan keluar dan meninggalkan mereka bertiga.

“Carl, aku dah jumpa peminat setia kau.”

Berdebar-debar Kuntum menanti Carl menoleh ke arahnya. Carl, artis lelaki yang tidak pernah mewarnakan rambut. Rambut hitam pekat yang asli milik Carl buat lutut Kuntum semakin lemah dan bergoyang.

“Awak okey?” tegur lelaki di sebelahnya dengan nada berbisik.

Tidak mengendahkan teguran itu, Kuntum seraya menghampiri Carl dan tersengih suka. Pipi dicubit kuat.

“Auch!”

Tergelak Carl dan lelaki sebelahnya dengan perbuatan Kuntum.

“Awak tak bermimpi. Look, I’m Carl. BBNU singer.

“Ya Allah, saya macam tak percaya tengok artis kesukaan depan mata! I really love you, Carl! Ops…”

 Tertahan-tahan Kuntum menutur. Tangan digenggam kemas supaya tidak melampaui batas pergaulan.

“Ya, kami tahu tu dan disebabkan itu awak dipanggil masuk ke sini untuk berjumpa dari mata ke mata dengan Carl. Awak sangat bertuah.”

Kuntum berkerut dahi. Bertuah? Memang bertuah tapi dia masih tak faham kenapa hanya dia. Lelaki itu pun dia tak kenal siapa dan sekadar bertegur sapa di luar tadi lantas dibawa berjumpa dengan Carl. Kuntum berundur setapak. Tiba-tiba seram menyerang rasa.

Perasan akan perubahan rentak dan riak Kuntum, Carl mula gelabah dan mencuit rakannya.

“Weh, kau tak beritahu apa-apa ke sebelum bawa dia masuk ke sini?”

Lelaki tadi bagaikan tersentak lalu menepuk dahi.

“Okey, beginilah cik…”

“Haneesa!”

“Okey Cik Haneesa, awak telah terpilih sebagai peminat pilihan pada malam ini. Untuk acara penutup malam ini, Carl sendiri akan umumkan awak sebagai pemenang. Berdasarkan pemerhatian kami, Cik Haneesa paling layak untuk menerimanya melainkan Cik Haneesa tak baca maklumat dalam tiket,” jelas lelaki yang sentiasa di samping Carl.

Kuntum Haneesa tersengih lebar.

“Mestilah saya baca! Terima kasih awak pilih saya!”

 

* * *

 

PAGI masih gelap dan Kuntum tersengih-sengih sendiri. Masih terbayang-bayang lagi kenangan semalam. Hari bertuah buat Kuntum Haneesa. Siapa sangka dia terpilih sebagai peminat pilihan semalam. Dia dapat lihat ramai yang kecewa dan tak kurang juga yang bersorak gembira. Apa yang pasti, sorakan itu diterima oleh sekumpulan peminat susah mati Carl dan Kuntum antara ahlinya.

Kuntum masih berguling di atas katil dan ketawa halus. Terasa seperti orang sedang angau. Boleh dikatakan semalam dia tidak dapat tidur langsung. Mujurlah hari ini cuti jadi bolehlah dia berehat lama sikit memandangkan kerja pun tak banyak. Kuntum berkalih ke kiri dan melihat katil sebelahnya sudah kosong. Serta-merta Kuntum duduk menegak.

Mana pergi kembarnya, Kasturi? Jam pada dinding baru pukul lima pagi. Baru saja hendak bangun, terdengar bunyi air dalam tandas. Kuntum menghela nafas lega. Fikir Kuntum, Kasturi tidak pulang semalam. Yalah, semalam waktu dia balik ke bilik Kasturi tiada di katil. Bila ditanya, sepatah pun tidak berjawab. Kadang-kadang Kuntum terfikir, kenapalah hubungan mereka berdua tidak serupa dengan kembar yang lain? Asyik tahu bertekak saja. Berbaik pun jarang-jarang. Pendapat jarang sama.

“Ketum, kau dapat jumpa si Carl tak semalam?” tegur Kasturi sebaik sahaja keluar dari bilik air. Rambutnya yang basah dikeringkan dengan tuala.

“Kau mandi? Nak keluar hiking ke?” Soalan berbalas soalan.

Soalan Kuntum dibalas dengan jungkitan kedua-dua kening. Kuntum bangun dan menarik kerusi belajarnya.

“Okey, semalam aku jumpa Carl! For the first time in forever aku jumpa dia depan-depan. Kau tahu tak?”

“Tahu apa?”

“Dia sangat, sangat, sangat kacak bila depan mata! Aku macam tak percaya bila terpilih sebagai peminat pilihan semalam.”

Terherot-herot bibir Kasturi tersenyum.

“Macam mana tak terpilih, tengoklah sikap kau. Terlalu fanatik! Aku pula yang muak kena hadap muka dia hari-hari.”

“Apa maksud kau hadap hari-hari?” tanya Kuntum dengan nada cemburu.

“Kau tengoklah sendiri bilik ni. Penuh dengan rupa si jambu ni. Kau tak terfikir ke Ketum? Hari-hari dia pandang kita dalam bilik ni, berkemban, baju tak cukup kain dan kadang-kadang dengar kau melalak nyanyi lagu dia. Kau tak rasa seperti diperhatikan ke? Orang lain mungkin nampaklah kau ni lemah lembut orangnya tapi dengan aku, kau ni gila. Gila bayang. Eee, seram!” Sejurus melemparkan kata, Kasturi terus menghamburkan ketawa. Suaranya yang serak-serak lunak kedengaran merdu.

Kuntum yang sedari tadi mendengar luahan Kasturi segera menegak. Liur ditelan sebelum mengitari sekeliling meja dan katilnya. Ada betulnya juga kata-kata Kasturi. Macam mana kalau gambar ini hidup? Kuntum mula membayangkan pandangan Carl yang redup itu. Aduhai, malulah dia dengan Carl!

“Argh! Kau ni kan, Kasturi, suka buat aku terbayang pelik-pelik. Ini gambar je, dan gambar tak hidup. Padahal kau nak hasut aku buang barang-barang dia, kan? Jangan harap. Wek!”

Muncung mulut Kasturi apabila hasutannya tidak menjadi tapi kadang-kadang dia ada terfikir juga benda itu. Sejak gambar Carl memenuhi ruang bilik dia menjadi segan. Nak buka tudung pun sampai dia berfikir banyak kali. Kalau di kampung pula, dia jarang masuk bilik Kuntum tapi masih boleh dimaafkan memandangkan mereka di bawah pemantauan ibu dan ayah.

Azan subuh mula berkumandang dan cepat-cepat Kasturi menyarung telekung sementara Kuntum sudah bersiap-siap dengan bakul mandinya. Sebaik sahaja azan habis dia terus ke tandas. Bukan mandi tapi sekadar bersugi dan cuci muka sebelum berwudhu. Hujung minggu begini tidak lalu dia menjamah air sejuk. Mahu dia menggigil nanti.


Kuntum Kasturi - Bahagian 1

 


SEKEPING poster seorang artis lelaki dilekatkan pada dinding bilik berhampiran dengan meja belajar. Kuntum tersenyum puas. Siku diletakkan di atas meja lalu menongkat pipi sambil memandang poster yang ditampal. Senyumnya semakin melebar hingga hampir tertutup mata yang sedia sepet. Lesung pipit sebelah kanan dan kiri menambahkan lagi kecomelan Kuntum.

"I love you, Carl. Bilalah aku dapat jumpa kau. Nama je satu kolej tapi tak pernah bersemuka. Sibuk sangatkah dia? Hmm…"

Sebuah buku lukisan bersaiz A5 dikeluarkan dari laci meja dan mula membuka halaman kosong. Jika hendak dikira, sudah hampir empat buah buku lukisannya berganti sepanjang dia berada di kolej. Bukan untuk tujuan kerja tetapi melunaskan hobi.

Berbeza pula dengan Kasturi, gadis itu agak kasar perwatakannya dan lebih suka mendaki bukit sebagai hobi. 

Kuntum memulakan lakaran. Bahagian rambut dilakar dengan penuh seni. Tangannya bergerak pantas dalam kelembutan. Bibirnya terukir manis bersama lenturan jemari namun pergerakan Kuntum terhenti pada bentuk wajah. Berkerut-kerut dahi Kuntum cuba membayangkan wajah Carl. Sesekali wajah Carl yang berada dalam poster dipandang tapi tetap juga tidak mampu menghasilkan lukisan itu dengan sempurna.

Kepalanya berasa berdenyut. Hobinya kadang-kadang boleh membuatkan dia tertekan. Kuntum membiarkan lukisan itu tanpa menyempurnakannya. Sekali lagi dia gagal melukis bentuk wajah Carl. Boleh dikatakan setiap kali dia cuba melakar wajah Carl, lukisan itu akan berhenti sekerat jalan. 

Muk yang disusun atas para diambil dan dilap sedikit sebelum menuang kopi dan gula ke dalamnya. Air panas yang dimasak sebelum melekatkan poster tadi dituang ke dalam muk. Stres perlu diubati dengan kopi. Itulah, Kuntum. Kopi dan Kuntum berpisah tiada. 

"Melukis?"

Suara yang menyapa di belakang membuka mata Kuntum sedari tadi terpejam dek aroma kopi yang memukau. Muk diletakkan di atas meja dengan berhati-hati. Kuntum menoleh ke belakang sementara lengan direhatkan pada belakang kerusi.

"Tak jadi."

"Kenapa? Ini mesti kau dah tak suka dia kan?" sinis gadis itu.

"Kau diamlah Kasturi! Aku tak fahamlah kenapa kita perlu disatukan dalam satu bilik yang sama. Tak cukup jumpa kau kat rumah, kat sini pun nak kena hadap lagi."

Kasturi yang baru selesai mandi mencampakkan tuala basah ke arah Kuntum. Terjerit kecil Kuntum, terkejut dengan balingan tadi. Mata sepet dijegil ke arah Kasturi yang sudah tersengih sinis.

"Kau ingat aku nak sangat sebilik dengan kau? Poster sana sini sudah serupa apa. Entah apa yang kau syok sangat dengan mamat jambu ni. Acah-acah Korea. Gelilah!"

Kuntum menolak kerusi dan berdepan dengan Kasturi. Turun naik dadanya menahan marah.

"Kau boleh kutuk aku tapi jangan nak kutuk Carl! Kasturi, kita datang sini dah berjanji dengan ayah dan ibu tau? Aku tak nak bergaduh tapi kau tak habis-habis nak mengapikan aku. Kalau kau tak suka, diam. Aku pun tak mengatalah hobi kau yang suka panjat bukit dan membazir masa itu.”

"Dasar Ketum yang tak cukup zat! Siapa yang nak bergaduh dengan kau? Kau tahu tak sekarang ini kau sedang mengutuk hobi aku? Aku doakan kau hilang minat dekat Carl. Tenang hidup aku. Tak payah hadap poster mamat jambu air. Yek!"

Maka bermulalah episod perang mulut edisi entah ke berapa. Sementara di Kampung Che Mek Molek, Megat Adam dan Citanarisa terus gusar. Gelisah jika tidak dapat melihat kembar mereka di depan mata. Masih bergaduh lagikah mereka? Jika ini persoalannya, maka benarlah telahan mereka berdua bahawa si kembar masih meneruskan edisi perang.

Patutkah mereka menghantar ibu saudara si kembar merangkap adik Megat Adam untuk menjadi pemerhati sepenuh masa? Di rumah, pastinya Megat Adam sedang mengusap dagu memikirkan cara untuk satukan jiwa dua beradik yang tidak serupa adik-beradik. 

 

* * *

 

 "CARL! Ahhhhhh! I love you, Carl!" 

Begitulah hiruk-pikuk suasana di hadapan Dewan Suara Cinta di kolej. Masing-masing terjerit memanggil artis kesayangan mereka. Waktu beginilah mereka ingin melihat wajah penyanyi itu. Lelaki yang susah dijumpai di kawasan kolej mereka, jika terserempak sekalipun mereka tidak dibenarkan terlalu jakun dan memekak sesuka hati. Sungguhpun begitu, mereka masih boleh melihat ketampanan Carl dan sikap profesional lekaki itu dalam bilik kuliah mahupun kelas tutorial. 

Carl, merupakan seorang penyanyi lelaki kegemaran Kuntum. Sememangnya dia tidak akan lepaskan peluang ini untuk menonton persembahan Carl secara langsung di pentas anjurna pihak kolej. Khabarnya, bayaran Carl tidak terlalu mahal memandangkan ini merupakan kolej di mana dia belajar. Terliuk-lentok tubuh Kuntum dan para penonton mendengar kemerduan suara Carl. Lembut dan lunak. 

Mahasiswa yang menjaga bahagian pengurusan dan bilik audio hanya mampu menggeleng melihat sebilangan mahasiswi yang meminati Carl. Gadis mana yang mampu menolak ketampanan dan kelembutan Carl dalam berbahasa? Boleh dikatakan hampir kesemua mahasiswi kolej berada di dalam dewan ini.

Lagu Cinta Monyet dan Kancil kini hangat berputaran di radio-radio tempatan. Nama Carl juga semakin meningkat dan sering menjadi sebutan meskipun tidak mampu berlawan dengan artis BBNU (budak-budak baru nak up) yang lain.

Bagi orang yang meminati Carl, lagu ini sangat menarik namun tidak bagi mereka seperti Kasturi. Kisah Kasturi kita cerita sekejap lagi, sekarang ini cereka Kuntum Haneesa. Gadis lemah-lembut yang juga diminati oleh ramai mahasiswa.

Kuntum yang berada di barisan paling depan sudah cair dengan senyuman Carl. Sesekali lelaki itu memandang dan mengenyitkan mata ke arahnya. Hampir saja Kuntum terkulai ke bawah kerusi namun sempat dia berpaut pada besi pemegang. Fuh!

Tepukan gemuruh dihadiahi penonton sebaik sahaja Carl menghabiskan lagu keduanya. 

"Wow! You nampak terlalu meminati Carl. Kamu berdua ada apa-apa hubungan ke?" tegur seorang lelaki yang baru duduk di sebelah Kuntum. 

Kuntum pandang sekilas lalu mengangguk dan menggeleng. Lelaki itu tampak terkejut.

"Jadi betullah, kamu berdua ada hubungan?"

"Mana ada!"

"Habis tu, yang awak angguk tadi tu apa?"

"Ya, saya sangat minati Carl dalam masa yang sama kami tak ada hubungan pun. Saya pun Carl tak kenal. Apatah lagi nak ada hubungan. Mengarut!" balas Kuntum lantas tertawa kecil.

"Oh, begitu. Nak berkenalan dengan dia tak?"

Serta-merta mata Kuntum membulat dan bercahaya.

"Boleh?"



**karya ini adalah hak cipta terpelihara. Anda dilarang menyalin balik dan mencetak untuk kepentingan diri tanpa kebenaran penulis.