Wednesday, December 25, 2019

Gadis Penggubah Coklat , Siri: My Little Gina [Cerpen]




Sudah tiga hari Nura memerhati lelaki tua berbangsa Cina berkeliaran di luar kedai. tepat jam 12, perginya pula sebelum subuh. Kali ini Nura tidak mengenali empunya susuk itu. Hendak menegur bimbang juga lelaki itu terperanjat. Wajah tua itu kelihatan keruh dan tidak bermaya. Melihatkan pakaian yang dipakai seperti orang-orang kaya. Hendak meminta derma? Jauh sekali jika meminta di sini. Malam-malam pula. Di sini memang sudah sedia maklum tak akan ada seorang pun berjalan-jalan di kaki lima. Cuma ada kereta sahaja lalu-lalang itupun tidak kerap. Sekadar untuk kecemasan.
Keadaan kedai hari ini agak berserabut. Semalam dia didatangi oleh pelanggan yang tidak siuman. Memberontak saja kerjanya. Itu tidak kena, buat ini salah. Sudahnya, habis dirosakkan bunga segar yang baru dipetik. Mujur saja bunga itu ditanam di belakang kedai. Boleh dipetik bila-bila masa sahaja. Cuma agak remeh.
 Pintu kedai berbunyi dan Nura segera berpaling. Berkerut-kerut dahinya melihat gerangan yang hadir.
“Apek nak apa datang sini? Sini bukan tempat kamu.”
Wajah apek tadi  murung saja seperti ingin suarakan sesuatu.
“Dia ada datang sini ke?”
“Siapa?”
“Dialah!”
Nura merengus. Penyapu dicampak ke atas lantai lalu mencerlung ke arah apek tadi. Air mata lelaki tua tadi menitis satu persatu sebelum berlalu keluar. Apek duduk di atas bangku di luar kedai bersama keluhan. Sesekali dia mengitari kawasan itu mencari ‘dia’ yang dinanti. Sudah hampir seminggu dia merindui wajah itu. Ada sesuatu yang ingin diberikan.
“Pak cik, kenapa sedih saja ni?”
Air mata lelaki tua itu semakin lebat. Tangan ditekup ke muka dan cuba untuk bertenang.
“Nama pak cik, Tan Chee Yoon. Boleh panggil pak cik, Pak Yoon. Sudah lama pak cik tunggu cucu pak cik, tapi tak datang-datang.”
Lelaki yang menegur Pak Yoon tadi mengambil langkah untuk diam. Belakang Pak Yoon digosok lembut cuba untuk tenangkan dia.
“Pak cik yakin dia akan datang ke sini, ada sesuatu yang nak diberikan pada dia.”
“Apa dia?”
Pak Yoon menyerahkan satu patung bersaiz besar lengannya kepada lelaki itu. Lelaki itu menyambut dengan senang hati. Patung bayi bermata bulat, sebelah mata bagaikan dikorek hingga meninggalkan lubang yang agak besar. Lelaki itu tertelan liur.
“Pak cik kena pergi. Sudah lama pak cik di sini. Sudah tiba masanya. Tadi pak cik cuba minta tolong tapi perempuan dalam kedai tadi terlalu menakutkan. Dia marah-marah.”
Lelaki di sebelah Pak Yoon senyum. Tangannya yang bersarung dengan sarung tangan itu memegang kemas patung bayi.
“Siapa nama cucu pak cik?”
“Gina.”

* * *

Bingit! Nura menekup kemas telinganya dan mencerlung ke arah pintu kedai. Si tua sudah tiada sekarang berganti pula dengan budak kecil yang menangis tiada henti. Tiga jam kanak-kanak tadi menangis tanpa henti. Kedainya juga tiada pelanggan buat beberapa hari. Selalunya dia tidak menang tangan. Gara-gara tangisan tanpa henti ini, kedainya langsung tiada yang sudi singgah.
Nura merengus. Nafas dihela berkali-kali dan cuba untuk bertenang. Mata dipejam bersama bibir terukir senyum. Dia sudah berjaya bertenang. Lama-kelamaan tangisan itu bagaikan muzik yang membelai halwa telinga. Ia bagaikan muzik latar yang membantu Nura mengenalpasti situasi yang berlaku.
Mata Nura terbeliak lalu menolak pintu kedai. Kanak-kanak perempuan berbaju putih susu terus diam dari tangisnya, berwajah pucat seperti dalam kesejukan. Di kiri dan kanannya diapit lelaki juga wanita, barangkali ibu bapa kanak-kanak tadi. Kesemua mereka dalam keadaan basah. Tidak perlu lagi meneka, Nura sudah tahu status mereka.
“Silakan masuk.”
Mereka bertiga masuk dan pintu terus terkatup menghasilkan bunyi loceng yang begitu nyaring. Kanak-kanak tadi kembali meraung membuatkan Nura tersenyum. Ibu dan bapa kanak-kanak tadi hanya berlagak pegun tanpa bicara.
Nura mengambil sesuatu di bahagian kaunter.
“Gina?”
Kanak-kanak tadi terdiam. Anak patung dengan mata berlubang sebelah digubah cantik bersama sejambak coklat dan bunga. Terkoyak bibirnya menyengih dapat sesuatu yang dia inginkan.
“Datuk awak, Tan Sri Tan Chee Yoon serahkan ini.”
“Datuk mana?”
Nura senyum.
“Dia sudah pergi jauh dari Malaysia. Cuba untuk teruskan hidup tanpa cucu kesayangan.”
Gina menunduk tersedu lalu ditarik rapat gubahan tadi ke dada lalu dipeluk kemas.
“Gina bakal merindui datuk.”
Pintu belakang dibuka luas menyebabkan angin malam berlumba-lumba masuk. Kesejukan tidak terasa malah menyamankan.
“Selamat tinggal.”
Lelaki yang berada di luar kedai hanya mampu terdiam. Dia baru sahaja tiba dan situasi yang dilihat sangat merunsingkan. Sampai bila harus begini? Dia menyeluk tangan ke dalam saku seluar sebelum mengatur langkah berlalu dari situ. Tapi dia bersyukur, sekurang-kurangnya tiada lagi bunyi tangisan yang menakutkan orang-orang di sini. Ini bermakna, Nura sudah berjaya menemui Gina dan menyerahkan hak yang sepatutnya.



Friday, December 20, 2019

Gadis Penggubah Coklat , Siri: Elle dan Ray [Cerpen]




Hari ini Nura melangkah dengan penuh berdebar. Malam ini sepatutnya dia buka kedai pukul 11.30 tapi sekarang sudah hampir jam 12. Kawasan kaki lima sekarang tersangat sepi, hanya disinari cahaya lampu jalan. Kedai-kedai berdekatan juga sudah lama tutup. Di sini, kedai kesemuanya tutup sebelum jam 11 malam. Namun berbeza dengan Nura, kedai coklatnya dibuka pada waktu malam. Beginilah kehidupan Nura demi mencari sesuap rezeki untuk diri sendiri di bandar.
Terbongkok-bongkok Nura membuka kunci kedai dan dengan sekali tarik, pintu terbuka dengan ringan sekali. Nura tersenyum.  Rambut lurus yang jatuh di depan, dia selit lembut pada celah telinga. Saat pintu ditolak, loceng berbunyi nyaring bagaikan muzik terapi buat Nura.
“Terima kasih, Elle,” ujar Nura tanpa berpaling. Lampu kedai dibuka satu persatu. Cahaya lampu oren yang suram itu lebih digemari berbanding cahaya putih. Itu lebih menyakitkan matanya.
Nura meletakkan tas tangan di dalam rak berdekatan kaunter.
“Nura…”
Malas hendak mengangkat muka, Nura terus mengambil kalkulator.
“Nura… dia sudah tidak mahu melayan aku. Takkanlah, kau juga tidak mahu melayan?”
Hampir terpelanting kalkulator dalam tangan saat wajah Elle mendekat seperti mahu menelan. Sudahlah rambut panjang, tak pandai selit ke belakang pula tu. Nura menjeling sekilas seraya menghela nafas dalam.
“Kenapa? Kau gaduh dengan dia ke?”
Nura berlalu ke bahagian rak yang menyimpan pelbagai jenis coklat. Dia mengira satu persatu stok yang tinggal. Jika tidak cukup, esok dia perlu tambah. Dalam setahun ini, perniagaannya semakin maju. Suka!
“Dia cemburu melihat aku keluar bersama lelaki lain.”
Terbuntang mata Nura lalu memandang ke arah Elle.
“Helo, cik adik! Kalau aku pun cemburu kalau tengok pasangan keluar dengan orang lain. Jadi, kau nak suruh aku buat apa?”
Elle tersengih-sengih sambil mengekori langkah Nura.
“Kau rasa dia suka coklat dan bunga tak?”
“Entah. Itu kekasih hati kau, bukannya aku.”
Elle mencebik.
“Nanti, Ray datang sini tau. Boleh tak kau bagi dekat dia bagi pihak aku? Cakaplah, aku minta maaf. Lelaki tu bukan sesiapa pun.”
Nura menggeleng laju bersama jari telunjuk yang digerakkan ke kiri dan kanan.
“Aku mahu kau serahkan sendiri dan minta maaf. Ray akan datang sini dalam…”
Jam ditilik seketika sebelum menyambung, “… lima belas minit sahaja lagi. Lagipun dia akan datang sini disebabkan kamu.”
“Alaaa, benci!”
Elle terus keluar dari kedai dan menghilang dalam kepekatan malam. Tergeleng Nura dengan sikap Elle. Dia yang bersalah, orang lain kena hulur. Huh!

* * *

Nura menggubah coklat dan bunga dengan begitu teliti. Bunga yang digunakan bukanlah bunga biasa-biasa. Bunga ini dipetik segar dari taman belakang. Sejenis bunga yang jarang digunakan. Coklat pula bukanlah berjenama mahal, kerana ia ditempah khas. Maka, harga tetap tinggi.
Loceng berbunyi menandakan kedai dihadiri pelanggan. Nura tersengih lebar sambil meneruskan kerja. Tak perlu melihat gerangan yang hadir. Dengan bau saja dia dapat menebak siapa dia.
“Ah, malang sungguh aku kali ini,” rungut lelaki di depan Nura bersama topi keledar putih di tangan.
“Ray?”
Terperanjat Ray bersama muka yang berdarah.
“Apa dah berlaku pada kamu? Kemalangan? Cari Elle?”
Ray memandang sinis.
“Kau sudah tahu semuanya tapi kenapa perlu bertanya lagi?”
“Sekadar kepastian. Silakan duduk dulu, Ray.”
“Kau sindir aku?” balas Ray seraya tunduk memandang kakinya. Nura ketawa berdekah-dekah lalu terdiam. Wajahnya tegang sebelum berlalu ke bahagian belakang.
“Keluar. Ray sudah sampai.”
Malas hendak pedulikan mereka berdua, Nura segera keluar dari kedai dan memilih untuk duduk di atas bangku di luar. Bangku itu disediakan memang untuk situasi seperti ini. Dia malas untuk mengganggu pasangan bermasalah.
Derapan yang mendekati membuatkan Nura tersenyum nipis.
“Apa masalah di dalam kali ini?”
“Cemburu.”
“Oh. Kenapa dengan kaki dia?”
“Kemalangan. Kaki digilis lori, belum tahu tentang status diri.”
“Jadi macam mana?”
Nura menjongket bahu.
“Elle akan berterus-terang. Lagipun, Elle sendiri meninggal pada waktu yang sama. Sakit kronik. Lelaki yang dia jumpa itu cuma doktor yang merawat. Silap dia tidak berterus-terang, namun tetap ajal mereka. Tak boleh berbuat apa-apa.”
Terangguk-angguk lelaki di sebelah Nura.
“Bila?”
“Sebentar tadi. Tak tengok berita?”
Cepat-cepat lelaki itu membuka telefon pintar dan membuka bahagian berita. Terlopong lelaki itu dengan berita yang dibaca.
“Macam mana awak… eh?”
Lelaki itu menggeleng apabila Nura sudah tiada di sebelah. Menghilang ke dalam kedai. Lambat-lambat dia bangkit dan berlalu ke arah motor yang diparkir tidak jauh dari kedai. Sekarang sudah hampir jam tiga pagi. Lagipun, esok dia perlu bekerja.
‘Jumpa lagi, Nura.’

Monday, December 9, 2019

DESTINY -5-




"MELODY. Psst…”
Aku dengar tapi malas hendak berpaling. Mata aku terlalu ralit melihat pokok dalam pasu yang meliuk-lentok di luar sana. Hari ini cuaca mendung lagi. Mungkinkah sekarang sudah masuk musim hujan?
“Melody!” Kali ini suara itu sedikit keras. Aku berpaling seakan tidak berperasaan.
“Kenapa Fad? Ada pelanggan ke?”
Fad menjeling tajam. Marahlah tu. Aku mengeluh bosan. Fad selalu saja begini. Mudah sangat naik angin. Aku menoleh ke dalam ruang kedai. Rata-rata sudah ada kopi atas meja melainkan satu tempat. Sekali lagi aku mengeluh.
“Dah, pergi sana. Hanya kau saja yang berani dengan dia.” Fad menolak belakangku untuk keluar dari kaunter sementara aku melangkah malas. Namun semalas-malas aku, Louis tetap simpan aku. Biasalah, tauke kedekut memang macam itu.
“Melody.”
Dia senyum. Sebenarnya aku tergamam, tapi cuba mengawal sebaik mungkin.
“Nak apa?”
“Bagi saya macchiato caramel dengan cheese cake,” jawab Luke dengan senyum di bibir.
Aku menurut. Sejak akhir-akhir ini, sikap Luke agak berbeza. Entah angin apa yang membawa perubahan dia. Kalau sikit tidaklah aku berasa aneh, ini terlalu mendadak dan ketara. Malas hendak berbahas seperti dulu aku terus ke kaunter dengan persoalan berlonjak dalam kepala.
Fad di kaunter sudah berkerut. Matanya seolah-olah bercakap dengan aku. Seakan mengerti, aku terus menjongket bahu. Tiba-tiba hujan turun menerpa bumi. Benarlah, mungkin sekarang musim hujan. Rasa sejuk mula menggigit tulang.
“Fad, buatkan macchiato caramel satu.”
Gelongsor kaca aku tolak ke tepi dan mengeluarkan sebiji kek keju. Berhati-hati aku mengambil sepotong kek dan meletakkannya di atas pinggan. Meskipun Luke itu pelanggan yang pelik aku tidak boleh hidangkan sewenang-wenang. Adab tetap adab.
“Peliklah,” ujar Fad sambil jari lincah mendekorasikan kopi.
“Apa yang pelik?”
“Tengok sana! Memang tak syak lagi, dia dah gila.”
Aku melihat ke arah Luke. Hampir saja aku terjatuh di situ gara-gara lembik lutut melihat situasi sekarang. Bunga mawar plastik yang diletakkan pada sudut tepi tingkap itu Luke tarik. Dengan lenggok yang sungguh berkarisma, bunga itu disuakan pada seorang gadis comel yang duduk bersendirian.
When I see you in this place, my heart can’t stop beating. You are so beautiful, darling.” Gadis itu kelihatan tergamam. Berkedip-kedip mata bulatnya seolah-olah tidak percaya. Tanpa menunggu lama, bunga itu disambut mesra.
So sweet. Siapa awak?”
Badanku menggigil-gigil menahan rasa. Sudahlah datang setiap hari, berkelakuan aneh dan sekarang… miang! Sudahlah, perempuan comel itu pun seakan melayan saja kerenah Luke. Langkah aku hayun seakan berkawad. Kiri, kanan, kiri, kanan. Geram!
Sebaik saja aku menghayun tangan untuk menghempuk Luke, otak mula ligat berfikir. Kejap. Kenapa aku perlu rasa bengang? Kepala yang tidak gatal aku garu.
Tiba-tiba terasa tanganku ditarik seseorang. “Luke!”
Luke senyum lantas memaut erat bahu aku.
“Saya Luke dan ini gadis saya, Melody. Cute kan dia?”
Aku tergamam. Gadis saya? Aku cuba mengawal bibir dari tersenyum. Gadis comel di hadapan kami pula sudah bengang semacam.
“Gadis awak?”
Luke mengangguk dan senyum. “Yalah, girlfriend saya. Tiada siapa boleh tandingi kecomelan dia, kan?”
Aku diam. Luke memang sudah tak betul. Sejak bila aku dengan dia diisytihar bercinta? Muka perempuan di depan aku sudah bertukar merah.
“Heh, lelaki semua sama! Mula-mula puji, lepas tu keji. Jangan ingat saya boleh dibawa main. Kau, tunggu!” tempelak perempuan comel itu dengan menuding telunjuk tepat pada muka aku dan Luke sebelum berlalu.
“Luke ni dah kenapa?”
Aku menolak tubuh Luke dari terus memeluk.
Love… dah tak sayang Luke? Jom pergi date!”
“Tak nak. Penipu. Awak ni kenapa? Ada masalah ke? Tadi baru sekejap awak elok duduk diam, sekarang miang! Satu lagi, bila masa pula saya cakap yang saya sayang awak?”
Dia ketawa.
“Mana ada miang. Saya sekarang berasa romantik. Hujan-hujan begini rasa macam nak bercinta. Awak tak rasa macam tu ke?”
Aku toleh ke luar kafe. Hujan tidaklah lebat mana tapi seperti mahu berhenti saja. Aku kalau hujan mahu saja tidur, tiada masa hendak romantika de’ amor. Ralit aku memandang butiran hujan yang turun hingga perlahan-lahan terhenti. Namun mendungnya masih ada.
Prang! Bunyi yang kuat itu buat kami terperanjat. Pasu bunga berderai di atas lantai betul-betul hampir pada kaki aku. Jantungku berdegup pantas. Datzz pula sudah memulas tangan perempuan comel tadi ke belakang. Apa yang terjadi? Aku masih lagi bingung.
“Lepaskan aku! Urgh.” Perempuan comel tadi meronta-ronta supaya dilepaskan. Namun dia tidak tahu bahawa Datzz bukannya senang hendak lepaskan orang macam itu.
“Apa dah berlaku?” tanya Luke.
“Perempuan ni nak cederakan Melody. Nasib baik aku nampak dia masuk dengan pasu bunga dan cuba serang dari belakang.”
Cuba serang aku? Tapi kenapa aku tak dengar pun bunyi loceng keda?. Ah, mana aku dengar kalau asyik sangat melihat butiran hujan.
Pintu kedai ditolak dari luar dan tersembul wajah Louis yang selamba.
Sebaik sahaja terpandang Louis, Datzz seraya bersuara.
“Louis, aku nak beritahu yang perempuan ni akan kita banned dari terus datang ke kafe kau.”
“Okey.”
What?? Hei, kau orang pasti menyesal halang pelanggan tetap dari terus datang sini.”
Bukan saja perempuan comel itu yang terkejut, aku pun turut sama tercengang. Senangnya Louis mendengar permintaan Datzz yang kedengaran serupa arahan. Tidak rugikah kalau menghalang pelanggan tetap?
“Kau seorang saja. Tak rugi mana kalau setakat datang minum kopi paling murah tapi sekali pun tak pernah pesan makanan. Lagipun kau datang sebab nak menggedik dengan Luke je, kan?” tuduh Datzz.
Masing-masing terdiam. Aku perhati saja drama di depan mata. Masih bingung dengan apa yang berlaku. Tubuh perempuan itu Datzz heret hingga keluar dari kedai. Louis ke kaunter, Datzz ke dapur, Fad pula masih statik di kaunter dan aku memandang Luke. Terpancar riak risau pada wajahnya. Argh, peliknya perangai manusia ni.


TUALA yang membalut rambut aku kemaskan. Air panas yang baru masak itu aku segera ambil dan tuang ke dalam muk. Hujan-hujan sebegini seronok kalau duduk di rumah, minum coklat panas dan menonton vcd cinta. Koleksi cerita cinta memenuhi rak cd. Semuanya original dan tiada satu pun versi rompak. Bagus betul Datzz. Menyokong industri hiburan.
Cd ‘My Girl’ aku tarik. Walaupun sudah tengok berkali-kali tapi hati aku tak pernah bosan dengan cerita cinta.
 Bunyi pintu yang dibuka dari luar membuatkan aku menjenguk sedikit.
“Awalnya.”
“Hari ini budak-budak tak ramai. Mungkin sebab mereka dah mula exam jadi banyak habis masa dengan buku,” balas Datzz lalu menyandarkan belakang pada sofa. Satu-satunya sofa yang ada dalam rumah kami.
“Aku rasa sekarang kau perlu rehat seminggu, bagi peluang dekat budak-budak tu untuk study. Lagipun exam untuk tukar warna tali pinggang lambat lagi kan?”
Datzz mengangguk.
“Betul juga tu. Eh, aku nak pergi mandi jap. Kau jangan play lagi dvd tu. Tunggu aku!”
“Cepat!!”
Aku gelak melihat Datzz yang sudah kelam kabut. Datzz, rupanya seperti anak patung. Comel. Bibir dan mukanya kecil saja tapi siapa tahu dia merupakan jaguh taekwondo. Sejak kecil lagi Datzz melibatkan diri dalam seni pertahankan diri, katanya mahu menjaga aku dari terus kena buli.
Kami berdua sama. Sama-sama dibesarkan di rumah anak-anak yatim Istana Kasih. Meski Datzz berusia dua tahun lebih tua berbanding aku, kami sering dicop sebagai kembar. Pergi ke mana sahaja pasti bersama hinggakan aku tak tahu bagaimana hendak berdiri di atas kaki sendiri.
Bekerja di Horror Cafe juga atas ihsan Datzz yang memujuk Louis supaya mengambil aku bekerja dan bermula pada itulah… Louis suka cari masalah dengan aku! Sejak dia tahu hobi aku suka menulis dan melukis, dia risik atau lebih tepat paksa aku supaya hasilkan naskah untuk Horror Cafe. Mungkin juga telah ditetapkan rezeki aku hingga ramai yang ternanti-nanti naskah terbaru. Apa yang menjadi masalah, Louis jenis cakap tak serupa bikin. Karang kalau aku menulis di tempat kerja dia marah. Walhal dia juga yang suruh. Pening betul.
“Amboi, berkerut dahi. Kau fikir apa?”
Datzz sudah mengatur langkah ke arahku dengan jajan di tangan. Rambut panjangnya yang masih basah dibiarkan lepas.
“Tak ada apa, cuma teringatkan Louis. Suka sangat cari masalah dengan aku tapi tidak dengan kau.”
Datzz ketawa. Semakin lama semakin galak. Aku tarik muka.
“Ala, macamlah kau tak biasa dengan dia. Dah hampir tiga tahun kau kerja dengan dia. Tapi dia tak usik kau kan?”
Aku menggeleng.
“Nasib baik. Kalau dia usik kau kena beritahu aku, nanti tahulah aku macam mana nak ajar dia.”
“Hish, kau ni. Dia suka buli aku saja. Tak adalah sampai dera fizikal aku sampai lebam.” Seram pula aku dengan Datzz. Terlalu melindungi.
Datzz mengambil tempat di sebelah aku lantas menekan punat ‘play’ pada alat kawalan jauh. Entah drama korea yang ke berapa kami tengok minggu ini. Kadang-kadang asyik putar drama sama saja. Janji layan. Aku mula teringat sesuatu.
“Datzz, kau perasan tak Luke?”
“Ahha, kenapa dengan dia?”
Perlukah aku beritahu Datzz apa yang aku rasa? Mungkin perasaan aku saja.
“Erm, tak ada apalah.”
“Apa-apa sajalah kau ni. Sebelum aku lupa dan sebelum kau terkejut beruk esok aku nak beritahu sesuatu.”
“Apa dia?”
Datzz sengih kemudian berdeham. Dia memusingkan badan menghadap aku. Wajahnya tiba-tiba serius.
“Tujuan aku beritahu ni supaya kau bersedia untuk esok,” kata Datzz dengan nada yang serius. Aku mula berasa cuak.
“Okey. Apa dia? Beritahulah cepat, jangan bagi aku cuak boleh tak?”
“Dia akan mula kerja dengan kita esok.”
“Dia? Siapa dia?”
Datzz buat muka. “Siapa lagi… Luke. Tadi kan kita cakap pasal dia?”
What??”
Terkedip-kedip mata Datzz dengar jeritan aku. Sumpah aku terkejut. Datzz melayangkan pandangan pada skrin tv sementara aku masih terpinga-pinga dengan informasi tadi. Untuk apa dia nak kerja dekat sana? Tidak cukup duitkah? Macam mana dengan pelajaran dia? Itu semua persoalan yang bermain dalam fikiran cuma tidak keluar.
Aku dapat rasakan hidup aku sudah mula huru-hara.


💓💓💓💓💓


UNTUK PEMBELIAN BOLEH RUJUK POSTER DI BAWAH.

Harga: RM25 free postage!
Sebarang maklumat pembayaran boleh emel ke aeyfanasri@gmail.com
atau terus ke FB saya Aeyfa Nasri