HARI ni mood aku sangat positif. Gembira sepanjang hari. Kejadian semalam memang tak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Oh, samseng jalanan tu aku memang lupakan. Buat seram diri sendiri saja. Cuma, bahagian topi keledar jatuh depan mereka itu yang aku ingat dan situasi di mana…
Kling! Kling!
Bunyi loceng pada pintu masuk mengganggu. Senyum yang sedari tadi bergayut di bibir aku tarik hingga ke telinga. Dia datang! Hari ini mamat ais nampak hensem dengan memakai baju yang mempunyai hood. Hoody ditarik lalu diletakkan di atas kepala sambil telinga disumbatkan fon telinga.
Tanpa disuruh, aku segera mendapatkan mamat ais. Tersengih-sengih aku menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan dia.
“Awak.”
Diam.
“Awak. Saya tahu awak pura-pura tak dengar. Thanks untuk semalam tau. Kalau awak tak ada saya tak tahulah apa yang akan jadi dekat saya. Mungkin saya dah kena usik dan silap hari bulan mereka rog…”
Mamat ais tiba-tiba menepuk meja. Meski tidak kuat tapi bisa menghentikan bicara aku. Kenapa? Mamat ais pandang aku semacam hendak telan. Aku cuba mengawal riak. Liur ditelan.
“Cappuccino.”
“Boleh. Tapi beritahu dulu nama awak. Tak acilah sebab awak dah tahu nama saya.”
Inilah mulut yang tidak reti duduk diam. Biarlah, mulut aku.
“Please.”
“Ala comelnya dia. But, please… tell me your name first.”
Dia mula menunjukkan tanda-tanda bosan. Mungkin saja dia akan bertindak keluar dari Horror Cafe. Aku menghela nafas kemudian mengangguk dengan kedua-dua belah tangan diangkat, serupa pesalah.
“Okeylah. Cappuccino and fried tempe, right?”
Sekali lagi dia menjeling. Huh, aku teka saja dah jeling. Tak apa, jelingan itulah yang membuatkan dadaku dilanda ribut. Lambat-lambat aku berjalan mendekati meja kaunter. Memang sudah menjadi tempat rasmi mamat ais, duduk di meja bersebelahan meja kaunter dan tepi tingkap. Entah apa istimewanya tempat itu. Sudahlah ada patung hantu di penjuru kedai. Pocong pula tu.
Tatkala bertentang dengan mata pocong, tidak semena-mena bulu romaku menegak. Seramnya lain macam.
“Hei, Luke!”
Terangkat bahuku tatkala mendengar sergahan tauke kedai. Siapa yang dia panggil tu? Aku tengok mamat ais pun turut sama terperanjat. Leher dipanjangkan untuk menoleh ke belakang.
“Oh, Uncle Louis,” balas lelaki itu.
Tercengang aku jadinya. Uncle Louis? Jadinya dia memang rapat dengan tauke kejam ni. Fuh! Seorang kejam seorang beku. Tapi, antara dua orang itu si beku lagi memikat hati.
“Awalnya Luke datang. Tak ada kelas ke hari ni?” Louis melabuhkan punggu di atas kerusi sebelah Luke. Mesra saja lagak mereka.
“Ada, tengah hari nanti. Itu yang datang awal. Uncle sibuk ke?”
“Tak sangat. Kenapa? Nak minta benda tu ke?”
Benda apa? Aku menelan liur. Lambat-lambat aku membancuh Cappuccino untuk Luke gara-gara memasang telinga. Mungkin agak ketara sikap aku hingga tauke kejam menjeling.
Ehem!
Aku membetulkan suara sambil pura-pura tidak melihat mereka. Kedapatan! Mereka bertindak untuk tidak bersuara apabila aku menghantar minuman Luke. Louis memang sengaja. Sebaik saja aku meletakkan gelas di atas meja, tangan Louis mula menghalau. Tahu sangat reaksi itu suruh aku ke belakang dapur.
Dengan hati yang bengkak aku menurut namun sempat lagi aku mengenyitkan mata pada Luke. Luke? Langsung tidak berperasaan malah serius.
“KENAPA?”
Aku duduk di tepi meja lalu menongkat dagu tanpa menjawab pertanyaan Datzz. Laju saja tangan Datzz bekerja di dapur dan bermain dengan pisau. Salad segar disusun dengan pantas. Padanlah Louis sayangkan Datzz. Aku melepaskan lelah. Terasa dianaktirikan.
“Datzz. Kau ni memang bagus kan?”
Datzz gelak kecil.
“Kenapa kau cakap macam tu? Louis ada cakap apa-apa ke dekat kau? Atau kena kerja malam lagi?” Bertalu-talu soalan Datzz. Jelas terpancar riak kerisauan pada wajah itu. Dalam risau pun tetap cantik.
Aku tersenyum.
“Senyum pula. Aku tanya kau ni, Louis buli lagi ke?”
“Taklah. Dia halau aku.” Sengaja aku biarkan jawapan tergantung. Melihat Datzz melenting pun boleh terhibur.
“Halau kau dari kedai?? Eh, seriuslah. Louis tu memang dah melampau. Takkanlah sebab kau menulis dalam kafe pun dia dah angin satu badan. Tak lojik! Padahal dia juga yang suruh, kan? Memang nak kenalah orang tua tu.”
Kembang kempis hidung Datzz. Tangan dilap kasar pada tuala dapur. Melihatkan gaya Datzz seperti mahu menyerang Louis saja. Alamak!
“Relakslah Datzz aku tak habis cakap lagi ni. Dia cuma halau dari duduk dekat kaunter. Itu yang aku masuk ke dapur. Itu saja.”
“Aduh!” Tak ada pasal aku kena luku dengan Datzz.
Datzz membaling tuala tangan di atas dapur manakala sebelah tangan dicekakkan ke pinggang. Benganglah tu.
“Kenapa dia halau sampai ke dapur? Bukan selalunya dia marah kau masuk sini?”
Aku menjongket bahu. Sehelai daun salad aku bawa ke mulut dan kunyah. Berselera sungguh, seolah-olah sedang mengunyah Louis.
“Sebab dia sedang berborak dengan Luke. Kononnya sedang berbincang itu yang dia halau aku.”
Dahi Datzz sudah berlapis dengan kerutan. Belum sempat Datzz bertanya, aku terlebih dahulu menjawab. “Luke, pelanggan tetap kita yang annoying tu. Cuma sekarang… dia dah tak annoying.”
Tergeleng-geleng Datzz. Pasti malas hendak bersoal jawab denganku. Aku meneruskan kunyahan dalam mulut. ralit pula. Kebiasaan aku di rumah memang akan mengunyah sambil bercerita. Semakin mengunyah semakin bersemangat. Cuma sekarang ini aku tengok Datzz sudah bengang dengan aku. Kenapa ya?
Tiba-tiba terasa telinga ditarik.
“Aduh, kenapa dengan kau ni Datzz? Kau dah tak sayang aku ke?”
“Aku memanglah sayang sangat kat kau tapi boleh tak buat perangai elok sikit? Kita bukan dekat rumah tapi di kafe. HORROR CAFE. Suka hati kau saja nak makan makanan pelanggan.”
Erk. Aku pandang pinggan di hadapan. Sudah separuh salad aku telan. Sekarang akal aku kembali waras. Mata meliar ke kiri dan kanan. Aku memang masih di kafe dengan memakai apron hitam. Alamak!
Berdesup aku berlari keluar dari dapur. Datzz, walaupun dia sayang nak mati dekat aku, tapi bab kerja memang tak ada kompromi. Lebih baik aku selamatkan diri dari kena luku.
HARI sudah lewat petang, mujurlah tadi tidak ramai pelanggan. Jadi bolehlah aku kemaskan kaunter. Rasa tidak bersemangat untuk bekerja. Sejak aku kena halau kelmarin, batang hidung Luke langsung tak kelihatan. Rindu pula nak tengok wajah dingin dia.
Aku mengatur langkah ke belakang. Loker yang berkunci aku buka lantas bersiap-siap untuk pulang. Datzz pula dah lama balik cuma tinggal aku dan seorang pekerja lain saja. Disebabkan tauke kafe kedekut, maka sikitlah pekerja. Duit yang banyak dihabiskan dengan membeli aksesori untuk kafe. Entah mana datang faedahnya.
Terkocoh-kocoh Louis masuk ke dalam kafe dan menyekat laluanku. Berkerut-kerut dahi aku melihat Louis yang nampak mengah. Ada orang kejarkah? Aku menjenguk ke luar kafe. Erk…
“Melody, aku nak minta tolong kau keluarkan benda alah dalam kereta tu dan bawa masuk ke dalam,” arah Louis.
“Hah? Apa tu? Patung ke?”
Louis mengangguk. Nampak pucat mukanya.
“Iya, kali ini anak-beranak ‘gula-gula’. Kau tolong kejap, aku ada hal.”
Hah?? Ada ke patut suruh aku yang perempuan ni. Kurang asam sungguh Louis. Dengan langkah yang berat aku menghampiri but kereta Louis. Bukannya Louis tidak tahu aku kurang berani nak menghadap patung yang seakan betul itu.
Aku menelan liur. Terkial-kial aku menarik patung yang lebih kurang sama tinggi dengan aku.
“Melody.”
Entah di mana silapnya aku terlepas pegangan dan tubuhku terdorong ke arah jalan raya.
“Arghh!”
“Melody, watch out!” Serentak dengan itu lenganku ditarik dan berada dalam pelukan seseorang. Tangan itu memeluk kemas tubuhku yang sudah mula menggigil ketakutan. Mata sengaja dipejam untuk menghilangkan rasa itu.
“Are you okay? Don’t sleep, Melody!”
Suara ini seperti dia. Aku membuka mata dengan perlahan.
“Luke,” jawabku lemah sebelum segalanya menjadi gelap.