Tahun 1979.
“SEDANGKAN lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi…” suara yang mengiringi putaran piring hitam itu bersayupan kedengaran di hujung telinga Rokiah. Kuntuman senyuman diterbangkan buat jejaka di hadapannya. Ahh, suaminya pandai benar memujuk tatkala dirinya dalam rajuk. Rokiah menjeling tajam.
“Duhai dindaku, merajuk lagikah?”
Wajah Rokiah ditatap penuh kasih. Perasaan bersalah menebal. Dia bukanlah sengaja tapi dia terlupa. Benar. Dia terlupa. Isterinya terlalu idamkan mangga muda yang segar di pohon mangga milik Nek Lijah.
“Haruslah. Bukan dinda sengaja nak susahkan kanda tapi… tapi… anak kita yang teringin sangat. Tak patut betul kanda terlupa. Dinda sedih,” luah Rokiah dengan perasaan sebal dan terkilan.
“Maaflah dinda. Kanda tidak sengaja tapi kanda bawa pulang sesuatu buat dinda.”
Mata Rokiah sudah bersinar. Anak-anak cuma menjadi pemerhati sketsa bonda dan ayah. Sengihan menemani bibir anak-anak yang sudah menginjak remaja. Dayang, anak pertama mereka sudah berusia 17 tahun. Kini sedang menanti masa untuk dinikahkan.
“Apalah agaknya hadiah ayah untuk bonda ya? Kan bagus kalau Dayang punya suami sebaik ayah nanti.”
Manis senyuman Rokiah buat anak gadisnya itu. Benar kata Dayang, Ahmad terlalu baik melayan kerenahnya yang kadang kala tidak matang itu. Walhal umur sudah semakin meningkat. “Insya-Allah. Pasti ada buatmu suatu hari nanti. Percayalah sayang.” Pipi Dayang diusap penuh kelembutan gaya seorang ibu.
Dayang mengangguk.
“Dinda! Kemari Dinda. Lihatlah apa yang kanda bawakan untukmu, dinda,” panggil Ahmad agak kuat.
“Bunga Bakawali?”
Angguk.
“Wahh… cantik sungguh bunganya kanda. Tapi mampukah kita jaga? Tidak susahkah? Risaulah dinda. Kalau dinda gagal menjaga pokok Bakawali nanti, pasti kanda terkilan.”
Ahmad tersenyum cuma. Isterinya terlalu ingin menjaga perasaan suami. “Tidak mengapa sayangku. Lihatlah. Kita berdua sudah berjaya membesarkan lima orang anak dan In Shaa Allah permata baru kita nanti. Dinda usahlah khuatir, kanda ada bersama. Kita jaganya bersama ya?”
“Benarkah?”
“Iya isteriku, Rokiah.”
“Terima kasih kanda.” Tubuh Ahmad dipeluk erat. Tiada segan apabila menjadi tontonan anak gadis mereka malah bangga. ‘Lihatlah anakanda, ayahmu terlalu mesra dan baik terhadap kita.’
Tahun 1981.
Kelahiran cucu sulung Rokiah dan Ahmad di dalam keluarga itu menambahkan lagi sinar cahaya kegembiraan. Syukur hanya pada yang Maha Esa. Rengekan anak kecil yang pertama dalam tahun itu. Rokiah menyibukkan diri dengan menyediakan air rebusan dedaun sebagai air mandian buat Dayang sementara Ahmad sudah mula bertugas. Biasanya hari sebegini agak sibuk. Ramai yang mula keluar masuk dari Negara jiran. Sesekali Rokiah berasa sedikit terasing. Jarang benar suaminya sibuk hinggakan tidak sempat meluangkan masa untuk dia sekeluarga. Anak bongsunya juga tidak pula ditanya khabar. Sekadar mengulum senyum.
Rokiah cuba bersangka baik.
“Assalamualaikum… Kiah oo Kiah.” Salam yang berlaungan diluar rumah itu dijawab perlahan. Air rebusan dedaun yang sudah pun siap itu diletakkan di kamar mandi dengan berhati-hati.
“Siapa tu bonda?”
“Entahlah, dengarnya seperti suara Mak Leha dengan Mak Cun Hani. Sekejap ya, bonda pergi tengok.”
Melenggang Rokiah mendekati muka pintu yang separa terbuka. Kelihatan tetamu sudah pun terduduk di bibir tangga. Mungkin baru lepas bertandang dari rumah yang lain.
“Ehh Cik Leha dengan Cik Hani rupanya. Jemputlah naik. Mahu melihat anaknya Dayang ya?”
Mereka berdua mengangguk laju. Jelas kelihatan rintikan peluh yang terbit pada wajah kawan sekampungnya. Barangkali penat menyusun langkah ke mari.
“Iyalah Kiah. Takkanlah kami datang saja-saja. Nah, ini ada kuih sikit. Maaflah tak seberapa. Cepat-cepat saja buat sebab anak tu bergegas nak balik Kula Lumpur. Entah apa yang ada dekat sana pun tak tahu.”
“Alaa, biasalah tu Leha. Orang muda keluar mencari kerja. Kita yang sudah tua, sekadar menumpang dan menanti hasil titik peluh mereka saja. Itupun jika masih diingati anak-anak,” tutur Mak Cun Hani agak sayu. Cuaca panas terik diluar mula mendung. Awan seakan cuba melindungan pancaran cahaya matahari secara terus. Angin mula menyapa lembut.
Masing-masing mengunci mulut daripada berbicara. Andai berbicara bimbang terguris hati sang teman dengan tidak sengaja. Mak Cun Hani menahan senyum tatkala melihat Leha dan Rokiah terdiam seribu bahasa.
“Mana cucu kamu Rokiah? Sihatkah?” Terjenguk-jenguk kepala Mak Cun Hani ke dalam rumah. Sengihnya hingga menampakkan giginya yang jarang. Dayang yang berlunjur di atas tilam yang diletakkan di ruang tamu itu sekadar menguntum senyum.
“Alhamdulillah, sihat. Jemputlah masuk. Macam selesa pula berbual depan tangga ni,” pelawa Rokiah. Mak Leha teragak-agak untuk melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya sedari daripada tadi. Sementara Mak Cun Hani sudah pun menerkam anak sulung Dayang yang baru sahaja sudah menyusu. Pipi anak kecil itu dicium bertalu-talu. Geram.
Mak Leha duduk bersimpuh di sebelah Rokiah. Peha temannya itu disentuh. “Rokiah... aku perasan bunga yang kamu tanam depan laman tu semakin mekar cantik. Sudah berapa lama? Maklumlah, aku jarang bertandang ke rumah kamu ni. Melainkan hari raya dan hari ni hah. Ini pun sebab teman si Hani ni, katanya mahu tengok cucu kamu. Kamu pun tahu kan, aku jarang ada dekat kampung ni.”
Senyum.
“Tak mengapa Cik Leha. Sudah masuk dua tahun kami jaga pokok tu. Cik Leha berminat ke?”
Cik Leha menggeleng laju. “Tak adalah. Cuma aku pernah dengar orang cakap bunga bakawali susah nak hidup. Kalau hidup subur itu kira bertuah sangat. Tapi...” serba salah Cik Leha ingin meneruskan bicara katanya. Matanya jelas menampakkan kegelisahan yang melanda dirinya.
“Tapi apa Cik Leha?”
“Orang cakap kalau bunga bakawali itu hidup subur maknanya pasangan itu tersangatlah bahagia. Tapi, sekiranya bunga bakawali itu mati erk...”
“Teruskan saja Cik Leha.” Rokiah merenung Cik Leha. Dia betul-betul ingin tahu kisah disebalik bunga bakawali itu.
“Erm... andai bunga itu mati, secara tidak langsung hubungan pasangan itu tidak sebahagia dulu. Tapi kamu tak perlulah ambil serius perkara ni. Ini cuma kata-kata orang. Jika percaya, itu sudah kira khurafat!”
Rokiah ketawa kecil.
“Iya Cik Leha. Buat apa percaya. Itu semua kan karut belaka. Kita ni sebagai manusia suka buat spekulasi, bukan?”
“Mak Cik Leha tahu tak, tepat jam dua belas tengah malam bunga bakawali akan kembang dan merembeskan haruman yang sangat wangi? Dayang suka sangat. Setiap kali tengah malam, Dayang pasti akan menanti bunga bakawali tu kembang.”
“Benarkah?” Mak Cun Hani sudah teruja. Pada mulanya gundah dengan cerita Mak Leha tapi mula tertarik dengan keistimewaan bunga bakawali itu.
Dayang ukir senyum lantas mengangguk.
“Benar Mak Cun Hani. Ada satu cerita lagi, dengarnya akan ada pari-pari bakal keluar daripada kuntuman bunga tu. Tapi, ianya sekadar cerita. Usahlah percaya, nanti boleh jadi khurafat lagi.”
Masing-masing ketawa kecil. Lucu pula mendengar cerita itu ditambah puladengan riak bersungguh-sungguh Dayang dalam bercerita. Namun, Rokiah sekadar senyum sambil menggeleng kepala. Hatinya tidak tenteram. Bimbang mula menguasai diri. Bagaimana kalau benar-benar terjadi? Tambahan suaminya kini kerap kali keluar tanpa bicarakan arah tuju. Pulang pun lewat.
Masih punya cintakah dalam hatimu buat diriku wahai suami?
Tahun 1991.
Persoalan dan kebimbangan Rokiah suatu ketika dahulu terjawab sudah. Benarlah kata pepatah, kusangkakan panas hingga ke petang tapi hujan di tengah hari. Begitulah keadaan diri Rokiah sekeluarga. Tapak tanaman bunga bakawali itu dipandang sepi. Tiada sudah bunga kebanggaan dan tanda kebahagiaan antaranya dan Ahmad. Semuanya sudah tamat. Musnah.
Hampir sepuluh tahun Rokiah cuba bertenang menghadapi situasi sebegitu. Namun memori indah bersama bekas suami sukar dikoyak dan dibakar menjadi abu. Ingatannya teralih pada cerita Mak Leha suatu ketika dahulu. Rokiah tersenyum lucu. Dia tergeleng perlahan. Mana mungkin sebegitu. Semuanya sekadar kebetulan. Hanyalah kebetulan.
Bunyi keriuhan di laman rumah itu mematikan gerak langkah ingatannya yang ingin menggapai memori lama. Kelihatan cucunya sudah cemberut. Rokiah menghalakan pandangan pada Dayang.
“Bagaimana dengan keluarga baru ayah kamu, Dayang?” tanya Rokiah ingin tahu. Meskipun dapat meneka situasi yang terjadi dia tetap bertanya.
“Nenda! Tok ayah jahat! Mina tak suka dia. Mina tak suka!” Amina sudah tercebik-cebik di depan Rokiah. Masih lagi terbayang layanan Ahmad pada mereka sekeluarga.
“Kenapa? Tok ayah buat apa, sayang?”
“Tok ayah keluarkan parang. Tok ayah halau mak dan abah suruh balik. Mina benci tok ayah! Bila mak cakap mengucap, Tok Ayah cakap yang bukan-bukan. Tok Ayah cakap jangan nak mengajar aku. Betul nenda, Mina tak tipu!”
“Benarkah Dayang?”
Lambat-lambat Dayang mengangguk. Sebak menggigit jiwa. Pedih. Sampai begitu sekali ayahnya berubah. Rokiah beristighfar perlahan.
“Mina... dengar sini sayang. Jangan sesekali membenci seseorang yang Mina gelar Tok Ayah. Walau apapun terjadi dia tetap Tok Ayah Mina. Biarkan yang terjadi itu berlalu. Apa yang teruk itu jangan disimpan di dalam hati. Mungkin ada sebabnya yang kita tidak tahu. Sabar ya sayang?” Tubuh Amina dirangkul dengan penuh kasih dan sayang. Biarlah cucunya tidak menerima sayang seorang datuk tapi dia ada untuk curahkan sayangnya sebagai nenek. Rokiah menahan sebak. Sedangkan anak bongsunya tidak pernah langsung menerima kasih sayang seorang ayah.
Amina mengangguk. Umurnya sudah mencecah sepuluh tahun dan dia mengerti apa yang ingin disampaikan Rokiah. Dia faham. Terlalu faham.
Tahun 2013.
“DAMAILAH. Tenanglah dikau di sana duhai Rokiah. Dinda pernah menjadi pujaan hati dan pengubat duka di saat kanda terluka. Dindalah isteri terbaik yang pernah kanda temui. Andai dapat kanda undurkan masa, ingin kanda betulkan kesilapan dulu. Tapi mana mungkin kanda undurkan masa. Kanda sedar khilaf kanda dalam meniti arus dalam perhubungan kita. Kanda yang mencipta jerat dan kanda sendiri yang terkena.”
Amina menyeka air matanya yang mula menitis. Benarkah ini Tok Ayah? Tapi kenapa baru sekarang hendak berdepan dengan nenda? Ahh, bukan nenda! Tapi surat-surat lama antara mereka berdua.
“Tok ayah... usah meratapi nenda. Nenda sudah tiada.”
“Tok Ayah tahu dan... dan Tok Ayah minta maaf atas layanan Tok Ayah dulu. Tok Ayah tahu banyak benar salah Tok Ayah terhadap semua. Juwita, anak bongsu Tok Ayah. Tidak pernah seinci Tok Ayah membelai dia sebagai seorang anak. Tok Ayah ego waktu tu. Tok Ayah jahat kan?”
“Kenapa cakap macam tu? Tok Ayah tahu tak, nenda tidak pernah menjatuhkan kesalahan terhadap Tok Ayah. Nenda minta Mina fikirkan yang baik-baik saja sebab nenda tahu, Tok Ayah pasti ada sebab disebalik apa yang terjadi dan...”
Amina menahan sebak sebelum menyambung, “...Mina tidak mahu tahu semua tu. Kami tak mahu ambil tahu. Biarlah yang lepas terkubur begitu saja. Apa yang penting Tok Ayah sudah kembali. Kembali pada kami semua. Kami rindukan Tok Ayah, tambahan lagi anak-anak Tok Ayah.”
“Ya Allah, mulia sungguh hatimu wahai dinda. Benarlah, menyesal sudah tiada gunanya. Bersama dengan nenda kamu buat Tok Ayah lebih bersyukur. Sejadah tidak pernah Tok Ayah tinggalkan tapi sejak... sejak Tok Ayah kahwin dengan...”
“Tak mengapa. Mina faham. Bukankah Mina dah beritahu, biarkan saja yang lepas berlalu. Sekurang-kurangnya jadikan pengajaran. Apa yang penting kini, Tok Ayah sudah berubah. Tok Ayah sudah tinggalkan perangai lama itu pun sudah cukup buat kami untuk memanjatkan syukur kepadaNya.”
Senyum.
Ahmad mengangguk. ‘Andai dirimu masih disini wahai dindaku, inginku memberitahu dirimu sesuatu. Cucu kita ibarat jelmaanmu dinda. Kesopanan dan kesabaran yang dimiliki benar-benar persis dirimu. Subhanallah...’ Air mata lelakinya gugur jua.
Bakawali. Apa istimewanya dirimu duhai bunga? Kehadiran serta kembangan setiap kuntumanmu memberi kebahagiaan. Namun, dirimu ibarat racun tatkala menjadi kepercayaan orang-orang disekelilingmu. Bakawali sejenis tumbuhan yang memberi tuah? Benarkah wujudnya penghuni yang menunggu bunga bakawali tersebut? Semakin lama semakin bertambah persoalan. Bagi muslim, percaya sesuatu perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan bertentangan dengan kosep tauhid dan syariat itu adalah khurafat. Wallahualam.
Namun begitu, Ahmad sedar dan begitu juga Rokiah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kepercayaan tentang bunga bakawali ditolak ke tepi. Semuanya hanyalah mitos semata-mata. Kisah mereka merupakan satu khilaf. Benar. Khilaf diri sendiri perlu dipandang tanpa menunding jari pada mana-mana pihak.
Ahmad menghela nafas panjang lantas menutup kotak yang mengandungi helaian surat antaranya dan Rokiah suatu ketika dahulu. ‘Dinda... semuanya yang tinggal cumalah kenangan.’