"MELODY.”
Aku tegakkan badan dan memasang telinga.
“Melody.”
Sah! Ada orang menyeru nama aku. Tapi siapa? Aku melilaukan pandangan ke segenap ruang kafe. Tiada sesiapa. Kebetulan pula sekarang ini tiada pelanggan. Bulu romaku mula merinding. Lengan yang terdedah itu aku gosok. Tak mungkinlah hantu dalam filem Munafik datang mengusik!
Aku menelan liur. Takut usah dicakap memang takut. Suasana Horror Cafe sangat sunyi. Komputer riba yang terpasang aku segera tutup dan berura-ura mahu melarikan diri.
“Melody…” Suara itu kembali menyapa.
Kling!
“Mama!!” jeritku sebelum lari lintang-pukang ke belakang dapur sambil memeluk laptop.
Mengah seketika. Dada ditekan bagi melepaskan lelah, hampir saja aku terkena serangan jantung. Serius, seram!
Suasana terasa sunyi seketika. Bagai sedang diperhatikan, aku segera mengangkat kepala. Beberapa pasang mata sedang memandang pelik ke arahku. Ah, macam mana aku tidak perasan ada orang dekat dapur. Perlahan-lahan aku menaikkan dua jari sebagai simbol ‘peace’ kepada mereka bersama sengihan di bibir.
“Kau buat apa ni Melody? Macam kena kejar hantu saja.”
Laju saja aku mengangguk.
“Memang pun. Tadi aku dengar ada suara menyeru nama aku. Melody… Melody…” Bersungguh-sungguh aku bercerita siap meniru gaya panggilan dari suara misteri itu lagi. Laptop diletakkan ke dalam beg. Jika tengok gaya aku sekarang seperti mahu balik awal.
“Huh, padan muka. Siapa suruh kau curi tulang.”
Membebel pula kawan seorang itu. Aku buat muka sebelum bertindak berlalu dari situ. Namun baru beberapa langkah, Datzz segera menarik lengan aku.
“Kau nak pergi mana?”
“Balik.”
“Melawak?”
“Tak. Serius. Kau pandang muka aku sekarang. Ada aku buat lawak?” Aku cuba buat muka serius walaupun hakikatnya kelihatan lucu.
Datzz menggeleng dengan tangan dicekakkan ke pinggang.
“Jangan nak buat hal. Sekarang baru pukul berapa? Kau jangan sampai big boss nampak kau buat hal, kalau tak…” Belum sempat Datzz menghabiskan ayat, terdengar satu suara menyambung.
“Kenapa? Kau nak kerja malam ni ke? Ya Allah! Aku setuju sangat.”
“Hah? Ta… ta… tapi saya…”
“Keluar sekarang. Pelanggan tetap kau yang garang tu datang.”
“Baiklah. Tapi kan bos, kerja malam tu… bos bergurau saja kan?” soalku mencuba nasib.
Bos besar senyum. Semakin lama senyum itu semakin sinis. Okey, itu berita buruk. Bos memang tak main-main. Datzz di sebelah sudah menekup mulut. Huh!
“Okay, fine!”
Aku berjalan keluar dengan kaki yang sengaja dihentak kuat, tanda memberontak. Oh, sangat tidak matang.
Suasana ruang kafe yang gelap agak menyukarkan aku mencari pelanggan sedingin ais yang tidak pernah cair meski di musim panas. Mungkin dia berasal dari kutub utara selatan.
Dalam hati aku menyumpah bos besar. Macam tak ada orang lain saja mahu disuruh melayan mamat ais ini. Aku masuk ke ruang kaunter dan menongkat tangan di atas meja. Mamat ais tadi rupanya berada di penjuru kafe. Antara banyak-banyak tempat, kenapalah perlu duduk di situ. Bersebelahan dengan patung berupa pocong pula tu.
“Awak, nak minum apa?” soalku dari jauh.
Mamat ais itu berpaling dengan pandangan yang tajam menikam. Aduh! Tak seram langsung.
“Cappuccino.”
“Sejuk atau panas?”
“Sejuk.”
“Makan?”
“Tak.”
Aku mencebik. Setiap kali datang ke kafe, hanya itulah yang dibalas. Orang tanya banyak dia jawab sepatah. Kadang-kadang aku sendiri tak faham dengan lelaki beku dan kejur ini. Sudahlah beku, minum ais. Entah bila hendak cair kalau macam ni.
Kintang-kintung bunyi peralatan di kaunter itu berlaga. Sementara membuat air untuknya aku bunyikan segala benda yang ada di situ. Sengaja bagi lelaki itu dengar. Bosan pula asyik melihat muka dia saja yang selalu lepak dalam kafe. Serupa tak ada kerja. Lelaki itu memandang aku yang terkumat-kamit bersama kerutan. Risaulah tu kalau aku jampi minuman dia.
Heh!
“Here your drink, cappuccino ice without any spells. Don’t worry.”
“Huh,” keluh lelaki itu membuatku tercengang seketika. Tiada terima kasih mahupun kata-kata balas tapi keluhan. Okey, aku dapat rasakan tekanan darah aku semakin meningkat dari hari ke hari.
Aku tidak puas hati. Kerusi yang bertentangan dengannya aku tarik lantas duduk menghadap dia. Dia buat tidak endah dan matanya tetap tumpu pada skrin komputer riba. Khusyuk saja.
“Buat apa? Menulis ke?”
Aku mencuba nasib untuk berbual dengannya walaupun perasan telinga mamat itu disumbat dengan fon telinga. Tapi aku bercakap dengan kuat takkanlah pekak lagi.
“Awak buat apa??”
Dia menjeling ke arahku kemudian berpaling ke kanan. Aku ikut. Glup! Alamak. Bos besar sedang pandang ke sini. Tak maco betul mamat beku ini, itupun nak mengadu. Cepat-cepat aku bangkit dan berlalu dari situ.
MEJA yang berminyak aku semburkan sedikit air sabun sebelum menyental. Kadang-kadang geram dengan pelanggan di sini. Mereka bukannya budak kecil lagi untuk makan sampai tumpah-tumpah. Budak kecil pun tak macam ini. Jadi satu hal pula untuk mengelap. Barangkali mereka tidak diberi didikan sivik.
Bersungguh-sungguh aku menyental meja yang sedikit berkerak. Dahi sudah mula basah oleh peluh. Rambut depan yang memang sedia pendek aku bawa ke belakang lalu menyepit kemas.
Geram aku bukannya sebab pelanggan saja, tapi disebabkan bos yang terlalu kejam kerana meletakkan hukuman supaya bekerja sampai lewat malam. Kalau ikutkan kafe ini bukannya menerima pelanggan waktu malam. Sengaja bagi aku kerja lebih dan dihalaunya pekerja lain supaya balik awal. Sudahlah kafe penuh dengan patung hantu. Aku yang sedang bekerja ini pun kadang-kadang terperanjat apatah lagi pelanggan.
Apron hitam aku tanggalkan dan sangkut ke dalam loker pakaian. Cuaca di luar agak sejuk dan mendung. Barangkali mahu hujan. Usai mengambil beg, aku segera memanjangkan langkah ke luar kedai. Pekerja yang lain sudah lama balik dan pasti sedang enak berbaring.
Setelah memastikan semua lampu ditutup aku terus mengunci kedai. Terburu-buru aku berjalan memandang jam yang sudah melewati dua belas tengah malam. Mana ada bas mahupun teksi waktu-waktu macam ini.
Kali ini bos betul-betul suka menyusahkan. Aku merengus.
Aku berjalan malas di kaki lima sementara tangan terus memetik nombor Datzz. Harap-haraplah Datzz belum tidur. Aku betul-betul terdesak kali ni. Kenderaan awam memang tiada. Kalau berjalan mahu pukul dua pagi baru sampai.
“Helo Datzz, kau dah tidur ke belum?” serbuku sebaik sahaja Datzz menjawab panggilanku.
“Hah? Hmm.. kenapa kau call aku ni?” Suara Datzz agak serak, mungkin saja dia sudah tidur.
Aku gigit jari. Serba salah hendak meminta tolong tapi aku memang terdesak.
“Babe, ambil aku depan bus stop sekarang.”
“Hah?! Kau baru nak balik ke? Lewatnya.”
“Ya. Ini semua bos kita punya pasal. Cepat sikit weh. Aku takut ni. Ada samseng jalanan tengah ikut aku,” ujarku benar-benar takut. Siapa tidak seram kalau berdepan dengan orang jahat. Lagi seram daripada Horror Cafe. Sesekali aku menjeling ke arah sekumpulan samseng remaja yang tercegat di depan kedai gunting.
“Okey, okey. Kau tunggu, aku datang sekarang!”
Kaki kuatur menuju ke arah perhentian bas. Semakin lama semakin laju. Memang kawasan ini terus sunyi tatkala tengah malam, melainkan malam minggu. Sesekali aku mengintai ke belakang. Nampak gayanya beberapa orang samseng itu sedang pamit ke mari. Berdebar dadaku ketika ini. Datzz, cepatlah sampai!
“Hai, seorang saja ke? Nak kami temankan?”
Aku diam dan pura-pura pandang ke tempat lain.
“Pergh! Dia tak layanlah,” sampuk satu suara yang lain. Rimas.
Aku menjeling sekilas sekadar memberi amaran namun lain pula yang jadi.
“Woo… woo. Main jeling-jeling pula...” Giliran mamat yang ketiga pula mencelah. Situasi sekarang sungguh mencemaskan.
Tiba-tiba ada satu tangan cuba mengelus pipi, aku segera menepis.
“Jangan kacaulah!”
Entah mengapa sekarang aku harap sangat Datzz datang jadi hero sebab aku yakin tiada lelaki pun akan tolong sekarang ini. Yang ada cuma lelaki yang ingin mengganggu. Datzz! Hatiku sudah menjerit.
Dush! Sreet…
Aku tergamam. Jantung berdegup laju bagaikan baru saja habis marathon. Mata aku silap pandangkah? Dia. Sekelip mata saja lelaki itu bisa melenyapkan sekumpulan geng miang keladi tanpa perbalahan. Cukuplah sekadar membaling topi keledar ke atas jalan raya. Aku terkedu.
Kalau aku tahu budak-budak tadi pengecut, lebih baik berpura-pura garang tahap Kak Long kawasan saja.
“Melody, awak okey kan?”
Dia senyum sambil menyebut nama aku. Sekejap, dia tahu nama aku? Sekali lagi aku tergamam. Rasa hendak pengsan di situ juga. Mamat tempe? Eh, mamat ais. Eh, bukan! Sekarang dia bagaikan gula. Gula-gula kapas yang lembut seperti butir bicaranya kini. Dalam keadaan cuaca yang mendung…
“Melody! Kau okey tak ni?”
Bagaikan ada satu bunyi putaran kaset lama, bayanganku meletup tiba-tiba. Wajah Datzz kini terpampang di ruang mata. Aku meliarkan pandangan. Mana dia pergi? Ah, terlepas satu scene romantik!