RAFAEL menghabiskan masa dengan terperuk di dalam bilik. Sesekali Intan masuk menjenguk namun seketika. Sikap Rafael berubah setelah keluar dari hospital. Memang sudah lama lelaki itu dimaklumkan dengan penyakitnya. Satu keluarga tahu tetapi masing-masing tetap teruskan hidup seperti tiada apa pun yang berlaku. Namun keadaan Rafael kini benar-benar merunsingkan semua orang.
Hajah Dahlia ada juga risik bertanyakan khabar anak lelakinya itu tetapi katanya baik-baik saja. Cuma ingin bersendiri. Mendung. Seisi rumah bagaikan kehilangan satu tenaga untuk menjalani kehidupan seharian. Begitulah jika salah seorang daripada mereka membawa diri. Jika dulu Faiq yang tidak lekat di rumah. Membawa diri dengan bersantai di kafe.
“Sabarlah Lia. Mungkin Raf bergaduh dengan Faiq? Sebab tadi abang nampak Faiq pun macam nak tak nak je bercakap dengan Intan. Kasihan pula abang dengan Intan,” pujuk Haji Jaafar.
“Betul ke?”
“Mungkin. Cuba awak bawa berborak dengan anak kita yang seorang tu. Lama-lama sunyi rumah ini.”
Hajah Dahlia mengangguk setuju. Malam nanti dia akan berbicara sendiri dengan Faiq. Kini fokusnya ialah Intan. Dari seorang jururawat di hospital swasta terus dipilih menjadi jururawat peribadi Rafael. Kemudian Intan dinaikkan pangkat menjadi isteri untuk Rafael dan menantunya. Hajah Dahlia tahu pasti banyak rancangan mereka bertiga tanpa pengetahuan dia dan Haji Jaafar.
“Yalah. Abang jadi tak ke rumah Tuan Mansor ke hari ni? Dia ada buat kenduri solat hajat kan, lepas solat Jumaat.”
“Ha’ah. Hampir abang terlupa. Terima kasih Lia ingatkan abang. Abang nak siap-siap ke masjid dululah. Lepas itu terus ke sana. Nanti pandai-pandailah awak korek cerita ya?” Sempat lagi Haji Jaafar mengusik sebelum berlalu.
“Hish, abang tu hati-hati. Jangan buat hal kat rumah Tuan Mansor nanti. Jaga kebersihan tu. Kalau tumpah cepat-cepat kutip!” pesan Hajah Dahlia sedikit menjerit apabila sosok Haji Jaafar kian menjauhinya. Lagi pula dia memang sudah sedia maklum dengan sikap anak teruna Tuan Mansor. Seorang yang sangat pentingkan kesempurnaan.
Mata dilarikan ke arah lain sambil diikuti langkah kakinya. Hajah Dahlia menghampiri Intan yang sedang menyusun buku di atas rak. Rajin. Rak buku yang disediakan di ruang tengah telah menjadi tempat buat Intan melepaskan hobi membacanya. Rak yang sebelumnya agak kosong, mula penuh dengan buku-buku Intan.
Selain buku-buku kesihatan, Intan suka baca novel-novel melayu. Walaupun sudah banyak diadaptasi ke drama atau filem, Intan tetap baca. Baginya kedua-dua itu sangat berbeza, apabila novel fiksyen dijadikan drama pasti ada saja yang tidak kena di mata penonton. Apabila terlalu banyak kecaman tentang drama adaptasi, Intan jadi menyampah. Manusia terlalu mudah menuduh dan kecam karya orang lain macamlah mereka bagus sangat. Jika ke arah membina tidak mengapa tapi sebaliknya.
“Intan sibuk ke?” tegur Hajah Dahlia sedari tadi memandang Intan yang asyik termenung.
Intan berpaling. Longgokan novel yang berada di atas lantai dikemaskan ke tepi. Memberi ruang kepada Hajah Dahlia. Ruang ini ibarat miliknya sendiri. Suka hati saja hendak sepahkan. Malu pula.
“Tengah kemas sikit-sikit saja ni umi. Intan ganggu umi ke?”
“Tak adalah. Saja bosan tak tahu nak kacau siapa,” seloroh Hajah Dahlia lalu mengambil tempat di atas kerusi kacang. Kata Rafael, kerusi itu sekali duduk susah nak bangun balik.
Intan ketawa. “Walid mana?”
“Tengah siap-siap nak pergi solat Jumaat. Lepas itu terus ke rumah Tuan Mansor.”
Angguk. Tiba-tiba dahi Intan berkerut.
“Tuan Mansor yang anak dia perfectionist tu ke?”
“Haa, semua orang kenal Tuan Mansor sebab anak dia kan? Betullah tu. Dulu masa kecil budak tu kuat sangat main dan malas berkemas. Itu yang Tuan Mansor ugut kalau kotor nanti segala serangga datang dan syaitan pun suka. Tapi siapa sangka jadi begini, kan?”
Intan angguk. Benar. Kini lain dan kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Jeda.
“Umi berharap sangat kita dapat buktikan kata-kata doktor itu salah. Dia bukan tuhan untuk tentukan jangka hayat seseorang, kan? Kalau nak mati, bila-bila masa saja Allah boleh tarik.” Tiba-tiba dadanya sebak. Hajah Dahlia diam seketika. Liur ditelan tapi seakan tidak tertelan.
Tangan Hajah Dahlia diraih dan dikucup lembut. Intan cuba untuk senyum. Dia faham apa yang wanita itu cuba maksudkan.
Disebalik dinding yang memisahkan tangga dan ruang tengah, Rafael berdiri dan memasang telinga. Dalam diam hatinya turut sebak. Tidak tegar rasanya melihat si ibu menanggung kesedihan. Dia perlu kuat. Kuat di depan semua orang dan… untuk dirinya juga.
“SO, macam mana dengan jualan kau? Aku dengar ramai yang suka.” Sempat lagi Dhira menarik sepiring Kek Oreo yang dihidangkan.
Adura menjongket kening.
“Kau dah dengar jadi buat apa aku nak beritahu lagi?”
“Alaa, kau ni. Aku nak berborak-borak dengan kau pun salah ke? Abang AR yang cakap kat aku. Dia suka!” Muncung mulut Dhira bercerita.
Semenjak Dhira tahu banyak cerita tentangnya, mereka jadi semakin rapat. Tambahan pula gadis di depannya juga yang bantu dia dapatkan peluang untuk memulakan kerja dari bawah. Jika diikutkan Encik Johari, terus dipaksa buka perniagaan sendiri. Kata orang, cipta nama dari bawah dahulu barulah naik perlahan-lahan. Jika naik pakai lif, nanti lif rosak di tengah-tengah bangunan macam mana? Nanti tak pasal-pasal kena panggil orang. Adura tidak suka.
“Yalah, Abang RJ kau memang suka rembat kuih-kuih aku. Percuma pula tu padanlah kalau dia suka.” Selamba saja Adura bercakap. Kebetulan pula Arjuna tiada di kedai hari ini, seronoklah dia membahan.
Dhira tekup mulut. Matanya sudah berair mengawal ketawa. Memang dia dapat bayangnya Arjuna yang pelahap. Bila manusia kaki pastri jumpa kuih memang gelojohlah.
“Teruklah kau ni. Eh, Abang RJ tak ada ke?”
Angguk.
“Keluar kut ataupun tak masuk terus. Entah. Aku bukannya pekerja sini setakat hantar kuih saja.”
“Patutlah kau syok kutuk dia. Eh, dia hensem kan?” usik Dhira. Sebelah kening dijungkit berkali-kali.
Tersedak liur. Adura buat-buat batuk.
“Tak malu puji abang sepupu sendiri?”
“Tak! Sebab dia memang hensem pun.” Dhira ketawa.
Dahi Dhira ditolak lembut lalu diletakkan jari ke bibir. Dhira memang seorang yang periang. Pantang gelak pasti satu kedai dapat dengar. Apa yang membimbangkan sekarang ini ialah jika pekerja Arjuna dengar.
“Sudah. Jangan nak ketawa sangatlah. Mana kad?”
Dhira terpinga-pinga. “Kad apa pula ni?”
“Kau buat-buat tak tahu atau memang sengaja tak nak jemput aku? Tak baik tahu rahsiakan hal ini daripada aku, cakap kawan.” Bibir sengaja Adura tarik ke bawah.
Tersengih Dhira. Dia baru faham maksud Adura. Ini tak lain dan tak bukan mesti kerja abang sepupunya yang membocorkan rahsia. Dhira garu kepala yang tidak gatal.
“Bukan sengajalah. Memang nak beritahu tapi kad belum siap. Yalah, majlis seminggu sebelum kita konvo.”
Adura buntangkan mata. “Lamanya nak siap! Sebulan lagi tahu tak. Dah tak lama pun. Untunglah kau, konvo bawa suami.”
Sinis.
“Kau perli aku? By the way, masalah kau kira dah selesai kan? Dah ada kerja dan bukannya menganggur lagi. Jadi, bolehlah pergi konvo dengan tenang. Lagipun result kau gempak. Deanlist! Rugi woo.. kalau tak naik terima sijil.”
“Alhamdulillah tapi kebanyakan company tak pandang pun semua tu. Aku bukannya bagus dalam berinteraksi tapi kalau bab mendengar aku boleh. Tapi… mana tahu aku lagi power promo kuih-kuih aku berbanding mereka yang makan gaji?” balas Adura sengaja untuk sedapkan hati.
Terjongket kening Dhira bersama senyuman.
“Sangat betul! Jadi… konvo?”
“Aku pergi.”
“Yes!”
BUKU menu dijatuhkan. Sesekali Faiq berkerut. Sudah juga jika pasang telinga dan curi-curi pandang. Dia belum menuntut ilmu menjadi pengintip tetapi hari ini dia terpaksa. Dengan berkaca mata hitam, Faiq cuba berlagak selamba dengan bersandar pada kerusi. Kaki kanan diletakkan di atas paha kiri sementara tangan kanannya cuba bermain dengan telefon.
Dua orang gadis bertudung yang sedang rancak berborak dipandang. Sesekali kepalanya tergeleng. Adat orang perempuan, tak habis-habis berbicara tentang lelaki. Kalau tak pasal lelaki pasti hal kahwin. Entah apa yang mereka harapkan dalam perkahwinan? Romantika? I love you, you love me? Walhal banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum, semasa dan selepas. Inilah anak muda, hanya bayangkan momen indah sahaja. Tidak terfikir langsung perkara-perkara lain.
Faiq menghembus nafas. Dia kini terjebak dalam permintaan Rafael. Nak tak nak dia akhirnya akur. Mengenangkan keadaan Rafael yang tidak sihat, hatinya tak sampai untuk menolak. Seusai berfikir panjang, akhirnya Faiq terima. Tapi situasi kini membuatkan Faiq berfikir kembali. Betulkah keputusannya?
“Erk, encik. Dekat lima belas minit encik duduk sini. Tak nak pesan apa-apa lagi ke?” tegur seorang pelayang perempuan. Takut-takut saja pelayan itu untuk menegur.
Sedar akan khilafnya, Faiq segera memesan makanan ringan. Sekadar kudap-kudap untuk mencuri perbualan dua orang itu. Sebaik sahaja pelayan itu berlalu, Faiq kembali memasang telinga.
“Jadi… konvo?”
“Konvo?” bisik Faiq dengan kerutan.
“Aku pergi.”
Tanpa sedar Faiq tersenyum melihat melihat Adura yang bersemangat. Tadi nampak lemah saja. Jika difikirkan balik bulan depan Rafael juga ada majlis konvokesyen untuk program Sarjana. Mungkinkah mereka…
“Beb, kau rasa erk… dia ada sekali tak?”
Diam. Faiq menanti jawapan dari Adura.
Tatkala bertembung mata dengan Adura, Faiq segera tunduk. Bahaya betul duduk bertentang meja. Mujurlah dia memakai cermin mata gelap. Jadi, tidaklah nampak ke mana anak matanya berlabuh.
“Erm, I wish he would be there but I’m sure he’ll not.”
Mata berkaca itu Faiq pandang. Terkesima. Wanita itu benar-benar sayangkan Rafael. Serba-salah pula jadinya. Ini semua berkait dengan perasaan. Apa-apa pun dia perlua cari laluan lain.
Faiq menyedut jus tembikai dan menghabiskan makanan. Cepat-cepat Faiq bangkit dan membuat bayaran sebelum berlalu dari situ. Dia perlu berbincang dengan Rafael. Bimbang jika dia tersalah langkah dan tersadung, lalu menyusahkan orang terdekat.
Dalam masa yang sama, idea mencanak masuk.