Tuesday, March 10, 2015

Puteri Bulu Hidung Mengurai (V2)

pesanan : 
JANGAN BACA kalau sedang makan minum atau KALAU TIDAK SUKA dengan tajuknya :) tiada paksaan. Sekadar cerita untuk menghilang tensi semata-mata.



LAGU Taylor Swift kerap bermain dibibir Puteri sambil tangannya cuba menenyeh kotoran degil yang melekat pada baju kurung yang dipakainya semalam. Kurang ajar betul kotoran degil ni. Puteri membaling kain tersebut dengan kasar. Geram!
      Puteri mencari-cari ibu tirinya. Ini semua gara-gara si Roza. Sudahlah kotorkan baju boleh pula buat bodoh. Kembang kempis hidung Puteri menahan amarah. Kakinya melangkah laju dan kuat persis Giant dalam animasi Doraemon cuma yang berbeza hanyalah susuk tubuh Puteri yang cantik bak model antarabangsa.
      “Aunty Rooooozaaa… where are youuu? Yuhuuu…” panggil Puteri.
      Roza sudah menggigil ketakutan di sebalik pintu bilik air. Semenjak kematian ayah Puteri tiga tahun lepas, Roza dan dua orang anak perempuannya sering dihambakan oleh Puteri. Kasihan Roza. Berbeza sungguh dengan kisah dongeng Cinderella yang dia baca dulu.
      “Baaa!”
      “Omak terkejut!!” Puteri berketawa lantang.
      “Eh? Aunty Roza buat apa kat sini? Curi tulang?”
      “T..tak.” Roza menggeleng laju.
      “Kalau tak… pergi dapur! Masak sekarang! Aku dah lapar. Pergi ajak anak-anak aunty tu sekali. Dasar pemalas! Pergi! Kalau dah siap nanti panggil aku. Aku nak tidur.”
      Tubuh Roza ditolak kuat. Hampir tersembam Roza dibuatnya. Air mata dan hingus yang mula meleleh dilap rakus. Puteri memandang jelek. Eew…


IPAD ditangan dimain-main. Lagu Taylor Swift dipilih. Tak habis-habis dengan Taylor Swift. Esok ulang tahun kelahirannya yang ke 22. Pasti banyak magis yang rakan-rakannya ingin tunjukkan. Puteri sengih sambil membayangkan Afiq, lelaki ‘hot stuff’ yang singgah dalam mimpinya setiap hari. Tapi lelaki itu sering saja melayan Ayfa lebih. Geram Puteri dibuatnya.
      Entah apa yang Afiq nampak pada Ayfa. Sudahlah pakai cermin mata tebal pandang orang macam tak pernah jumpa. Seram.
      I don’t know about you,
      But I’m feeling 22
      Everything will be alright
      If you keep me next to youuu
      Lagu 22 menjadi pilihan. Mentang-mentanglah esok hari lahirnya ke 22.
      “Saya datang ni…” bulu roma Puteri mula menegak. Siapa yang menyampuk tu? perlahan-lahan Puteri menoleh ke belakang. Hampir terbeliak mata Puteri memandang seorang wanita yang sungguh anggun dengan set persalinan permaisuri dalam cerita dongeng.
      Puteri terlopong.
      “Mak cik ni siapa?”
      Dum! Wanita itu hampir terjelopok dek terkejut. Mak cik kau panggil?       
      “Nama aku Ruby, Permaisuri Kerajaan Hidung Penyet.”
      “Hah? Buahahaha… kerajaan Hidung Penyet? Tang mana letaknya kerajaan tu wahai Permaisuri?”
      “Ehem! Kerajaan itu terletak di tengah-tengah antara kerajaan Mata Bundar dan kerajaan Mulut Banyak. Sudah, sudah! Kalau beta terangkan pun kamu tetap tak faham.”
      Puteri menekup mulut menahan ketawa.
      “Kenapa Permaisuri datang sini?”
      “Aku datang sini kerana ingin sumpah kau!” suara Permaisuri Ruby itu menjadi sedikit kasar hingga membuat Puteri tidak keruan.
      “Sum… sumpah apa pulak ni Permaisuri? Jangan main-main.”
      “Heh! Disebabkan kau berhidung tinggi, aku sumpah kau…”
      “Eh, cup! Cup! Aku memang dilahirkan hidung tinggi dan mancung. Jangan sumpah aku disebabkan hidung aku, tak masuk akal langsung!”
      Pap! Permaisuri Ruby memegang kepala. Sakit pulak melayan si Puteri bongkak ni.
      “Eh, kamu ni tak belajar bahasa melayu ke kat sekolah dulu? Penat cikgu kamu mengajar! Suka hatilah, kau faham atau tidak beta tetap ingin menghukum kamu dek kerana perangai kamu yang bongkak dan tidak hormat orang tua. Beta sumpah sepanjang hidup ini, kamu akan hidup dalam keadaan yang penuh malu. Bulu hidungmu akan mengurai di sepanjang jalan… Eh! Bukan. Sekadar mengurai hingga ke buku lali. Beta sumpah kau… beta sumpah kau…”
      Satu cahaya tiba-tiba menerpa ke arah Puteri hingga gadis itu menjerit ketakutan.
      “Hihihi…” Permaisuri Ruby ketawa kecil.
      Puteri mengangkat kepala. Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati bulu hidungnya benar-benar mengurai. Benar! Matanya tidak menipu.
      “Huk, huk… Gelinya…” Puteri menangis sambil tangannya bermain dengan bulu hidungnya yang berbau syampu. Nasib baik wangi.
      “Itulah balasan atas perangai buruk kamu. Beta pergi dulu!”
      “Nanti! Bagaimana nak hapuskan sumpahan ni? Saya tak sanggup wahai permaisuri. Lepaskanlah saya…” pinta Puteri.
      “Hanya dengan satu cara saja. Carilah cinta sejati iaitu lelaki yang benar-benar cintakan kamu. Bukan hanya sekadar kamu cintakan dia.”
      Senyum.
      Ting! Permaisuri Ruby terus hilang dari pandangan. Sedih. Puteri terjelopok di sisi katilnya. Bulu hidungnya yang mengurai digenggam erat. Sob.. sob… Kurang asam punya Permaisuri Kerajaan Hidung Penyet. Macam tak ada benda lain hendak disumpah.
      Tok! Tok! Tok!
      Puteri terkejut. Habislah!
      “Puteri… makanan dah siap,” jerit Roza diluar kamar Puteri.
      “Erk… iya! Nanti aku datanglah, kau pergi dulu.”
      Roza akur. Kakinya dibawa menghampiri mesin basuh. Hampir saja Roza menangis tatkala memandang baju yang berbakul-bakul diletakkan berhampiran mesin basuh.
      “Huu… gila punya anak tiri. Aku jaga kau, tapi ini yang kau bagi? Huu…” air mata mula mengalir laju bak air terjun.


PUTERI mengintai di ruang dapur. Bimbang pula jika si kembar kurus itu melintasi ruangan tersebut. Kurus bukan sekadar kurus. Kurus si kembar boleh melayang hingga ke Genting Highland jika ditiup angin. Puteri merengus. Kakak-kakak tirinya bukan boleh dipercaya sangat. Setelah memastikan tiada sesiapa, Puteri terus membuka langkah menghampiri meja makan.
      Tudung saji dibuka. Hidungnya dikembangkan sedikit bagi mengambil bau makanan. Tiba-tiba…
      “Uhuk, uhuk. Kurang asam punya bulu hidung! Mengganggu konsentrasi betullah, huh,” marah Puteri lantas menyelit bulu hidungnya ke belakang telinga. Kerusi ditarik laju. Pinggan nasi dicapai.
      “Ketam masak cili api! Nyumm…” Puteri baru menyua ketam ke mulutnya tapi sekali lagi terganggu dek bulu hidungnya yang mula jatuh mengurai.
      “Urgh!! Tensionnya aku macam ni!”
      Ketam tersebut diletak kembali ke dalam pinggan. Puteri sudah berputus asa. Dia perlu mencari cinta sejatinya. Puteri bangkit. Dia perlu ke kolej. Ingin mencari Afiq. Hanya Afiq cinta sejati aku, fikir Puteri.
      Sebaik saja tombol pintu biliknya dipulas, dia dikejutkan dengan kehadiran dua orang kakak tirinya. Entah siapa yang sepatutnya terkejut pun tak tahu.
      Aby dan Baby menjerit seperti terkena histeria lagaknya.
      “Mama! Mama… han… han.. hantu!!” jerit Baby. Terkocoh-kocoh Roza menghampiri dua orang anaknya.
      “Mana hantu?”
      “Tu…” mereka berdua menghalakan telunjuk pada Puteri.
      Roza berpaling. “Allahu Akbar!”
      Pengsan.
      “Mama? Erk… baby, jom kita buat-buat pengsan tepi mama,” bisik Aby. Perlahan-lahan Aby dan Baby melutut kemudian buat aksi terlentang. Pengsanlah kononnya. Puteri tergamam. Tanpa berlengah Puteri segera mendapatkan penutup mulut dalam lacinya. Dia ingin segera ketemu dengan Afiq.
      “Erk… kau orang pengsanlah sampai bila-bila. Bye!”


PUTERI  menanti di bawah pohon yang agak rendang di depan kolej. Menanti kehadiran Afiq. Penutup mulut dikemaskan sementara bulu hidungnya dibawa ke belakang dan disimpul bersama rambutnya yang tersedia panjang.
      Kakinya menggedik. Resah menanti.
      Tiba-tiba hatinya dirundum perasaan benci. Hangat sungguh dirasakan. Afiq dan Ayfa dilihat berpegangan tangan. Kelihatan mesra sangat. Disebabkan terlalu berang, Puteri terus mendekati pasangan tersebut lantas memutuskan pegangan tangan antara Afiq dan Ayfa.
      Ayfa terpinga-pinga memandang Puteri.
      “Kau kenapa?”
      “Heh, kau tanya aku kenapa? Aku sepatutnya tanya, kau buat apa dengan boyfriend aku?”
      “Hah?” Afiq sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Lengan Ayfa ditarik supaya mendekatinya.
      “I minta maaf Puteri, tapi Ayfa ni wife I. Sudah tiga bulan kami kahwin dan sekarang Ayfa sedang hamil anak sulung kami,” terang Afiq membuat Ayfa tersipu.
      Puteri terlopong dan tanpa disedari penutup mulutnya mula jatuh ke tanah. Ayfa terkebil-kebil. Gulp! Biar betul mata aku ni? “Abang…” Lengan Afiq diraih dan cuba bersembunyi di belakang lengan Afiq.
      “Puu… puteri? Apa dah jadi ni? Kenapa bulu hidung awak mengurai sangat ni? Ehh… tiba-tiba kerinting pula,” soal Afiq. Puteri terpana. Kerinting?
      Berpinar matanya saat bulu hidungnya mula panjang dan berkerinting bak mi segera. Puteri mula kelemasan.
      “Afiq! Tolong I Fiq. I tak nak jadi macam ni. Hanya you aje cinta sejati I. Fiq, tolong i…” Jemari Afiq cuba diraih tapi Afiq terlebih dahulu menepis.
      “Tak. I cuma cintakan Ayfa. Hanya Ayfa. Sayang, jom kita pergi.”
      Puteri ditinggalkan terpinga-pinga dengan hembusan angin yang kuat menerbangkan helaian bulu hidungnya yang kerinting. Dia mula rebah. Afiq sudah pergi tinggalkannya. Siapa lagi yang mahu menjadi cnita sejatinya? Puteri menghamburkan tangis semahu-mahunya. Pokok yang rendang itu menjadi tempat untuknya bersandar. Puteri cuba menghela nafas tapi tersekat.
      Hidungnya disentuh. Erk… cecair apakah? Alamak! Hingussss
      “Itulah, siapa suruh beria sangat menangis! Wuuu…” marah Puteri. Wajahnya disembamkan pada lututnya. Malu hendak mengangkat mukanya tika itu.
      Bunyi derapan kaki yang semakin mendekat mendebarkan Puteri.
      “Nah… janganlah menangis.” Sapu tangan dihulur.
      Siapa? Puteri terus mengangkat kepalanya lalu memandang gerangan yang menghulurkan sapu tangan padanya. Erk! Shaqir?
      “Puteri! Awak ke tu?”
      Badan Puteri menegak. Kenapa perlu Shaqir yang ditemukan? Puteri menggigit bibir.
      “Yalah, aku! Kau nak apa datang sini?”
      Shaqir sengih hingga menampakkan pendakap gigi yang dipakainya. Warna hitam! Dah macam gigi rongak pula. Eeww… sudahlah rambut berminyak entah berapa botol minyak rambut yang dipakai. Ditambah pula dengan baju kotak-kotak yang dibutang penuh. Puteri memandang Shaqir dengan pandangan malas.
      “Saya nampak macam ada orang menangis, jadi saya nak bagi sapu tangan tapi tak sangka pula itu awak Puteri,” ujar Shaqir kemudian mengambil tempat di sebelah Puteri.
      “Apa dah jadi dengan awak, Puteri?”
      Puteri mengeluh. Mata Shqir ditenung lama. Tiba-tiba dia teringat akan Permaisuri Ruby dari Kerajaan Hidung Penyet.
      “Hanya dengan satu cara saja. Carilah cinta sejati iaitu lelaki yang benar-benar cintakan kamu. Bukan hanya sekadar kamu cintakan dia.”
      “Erk… Shaqir, kau suka dekat aku tak?”
      Mata Shaqir mula bersinar. Kepalanya diangguk laju. “Aku suka kau! Kau suka aku tak?”
      Urgh! Puteri menjulingkan matanya ke atas. Tangan Shaqir diraih dalam keterpaksaan. “Macam ni, sebenarnya aku…”
      Bulat mata Shaqir mendengar cerita Puteri. Cerita Puteri seolah-olah tidak masuk akal tapi berdasarkan pemerhatian, kejadian sumpahan itu benar-benar terjadi. Melihat bulu hidung puteri yang semakin panjang dan berkerinting itu sudah cukup membuktikan cerita Puteri.
      “Jadi… awak memang kena cari cinta sejatilah?”
      Puteri angguk.
      “Erk! Kalau saya cakap saya cinta sejati awak, awak percaya tak?”
      “What?! Tak mungkinlah! Aku tak cintakan kau, aku langsung tak sukakan kau!”
      Puteri bangkit dan cuba menjauhkan diri daripada Shaqir. Kakinya dibawa berlari hinggalah dia tersadung dan pengsan! Erk, pengsan? Shaqir termangu sendiri. Macam mana boleh pengsan?
      Wajahnya didekatkan dengan muka Puteri. Puteri kelihatan kaku dan tidak bergerak. Seolah-olah sedang nyenyak dibuai mimpi. Shaqir meletakkan hujung jari telunjuk di bibirnya seolah-olah sedang berfikir.
      Perlahan-lahan Shaqir mengukir senyum.
      “Awak cakap awak kena sumpah kan dan… sumpahan tu akan hilang kalau awak temui cinta sejati. Saya rasalah kan, hanya saya yang cintakan awak. Tapi, menurut cerita dongeng macam snow white… ahh! Tak pun sleeping beauty, dia orang akan sedar lepas kena cium.”
      Cium? Wargh! Aku nak bangun, sedarkan aku! Permaisuri Ruby!! Hati Puteri meronta-ronta minta disedarkan daripada tidurnya. Dia bukanlah pengsan tapi dengan secara tiba-tiba tubuhnya kaku dan matanya mula terkatup rapat.
      “Jadi, kalau saya cium awak nanti pasti awak akan sedar dan sumpahan tu pasti hilang.” Bersungguh-sungguh Shaqir menjelaskan pendapatnya.
      Shaqir, kau jangan berani-berani nak cium aku!! Sekali lagi Puteri melarang namun hampa. Cuma hatinya yang mampu berbicara. Wuu… bebaskan aku wahai Permaisuri Kerajaan Hidung Penyet. Aku janji, aku bakal berubah. Aku akan layan Aunty Roza dan anak-anaknya dengan elok. Aku tak akan menggedik dengan Afiq lagi. Aku takkan bongkak lagi. Tolonglah…
      “Aku cium sekarang!” tekad Shaqir.
      Bibir dimuncungkan dan didekati wajah Puteri perlahan-lahan. Sikit lagi bibir Shaqir ingin menyentuh dahi Puteri. Sikit lagi…
      Permaisuri Ruby, tolong!! Puteri berjanji Puteri akan berubah, lepaskan Puteri!
      Kedengaran satu ketawa kecil singgah ditelinganya. Itu suara Permaisuri Ruby! Fikir Puteri. Permaisuri Rub…
     

GEDEBUKK! Bukk, bukk!
      Begitu sadis sekali tubuh Puteri bergolek gara-gara terjatuh daripada katil tiba-tiba… Dum!
      “Aduh…” Puteri menggosok kepala yang sakit gara-gara terhantuk almari pakaiannya. Perlahan-lahan matanya dibuka. Dia mula terkebil-kebil.
      Eh? Tempat ni…
      Tok! Tok! Tok! Puteri tersentak.
      “Puteri… makanan dah siap,” seru Roza. Sekali lagi Puteri terkedu. Persis sekali dalam mimpinya. Langsir yang tergantung di birai tingkap biliknya terbuai-buai dek angin yang meniup. Puteri bimbang. Adakah Permaisuri Kerajaan Hidung Penyet bakal datang.
      Everything will be alright
      If you keep me next to youuu
      Suara itu… lagu Taylor Swift! Tak… tak mungkin semua ni bakal terjadi. Puteri menjerit kecil sambil menekup telinganya.
      “Puteri kenapa?” Roza sudah tegak berdiri di muka pintu. Terpinga-pinga dengan situasi sekarang. Kenapa menjerit?
      “Tu… lagu tu… aunty dengar tak??”
      “Dengar, kenapa? Bukan telefon Puteri ke yang berbunyi?”
      Aik! Puteri mengangkat kepala. tangannya menggagau telefon yang terletak di atas katil. Telefonnya dipandang lama. “Ha’ah. Memang telefon Puteri,” bisiknya.
      “Erk… Puteri. Aunty Roza dah siap masak. Per…pergilah makan.”
      “Masak? Aunty masak apa?” soal Puteri sedikit bongkak. Masih tidak berubah.
      “Ketam masak cili api.”
      “What?!”
      “Aunty keluar dulu.” Bersepah wanita itu berlari meninggalkan bilik Puteri. Bimbang jika dijerkah sekali lagi.
      Roza menghampiri mesin basuh. Hampir saja Roza menangis tatkala memandang baju yang berbakul-bakul diletakkan berhampiran mesin basuh.
      “Huu… gila punya anak tiri. Aku jaga kau, tapi ini yang kau bagi? Huu…” air mata mula mengalir laju bak air terjun.
      Puteri yang mengintip di belakang dinding itu terlopong. Persis sekali dengan mimpinya! Mungkinkah… Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Bilik! Kakinya segera berlari ke bilik tidurnya. Benar telahannya.
      Kelihatan Abby dan Baby sedang berjimba dalam biliknya. Kembang kempis hidungnya. Geram. Tak padan dengan kurus kering tapi ada hati nak cuba pakaiannya.
      “Hey!!” jerit Puteri. Pancaran cahaya yang sekilas mengejutkan Puteri. Terus dia teringat akan Permaisuri Kerajaan Hidung Penyet. Gulp!
      “Erk… maaf Puteri. Maaf. Kami tak sengaja. Kami pun nak baju cantik untuk majlis esok.”
      Puteri menghela nafas panjang. Abby dan Baby dihampiri. Manakala mereka berdua menggigil ketakutan. Puteri ketawa kecil.
      “Janganlah takut. Aku… aku sebenarnya nak minta maaf. Aku tak sepatutnya layan kak Abby dan kak Baby kasar macam tu. Sudi tak kakak berdua maafkan Puteri?”
      “Puteri minta maaf?”
      “Ya, maafkanlah Puteri.” Puteri menunduk. Dia sedar akan khilafnya dulu. Dirinya tidak dapat menerima kehadiran Roza dan anak-anaknya yang secara mendadak.
      “Kami maafkan.”
      Puteri berpaling. Aunty Roza sedang senyum padanya. Tanpa berlengah, tubuh aunty Roza segera dipeluk kemas. Betapa dia merindui belaian seorang ibu.
      “Erk… kami… kami nak peluk sekali boleh?” pinta Baby dan Abby takut-takut.
      “Come.”


“HAPPY Birthday to you… happy birthday to you… happy birthday to Puteri Khaky, happy birthday to you!!”
      Puteri segera meniup lilin. Tepukan gemuruh diterima. Acara memotong kek diteruskan oleh kembar kurus.  Mata Puteri meliar memandang sekeliling. Dia ingin mencari seseorang. Sejak dia tersedar dari mimpi semalam, fikirannya tidak henti-henti memikirkan Shaqir. Lelaki itu berjaya mencari tempat di hatinya.
      Puteri senyum sendiri.
      “Puteri, sweet 22.”
      “Ayfa? Mana Afiq?”
      “Nah, for you.” Afiq tiba-tiba datang daripada belakang dan menyerahkan sepotong kek kepada Ayfa.
      “Kau orang dah kahwin kan?” teka Puteri. Afiq dan Ayfa tergamam.
      “Belum. Tapi Insya Allah selepas habis belajar ni. You okey ke?”
      “Mestilah I okay. Eh, I nak pergi sana kejap. You all berdua makanlah dulu.”
      Angguk. Afiq dan Ayfa saling berpandangan. Pelik.
      Puteri ke hulu ke hilir cuba mencari kelibat Shaqir tapi tiada. Dia berlabuh di kerusi berhampiran kolam mandi. Mana kau?
      “Hai, sorang aje?”
      “Hmm…” jawab Puteri malas. Siapa pulak lelaki ni? Orangnya hensem tapi… dia nak Shaqir jugak!
      “Puteri, you tak kenal I ke?”
      Geleng.
      “Ini sayalah.”
      “Hish, saya tu siapa?!”
      “Saya Shaqir.”
      Puteri terkebil-kebil. Shaqir? Tapi kenapa nampak hensem sangat? Puteri menenyeh matanya berkali-kali. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum. Tapi senyumnya tiba-tiba pudar tatkala terpandang seseorang yang merapati Shaqir.
      “Permaisuri Ruby,” bisik Puteri.
      “Eh, macam mana awak tahu nama mak cik saya?” soal Shaqir.
      “Hah? Mak cik awak?”
      “Ya, mak cik saya ni ada restoran sendiri tau di Bandung. Restoran apa mak cik Ruby?”
      “Restoran Nasi Ayam Penyet!” jawab Ruby selamba.
      “Hah?” hampir saja Puteri ketawa keras. Dia teringat akan mimpinya tentang Permaisuri Kerajaan Hidung Penyet.
      “Jom kita ke sana.” Puteri angguk.
      “Shaqir saya… sebenarnya saya…”
      “Awak sukakan saya?”
      “Mana awak tahu?”
      Senyum. “Daripada riak wajah awak saja saya dah tahu yang awak memang jatuh suka dengan lelaki yang bernama Shaqir. Bukan Shaqir yang ini tapi Shaqir yang selekeh dulu,” ujar Shaqir sedikit berbisik.
      Puteri mengangguk. Dia mula tersipu-sipu. Sejak bila si Shaqir ni mandai romantic-romantik macam ni.
      “Kejap, saya nak tanya. Mak cik awak tu sebelah mak atau ayah awak?”
      Shaqir ketawa.
      “Sebenarnya itu bukan mak cik saya. Saya jumpa dia dekat luar rumah awak tadi itu yang saya ajak masuk. Kesian dekat dia. Nampak macam takut-takut aje.”
      “Hah?” Puteri terus memandang ke arah Ruby yang sudah bertukar pakaiannya persis Permaisuri Ruby Kerajaan Hidung Penyet. Permaisuri Ruby senyum manis padanya lantas menaikkan ibu jari ke atas sebelum terus menghilangkan diri dalam satu kelipan cahaya. Ting!



The end.
(muahahaha jangan marah ya…)